“APA! Hari itu kau kata kau boleh bawa kami ke Bandar Esperanza dengan hanya 500CP. Mengapa sekarang harganya 2000CP?” Kata seorang tua kepada seorang yang berupa seperti seorang pedagang yang sedang duduk minum minuman keras bersama rakan-rakannya.
“Hahaha! Apa yang kau merepek ni si tua. Aku kata 500CP untuk seorang. Tapi kau bawa dua orang lain bersama kau. Mestilah harganya naik. Hahaha.” Kata pedagang itu tadi sambil ketawa bersama rakan-rakannya.
“Tapi kami tiga orang. Aku, isteriku dan anak perempuanku. Bukankah bayaran sepatutnya cuma 1500CP?” pemuda itu cuba memperbetulkan kiraan pedagang tadi.
Pedagang itu tiba-tiba diam dan memandang wajah pemuda tadi dengan tajam. Dia mengangkat mengangkat gelasnya dan meminum minuman keras itu sehingga habis dengan sekali teguk. Sesudah itu dia menghempas gelas kosong ditangannya ke atas meja dengan kuat sehingga pecah. Pedagang itu lalu bangun dan mendekat pemuda itu dan keluarganya.
“Kau, 500CP. Isteri kau, 500CP” Kata pedagang itu sambil menunjuk ke arah si tua itu dan isterinya.
“Tapi yang ini… ini tidak mungkin berharga 500CP. Hehe…” Katanya lagi apabila merapati anak perempuan si tua itu sambil meletak tanggannya ke dagu gadis itu. Ketakutan dilihat pada wajah gadis itu. Badannya menggeletar cuba menjauhkan diri dari disentuh pedagang licik itu.
“Baik. Disebabkan hari ini aku terasa baik hati, aku akan hantar kamu ke Esperanza. Percuma. Tapi cuma kamu berdua” Pedagang itu cuba membuat tawaran.
“Bagaimana dengan anak aku?” Tanya pemuda itu.
“Dia boleh tinggal dengan aku. Jangan risau. Aku akan jaga dia dengan baik dan dapatkan banyak duit untuk dia. Hahahaha!” Pedagang yang licik itu ketawa terbahak-bahak.
Umoya yang kebetulan berlalu di kawasan situ mendengar segala perbualan antara pemuda dan pedagang tersebut. Dia memakai hud kepala bagi menyembunyikan mukanya.
‘Ingat. Jangan tunjukkan muka kamu, kecuali dengan orang yang kamu percayai.’
Itulah antara nasihat Bara sebelum mereka meninggalkan Hutan Dyrys. Mungkin ada sebabnya mereka perlu berbuat demikian. Mungkin untuk tidak menjadi sasaran mudah perompak-perompak serta penyamun yang banyak berkeliaran di sekitar Bandar Dampbad ini.
Tidak sanggup mendengar perbualan itu lagi, Umoya beredar dari situ. Mukanya tunduk sembunyi di dalam hud, tetapi matanya sentiasa melihat sekeliling seperti sedang mencari sesuatu. Kadang-kadang dia berhenti di hadapan sebuah kedai, melihat ke dalamnya, tetapi kemudian meneruskan perjalanannya. Merata tempat Umoya berjalan. Tetapi tidak juga menjumpai apa yang dimahunya.
Umoya mengeluh berat. Akhirnya putus asa dengan pencarian yang tidak berhasil, dia kembali semula ke tempat persembunyian sementara mereka, di bawah jejantas konkrit.
Tiba di sana Umoya melihat Miers dan Melino sedang duduk dengan muka kecewa. Dia dapat mengagak yang Miers dan Melino juga tidak menjumpainya.
“Moya! Baguslah Moya dah balik. Mel risau kalau jadi apa-apa dekat Moya” Tegur Melino gembira melihat kedatangan Umoya.
“Nak risau apa. Dia kecil dan pantas berlari. Sebelum apa-apa terjadi dia pasti lari…”
BUK!
Belum sempat Miers menghabiskan ayatnya, Umoya melontar hudnya tepat ke muka Miers.
“Diamlah. Moya penat nak dengar suara Miers membebel. Moya nak rehat.” Kata Moya melepas geram.
“Budak tak guna. Jumpa tak?” Walaupun marah, Miers cuba menahan perasaan kerana ada perkara yang lebih penting perlu mereka lakukan.
“Moya langsung tak jumpa. Semua pedagang cuma menjual kulit binatang seperti lembu atau kambing. Langsung tidak ada yang menjual kulit Yinewt. Dan kenapa kita perlukan kulit Yinewt lagi? Bukankah kita sudah ada?” Soal Umoya semula kepada Miers.
“Bagus. Kita boleh teruskan dengan rancangan seterusnya.” Kata Miers tanpa menjawab soalan Umoya.
“Apa? Kita tidak jumpa apa yang kita cari. Bagaimana mahu meneruskan rancangan?” Tanya Umoya hairan.
“Hehe. Rancangan seterusnya adalah dengan membuat pertukaran dengan menggunakan pakaian kulit Yinewt yang kita ada sekarang. Sekarang kita tahu di bandar ini tidak ada seorang pun yang menjual kulit Yinewt kerana kulit ini sangat sukar untuk didapati. Bermakna kulit ini sangat berharga. Kulit yang tebal memberi lebih perlindungan kepada pemakainya.” Jawab Miers.
“Jadi Miers hantar Moya berjalan sekeliling Bandar Dampbad mencari kulit Yinewt tu semata-mata ingin mengetahui jika kulit Yinewt ini mudah didapati atau tidak? Mel tahu dengan rancangan Miers?” Umoya beralih pandangan kepada Melino.
“Mel… tahu. Tapi Miers akan marah Mel kalau Mel bagitahu Moya. Hehe, maaf Moya.” Kata Melino sambil geli hati melihat rancangan nakal Miers untuk mengenakan Umoya berjaya.
Umoya merajuk sebab dipermainkan oleh kembar itu. Miers dan Melino tergelak melihat raut muka Umoya apabila mengetahui rancangan mereka.
Rancangan yang dimaksudkan oleh Miers adalah dengan menggunakan kulit Yinewt sebagai barang pertukaran. Mereka bertiga tidak mempunyai CP atau ‘Coin Piece’ yang mencukupi sebagai pembayaran untuk mereka di seludup masuk ke dalam Bandar Esperanza. Oleh itu, mereka akan menggunakan kulit Yinewt sebagai bayaran untuk membawa mereka masuk kerana kulit Yinewt adalah kulit berharga yang jarang didapati.
----------
Keesokan harinya mereka bertiga ke bazar untuk mencari pedagang yang boleh membawa mereka ke Bandar Esperanza. Setelah puas bertanya di kawasan bazar, mereka mendapat khabar ada seorang pedagang bernama Maldavo yang selalu menyeludup barang ke sana. Tanpa membuang masa, mereka bertiga pergi ke kedai dimana pedagang itu dikatakan selalu minum bersama rakan-rakannya.
Tiba di kedai minum tersebut, tidak ramai orang didalamnya. Cuma seorang tua yang sedang mabuk berbual dengan pelayan bar dan seorang pemuda berambut kuning sedang tidur dikerusi dengan mukanya ditutupi oleh topi. Kedua-duanya bukan seperti orang yang digambarkan oleh khabar yang mereka dapat. Mereka bertiga mengambil keputusan untuk menunggu pedagang itu di situ.
“Pedagang di bazar itu kata esok dia akan menghantar barang seludup ke Bandar Esperanza. Lebih baik kita tunggu dia di sini. Kita mungkin tidak ada peluang lagi untuk berjumpa dengannya esok.” Kata Miers.
Tidak beberapa lama menunggu, sekumpulan orang berbadan sasa masuk ke dalam kedai tersebut. Miers menoleh kearah kumpulan itu tadi dan dapat melihat orang yang dicarinya adalah salah seorang dari kumpulan tersebut. Pedagang dan rakan-rakannya tadi duduk di meja bersebelahan dengan pemuda yang sedang tidur itu.
Miers ingin bertemu dengan pedagang itu dan menyatakan hasratnya, tetapi perasaan takut mula menguasai dirinya kerana meletakkan nasib mereka bertiga di tangan orang yang tidak dikenali adalah rancangannya. Tetapi tiada siapa yang tahu apakah nasib mereka nanti. Dia tidak mahu melihat sesuatu yang buruk berlaku kepada adiknya.
Melino melihat tingkah abangnnya yang ketakutan, lalu memegang erat tangannya. Miers merasa sentuhan tangan Melino yang juga memandangnya sambil tersenyum. Tanpa berkata apa-apa, Miers tahu yang Melino cuba menenangkannya dan percaya dengan tindakannya itu. Miers merasa tubuhnya semakin tenang. Dia menarik nafas sedalamnya, kemudian bangun untuk bertemu dengan pedagang itu.
Miers berjalan dengan perlahan kemudian berhenti di sebelah pedagang itu tadi. Pedagang itu yang dari tadi ketawa bersuka-ria dengan rakannya melihat kehadiran Miers di sebelahnya.
“Apa kau nak?” Pedagang itu bertanya.
“Kau Maldavo? Aku ingin berurusan dengan kau.” Miers menggagahkan dirinya.
“Kau? Budak ingin berurusan dengan aku? Huh.” Maldavo mendengus memperlekehkan Miers.
Sedikit geram, Miers membuka hudnya dan meletakkan 3 pakaian kulit Yinewt di atas meja mereka.
“Ini… Kulit Yinewt! Bagaimana awak mendapatkan kulit Yinewt sebanyak ini budak?” Tanya salah seorang daripada rakan Maldavo seakan tidak percaya.
“Itu tidak penting. Adakah kau setuju untuk berurusan sekarang, Maldavo?” Tanya Miers lagi.
Maldavo meneliti kulit Yinewt yang dibawa Miers. Dia memandang wajah Miers dengan mata yang tajam dan muka yang bengis.
“Baik. Apa yang kau nak?” Maldavo akur dengan hajat Miers.
“Kami bertiga mahu masuk ke Bandar Esperanza. Dengar kata kau akan pergi ke sana esok. Kami mahu ikut bersama.” Miers memberitahu permintaannya.
“Apa urusan kau di sana?” Maldavo seperti ingin mengetahui tujuan Miers.
“Urusan aku bukan urusan kau. Sekarang, adakah kau setuju untuk membawa kami atau tidak?” Tegas Miers.
Maldavo memandang rakan-rakannya yang lain. Salah seorang daripada mereka mengangguk memberi isyarat kepada Maldavo untuk menerima tawaran Miers.
“Baik. Esok kita akan bergerak selepas matahari terbit. Tunggu kami di hujung bandar.” Arah Maldavo.
Miers mengambil semula kulit Yinewt itu tadi.
“Kamu akan dapat kulit ini selepas menghantar kami ke Bandar Esperanza.” Kata Miers lalu beredar dari meja Maldavo dan rakan-rakannya.
Tanpa mereka sedari, perbualan mereka sedang didengari oleh pemuda berambut kuning yang duduk di sebelah meja Maldavo dan rakan-rakannya.
Apakah Maldavo akan mengotakan katanya? Siapakah pemuda berambut kuning itu dan apakah niatnya?
Share this novel