Chapter 4 – Family

Fantasy Series 500

PENCARIAN Miers dan Melino membawa mereka ke sebuah rumah usang. Miers mencari-cari ruang untuk mengintip ke dalam rumah tersebut. Terdapat sebuah lubang kecil di salah satu dinding rumah. Perlahan-lahan Miers mengintai ke dalam. Cahaya malap sekadar cukup untuk Miers melihat bayang-bayang di dalam.

“Abang nampak seperti ada seorang budak. Itu mesti budak tak guna tu.” Bisik Miers.

Miers melepaskan tangan Melino dan mengarahkannya untuk menunggu di situ. Sementara Miers pula cuba mencari pintu masuk ke dalam rumah Umoya. Miers bergerak dengan berhati-hati agar tidak membuat sebarang bunyi.

Dia berjaya masuk melalui pintu hadapan. Miers berjengket untuk bergerak lebih dekat di tempat Umoya berada. Tangannya mencapai ke belakang pinggang lalu menarik sebilah pisau yang disembunyikannya. Sudah hampir dengan Umoya, Miers merapatkan pisau ke belakangnya dengan niat untuk menggertak Umoya supaya tidak melakukan apa-apa pergerakan.

“…maafkan Umoya Mak…”

Langkah Miers terhenti serta-merta.

“Maafkan Umoya Mak. Umoya tak dapat membawa balik apa-apa makanan hari ini.” Kedengaran suara Umoya tersedu lemah.

Apabila Miers semakin dapat membiasakan diri dengan cahaya malap di dalam rumah itu barulah dia dapat melihat di hadapan Umoya, sekujur tubuh yang terbaring. Alangkah terkejutnya Miers, tubuh yang dipanggil Mak oleh Umoya tampak sangat kurus keding dengan matanya yang buta seperti dikorek!

Miers terundur selangkan kebelakang dek terkejut dengan tubuh yang disangkanya mayat. Perasaan benci Miers terhadap Umoya serta merta bertukar kasihan. Umoya yang sedang berlutut disisi Maknya langsung tidak menyedari kehadiran Miers.

“U… Umoya…” Panggil Mak Umoya dengan nafas putus-putus. Dia kelihatan seperti sedang menahan kesakitan yang amat sangat.

“Maafkan Mak… kerana tidak dapat melindungi kamu… berdua, …tidak dapat melihat kamu membesar. Maafkan Mak… kerana… membuat hidup kamu susah… selama ini.”

Umoya semakin kuat menangis, air matanya berjujuran mencuci kotoran di pipinya. Tangannya kuat menggenggam tangan ibu yang merapat ke dadanya

“Izinkan Mak… membuat permintaan yang… terakhir.” Rayu Maknya.

“Mak! Jangan cakap begitu. Umoya akan cari ubat untuk Mak. Umoya akan cari makanan untuk Mak. Mak tolong jangan tinggalkan Umoya seorang diri!” Raung Umoya.

“Umoya… Mak nak kamu berdua… cari kebahagiaan. Jangan sesekali mengalah. Mak… sentiasa bangga dengan kamu berdua, walau… apapun yang kamu lakukan.” Suara Mak Umoya semakin perlahan.

“Mak! Bagaimana Umoya mahu teruskan hidup. Haizea sudah tinggalkan Umoya. Umoya tidak ada sesiapa lagi selain Mak!” Jerit hati Umoya.

Ibu Umoya mengangkat tangannya ke atas lalu menunjuk ke arah Miers. Umoya terkejut dengan kehadiran Miers di belakangnya. Miers yang bingung dengan tindakan Mak Umoya hanya terkaku tidak tahu apa tindakan yang perlu dibuatnya. Niatnya yang tadi mahu menangkap Umoya pudar setelah melihat keadaan Maknya

“Kamu.” Panggil Mak Umoya dengan tangannya menggeletar.


Umpam satu keajaiban, mata Mak Umoya yang buta itu dapat merasakan kehadiran Miers di belakang Umoya.

“Kamu… ada hati yang kuat. Tolonglah… Jaga Umoya.”

Miers tidak menjawab. Dia hanya mencapai tangan Mak Umoya dan menggenggamnya erat. Dia kemudian menarik tangan Umoya lalu meletakkannya dalam tangan Maknya. Umoya tahu akan maksud Miers. Maknya sudah tidak dapat betahan lama. Dia hanya mampu menangis teresak-esak. Walaupun hatinya amat berat untuk menunaikan hasrat Maknya selepas pemergiannya, tetapi itu adalah wasiatnya yang terakhir.

Miers melangkah perlahan membiarkan Umoya dan Maknya buat seketika. Dia pergi ke tempat Melino menunggu dan melihat wajahnya. Matanya yang bulat berwarna biru sudah berkaca bagaikan permata. Kedua-dua tangannya menutup rapat ke mulutnya. Rupanya Melino juga mendengar perbualan Umoya dan Maknya. Miers mendongak ke langit hanya mampu menghela nafas berat.

Setelah beberapa ketika, Umoya muncul di muka pintu. Wajahnya yang sugul mendatangkan kesedihan bagi sesiapa yang melihat keadaannya. Tetapi dia tidak lagi menangis. Ternyata Maknya sudah tiada. Melino bergerak merapati Umoya lalu memeluknya. Umoya hanya berdiam diri tidak berkata apa. Dia kemudiannya menolak Melino. Tersentak dengan perbuatan Umoya, Miers menarik pisaunya dan berada dalam posisi bersedia jikalau Umoya bertindak untuk menyerang mereka berdua.

“Maaf!” Umoya bersujud di hadapan mereka berdua.

“Umoya ingin meminta maaf kerana menyusahkan awak berdua. Disebabkan tindakan Umoya, awak berdua terpaksa… terpaksa…” Tidak mampu Umoya menghabiskan ayatnya kerana malu untuk mengatakan yang dia terpaksa bergantung nasib kepada dua orang yang dia baru sahaja dikenalinya.

Miers dan Melino memandang antara satu sama lain, kemudian senyum. Mereka kemudian menghulurkan tangan kepada Umoya.

“Umoya. Jangan risau. Mulai hari ini, kita adalah keluarga.” Kata Melino sambal tersenyum.

Sekali lagi, air mata Umoya berjujuran. Bukan air mata sedih. Tetapi air mata gembira. Gembira yang Miers dan Melino sanggup menerima serta memaafkannya atas apa yang dia telah lakukan kepada mereka berdua. Mungkin kesalahannya tidaklah sebesar mana, tetapi kemaafan dari mereka amatlah bermakna bagi Umoya, kerana sekarang, mereka adalah keluarganya.

Hari sudah semakin gelap. Selepas mengubur Mak Umoya. Mereka bertiga bergerak untuk mencari tempat bermalam. Dalam perjalanan, Umoya hanya senyap berjalan di belakang Miers dan Melino. Memang jelas dia masih bersedih atas kematian Maknya. Miers menjeling ke arah Melino lalu mengisyaratkan matanya ke arah Umoya. Seakan faham atas tindakan abangnya, Melino mencapai tangan Umoya dan menariknya dekat dengan mereka berdua untuk berjalan bersama seiringan. Muka muram Umoya beransur lega.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience