Chapter 8 - Siapa dia?

Horror & Thriller Series 1020

26 Julai 1953
Jam 10 Pagi

Dia menarik sedikit langsir yang tergantung di pintu hadapan rumah kayu itu, kepalanya menjenguk-jenguk keluar pintu. Melihat Sari yang sedang bermain buayan seorang diri, hati terasa bimbang dan sayu. Apakah dia ada buat salah kepada Sari sehingga sudah tiga hari tidak mahu menegurnya, walau bagaimanapun dia tetap saja tidak dapat mengingati apa yang sudah terjadi malam itu dan apa yang membuat Sari menjauhkan diri daripadanya.

"Sari, aku minta maaf..." kata hati kecilnya sayu terasa apabila satu-satunya saudara kandungnya sudah tidak mahu mendekatinya lagi.

"Ahmad, apa yang sedang engkau lakukan?" sapa satu suara dari belakang membuatkan dia terkejut lantas menepis tangan yang sudah berada di bahunya, segera dia menoleh kepalanya untuk melihat pemilik suara itu.

"Ibu, terkejut Ahmad.."

"Kenapa dengan engkau?" soal ibunya agak bimbang melihat perilaku anaknya itu.

"Sari... Sehingga sekarang masih tidak mahu bercakap denganku."

"Ahmad sudah cuba menegur dia?"

"Bagaimana? Setiap kali Ahmad cuba mendekati saja, Sari terus lari." keluh Ahmad berkongsi ceritanya kepada Humairah, berharap ibunya boleh membantunya.

"Ahmad.. Benarkah tidak ada apa yang engkau rahsiakan daripada ibu?" soal Humairah dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena.

"Ibu, Benar Ahmad tidak ada buat salah..."

"Bukan itu maksud ibu, benarkah tidak ada apa-apa yang Ahmad hendak beritahu ibu?"

"Sebenarnya... Ahmad punya teman baru, pada malam itu Ahmad mahu kenalkan dia kepada Sari, namun Sari tidak mahu." kata-kata membuatkan Humairah terdiam seketika.

"Siapa? Siapa teman baru Ahmad?"

"Seorang nenek, setiap malam bila dia mahu menjemput cucunya pulang dari mengaji, pasti dia akan singgah untuk berbual dengan Ahmad di tingkap bilik. Rupanya saja hodoh tetapi hatinya baik." balas Ahmad, sudah dapat Humairah meneka siapakah gerangan nenek tua itu, fikirannya tepat membayangkan susuk tubuh wanita hodoh yang menganggu keluarganya tiga hari yang lalu.

"Ahmad... Soal Sari, biar ibu saja yang memujuknya nanti. Tetapi selepas ini ibu tidak mahu Ahmad berbual dengan nenek itu lagi, bila malam tutupkan saja tingkap bilik itu ya?" pesan Humairah, Ahmad hanya menganggukkan kepalanya tidak melawan kata-kata ibunya itu.

________________________________________________
Jam 10 Malam

Humairah membetulkan duduknya di atas katil, kepalanya menoleh melihat Osman yang sudah nyenyak dibuai mimpi, perlahan-lahan kakinya menjejak lantai, mengambil beberapa langkah mendekati almari baju yang berada di sudut bilik. Kakinya dijengketkan sedikit, tangannya cuba mencapai bungkusan yang berada di atas almari dan dipeluknya. Perlahan-lahan dia membawa bungkusan itu ke ruang tamu diletakkan kemas di atas lantai, sehelai demi sehelai ikatan dileraikan. Kelihatan dua belas biji bonang peninggalan ibu mertuanya tersusun di atas kayu berbentuk empat segi.

"Abang, maafkan Mairah..."

Matanya merenung seketika bonang yang di berada di hadapannya itu, dia terasa sedikit bimbang akan melukakan hati suaminya. Namun sifat melindungi seorang ibu masih kuat menguasainya, dia tidak punya pilihan selain menghidupkan semula bonang peninggalan ibu mertuanya. Perlahan-lahan tangannya mencapai sebatang kayu yang terselit di hujung bonang itu, kelopak matanya dipejam rapat membiarkan deria pendengarannya mengambil alih. Tangannya dihayunkan beberapa kali ke udara sebelum membuat pukulan pertama kepada bonang itu.

Ting!

Kedengaran denting bonang bergema di setiap sudut ruangan itu, lantas matanya dibuka memerhati ke kiri dan kanan, bimbang sekiranya suaminya dan si kembar terjaga akibat dentingan itu. Namun tiada kelibat seorang pun yang keluar dari bilik, lantas kelopak matanya di tutup semula lalu memberi beberapa pukulan.

Ting! Ting! Tingg!

Tidak semena-mena ruangan itu didatangi bau wangian bunga-bungaan kuat menguasai, dia dapat merasakan seolah-olah rambutnya lembut dibelai dengan sepasang tangan ghaib. Didatangi lagi tiupan angin lembut melalui celah-celah tengkuknya membuatkan dia terleka, tubuh badannya terasa ringan seperti ada sesuatu yang memeluk tubuhnya dari belakang lalu dibawanya berdiri. Kelopak matanya masih tertutup rapat, namun masih dapat merasai tangannya melentik-lentik ke kiri dan kanan sambil kakinya terjengket-jengket membuat satu pusingan di raungan itu. Sayup-sayup bunyi dentingan bonang dimainkan kedengaran begitu merdu, tangannya kemas dihayunkan memukul bonang itu seolah-olah seperti orang yang mahir memainkannya. Tanpa dia sedari kakinya tidak lagi menjejak lantai, terlalu asyik menari-nari dikuasai pula dengan muzik gamelan, membawa dia masuk ke dalam bilik si kembar yang sedang nyenyak tidur.

"Apakah yang engkau lakukan di sana?" entah siapa yang disoal Humairah, kelopak matanya dibuka luas memandang tajam ke arah tingkap bilik yang tertutup dengan kain langsir berwarna biru. Kakinya terapung-apung tidak menjejaki lantai dihayunkan perlahan-lahan mendekati tingkap bilik, tidak semena-mena angin bertiup kuat melalui celah-celah rumah kayu itu, membuatkan langsir-langsir di dalam bilik itu terkibar di udara menjelaskan lagi pemandangan di luar tingkap.

"Sudah aku jangka..." kata Humairah sambil memandang susuk tubuh seorang wanita yang berdiri kaku di luar tingkap, kelihatan kelibat wanita hodoh yang pernah didatanginya tempoh hari sedang memerhatikan si kembar yang sedang nyenyak tidur.

"Katakan, siapa kau ?!" teriak Humairah masih saja tidak disedari si kembar itu seolah-olah tidak dapat mendengarinya, denting-denting yang pada mula tenang semakin lantang dimainkan. Humairah dapat merasakan badannya seolah-olah dipeluk oleh tangan ghaib dari belakang, membawa dirinya menari-nari di udara sambil tangannya melentik ke kiri dan kanan.

"Hehehe..." kedengaran suara wanita tua sedang ketawa kuat menguasai ruangan itu, satu senyuman sinis terukir di bibir wanita hodoh itu. Namun tidak sedikit pun berganjak dari tempat berdirinya, sebutir demi sebutir perkataan keluar dari mulut wanita itu jelas dapat dibaca Humairah.

"AL...If...Rit" (Al-Ifrit)

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience