Chapter 11 - Kehilangan Wani

Horror & Thriller Series 1020

Jam 4 Petang
15 Mei 2014

Puan Murni berjalan-jalan ke kiri dan ke kanan berulang kali, hatinya terasa bimbang sangat. Berbagai perkara yang bermain di dalam fikiran, naluri seorang ibu kuat mengatakan anak daranya sedang berada dalam bahaya.

"Murni, awak bawalah bertenang sikit." Encik Hafis cuba menasihatkan isteri itu, dalam keadaan Puan Murni begitu membuatkan fikirannya semakin kusut.

"Awak cakap senang lah, bukan awak yang melahirkan dia. Dia satu-satunya anak yang saya ada tahu tak? Memanglah saya risau!" bentak Puan Murni seperti orang kurang siuman jadinya.

"Anak kita! Saya pun risau juga, tapi kan lebih baik kalau kita berdoa. Daripada awak ke hulur ke hilir tak tentu arah macam ni.. Haih!" keluh Encik Hafis sudah tidak tahan rasanya dengan tingkah laku Puan Murni, walaupun dia tidak menunjukkan kerisauannya. Namun tetap saja dia tidak dapat melelapkan mata memikirkan tentang anaknya itu, kalau ikutkan hatinya, hendak saja dia pergi mencari anak itu. Tetapi di mana perlu dia mencari, memikirkan kawasan Malaysia yang agak luas membuatkan dia tidak punya pilihan selain menunggu jawapan dari pihak polis.

"Macam mana ni, sudah dekat lapan hari dia tak balik. Call tak berangkat, mesej pun tak berjawab. Dia pergi mana ni?" soal Puan Murni lalu melabuhkan punggungnya duduk di sebelah Encik Hafis.

"Saya rasa mesti ada kena mengena dengan..." kata Encik Hafis cuba meneka, namun dibiarkan saja ayatnya tidak bersambung.

"Maksud abang?" soal Puan Murni, Encik Hafis tidak menjawab soalannya dan hanya mendiam diri beberapa saat.

"Awak dah mainkan bonang itu?" soal Encik Hafis pula sambil menoleh kepalanya memandang tepat ke arah Puan Murni.

"Saya sudah mainkan tiga hari berturut-turut." jawab Puan Murni merendahkan suaranya.

"Jadi bagaimana?" soal Encik Hafis lagi.

"Tiada jawapan..." jawab Puan Murni sambil menundukkan kepalanya.

________________________________________________
Jam 11 Malam

Puan Murni memicit-micit pangkal lehernya sambil matanya tak lepas menatap skrin telefon bimbitnya, menunggu panggilan telefon dari anak daranya itu. Hatinya terasa bimbang sekali, manakan tidak. Seumur hidupnya tidak pernah terjadi perkara yang tidak baik terhadap anaknya itu. Walaupun Wani dibenarkan bercuti jauh bersama rakan-rakannya, dia tetap saja akan berusaha melindungi Wani dengan caranya tersendiri.

"Dah, cukuplah tu. Awak tidur dulu." tegur Encik Hafis yang menyedari kebimbangan Puan Murni yang makin menjadi-jadi. Dia faham keadaan isterinya itu, sebagai seorang ibu tentu saja dia risau akan anaknya itu. Namun Encik Hafis tetap yakin bahawa semangat gamelan dari bonang pusaka nenek moyang mereka itu mampu melindungi Wani dari apa pun keadaan.

"Abang, teman saya minum dekat bawah dulu boleh?" soal Puan Murni mengeluarkan suara seraknya, matanya terasa membengkak akibat menangis terlalu lama.

"Baiklah, tapi sekejap jelah. Esok saya ada kerja." jawab Encik Hafis lembut, tidak mahu memberi tekanan kepada isterinya itu. Dia berfikir mungkin dengan cara itu boleh mengurangkan kebimbangannya terhadap Wani. Mereka berdua pun melangkah keluar menuju ke arah dapur, Puan Murni sudah melabuhkan duduknya di atas kerusi meja makan. Manakala Encik Hafis terus menuju ke dapur hendak membancuh teh untuk mereka berdua.

"Nah, lepas minum kita naik tidur ye?" pesan Encik Hafis sambil menghulurkan secawan Teh susu kepada isterinya. Perlahan-lahan Puan Murni mencapai cawan itu lalu diletakkan di atas meja, tangannya memegang hujung sudu teh lalu digaul-gaulkan air Teh yang berada di dalam cawan itu. Fikirannya mulai terbayang sesuatu yang buruk terjadi kepada Wani, setitis air matanya mulai mengalir di pipi dibiarkan tidak berlap.

"Lah, tadi kata nak minum?" soal Encik Hafis.

"Saya tak dapat bayangkan kalau kita tak dapat berjumpa dengan Wani lagi, macam mana?" soal Puan Murni membuat andaian.

"Astarghfirullah halazim... Siapa suruh awak fikir bukan-bukan ni? Saya bawa awak turun ni untuk tenangkan fikiran, bukan nak tengok awak menangis macam ni..." kata Encik Hafis cuba memujuk isterinya.

"Yelah, tapi abang..."

Ting!! Ting!!!

Belum sempat Puan Murni hendak menyambung kata-katanya, ruangan itu didatangi bunyi detingan bonang yang lantang berbunyi membuatkan dia dan suaminya terdiam tidak terkata. Lantas dia mengalehkan sebelah tangannya memegang bahu suaminya.

"Abang..."

"Shh, diam dulu." pesan Encik Hafis, mereka berdua hanya mendiamkan diri beberapa minit sambil memerhatikan saja keadaan di sekeliling rumah itu. Encik Hafis sudah dapat meneka apa yang bakal terjadi sekiranya bonang pusaka keluarga itu berdenting dengan sendirinya. Dengan perlahan dia menarik pergelangan tangan isterinya lalu mengambil langkah menaiki ke tingkat atas rumah itu.

"Abang... Kita nak kemana?" bisik Puan Murni mulai keliru.

"Saya nak tengok, amaran yang dihantar kepada kita ataupun Wani!" tegas Encik Hafis, langkah mereka berdua terhenti di hadapan pintu bilik tidur Wani. Lantas dia mengalihkan tangannya memegang tombol pintu itu, dengan perlahan bilah pintu itu dibuka luas. Tangannya mulai meraba-raba dinding bilik itu.

Tikk!

Lampu bilik pun terbuka, membuatkan bilik yang tadinya gelap menjadi terang benderang. Selangkah demi selangkah diambil Encik Hafis memasuki ruangan bilik itu, manakala Puan Murni hanya memerhati dari pintu bilik.

"Assalamualaikum..." Encik Hafis memberi salam entah kepada siapa sambil memusingkan badannya memerhati di setiap sudut bilik itu. Matanya meliar mencari-cari sekiranya ada kelibat seseorang di dalam bilik itu selain dirinya dan Puan Murni.

Tsikk!

Kedengaran bunyi pewangi di sudut bilik itu menyemburkan wangian lemon kuat menguasai setiap sudut ruangan itu, Encik Hafis lalu mengambil langkah mendekati Puan Murni. Tangan Puan Murni diacapai lalu diusap lembut dengan niat hendak menenang hati isterinya itu.

"Bahaya akan menimpa pada siapa abang?..." getar suara Puan Murni seolah-olah sudah dapat meneka apa yang sedang berlaku.

"Maafkan saya, nampaknya bukan pada kita..."

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience