Chapter 7 - Bonang pusaka

Horror & Thriller Series 1020

Jam 12 Malam
12 September 1947

Osman terjenguk-jenguk di bawah katilnya, tangannya meraba-raba mencari sesuatu. Hatinya rasa teringin sekali melihat semula harta peninggalan ibunya itu, tiba-tiba tangan tersentuh sesuatu seperti dibalut dengan kain, segera di menarik keluar bungkusan itu. Sehelai demi sehelai ikatan dileraikan, kelihatan dua belas biji bonang tersusun kemas di atas kayu berbentuk petak empat segi.

"Masih cantik.." Osman tersenyum, hatinya terasa rindu sekali dengan arwah ibunya. Sejak kecil lagi, ibunya akan memainkan bonang itu setiap malam jumaat. Denting-denting bonang menimbulkan rasa tenang di kawasan itu, membuatkan Osman tertarik hendak mempelajari cara memainkannya.

Namun malangnya sampai sekarang dia tidak punya kesempatan untuk mempelajari cara memainkannya, pada usianya dua belas tahun lagi kedua ibu bapanya meninggal dunia akibat lemas dilautan.

Ibunya sempat berpesan kepadanya untuk memainkan bonang tersebut sekiranya berlaku sesuatu yang tidak baik, walaupun dia tidak berapa faham apa yang dipesan ibunya.

Hatinya kuat berkata bahawa khabar angin yang mengatakan bonang tersebut ada kuasanya tersendiri itu adalah benar, namun tidak diendahkannya, bimbang hatinya tidak mahu mempercayai sesuatu selain dari tuhan. Baginya bonang itu tidak lebih dari sebuah alat musik yang mampu menenangkan jiwanya.

"Patutkah aku cuba memainkannya?"

________________________________________________
23 Julai 1953
Jam 3 Petang

6 Tahun berlalu~

Mereka berlari-lari di halaman rumah itu, membuatkan hati Osman tenang melihat kedua anaknya sihat membesar.

"Sari tunggu aku!" jerit Ahmad tergesa-gesa mengejar sari dari belakang, cuba mengambil kembali seliparnya yang dibawa lari Sari.

"Cubalah kejar aku!" jerit Sari sambil ketawa berdekah-dekah. Terasa puas hatinya dapat membalas semula perbuatan Ahmad yang menyembunyikan patung kesayangannya tempoh hari.

"Ini airnya abang..." Humairah menghulurkan secawan air Teh panas kepada Osman lalu melabuh punggungnya duduk di sebelah suaminya itu.

"Terima kasih" balas Osman sambil menyukir senyuman. Memandangkan Osman sudah bertukar pekerjaan pada shift pagi, selepas balik kerja jam 3 petang, mereka kebiasaannya akan menghabiskan waktu petang mereka dengan jamuan Teh di halaman rumah kayu itu, sambil-sambil menemani Ahmad dan Sari bermain di luar.

"Sari, Ahmad! Mari minum air Teh sejuk, ibu sudah siapkan." mendengar Humairah memanggil nama mereka, tergesa-gesa mereka berlari ke arah ibunya itu.

"Ibu... Sari mahu biskut coklat, ibu buatkan untuk Sari ya?" kata Sari membuat-buat suara manjanya.

"Ahmad juga mahu!"

"Iya ibu akan buatkan esok ya?" kata Humairah cuba memujuk si kembar itu.

"Tidak mahu, Sari mahu hari ini juga!"

"Ahmad juga!"

Namun Sari dan Ahmad tetap saja tidak mahu mendengar kata ibunya, hati mereka memberontak mahu ibunya membuatkan biskut itu hari ini juga.

" Sari! Ahmad! Ibu kan sudah kata akan membuatkannya esok, tunggu saja sehingga esok." tegas Osman membuatkan Sari dan Ahmad diam tidak terkata. Walaupun Osman selalu berlembut dengan mereka, tetap saja dia bertegas sekiranya mereka membuat salah.

"Tidak mengapa, ibu akan membuatkan ia malam ini ya?" pujuk Humairah bersimpati dengan si kembar itu.

________________________________________________
Jam 9 Malam

Humairah meletakkan piring berisi biskut coklat itu diatas meja, disusun kemas bersama air milo kesukaan si kembar itu. Dia mengambil beberapa langkah menuju ke bilik hadapan untuk menjemput si kembar makan, namun langkahnya terhenti apabila cuping telinganya menangkap bunyi muzik gamelan dimainkan. Dia menoleh lalu menajamkan pendengarannya untuk memastikan dari mana datangnya bunyi itu.

"Abang?" soal Humairah di dalam hatinya apabila mendapati bunyi itu datang dari bilik tidurnya, dia berfikir mungkin Osman yang berada di dalam bilik sedang memainkan bonang pusaka keluarganya itu. Dia mengambil beberapa langkah mendekati bilik itu, langsir berwarna biru yang tergantung di pintu bilik itu diselaknya. Kelihatan Osman sedang duduk bersila di atas lantai memandang tajam ke arah bonang yang berada di hadapannya.

"Abang kenapa?" soal Humairah hairan melihat kelakuan suaminya itu.

"Bonang itu berbunyi dengan sendiri." kata Osman lalu menoleh memandangnya, membuatkan Humairah terdiam.

"Mari duduk di hadapanku." kata Osman sambil mengisyaratkan tangannya. Tanpa berlengah Humairah terus menarik langsir rapat lalu mengambil langkah duduk di hadapan Osman.

"Sudah tiba masanya untuk aku memberitahu engkau perkara yang sebenarnya... Engkau pernah mendengar cerita tentang kuasa muzik gamelan?" soal Osman, namun Humairah hanya menggeleng kepalanya.

"Seperti yang engkau tahu, ibuku adalah seorang penari gamelan yang terkenal sejak aku dilahirkan lagi. Bonang yang digunakan juga merupakan bonang pusaka yang diturunkan dari zaman moyangku lagi, kerna itu juga aku menjaga bonang ini walaupun tidak dimainkan."

"Jadi kenapa dengan bonang ini? Sudah rosakkah?" soal Humairah lagi.

"Ibuku pernah berpesan, sekiranya berlaku sesuatu yang tidak baik, haruslah segera mainkan bonang ini."

"Kenapa?"

"Bonang ini punya kuasa yang dikenali sebagai perlindung, pemilik bonang dan keluarganya akan di lindungi dari apa saja bahaya. Namun, bonang ini ada tujuan lainnya juga...."

"Tujuan apa abang?..." soalnya, namun Osman hanya berdiam diri beberapa saat sebelum menjawab soalan Humairah.

"Ia akan memberi amaran sekiranya kecelakaan sudah hampir dengan pemilik bonang!" kata-kata Osman membuatkan Humairah terdiam, susah rasanya hendak menerima, namun mustahil untuk menepis kata-kata suaminya itu.

"Maksud abang, ia berbunyi kerana ada sesuatu yang tidak baik akan berlaku kepada kita?" namun belum sempat pertanyaan Humairah dijawab, bonang yang berada di hadapan mereka tiba-tiba terapung-rapung di udara dan memainkan muzik gamelan seolah-olah ada tangan ghaib yang sedang memainkannya. Denting-denting paluan bonang yang pada mulanya perlahan menjadi semakin lantang dimainkan, membuat keadaan sekeliling dikuasai oleh hanya muzik gamelan itu. Muzik gamelan yang asalnya menjadi kesukaan Osman seolah-olah tidak dapat lagi diingati, hanya dapat mendengar bunyi paluan bonang yang tidak semerdu sewaktu dimainkan oleh ibunya. Suasana yang tenang menjadi kelam didatangi angin kuat yang masuk melalui celah-celah rumah kayu itu, namun Humairah dan Osman yang berada disitu hanya dapat menyaksikan kejadian itu.

