Chapter 9 - Manung Linsing

Horror & Thriller Series 1020

Jam 3 Pagi
07 Mei 2014

Bunyi muzik gamelan masih jelas didengari, namun Fezz tidak memperdulikannya terus memandu menempuhi kegelapan malam. Perjalanan mereka seolah-olah tiada penghujungnya, Jam menunjukkan sudah melepasi pukul 3 pagi, sepatutnya mereka sudah sampai ke destinasi. Namun seperti ada sesuatu yang menghalang, mereka seolah-olah terperangkap di jalan raya yang panjang tiada penghujungnya.

Srettt!

Kedengaran bunyi kain bergesel. Pemandangan yang pada mulanya jelas diterangi cahaya bulan, tidak semena-mena menjadi gelap. Fezz langkas menarik "handbreak" memberhentikan kereta itu, kelihatan cermin hadapan kereta itu sudah mulai ditutupi dengan kain putih yang lebar entah dari mana datangnya. Dadanya berombak laju, fikirannya sudah memikirkan yang bukan-bukan.

"Apa..." sapa Wani dari belakang yang sedang berpelukkan dengan Hanani ketakutan, namun tidak dapat menyambung kata-katanya apabila Fezz meletakkan jari telunjuknya di bibir, memberi isyarat supaya mereka semua berdiam diri dahulu.

"Shhh. Apa pun yang kau orang nampak, jangan tegur. Kalau tak boleh tahan, pejam mata rapat-rapat." pesan Fezz kepada rakan-rakannya, Wani dan Hanani sudah dapat meneka apa yang bakal terjadi, langkas memejamkan mata mereka, terasa tidak sanggup membayangkan apa yang bakal menimpa mereka. Fezz dan Talif hanya berdiam diri memerhatikan kain putih yang berada di hadapan cermin, manakala Asyraff masih terbaring tidak sedarkan diri.

Srett...

Perlahan-lahan kain itu seolah-olah ditarik oleh tangan ghaib, meluaskan pemandangan di hadapan kereta.

"Aaa!" Wani terjerit kecil, matanya yang pada mula cuba mengintai lantas dipejamkan semula. Tangannya menggigil-gigil memeluk Hanani dek ketakutan.

"Astarghfirullah halazim..." mengucap Fezz apabila mendapati susuk tubuh seorang wanita sedang berdiri tegak di atas jalan raya tidak jauh dari keretanya. Kelihatan wanita itu memakai gaun putih yang labuh berwarna putih kekotoran, di bahagian kepalanya terdapat kain putih labuh menutupi wajahnya.

Ting! Ting!

Bunyi loceng sayup-sayup kedengaran apabila wanita itu mengambil langkah perlahan mendekati mereka, menimbulkan perasaan gerun.

Srettt!

Kedengaran bunyi kain diseret diiringi dengan muzik gamelan yang semakin lantang berdenting, Talif dan Fezz hanya memerhati sambil mulut mereka terkumat-kamit membaca ayat suci Al-Quran, mereka bersedia dengan apa saja yang bakal menimpa, namun perasaan takut tetap saja kuat menguasai.

Tingg! Tingg!

Kelihatan kelibat wanita itu semakin dekat menghampiri, tidak semena-mena kawasan itu didatangi angin kuat menepis-nepis kain putih yang berada kepala wanita itu, membuatkan ia hampir terbuka menampakkan wajah sebenarnya.

"Tutup mata rapat-rapat!" jerit Fezz memberi amaran kepada Talif dan rakannya yang lain, gerak hatinya kuat menyuruhnya menutup mata, bimbang sekiranya wajah wanita itu akan menyebabkan trauma kepada dirinya mahupun rakan-rakannya.

"Jangan ganggu mereka!"~

Cuping telinga mereka menangkap suara seorang wanita menjerit, suaranya tidaklah menyeramkan seperti yang dijangkakan, malah suaranya agak merdu dan lembut. Dek kerana perasaan hendak tahu kuat menguasai, dengan perlahan-lahan Fezz membuka kelopak matanya. Matanya meliar mencari-cari kelibat wanita memakai gaun putih itu tidak lagi kelihatan, tiba-tiba pandangannya terhenti melihat susuk tubuh wanita yang cantik memakai kebaya berwarna kuning, mengenakan gelang dan tiara emas mirip seorang puteri, wanita itu sedang memegang sebatang kayu memandang tepat ke arah mereka.

________________________________________________
Jam 9 Pagi
08 Mei 2014

Dengan perlahan kelopak matanya dibuka melihat dirinya sedang terbaring di atas katil usang, kepalanya terasa sakit bukan kepalang. Namun tetap saja menggagah dirinya untuk bangun, dia membetul duduknya di atas katil, kepalanya menoleh melihat keadaan sekeliling, kelihatan dia berada di dalam sebuah bilik kecil yang hanya memiliki katil di sudut bilik dan almari baju di tepi pintu. Kelihatan dinding bilik itu dicat dengan warna kuning, namun tetap saja dapat mengenalpasti dinding itu diperbuat dari kayu.

"Aku kat mana ni?" soalnya seorang diri, hatinya mulai bimbang apabila tidak melihat kelibat seorang pun rakannya di dalam bilik itu, dia mengambil beberapa langkah ke arah pintu lalu dengan perlahan menolak bilah pintu kayu itu, tangannya lantas menyelak langsir yang tergantung di hadapan pintu, menghalang pemandangan diluar bilik itu. Matanya mulai meliar memerhati sekeliling rumah kayu itu, rumah yang agak usang hanya dipenuhi dengan sawang labah-labah di sudut dinding. Kelihatan beberapa buah pintu tersusun di bahagian kanan rumah itu, manakala dia sedang berdiri di pintu bilik paling hujung. Selangkah demi selangkah diambil membawa dirinya masuk ke ruang dapur, kelihatan beberapa orang pemuda sedang menjamu selera di meja makan yang terletak di tengah dapur.

"Asyraff, bangun pun kau..." sapa satu suara yang sangat dikenalinya sedang memanggil namanya, kepalanya menoleh melihat salah seorang pemuda yang sedang duduk di hujung meja.

"Weyh, Fezz.." Asyraff menarik nafas lega apabila mendapati pemuda itu semua adalah rakan-rakannya sendiri. Dia mengambil langkah mendekati mereka lalu melabuhkan punggungnya duduk di sebelah Fezz, fikirannya ligat memikirkan apa yang telah terjadi kepada mereka. Namun belum sempat dia mengajukan soalan, matanya terpaku melihat susuk tubuh seorang wanita ramping memakai baju kebaya berwarna kuning, rambut diikat sanggul disarungkan dengan tiara emas, di pergelangan tangannya pula dipenuhi dengan gelang emas mirip seorang puteri sedang duduk di sebelah Wani.

"Siapa dia?" soalnya kepada Fezz, namun matanya masih tidak berganjak memerhatikan wanita itu, seolah-olah hatinya sudah terpikat melihat kecantikkan yang jarang dapat ditemui. Fikirannya tidak dapat membayangkan wanita yang lebih cantik daripada itu, seolah-olah tiada wanita yang dapat menandingi kecantikkan wanita itu.

"Cempaka, dia yang selamatkan kita malam tadi..." kata-kata Fezz membuatkan Asyraff tersedar dari lamunannya, kepalanya ditoleh melihat Fezz yang sudah menunduk tidak dapat menyambungkan kata-katanya.

"Selamatkan kita dari apa?"

________________________________________________
Jam 3 Petang

Asyraff melabuhkan duduknya di bangku kerusi, matanya meliar memerhatikan saja tingkah laku rakan-rakannya yang sedang kehulu-kehilir mencari "Line" telefon.

"Kau orang ni dah gila ye? Mana ada line dalam hutan!" ejek Asyraff sambil menggelengkan kepalanya, geli hatinya melihat perangai rakan-rakannya mirip budak kecil, sudah tahu di dalam hutan tetap saja hendak mencari lagi.

"Kita orang cuba je, mana tahu ada rezeki?" balas Hanani bersahaja lalu melabuhkan duduknya di sebelah Asyraff, telefon yang berada di telapak tangannya diletakkan di atas meja, matanya mulai melirik ke arah Asyraff.

"Betul ke kau tak ingat apa jadi malam tu?" soal Hanani kepada Asyraff.

"Asal kau ni tiba-tiba je?" soal Asyraff keliru melihat Hanani yang seolah-olah hendak menuduhnya yang bukan-bukan.

"Atau kau saja buat-buat lupa?" soal Hanani lagi.

"Motif?" soalan dibalas soalan, membuatkan Wani, Fezz dan Talif turut keliru dengan apa yang dibualkan mereka.

"Kau orang ni kenapa? Tiba-tiba nak bertekak pula dekat sini." tegas Fezz.

"Tak adalah, aku tanya je." balas Hanani.

"Sebenarnya apa dah jadi? Aku tanya kau orang tak nak jawab, lepastu nak tuduh aku yang bukan-bukan pula." soal Asyraff geram rasanya apabila rakan-rakannya seperti menyimpan sesuatu daripadanya.

"Betul kau nak tahu?" soal Fezz lagi lalu memberi isyarat tangan supaya Wani dan Talif duduk. Mereka melabuhkan duduk mereka di bangku kerusi. Hanani, Fezz, Wani dan Talif membuat satu bulatan di hadapan Asyraff lalu melirikkan mata sesama sendiri seolah-olah sedang menggunakan bahasa isyarat sebelum memandang tepat ke arah Asyraff.

"Apa? Apa?" soal Asyraff, tingkah laku mereka membuatkannya keliru. Terasa dirinya seolah-olah telah membuat kesalahan yang besar, yang tidak dapat dimaafkan.

"Semalam... Kau suruh kita orang balik kalau nak selamat." kata Fezz memulakan ceritanya.

"Lepastu benda tu jadi..." sambung Hanani.

"Mana ada, bila? Benda apa?" soal Asyraff bertambah keliru.

"Semalam waktu aku tengah drive. Tiba-tiba je aku dengan Talif dengar bunyi muzik...Macam muzik yang dimainkan sewaktu persembahan Kuda Kepang, lepastu datang bunyi muzik gamelan pula. Waktu tu kau macam meracau. Kau suruh kita orang balik kalau nak selamat, tapi sebab dah jauh aku teruskan juga. Lepastu..." Fezz mula menunduk tidak dapat meneruskan ayatnya.

"Lepastu sepanjang perjalanan kau tak sedarkan diri, kita orang terkena gangguan macam-macam..." sambung Wani.

"Seolah-olah kau tahu benda tu nak ganggu kita orang..." sambung Hanani pula.

"Tapi aku tak ingat apa-apa pun yang kau orang cakap. Yang aku ingat aku tidur dalam kereta, sedar-sedar dah ada dekat sini..." jelas Asyraff membuatkan mereka semua terdiam.

"Cempaka pula?" soal Asyraff kali ni hendak mengetahui tentang Cempaka.

"Dia yang selamatkan kita orang dari perempuan tu, kalau tak... Tak tahulah apa akan jadi." balas Talif.

"Perempuan ap.."

"Manung Linsing..." sapa satu suara dari belakang membuat Asyraff tidak dapat menyambung kata-katanya. Mereka segera menoleh, kelihatan Cempaka sedang berdiri di belakang Asyraff sambil memegang sebatang kayu yang sama dengan ketinggiannya.

"Siapa Manung Linsing?" soal Talif.

"Dia memakai gaun berwarna putih, kain putih menutupi kepalanya dan mempunyai loceng di kakinya, bukan?" soal Cempaka, mereka hanya mengangguk tanda benar.

"Dia adalah Puteri yang disumpah oleh Permaisuri atas kesalahannya yang tidak dapat dimaafkan." balas Cempaka membuatkan mereka berlima terpinga-pinga, terasa susah hendak menelan bulat-bulat katanya.

"Puteri dari kerajaan mana?" soal Talif lagi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience