Chapter 5 - Pertembungan dua kaum

Horror & Thriller Series 1020

Jam 6 Petang
07 Mei 2014

Pinnn!!!

Fezz menekan kuat hon keretanya itu, kalau ikutkan hatinya hendak saja dia merempuh kereta Kancil hitam yang berada di depannya itu. Tetapi memandangkan dia bersama tiga orang rakannya di dalam kereta tersebut, tidak mahulah dia menimbulkan masalah ataupun membahayakan nyawa mereka.

"Sabarlah Fezz" kata Wani yang duduk di sebelah tempat duduk pemandu, memakai T-shirt berwarna merah jambu dan mengenakan tudung bawal berwarna hitam. Terlihat ayu saja membuatkan hati Fezz mencair seperti ais krim. Perjalanan mereka dari Kuala Lumpur ke Kota Baru itu diikuti dua orang lagi rakan mereka iaitu Talif dan Hanani yang duduk di bahagian belakang kereta Honda Merah kepunyaannya itu. Namun disebabkan hendak menjemput rakan Fezz iaitu Asyraff yang berada di kampungnya, terpaksalah mereka menyempang ke Kuala Kangsar terlebih dahulu sebelum meneruskan perjalanan mereka ke Kota Baru, dimana mereka akan menetap di Hotel sementara menunggu masa untuk Perjumpaan tersebut pada keesokkan paginya.

"Kita dah sampai mana?" soal Wani kepada Fezz sambil menjengok-jengok keluar tingkap kereta itu, maklumlah Wani bukanlah seorang yang mahir tentang siluk-biluk jalan di malaysia ini, kawasan di rumahnya saja sering kali tersesat, apatah lagi berjalan jauh, selalunya Hanani saja yang menjadi pemandunya apabila Wani hendak kemana-mana.

"Dah nak sampai Kuala Kangsar dah, lepas je ambil kawan saya tu. Kita ikut jalan Gerik pergi ke Kota Baru okay?"

"Oh, okay" jawab Wani lalu menolehkan kepalanya ke tempat duduk belakang, kelihatan Talif yang duduk di bahagian belakang kerusi pemandu itu sedang nyenyak tidur dibuai mimpi, manakala Hanani pula menyumbatkan "Ear Phone" di kedua cuping telinganya sambil menatap skrin di telefon bimbitnya itu.

________________________________________________
Jam 8:30 Malam
Kuala Kangsar

Kereta Honda merah milik Fezz itu pun berhenti di depan sebuah rumah kayu satu tingkat yang dicat dengan warna merun. Kelihatan susuk tubuh seorang lelaki memakai T-shirt hitam dan mengenakan seluar jin kelabu, sedang duduk membetulkan kasutnya di salah satu anak tangga rumah itu.

"Woi! Cepat lah!" Fezz menurunkan tingkap cermin keretanya lalu menjerit keluar tingkap, menyuruh kawannya Asyraff agar cepat bersiap.

"Ye ye, kejap!" balas Asyraff tergesa-gesa dia mencapai beg sandang di sebelahnya itu berlari-lari memasuki ke dalam kereta milik Fezz lalu mengambil tempat duduk di sebelah Talif. Talif yang baru tersedar dari mimpi terpinga-pinga melihat Asyraff yang memberi isyarat tangan menyuruhnya beranjak untuk duduk di bahagian tengah.

Kereta itu dijalankan mengambil pusingan di hadapan rumah itu lalu bergerak keluar dari situ, perjalanan mereka itu yang mungkin memakan masa dua jam, maka mereka mengambil keputusan untuk berhenti makan terlebih dahulu sebelum memulakan perjalanan tersebut.

Sampai saja di RNR masing-masing keluar dari kereta itu lalu membuat barisan di hadapan satu kedai makan untuk mengambil makanan, manakala Hanani pula pergi mencari tempat duduk yang kosong untuk mereka semua. Hanani melabuhkan duduknya di atas kerusi kayu panjang yang boleh memuatkan untuk 5 orang, kedudukan meja itu berada di hujung berdekatan dengan tempat letak kereta. Dia mendiamkan dirinya, merenung tajam ke arah langit biru gelap yang hanya diterangi dengan bintang-bintang penuh menghiasi keindahan malam itu.

"Haihh!" hatinya mengeluh panjang bila memikirkan apa yang hendak dibuat selama tiga hari perjalanan mereka, ikutkan hati boleh saja dia menolak ajakan Wani untuk ikut bersama. Namun apabila memikirkan hanya Wani seorang wanita yang akan pergi bersama Fezz, tidak sampai hatinya hendak menolak. Walaupun dia sudah lama berkawan baik dengan Wani, namun citarasa mereka sangat berbeza, yang mana Wani sangat menggemari Novel yang mempunyai unsur-unsur seram, namun dia pula membaca buku pun tidak suka, apakan lagi disuruh membaca Novel. Dia lebih gemar menghabiskan masa lapangnya untuk membuat aktiviti lasak seperti mendaki gunung, berenang atau bersenam.

"Woi! Mengelamun lah tu?" sapa Wani dari belakang lalu melabuhkan duduknya di sebelah Hanani.

"Mana ada, aku bosan lah."

"Lah kalau bosan pergilah cari makan, banyak dekat sana tu..." kata Wani sambil menunjuk-nunjuk ke arah beberapa kedai makan yang tersusun berdekatan mereka.

"Tak apa lah, kau makan jelah" balas Hanani ringkas lalu mengukirkan senyuman.

Fezz, Talif dan Asyraff melabuhkan duduk mereka di hadapan Wani dan Hanani, sementara masing-masing sedang menjamu selera, Hanani hanya mendiamkan diri termenung ke arah langit. Hatinya terasa tidak tenang, seolah-olah ada perkara yang tidak baik akan berlaku kepada mereka. Fikirannya mulai dipenuhi dengan perkara yang bukan-bukan, namun cepat saja dia menggelengkan kepalanya, menepis apa saja yang cuba menguasai fikirannya. Dia menyelak lengan kirinya, jam menunjukkan sudah hampir pukul 9 malam. Tanpa berlengah lagi mereka pun meneruskan perjalanan itu.

Fezz terus memandu. Sedar tidak sedar, sudah hampir dua jam mereka berada di atas jalan raya. Mereka bertolak dari Kolej tempat belajar mereka dalam pukul 6 petang dan sekarang sudah melepasi jam 11 malam. Fezz terasa masih segar matanya, tidak punya masalah untuk memandu jauh asalkan ada yang menemaninya untuk berbual.

"Biasa kau pergi pejumpaan macam ni?" soal Talif yang sudah bertukar tempat duduknya di hadapan, manakala Wani duduk di bahagian belakang bersama-sama Hanani dan Asyraff.

"Biasa jugak, aku ni jenis kalau dah minat sesuatu tu. Sampai pencipta dan ahli keluarganya aku rasa nak jumpa.. Bukan apa, kau pun tahu kan dari kecil lagi niat aku nak jadi Novelis terkenal, tapi apakan daya, tatabahasa pun teruk, lagi nak buat karangan panjang-panjang. Aku dah pernah hantar pun cerita yang aku tulis, tapi sampai sekarang dah tiga tahun tak ada maklum balas." balas Fezz menceritakan kisahnya kepada Talif.

Oh, cerita apa yang kau tulis waktu tu?"

"Cerita pasal hantu langsuir, hampir 500 muka surat jugak aku tulis waktu tu. Tak tahu kenapa tak ada siapa yang berminat, mungkin cerita aku tak best kot." Fezz dan Talif rancak berbual, namun suara mereka yang kuat itu tidak menjadi penghalang untuk tiga orang rakan mereka itu terus dibuai mimpi. Tiba-tiba perbualan mereka terhenti apabila cuping telinga masing-masing menangkap satu bunyi gong bergema sayup-sayup kedengaran entah dari mana. Talif yang berada di sebelahnya bergegas menutup bunyi radio untuk memastikan sama ada bunyi itu datang dari radio kereta itu atau dari kawasan luar.

"Macam bunyi muzik yang dimainkan sewaktu persembahan kuda kepang, kan Talif?" bisik Fezz perlahan, tanganya masih memegang stereng keretanya. Tiba-tiba hati Fezz terdetik, teringat kembali mimpinya tempoh hari, bunyi muzik gamelan yang membawa dirinya masuk ke dalam hutan berdekatan laut. Fezz tertelan air liur, meremang bulu tengkuknya. Suasana bertukar hening, matanya meliar melihat suasana diluar kelihatan gelap dan hanya diterangi lampu keretanya. Di kiri dan kanan mereka hanya terdapat pokok-pokok yang banyak memenuhi kiri dan kanan jalan raya itu, matanya ditajamkan mencari-cari kelibat kereta lain yang lalu di kawasan itu.

"Weyh, tak ada kereta lain selain kita lah..." bisik Talif yang mendapati hanya mereka sahaja yang berada di atas jalan raya itu, dia menguatkan pendengarannya cuba mengesan dari mana datang bunyi itu.

Tiba-tiba Asyraff yang sedang tidur di bahagian kerusi belakang pemandu itu bangun dan membetulkan duduknya menegak, matanya tajam merenung ke arah depan, tubuh badanya tidak bergerak hanya mendiamkan diri.

"Asyraff.. Kau, okay tak ni?" soal Talif dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan kawannya itu.

"Berpatah balik dan pulanglah kerumah kalian!" jerit Asyraff mengeluarkan suara garaunya. Fezz dan Talif terkejut mendengar apa yang keluar dari mulut Asyraff, mereka sedar bahawa suara itu bukan milik Asyraff. Wani dan Hanani yang sedang asyik tidur itu terjaga mendengar suara garau Asyraff, terpinga-pinga mereka dibuatnya melihat keadaan Asyraff yang bukan menjadi dirinya lagi, perlahan-lahan mereka mengensot beranjak menjauhi Asyraff.

"Apa jadi?" soal Wani hanya dapat memerhatikan saja tingkah laku Asyraff yang sedang melentik-lentikkan jarinya ke arah langit seperti seorang penari kuda kepang.

"Jangan gementar..."~

Wani tersentak, kedengaran suara wanita yang biasa didengarinya berbisik di telinganya lagi. Tiba-tiba bunyi muzik tarian kuda kepang yang menguasai kawasan itu didatangi satu bunyi muzik gamelan, denting-denting paluan bonang menenggelamkan bunyi muzik itu.

"Kau orang dengar tak bunyi tu?" soal Wani kepada Fezz dan Talif.

"Ye, bunyi paluan bonang muzik gamelan." jawab Fezz terasa bimbang hatinya sekiranya keadaan berlaku seperti di dalam mimpinya tempoh hari.

"Aku datang membawa hajat, memberi amaran menghalang kecelakaan!" Asyraff menjerit sekuat hatinya lalu rebah terbaring. Bunyi muzik tarian kuda kepang itu beransur hilang, namun bunyi dentingan bonang itu mengiringi perjalanan mereka berlima beberapa meter jauhnya, selama tempoh itu, Fezz, Talif, Wani dan Hanani mengunci mulut dan membiarkan saja Asyraff yang sudah terbaring tidak sedarkan diri.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience