Chapter 10 - Wanita kebaya kuning

Horror & Thriller Series 1020

Jam 5 Petang
08 Mei 2014

Wani melabuhkan punggungnya duduk di salah satu anak tangga, kejap-kejap dia menjenguk ke kiri dan kanan mencari-cari kelibat rakan-rakannya. Terasa bimbang hatinya sekiranya sesuatu yang tidak baik berlaku kepada rakan-rakannya itu, suasananya agak suram akibat dedaun pokok yang lebat menghalang cahaya matahari daripada panas memancar.

"Assalamualaikum..." sapa Fezz memberi salam membuatkan Wani agak terkejut melihat Fezz, Talif dan Asyraff sudah berada di hadapan pintu.

"Eh, cepatnya?" ujar Wani.

"Mana ada cepat, dekat tiga jam bertapa dekat sana..." jawab Asyraff.

"Oh, jadi apa cerita?" soal Wani lagi.

"Kereta tak boleh hidup lah, entah kenapa tiba-tiba meragam pula..." keluh Fezz.

"Jadi kita kena bermalam dekat sini ke?" soal Hanani yang tiba-tiba datang dari belakang Wani.

"Bermalam sajalah di sini, esok kita cuba cari line nya lagi." kata Cempaka yang sedang duduk di bangku kerusi ruang tamu yang tidak jauh dari pintu masuk.

"Tak menyusahkan ke Cempaka?" soal Asyraff pula.

"Hari sudah hampir malam, bahaya kalau kamu semua terjumpa dengan Manung Linsing atau Permaisurinya nanti." kata-kata Cempaka membuat mereka terdiam tidak terkata, berjumpa dengan Manung Linsing saja sudah membuat mereka trauma dengan kejadian itu, inikan pula berjumpa Permaisuri yang menyumpah Manung Linsing menjadi sebegitu rupa. Tidak semena-mena terasa angin sejuk bertiup lembut melalui celah-celah tengkuk mereka menimbulkan rasa gerun, lantas masing-masing bekejar masuk ke dalam rumah menutup rapat bilah pintu kayu itu.

"Baiklah, kami akan bermalam di sini"

Jam 9 Malam

"Cempaka tinggal seorang saja di sini?" soal Wani memulakan perbualan.

"Iya, Cempaka berpindah ke sini selepas ayahanda meninggal dunia." balas Cempaka ingin berkongsi cerita.

"Maksudnya, raja di negeri ini?" soal Talif pula, namun Cempaka hanya tersenyum lalu menundukkan mukanya.

"Kau ni, jangan lah tanya yang bukan-bukan." tegur Fezz apabila mendapati Cempaka kurang selesa dengan soalan yang diajukan Talif.

"Tidak mengapa, suatu hari nanti kamu semua akan tahu..." kata Cempaka lalu mengambil langkah memasuki bilik tidurnya, meninggalkan mereka kekeliruan.

"Apa maksud dia kita akan tahu suatu hari nanti?" soal Hanani keliru.

"Entahlah, dah lah tu... Jom kita masuk tidur." jawab Fezz malas hendak mengambil tahu. Fezz, Talif dan Asyraff cepat saja mengambil langkah memasuki bilik mereka meninggalkan Hanani dan Wani di ruang tamu.

"Ha! Tunggu apa lagi?" soal Hanani kepada Wani yang sedang asyik bermain game di telefon bimbitnya.

"Kejap, aku nak naikkan level 12 ni.. Kau masuk lah dulu." balas Wani sambil mengisyaratkan tangannya supaya Hanani pergi.

"Ada internet ke tu nak main game?" soal Hanani lagi.

"Tak ada line pun, game ni tak guna internet.."

"Hmm, yelah... Aku masuk tidur dulu, kau jangan tidur lewat sangat!" pesan Hanani lalu mengambil langkah memasuki bilik tidur mereka. Namun Wani masih leka bermain game di telefon bimbitnya, akibat di kawasan itu tiada line telefon dan televisyen untuk di tonton membuatkan dia bosan dan hanya mempunyai game ular yang tidak menggunakan internet di dalam telefon bimbitnya.

Tuk! Tuk!

Wani tersentak membuatkan telefon bimbit di dalam genggamannya hampir jatuh ke lantai, kedengaran seperti bunyi ketukkan di dinding kayu entah dari mana datangnya.

"Hehehe"~

"Astarghfirullah halazim!" Wani cepat saja mengucap apabila terdengar seperti suara orang sedang ketawa, matanya meliar mencari-cari dari mana datangnya suara itu. Tiba-tiba matanya terhenti di satu bilik yang terletak berdekatan dengan dapur rumah itu.

Di dalam bilik tersebut kedengaran seperti bunyi kanak-kanak sedang bermain, Wani mengambil langkah untuk mendekati pintu tersebut, dengan perlahan dia menolak pintu kayu yang dicat berwarna hitam dan digantung kain langsir berwarna kuning kekotoran. Dia menjengok sedikit untuk melihat dengan lebih jelas, namun keadaan sekeliling terlalu gelap untuk melihat apa yang ada di dalam, wani meraba-raba dinding bilik itu mencari suis lampu.

Tikk!

Lampu bilik itu pun terbuka, membuatkan bilik yang tadi gelap gelita menjadi terang benderang. Kelihatan katil kelamin yang tidak dipasang cadarnya diletakkan di sudut bilik, juga terdapat almari baju yang sudah usang dan bersawangkan labah-labah. Wani mengambil beberapa langkah perlahan memasuki bilik tersebut, ia menoleh kepalanya 360darjah memerhati di sekeliling.

"Tiada apa pun?" berkata wani di dalam hati.

"Cari apa?" ~

Wani tersentak, kedengaran seperti ada suara wanita yang sedang berbisik di telinganya, dadanya merombak laju, bulu romanya mula naik menegak.

Tiba-tiba suasana di dalam rumah itu menjadi gelap gelita dan hanya diterangi cahaya bulan samar-samar memasuki celah rumah kayu itu. Wani tersentak, dalam keadaan tidak dapat melihat apa-apa di sekelilingnya. Hatinya terasa ada seuatu yang tidak kena. Lantas dia menekan butang tengah telefon bimbit yang di dalam genggamannya, membuatkan skrin telefon itu memancar mengeluarkan cahaya. Perlahan-lahan badannya dipusingkan dan mengambil langkah kecil keluar bilik sambil cahaya telefon bimbitnya disulurkan ke sekeliling mencari jalan.

"Hanani?..."

"Cempaka?..."

Getar suaranya cuba memanggil meminta tolong, namun tidak kedengaran suara siapa pun di ruangan itu. Dia mulai keliru.

"Mana dia orang ni? Takkan tak sedar blackout?.."
Selangkah demi selangkah diambil membawa dirinya ke ruangan hadapan bilik Cempaka.

Tuk! Tuk!

"Cempaka! Cempaka?" jerit Wani sambil tangannya mengetuk-ngetuk bilah pintu bilik Cempaka, namun tiada seorang pun menyaut panggilannya itu.

"Cempaka! Keluarlah.." rayu hatinya terasa sudah tidak tahan berada dalam kegelapan seorang diri, dia dapat merasakan angin di ruangan itu bertiup lembut melalui celah-celah tengkuknya menimbul perasaan takut.

Ting!

Tiba-tiba cuping telinganya menangkap dentingan bonang dimainkan entah dari mana, lantas matanya dipejamkan rapat sambil tangannya memeluk tubuh rampingnya, lalu membiarkan deria pendengarannya mengambil alih.

"Pergi..."

Kedengaran suara seorang wanita sedang berbisik lembut di telinganya, terasa rambutnya seolah-olah dibelai dengan tangan ghaib membuatkan dia tenang.

"Pergilah ke tempat selamat..."

Suara itu kedengaran lagi seperti memberi amaran kepadanya, dengan perlahan kelopak matanya dibuka memerhatikan keadaan sekeliling.

"Astarghfirullah.. Aku kat mana ni?" mengucap Wani apabila mendapati dirinya tidak lagi berada di dalam rumah kayu itu, mata mula meliar untuk mengenalpasti keadaan sekeliling. Kelihatan dirinya sedang berdiri di atas pasir menghadap laut biru diterangi cahaya bulan. Wani menoleh kepalanya ke kiri dan ke kanan mencari-cari kelibat seseorang di kawasan itu, namun tidak kelihatan sesiapa pun yang berada di situ.

Srettt..

Cuping telinga menangkap bunyi geselan daun, dia segera menolehkan pandangannya ke belakang. Kelihatan kawasan belakang hanya dipenuhi dengan pokok-pokok yang lebat, terdapat beberapa pergerakkan daun menandakan ada sesuatu yang sedang bergerak menghampirinya.

"Siapa?!" teriak Wani seorang diri. Dia memerhatikan pergerakkan daun yang semakin menghampirinya. Dia mengambil beberapa langkah ke belakang, tangannya lantas mencapai satu batu sebesar telapak tangannya untuk digunakan sekira belakunya bahaya.

Tiba-tiba matanya terpaku melihat susuk tubuh seorang wanita memakai baju kebaya berwarna kuning, rambutnya dikemaskan di sisi bahu dan mengenakan kain batik diikat di bahagian pinggangnya sedang melangkah keluar dari kawasan hutan.

"Assalamualaikum..." sapa wanita itu memberi salam kepada Wani, membuatkan dia terdiam seketika, fikirannya sudah mulai memikirkan adakah patut dia menjawab salam wanita itu.

"Sudah lama tunggu?" soal wanita itu pula.

"Wa...Waalaikumsalam, kau siapa?" jawab Wani teragak-agak. Wanita itu tidak menjawab soalannya lantas mengukir senyuman dan mengambil beberapa langkah mendekatinya.

"Ber-berhenti!" teriak Wani memberi amaran, dia merasa kurang selesa dengan tindakkan wanita itu. Fikirannya ligat memikirkan bagaimana dia boleh sampai ke tempat itu dan siapa gerangan wanita memakai kebaya kuning itu.

"Siapa kau?!" teriak Wani memaksa wanita itu. Wanita itu berhenti di hadapan Wani sambil menundukkkan mukanya ke bawah.

"Aku adalah...." balas wanita itu namun ayat-ayatnya seolah-olah tidak dapat didengari oleh Wani dan hanya dapat melihat pergerakkan bibirnya yang agak susah hendak dibaca.

"Apa?" soal Wani sekali lagi.

"Ma..." sebutir demi sebutir Wani cuba membaca pergerakkan bibir wanita itu.

"Ma. .Nung. . Lin. .Sing. ." (Manung Linsing)

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience