Keesokan harinya, Miers, Melino dan Umoya sudah menunggu Maldavo dan rakan-rakannya di pintu masuk Bandar Dampbad. Tidak lama menunggu, kelihatan Maldavo bersama empat orang rakannya datang membawa 5 ekor kuda. Satu daripada kuda itu tersebut sarat membawa muatan di dalam karung. Tidak tahu apakah kandungan di dalamnya.
“Budak. Siapa nama kau?” Maldavo tiba-tiba bertanya selepas merapati Miers. Miers tidak menjawab. Mungkin tidak mahu menonjolkan dirinya dengan orang yang dianggap berbahaya ini.
“Nama dia Miers, saya Melino. Kami adik-beradik. Yang ini Umoya.” Melino pula menjawab soalan Maldavo.
“Mel! Apa Mel buat ni?” Bentak Miers. Risau akan tindakan adiknya yang mungkin membawa padah kepada diri mereka.
“Miers jangan risau. Mel percaya mereka ni orang baik. Kalau tidak, takkan mereka mahu menerima tawaran Miers semalam.” Bisik Melino kepada Miers.
“Mel! Kita tak boleh percaya orang asing bulat-bulat. Lagipun mereka ni peneyeludup. Penjahat.” Miers cuba menerangkan kepada Melino.
“Hei budak. Aku berada di depan kau. Jangan fikir aku bodoh dan tak dengar apa yang kamu berdua bisikkan.” Walaupun kedengan seperti Maldavo memberikan amaran, tetapi mukanya bersahaja dan tenang.
“Baik. Kita cuma ada 5 ekor kuda. Satu kuda sudah dipenuhi barang. Dua orang akan akan menunggang satu ekor kuda. Miers akan menunggang dengan Drabant. Umoya dengan Laro. Melino akan menunggang dengan saya. Ithar pula dengan Dihmes.” Maldavo memberikan arahan kepada mereka. Bagaimanapun ianya tidak disukai oleh Miers.
“Tidak. Saya dan Melino akan menunggang bersama.” Bantah Miers sambil menarik tangan Melino kuat.
“Budak… Miers. Memang bagus untuk menunjukkan keberanian. Tetapi berani secara membuta-tuli, itu namanya bodoh. Kamu tidak ada hak untuk berbincang perkara ini. Melihat kamu bertiga, aku tahu kamu tidak pandai menunggang kuda.” Maldavo cuba menunjukkan siapa yang lebih berkuasa.
“Miers. Jangan risau. Mel tak akan apa-apa.” Melino menenangkan abangnya lalu melepaskan genggaman tangan secara perlahan-lahan.
Miers tidak mampu memberikan alasan kerana apa yang dikatakan Maldavo itu ada betulnya. Dia tidak pernah menunggang kuda sebelum ini. Menunggang kuda bersama Melino mungkin hanya akan membahayakan mereka berdua sahaja. Miers terpaksa akur dengan arahan Maldavo.
“Kalau semua sudah bersedia, kita akan bergerak sekarang. Ithar, awak pegang tali kuda yang membawa barang. ” Arah Maldavo.
Walaupun mereka berlima adalah rakan, tetapi rakan-rakan Maldavo menganggapnya sebagai seorang ketua dan mendengar arahannya tanpa bantahan.
Perjalanan menuju Bandar Esperanza ternyata lebih sukar. Mereka perlu melalui padang pasir yang luas sekiranya ingin mengelak daripada menggunakan jalan utama kerana dipenuhi dengan Tentera Mugsi.
Padang Pasir Kubur. Itulah nama yang diberikan kepada padang pasir ini oleh orang-orang sekeliling. Ini kerana padang pasir ini telah mengorbankan banyak nyawa sewaktu perang besar berlaku dahulu. Dahulunya kawasan padang pasir ini adalah sebuah padang rumput yang menghijau. Peperangan yang tercetus 10 tahun dahulu telah mengubah lanskap kawasan ini sepenuhnya. Masih lagi kelihatan barang-barang tinggalan peperangan pada waktu itu di sekitar padang pasir ini.
Salah satu bahaya yang menjadi ancaman pengembara kawasan padang pasir ini adalah ‘roh jahat’. Roh orang yang mati semasa peperangan dahulu dikatakan muncul dari dalam tanah lalu menarik dan menelan pengembara-pengembara yang melalui padang pasir ini ke dalam tanah. Orang disekeliling kawasan ini percaya roh itu cuba untuk mencari semula jasad mereka yang telah hilang.
Mereka sudah berjalan sepanjang hari tanpa henti. Apabila matahari sudah hampir tenggelam, barulah Maldavo mengarahkan untuk berhenti dan berehat.
“Huuh.” Keluh Miers. Lega dapat turun dari kuda lalu menggeliatkan badannya.
“Miers. Mel seperti merasakan sesuatu yang pelik.” Melino berbisik dengan mukanya berkerut memikirkan sesuatu sambil melihat kekiri dan kekanan.
“Kenapa Mel?”
“Mel rasa seperti ada sesuatu sedang memerhatikan kita.” Kata Melino sambil memegang tangan Miers dengan kuat. Miers dapat rasakan tangan Melino menggeletar seperti takutkan sesuatu.
Pada masa ini Meirs juga tidak dapat berbuat apa-apa selain cuba menenangkan Melino, kerana dia juga tidak tahu apa yang ditakutkan oleh Melino.
“Kamu bertiga duduk disini dan jangan bergerak. Drabant, awak perhatikan mereka dahulu. Selepas itu Ithar, kemudian Laro sehingga pagi. Dihmes, kau ikut aku.” Maldavo memberikan arahan jelas kepada rakan-rakannya. Maldavo dan Dihmes mula menunggang kuda dan menuju ke arah Barat.
“Ke mana mereka berdua pergi?” Miers cuba mengetahui apa yang Maldavo ingin lakukan.
“Davo dan Dihmes meninjau perjalanan kita di hadapan sebelum kita bergerak esok.” Drabant menjawab soalan Miers sambil membuat unggun api untuk mereka panaskan badan.
“Davo?” Miers menoleh dengan muka berkerut.
“Ya. Panggil saja dia Davo. Perlu sentiasa berhati-hati ketika berada di padang pasir ini. Tiada siapa yang mahu ditangkap oleh Roh Jahat kan. Hehe.” Drabant tersengih. Melino memegang erat abangnya mendengar kata-kata Drabant.
“Diamlah Drabant. Tak payah kau nak menakutkan budak-budak ini. Kamu bertiga berehatlah. Kami berjaga sepanjang malam.” Laro memarahi Drabant.
“Jangan tunjuk berani Laro. Tempat ini memang berhantu. Mungkin dia sudah berada di sini sekarang. Hahaha.” Sekali lagi Drabant cuba menakut-nakutkan mereka bertiga.
“Kau ni memang teruk Drabant. Suka menakut-nakutkan budak. Pergi turunkan barang-barang dari kuda tu.” Arah Laro.
“Ithar! Turunkan barang dari kuda.” Drabant menyuruh Ithar pula sedangkan dia baru sahaja diarahkan oleh Laro tadi.
“Pemalas betul kau ni Drabant. Buat saja lah.” Marah Laro pula.
“Ahh! Aku penat. Lagipun Ithar paling muda antara kita. Biar dia yang buat. Ithar! Kau dengar tak? Turunkan barang cepat!” Sekali lagi Drabant melawan dan cuba menyuruh Ithar. Tetapi Ithar tidak membalas panggilan Drabant.
“Ithar!” Laro pula cuba memanggil dia. Mereka berdua cuba melihat sekeliling. Ithar tiba-tiba hilang.
Drabant dan Laro mengambil senjata mereka. Laro meletakkan jari pada bibirnya sebagai isyarat untuk diam. Meirs menggenggam lembingnya dan berdiri hadapan Umoya dan Melino. Laro bergerak dengan perlahan, tidak mahu mengeluarkan sebarang bunyi.
ZUUUP!
Bunyi angin yang laju kedengaran seperti seseorang sedang berlari dengan pantas. Drabant tiba-tiba terkejut apabila terlihat kelibat seperti manusia sedang berdiri disebalik benting pasir yang tidak jauh dihadapan mereka. Malam gelap menyukarkan lagi penglihatan mereka.
Laro membuat isyarat tangan menyuruh Drabant untuk menunggu sementara dia bergerak ke arah bayang-bayang itu.
“Ithar?” Laro cuba meneka kelibat itu menyangka dia adalah Ithar.
“Ithar! Kalau kau main-main aku akan belasah kau!” Dia cuba menggertak kelibat itu sekiranya itu adalah Ithar.
Laro semakin dekat benting pasir tetapi tiba-tiba kelibat itu menghilang. Tidak ada lagi kelihatan bayang hitam dihadapannya. Laro yang kehairanan berpaling kebelakang melihat Drabant. Semasa dia berpaling, dia tiba-tiba kaku lalu rebah ke tanah. Jasadnya kemudian ditarik melawati benting pasir itu.
“Roh Jahat!” Drabant nampak ketakutan. Badan dan kakinya mengigil kuat dan berpeluh. Nafasnya tercungap-cungap seperti sedang menangis. Dia berpusing ke kiri ke kanan cuba mencari di mana kelibat itu berada.
“Marilah Roh Jahat! Aku tidak takut dengan kau.” Walaupun Drabant berkata begitu, tetapi wajahnya menunjukkan dia benar-benar takut. Seperti hilang waras, dia berlari kesana kesini dengan senjatanya. Sehinggalah dia mula berlari ke arah benting pasir dimana Laro rebah.
AAAHH!
“Miers! Apa dah jadi? Itu suara Drabant kan? Kenapa dengan dia?” Umoya pula kecut selepas mendengar teriakan Drabant tadi. Melino sudah tertunduk ketakutan di kaki Umoya.
Miers tidak dapat menjawab soalan Umoya kerana dia sendiri pun tidak tahu apa yang berlaku.
“Moya, Mel. Tunggu sini.” Arah Miers.
“Miers, jangan!”
Umoya cuba menghalang Miers. Miers tidak mengendahkan larangan Umoya dan mula bergerak perlahan-lahan kearah benting pasir itu. Sepanjang pergerakan Miers cuba menjenguk disebalik benting itu.
BUK!
Langkah Miers terhenti apabila terdengar bunyi yang berada di belakangnya. Miers pantas berpaling. Mata Miers terbeliak apabila melihat Melino dan Umoya juga rebah ke tanah.
“Mel! Moya!” Miers berteriak dan berlari untuk mendapatkan Melino dan Umoya.
Belum sempat sampai ke tempat mereka berdua, pasir dihadapanya timbul secara tiba-tiba. Tidak lama kemudian kelihatan seseorang berada didalam pasir yang timbul tadi. Semakin lama pasir itu semakin hilang. Miers dapat melihat dengan jelas siapa yang berada disebaliknya.
“Kau! Kau yang berada di kedai semalam! Apa yang kau nak, hah!” Itu adalah pemuda berambut kuning yang berada di kedai minum dimana Miers dan Maldavo berurusan semalam.
Pemuda berambut kuning hanya tersengih. Tanpa menghiraukan Miers, dia mengangkat Melino dan Umoya di bahunya.
“Berhenti! Lepaskan mereka berdua!” Miers berlari untuk menghalang pemuda berambut kuning itu.
“Mel!” Miers menghulurkan tangannya cuba untuk mencapai tangan Melino.
BAMM!
Belum sempat mencapai tangan Melino, satu tendangan kuat dari pemuda berambut kuning itu mengena perut Miers. Miers rebah ke tanah sambil termuntah air. Perutnya benar-benar sakit akibat tendangan itu tadi. Dia mula kehilangan tenaga. Matanya hampir tertutup menahan kesakitan. Miers cuba untuk bangun, tetapi sekali lagi satu tendangan kuat kali ini tepat mengena kepalanya.
DUUSSH!
Miers rebah tidak sedarkan diri dengan kepalanya berdarah.
Apa yang akan terjadi kepada Melino dan Umoya nanti? Apa yang pemuda berambut kuning itu mahukan dari mereka?
Share this novel