TAKK!
TAKK!
TAKK!
Miers membuka matanya, tersedar apabila mendengar satu bunyi.
“Aku… di mana?” Kata Miers tidak mengingati apa yang telah berlaku semalam.
Miers cuba untuk bangun. Masih terasa kesakitan di seluruh badannya. Kepalanya terasa berat. Terdapat balutan kain di kepala dan seluruh badannya. Dia memandang ke kiri kemudian ke kanan.
“Tempat… apa ni?” Katanya lagi hairan.
Mata Miers melilau lagi mencari petunjuk keberadaannya. Kepalanya betul-betul sakit memikirkan apa yang telah berlaku dan kenapa dia boleh berada di sini. Miers cuba untuk berdiri tetapi kakinya masih lemah dan menggeletar. Dia mencari tempat untuk memegang supaya memudahkannya berdiri. Keadaan rumah agak gelap, penglihatannya kabur. Dia meraba-raba lantai mencari tombaknya. Akhirnya tangannya menyentuh sesuatu.
“Eh. Apa ni?”
Tangan Miers meraba lagi tetapi tidak dapat mengenal pasti objek yang dipegangnya dalam gelap.
“Lem… Lembut…”
Dia kemudian memicit-micit objek tersebut. Geram mahu meneka, Miers merapatkan wajahnya untuk melihat dengan lebih jelas. Tiba-tiba pintu terbuka. Miers memejam matanya menghalang cahaya yang masuk secara tiba-tiba.
“Miers?” Suara perempuan memanggil namanya.
Perlahan-lahan Miers membuka sebelah matanya. Kelihatan bayang seorang perempuan di pintu rumah.
“Mel? Itu… Mel?” Miers meneka kerana penglihatannya masih kurang jelas. Dia cuba melihat dengan lebih jelas lagi.
“Mel! Mel selamat! Baguslah.” Miers gembira melihat keadaan adiknya yang nampak sihat.
“Ya. Mel rasa semakin sihat sekarang. Tapi…” Mata Mel memandang ke arah tangan Miers.
“Tapi apa?” Tanya Miers hairan.
Miers merasa ada pergerakan di tangannya. Disebabkan bilik sudah terang, kini dia boleh melihat objek yang dipegangnya tadi dengan lebih jelas.
“Enn… Bisingnya…” Rungut Umoya yang juga baru tersedar dari tidur.
Umoya membuka matanya dan melihat Miers sedang berlutut di sebelahnya. Dia melihat mata Miers membesar dengan peluh keluar dari dahinya dan badannya menggeletar. Terasa seperti ada sesuatu yang tidak kena. Umoya menundukkan pandangan lalu melihat tangan Miers sedang menyentuh dadanya. Mukanya bertukar merah padam.
“AHHH!”
PANG! PANG!
----------
UMOYA duduk sambil menghirup air. Melino menghidangkan daging kepadanya. Miers duduk tangga sambil meletakkan ketulan daging di kedua-dua belah pipinya yang ditampar oleh Umoya untuk menghilangkan kesan lebam.
“Sakitnya.” Adu Miers menahan kesakitan.
“Memang itu balasan yang patut Miers dapat. Gatal! Berani betul ambil kesempatan waktu Moya tidak sedarkan diri!” Marah Umoya.
“Mana Miers nampak. Dalam rumah ni tadi gelap.” Miers memberi alasan.
“Penipu! Moya tak percaya! Miers memang sengaja meraba… meraba…” Muka Umoya menjadi merah memikirkan perkara yang berlaku diantara mereka berdua.
“Hmph. Miers tak rasa apa-apa pun masa sentuh tadi. Moya punya tu keci…”
PANG!
Satu lagi tamparan singgah ke pipi Miers sebelum dia sempat habis berkata-kata.
“Diamlah, si gila! Si gatal!” Marah Umoya lagi.
“Aduh, Sakitlah!”
“Baik. Baik. Sudah-sudahlah tu. Apa-apa pun Mel gembira melihat awak berdua selamat dan sihat.” Melino meleraikan pergaduhan mereka berdua.
“Oh ya Mel. Ini rumah siapa? Macam mana kita boleh berada di sini?” Soal Miers.
“Itu… Ikut Mel. Kita ke belakang rumah. Ada seseorang yang kita patut ucap terima kasih. Lebih baik Miers tanya dia. Nampaknya dia yang telah menyelamatkan kita bertiga.” Melino bangun dan membawa mereka berdua ke belakang.
TAKK!
Kelihatan seorang lelaki sedang membelah kayu. Susuk tubuhnya besar, tinggi dan berotot. Tidak disangka ada orang yang tinggal di tengah-tengah Hutan Dyrys yang merbahaya ini.
TAKK!
Lebih mengejutkan, ia membelah kayu tanpa menggunakan sebarang peralatan. Hanya dengan sebelah tangan lelaki itu mampu membelah kayu menjadi kepingan. Miers terpaku, benar-benar kagum dengan kekuatannya.
TAKK!
“Abang Bara.” Melino menegurnya.
Lelaki yang tinggi menggunung tadi menoleh. Dia menepuk-nepuk tangannya, membuang sisa-sia kayu yang melekat. Dia kemudian berjalan mendekati mereka bertiga. Jantung Miers berdegup laju, terkesan melihat tubuh orang yang sasa itu menghampirinya.
Orang yang dipanggil Abang Bara oleh Melino tadi mendepakan tangannya. Kaki Miers sedikit tersentak, seperti memberi isyarat kepadanya untuk lari dari bahaya yang mendatang. Orang itu tiba-tiba menerkam Miers lalu memeluknya erat.
“Ohhhhh~ Kamu berdua sudah sedar. Baguslah! Bagus! Bara ingatkan kamu berdua sudah mati semasa Bara mengangkat kamu ke mari. Terutamanya kamu, kawan. Kamu nampak sangat parah. Nasib baik Bara ada ubat. Nampaknya kamu sihat! Ohhh hoo hoo~.” Kata Bara sambil menggosok-gosokkan mukanya menangis di dada Miers.
“A… A… Apa ni! Jangan peluklah! Lepaskan!” Jerit Miers meronta-ronta mahu melepaskan diri. Tetapi dia tidak mampu kerana Bara sangat kuat.
“Ohhhhh~ Janganlah macam itu. Bara telah selamatkan kamu tahu. Semalam Bara bersihkan luka kamu. Letakkan ubat ke seluruh badan kamu. Bara juga mandikan kamu. Bara sapukan air ke seluruh badan kamu, kamu tahu. Ohhhh~ Badan kamu sangat lasak, kamu tahu” Kata Bara lagi.
“Betul tu Miers. Abang Bara kata, semalam sewaktu dia sedang mencari buruan di Hutan Dyrys, dia ternampak Umoya dan Miers bertarung dengan dua ekor Yinewt. Dia yang bawa kita ke sini. Dia juga mengubati racun Mel.” Tambah Melino lagi.
“Ohhhhh~ Dengar tu budak? Kamu patut berterima kasih dengan Bara tahu. Sebagai ganjaran, biarlah Bara memeluk kamu ya. Ohhhh hoo hoo hoo hoo~”
“Ti… Tidak! Lepaskan! Lepaskan! Awak… Awak tu…… bukan lelaki!!” Jerit Miers.
Walaupun Bara berbadan sasa dan berotot, tetapi perangainya lebih menampakan ‘kewanitaan’. Melino dan Umoya hanya ketawa melihat aksi Miers dan Bara.
Selepas itu mereka semua duduk bersama untuk mengisi perut.
----------
“Makanlah. Pasti kamu lapar. Ohhh hoo hoo~” Jemput Bara.
“Terima kasih.” Jawab Umoya sambil mencapai makanan lalu memakannya dengan lahap.
“Ohhh hoo hoo~ Biar saya memperkenalkan diri semula. Nama saya Alagbara. Tapi panggil Bara sahaja. Ohhh hoo hoo~ Sudah 3 tahun Bara tinggal di Hutan Dyrys. Kamu semua adalah tetamu pertama Bara. Ohhh hoo hoo~”
“Terima kasih sekali lagi Abang Bara sebab selamatkan kami. Kalau tidak, mungkin kami sudah mati di dalam hutan gelap ini.” Jawab Melino.
“Ohhh hoo hoo~ Selepas bertarung dengan tiga ekor Yinewt, Bara pasti tenaga kamu habis diguna. Ohhh hoo hoo~” Tambah Bara lagi.
“Miers, Umoya. Maafkan Mel sebab tidak berhati-hati semalam. Mel tidak perasan ada kala jengking di kaki Mel. Mel tidak dapat membantu awak berdua.” Melino memohon maaf.
“Tak apa Mel. Yang penting kita semua selamat.” Balas Umoya.
“Tapi Mel tak sangka yang Umoya dan Miers mampu mengalahkan tiga Yinewt. Awak berdua memang sangat hebat.” Puji Melino.
“Sebenarnya abang pun tidak ingat apa yang berlaku semalam. Sedar-sedar sahaja sudah berada di dalam rumah ini.” Ujar Miers
“dan terus mengambil kesempatan.” Sambung Umoya dengan tiba-tiba.
“Itu tak sengajalah!” Bantah Miers cuba pertahankan diri.
“Semalam semasa berlawan dengan Yinewt-Yinewt itu, Moya nampak anak mata sebelah kanan Miers berwarna biru. Sama macam mata Melino. Tetap, kenapa sekarang ia dah berubah warna asal? ”
Miers memandang Umoya seperti tidak percaya. Masakan matanya boleh berubah warna. Sejak lahir lagi mata Miers memang berwarna coklat. Hanya mata Melino sahaja yang berwarna biru.
“Ohhh hoo hoo~ Ini memang menarik.” Sampuk Bara.
“Apa yang menarik?” Tanya Miers.
“Kamu bertiga, kamu tidak tahu apa itu Kuasa Mata?” Soal Bara semula.
“Kuasa Mata?” Kata mereka bertiga serentak.
Kuasa Mata? Apa itu Kuasa Mata?
Share this novel