"Lepaskan!"~

Bunyi jeritan Sari menangkap cuping telinga mereka, membuat mereka tidak punya pilihan lain lalu terus berlari menuju ke arah bilik si kembar itu.

"Ibu! Tolong Sari, sakit ibu." kelihatan Sari menjerit kesakitan, sebelah tangannya digenggam kuat oleh Ahmad yang sedang berdiri kaku memandang mereka, matanya menjadi merah seolah-olah tidak menjadi dirinya lagi.

"Ahmad, lepaskan tangannya Sari..." Humairah cuba memujuk, namun tetap saja Ahmad tidak bergerak mahupun melepaskan tangan Sari. Dia terus berdiri kaku memandang kedua ibu bapanya. Tidak semena-mena paluan bonang yang pada awalnya lantang sudah beransur hilang, angin yang kuat menjadi tenang, kelihatan susuk tubuh seorang wanita datang menghampiri si kembar dari belakang.

"Wanita itu! Diakah kuasa bonang yang abang katakan?" soal Humairah apabila melihat susuk tubuh wanita yang sama pernah didatanginya enam tahun yang lalu, badan seperti batang kayu ditutupi dengan kain putih kekotoran, rambut yang panjang menjalar seperti akar pokok dan mempunyai muka yang hodoh mirip seorang nenek tua.

"Tidak mungkin, kuasa bonang itu tidak akan menunjukkan dirinya." balas Osman ringkas sudah dapat difahami oleh Humairah, ternyata kata-kata dan perjanjian yang pernah dibuat wanita itu hanyalah satu penipuan, tipu helah yang cilik dibuatnya dengan niat mahu menghancurkan keluarga itu.

"Datangku dari hujung timur, membawa perlindungan ke hujung barat. Datangku tidak diundang, menjaga manusia pendamping syaitan!"

Terkumat kamit wanita itu membaca berulang kali, diikuti oleh Ahmad yang masih kaku berdiri sambil mengulang semula kata-kata wanita itu. Osman yang menjadi saksi kejadian itu menjadi gelisah, sebagai ketua keluarga dia harus melakukan sesuatu. Otaknya ligat memikirkan apa yang harus dilakukan, tiba-tiba fikirannya memberi ingatan terhadap sesuatu yang pernah diucapkan oleh ibunya. Tanpa ada pilihan lain dia terus mengambil beberapa langkah ke hadapan, kedua tangannya digenggam, matanya ditutup rapat membiarkan deria pendengarannya mengambil alih.

"Di malam hari bonang di palu, menandakan kasih kepada bondaku. Paluan pertama menghantar bauan bunga, paluan kedua menghantar angin lembut membelai jiwa, paluan ketiga mengikut rentak tarianku. Dari segala kecelekaan, pemilik bonang akan di lindungi."

Tidak semena-mena suasana didatangi bau bunga-bunga harum menguasai setiap sudut bilik itu, angin bertiup lembut melalui celah-celah tengkuk menimbulkan perasaan tenang. Sari yang pada awalnya ketakutan menjadi tenang sambil melentikkan sebelah tangannya ke udara, kelakuannya tidak ubah seperti tarian gamelan yang pernah menjadi rutin harian ibu Osman. Tiba-tiba Sari menoleh kepalanya tajam memandang Ahmad yang masih menggenggam sebelah tangannya, tangannya dilentikkan ke kiri dan ke kanan berulang kali lalu menepis kepala Ahmad membuatkannya jatuh terpelosok tidak sedarkan diri, kelibat wanita hodoh itu tidak semena-mena hilang dibawa angin tidak lagi kelihatan.

"Sari! Sari!" jerit Osman menyedarkan Sari yang sudah tidak menjadi dirinya lagi.

"Apa sudah jadi?" soal Sari keliru dapat merasakan tubuh badannya lemah seperti baru lepas membuat kerja berat. Namun Humairah dan Osman hanya mendiamkan diri tidak menjawab soalannya, terus saja mengangkat Ahmad lalu dibaringkan di atas katilnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience