Chapter 13 - Melepasi sempadan

Horror & Thriller Series 1020

Jam 8 Malam
09 Mei 2014

Cempaka mencari-cari kelibat Permaisuri tersebut, matanya meliar melihat di setiap sudut hutan itu. Namun tiada satu pun pergerakkan yang dapat dikesan, hanya tiupan angin yang makin membeku melalui celah-celah tengkuk mereka. Membuatkan suasana menjadi makin suram, mereka tidak punya pilihan selain berlindung di dalam bulatan tanah itu.

"Kita nak buat apa sekarang ni Cempaka?" soal Fezz sudah tidak dapat memikirkan cara untuk menyelamatkan dirinya dan rakan-rakannya. Cempaka hanya berdiam diri, tidak menjawab soalan yang diajukan Fezz.

"Wei! Macam mana ni. Takkan kita nak duduk sini je? Hari dah makin malam, dalam hutan malam-malam ni. Macam-macam benda pelik yang muncul nanti!" bentak Hanani yang sudah tidak senang duduk, hatinya terasa sudah tidak tahan hendak menghadapi semua ini.

"Sabarlah sikit, aku yakin kita semua akan keluar dengan selamat!" balas Fezz geram.

"Wei! Wei!" jerit Asyraff dari arah belakang membuatkan mereka semua segera berpusing lalu memberi perhatian kepada Asyraff.

"Wani! Wani dah tak ada!" kata Asyraff panik. Mereka tersentak, lantas masing-masing melihat ke kiri dan kanan. Mencari-cari kelibat Wani. Benar, Wani tidak kelihatan di mana-mana. Di dalam bulatan mahupun diluar bulatan, tidak kelihatan.

"Dia kemana?" soal Fezz.

"Manalah aku tahu." balas Asyraff.

"Bukan kau sebelah dia ke tadi? Macam mana kau boleh tak perasan dia pergi mana?!" soal Hanani semakin panik.

"Tadi dia ada dekat sebelah aku, tiba-tiba je dah hilang." jelas Asyraff sambil menggeleng kepalanya cemas.

"Cuba kau orang tengok betul-betul, mana tahu dia ada dekat-dekat sini ke?" kata Fezz sambil matanya meliar mencari kelibat Wani. Mereka semua terdiam seketika masing-masing cuba menajamkan pemadangan mencari kelibat Wani.

"Wani... Wani!" jerit mereka bereempat berharap Wani akan menjawab panggilannya itu. Manakala Cempaka masih tidak mengeluarkan kata-katanya dan terus mendiamkan dirinya. Dia seolah-olah berada di dalam dunianya sendiri.

"Tak ada lah." keluh Hanani sambil tangannya sudah memicit-micit pangkal lehernya.

"Cu-cuba call dia." arah Fezz meminta sesiapa saja cuba menghubungi Wani.

"Kau dah lupa ke? Dalam hutan mana ada line." balas Talif membuatkan Fezz semakin cemas. Memikirkan mereka berada di dalam hutan yang semakin gelap, dipenuhi dengan perkara yang pelik dan bahaya. Membuatkan Fezz semakin buntu, di mana patut mereka mencari Wani.

"Astarghfirullah Halazim..." mengucap Fezz cuba menenangkan diri.

Suasana menjadi semakin panik, tiba-tiba Cempaka bangun dari duduknya. Sambil kelopak matanya ditutup rapat, dia mulai menghentakkan kayu yang berada di dalam genggamannya ke atas tanah.

Dukk! Dukk! Dukk!

Kayu tersebut dihentakkan sebanyak tiga kali. Mereka berempat hanya memerhatikan tingkah laku Cempaka.

"Pergi..." kata Cempaka seorang diri, kelopak matanya masih rapat terpejam seolah-olah sedang membayangkan sesuatu perkara. Mereka hanya berdiam diri sementara melihat tingkah laku Cempaka.

"Cempaka tahu dimana Wani berada." katanya sambil memusingkan badannya menghadap mereka, kelopak matanya lalu dibuka menunjukkan riak mukanya serius.

"Kat mana?" soal Asyraff ringkas. Dia tidak hairan bagaimana Cempak dapat tahu tentang hal itu, sejak dari awal lagi dia dapat meneka bahawa Cempaka bukanlah calang-calang wanita.

"Macam mana Cempaka tahu?" soal Hanani hairan.

"Dia sudah hampir dengan sempadan." balas Cempaka tidak menghiraukan soalan yang diajukan Hanani.

Ting!

Tiba-tiba cuping telinga mereka menangkap bunyi loceng bergema di setiap sudut hutan itu. Fikiran mereka tepat membayangkan susuk tubuh Manung Linsing yang sedang melangkah. Mereka mulai mendiamkan diri sementara mata masing-masing cuba memerhatikan kawasan di sekeliling, namun tidak kelihatan sesiapa berdekatan. Hanya bunyi loceng yang kedengaran entah dari mana datangnya.

"Kita kena cepat, Wani dalam bahaya!" lantas Cempaka memberi isyarat kepada mereka bereempat agar mereka keluar dari bulatan tersebut untuk mencari Wani. Hanani seolah-olah tidak percaya apa yang hendak mereka lakukan, walaupun desis hatinya tidak percaya akan keselamatan mereka terus berlindung di dalam bulatan itu. Namun tetap saja dia berasa lebih selamat daripada perlu mengharungi segala rintangan di dalam hutan tersebut.

"Bi-biar betul?" getar suara Hanani.

"Kita tiada pilihan lain!" tegas Cempaka lalu mengambil selangkah keluar dari bulatan itu. Sementara mereka yang lain perlahan-lahan turut mengambil langkah keluar mengekori Cempaka.

Perjalanan mereka berlima di iringi dengan bunyi loceng yang masih kuat kedengaran. Angin malam bertiup lembut membawa bauan bunga yang harum, namun tetap saja tidak dapat menenang hati mereka yang masih kuat membayangkan susuk tubuh Manung Linsing. Bimbang hati mereka sekiranya Manung Linsing mahupun Permaisuri Bunian muncul di hadapan mereka. Fezz dan Talif yang berjalan di belakang Cempaka cuba sedaya upaya menajamkan penglihatan mereka mencari kelibat Wani, sementara mulut mereka masih terkumat-kamit membaca ayat suci Al-Quran dengan tujuan melindungi diri. Manakala Hanani dan Asyraff pula hanya mendiamkan diri sambil menyuluhkan cahaya lampu suluh yang berada di dalam genggaman.

"Sebentar..."

Cempaka menghentikan langkahnya, sementara mukanya dipalingkan ke kiri dan ke kanan seolah-olah sedang mengenalpasti kawasan sekitar.

"Hati-hati, kita sudah masuk di kawasan sempadan mereka." jelas Cempaka memberi amaran.

"Ka-kawasan siapa?" soal Hanani kekeliruan.

"Bukan ke kita nak cari Wani? Sekarang kita ke mana? Awak nak bawa kita orang ke mana Cempaka? Cempaka jawablah." soalan demi soalan diaju Hanani tidak dapat mengawal dirinya lagi. Kelihatan di kawasan itu terdapat beberapa buah rumah kayu di sekitar itu, kelihatan dinding rumah itu dihiasi dengan pasu-pasu yang ditanam pokok bunga berwarna kuning.

"Tunduk!" jerit Cempaka memberi amaran lalu menundukkan mukanya ke bawah seolah-olah hendak memberi kehormatan. Suasana menjadi sunyi seketika mereka hanya menuruti kata-kata Cempaka.

"Cempaka?" sapa satu suara lelaki memanggil Cempaka kedengaran dari arah hadapan.

"Apa yang membawa dinda kemari?" soal suara itu lagi mulai menghampiri mereka. Kelihatan seorang pemuda tampan memakai baju melayu berwarna kuning, di bahagian pinggangnya diikat dengan samping keemas-emasan bersama keris kecil terselit di sisi samping itu. Rambutnya disikat rampi dan dikemaskan dengan mahkota emas di atas kepalanya. Di bahagian belakangnya pula diikuti dengan enam orang pemuda lelaki yang memakai baju melayu berwarna putih sedang beratur sambil kepala mereka menunduk memberi kehormatan.

"Dinda kemari mencari seorang teman, apakah kekanda melihat seorang wanita di kawasan sekitar?" jawab Cempaka mengangkat mukanya sambil mengukir senyuman.

"Apakah dia seorang puteri?"

"Dia hanya seorang wanita biasa." jawab Cempaka ringkas.

"Keluarga putih, merah atau kuning?" soal lelaki itu lagi.

"Dia hanya wanita biasa." Cempaka mengulangi ayatnya cuba menampilkan riak mukanya tenang, namun fikirannya seolah-olah dapat dibaca oleh lelaki itu.

"Seorang manusia?" soal lelaki itu cuba merendahkan suaranya, namun suara tetap saja dapat didengari oleh para pengikutnya yang sedang berdiri di belakangnya.

"Tidak! Ini dilarang! Dilarang sama sekali!" tiba-tiba salah seorang daripada pengikutnya itu menjerit-jerit seolah-olah ketakutan, membuatkan semua pengikutnya yang lain tidak lagi menundukkan kepala mereka. Selangkah demi selangkah diambil mereka cuba menjauhkan diri, lantas berkejaran memasuki salah sebuah rumah kayu yang berhampiran. Fezz dan yang lain masih menunduk sedaya upaya cuba untuk tidak bersuara.

"Ampunkan dinda!" kata Cempaka kepada lelaki itu segera kepalanya ditundukkan ke bawah, terdapat beberapa titisan air matanya yang jatuh ke atas tanah.

"Apa yang dinda telah lakukan? Bagaimana kalau Permaisuri Kasturi ta-"

"Dia sudah tahu..." balas Cempaka seolah-olah sudah tahu soalan yang hendak diajukan oleh lelaki itu.

"Cempaka! Apakah engkau sudah lupa apa yang terjadi kepada adinda kita?" tegas lelaki itu.

"Tetapi sekarang tidak sama seperti dulu, dinda cuma mahu membantu mereka. Bukan menikahi mereka!"

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience