Completed
6432
FANG, Navin dan Mikael mengelilingi Hilya, Zara dan Bella. Tiga sekawan yang sengaja mencetuskan huru-hara sebentar tadi.
Mikael pandang Hilya dengan pandangan yang kosong. Dia memang tak faham orang perempuan. Kisah lama pun masih diungkit sehingga ke hari ini.
"Apa?" soal Hilya. Berlagak.
Fang mencebik. Menyampah. Perempuan begini memang tidak boleh dilentur lagi. Gedik!
"Apa yang kau tak puas hati dekat Aisyah? Kau malukan dia depan orang ramai." Mikael tenang.
Memang dia tak mahu ikut campur tapi keadaan jadi semakin teruk pula.
Hilya menjuih bibir. Tangan disilangkan dan tubuh bersandar ke dinding. "Dia itu memang penipu. Kau pun tahu."
"Penipu? Apa yang dia tipu?"
"Masa sekolah rendah dulu. Dia kata Fattah sukakan dia."
Fang dan Navin yang asyik menyedut air di dalam gelas plastik mereka terkejut. Menyembur air oren keluar dari mulut.
Mikael menyerabaikan rambutnya. Memang dia dah agak. Isu ini masih dibangkitkan.
"Kau ingat si Aisyah tu bodoh begitu sekali ke? Mungkin kau yang kena cermin diri kau. Kawan baik dia yang berubah jadi musuh. Hanya sebab iri hati," perli Mikael.
Fang dan Navin terus menjadi pendengar. Mereka juga kurang faham situasi yang berlaku sekarang ini.
"Aku iri? Memang tak lah!"
Mikael masukkan tangan ke dalam kocek. Bibir tersenyum sinis.
"Aku, Kamarul dan Fattah. Kami kawan baik. Aku tahu semua rahsia Fattah. Memang dia suka pada Aisyah masa sekolah rendah dulu. Dia luahkan perasaan pada Aisyah tapi Aisyah tolak."
"... Aisyah cerita pada aku yang kau sukakan Fattah. Kau mula tak berkawan dengan dia bila dia cerita tentang luahan perasaan si Fattah pada dia. Kau ingat Fattah yang kau suka sangat tu baik macam malaikat ke? Kau tak kenal Fattah."
Fang dan Navin terlopong. Fang terutamanya. Dia memang tak pernah tahu pula yang Aisyah dan Mikael serapat itu sampaikan Aisyah cerita masalah hidupnya dengan Mikael.
"Fattah mula cerita yang bukan-bukan pada orang lain sebab dia malu. Malu sebab perempuan yang kau cop buruk tu tolak cinta dia. Itu isu lapuklah, Hilya! Kau saja yang tak move-on. Mengungkit perkara lalu dan buat orang lain rasa rendah diri."
Hilya menggenggam penumbuk.
"Kau lebih buruk dari Aisyah. Sekurangnya apa yang keluar dari mulut dia tak pernah menyakitkan hati orang. Muka buruk takpe, hati kena bersih."
Hilya tidak berani mahu membalas. Hatinya masih sakit kerana Aisyah. Mula-mula Fattah, sekarang Kamarul pun mahu dirampasnya!
Hilya membelakangi Mikael. Zara dan Bella mengikut gerak-geri Hilya. Meraka sendiri juga tidak berani mahu berkata-kata. Siapa tak kenal Kamarul dan Mikael. Anak nakal dari sekolah rendah. Kamarul mungkin sudah berubah tapi tidak Mikael. Lelaki licik ini yang punya sejarah memukul perempuan di sekolah rendah dahulu.
Mikael juga manusia yang kena penampar sulung guru disiplin mereka di depan satu kelas.
"Kau boleh mula move-on dari Kamarul juga. Dia sukakan Aisyah."
Fang terpelahang. Tidak percaya dengan apa yang baru dibongkarkan oleh Mikael.
Hilya merengus lantas meninggalkan mereka bertiga.
Fang mencekik leher Mikael. Dia rasa mahu gantung lelaki ini sampai mati.
"Kenapa kau pecahkan rahsia Rul? Habislah kita!" jerit Fang.
"Jangan risaulah... Dia tak akan pecah rahsia. Jatuhlah air muka dia kalau dia beritahu orang yang Rul suka Aisyah. Dia memang cemburu dengan Aisyah dari sekolah rendah lagi. Sebab dia juga lah si Aisyah pindah sekolah masa tu."
"Kejap! Kejap! Aisyah satu sekolah rendah dengan kita ke? Kenapa aku tak pernah nampak dia?" Navin menggaru dagu. Cuba ingat semula rakan-rakan sekolah rendah mereka bertiga.
"Memanglah kau orang tak perasan. Dia yang dulu lagi buruk dari yang sekarang. Gemuk, buruk, hitam. Kau nak perasan ke budak yang tak menarik macam dia...?" Mikael menjawab malas-malas. Kaki dilangkah kembali semula ke kerusi malas yang ditarik ke koridor depan bilik sukan tadi. Di gerai terlalu ramai orang, Semak!
"Kau pun sama je macam orang lain, Panggil dia buruk." Navin mengecilkan mata memandang Mikael. Tak patut sungguh Mikael panggil Aisyah buruk.
"Dah dia memang buruk. Aku jujur aje lah. Bukan aku lah nak jaga hati orang dengan menipu ni."
"Eh, aku pelik. Macam mana kau boleh tahu pasal Aisyah? Kau rapat ke dengan dia?" Fang bersoal.
Mikael angguk lantas mengeluh. "Family dia dengan family aku rapat. Memang selalu aje kami ziarah ke rumah dia. Aisyah tu anak tunggal. Jadi, bila aku dengan adik-adik aku ke rumah dia ... masa itu ajelah dia ada kawan. Ada lah sekali-sekali kami borak panjang kalau ke rumah dia. Memang dia cerita pada aku pasal Fattah dan Hilya. Masa sekolah rendah dulu lah. Sekarang aku jarang dah berbual hati ke hati dengan dia. Takde kerja aku nak jadi pendengar setia dia pula. Dah lah buruk. Jatuh imej kalau rapat dengan perempuan tak cantik...."
Kepala Mikael ditolak kuat oleh tangan Fang.
"Tak baiklah kau ni... Aisyah tu mungkin tak cantik di rupa, tapi aku yakin dia seorang yang baik," bebel Fang. Tidak berapa gemar mendengar kutukan Mikael pada pujaan hati Kamarul.
"Apa-apa ajelah. Aku malas nak campur tangan kalau Aisyah sendiri tak usaha betulkan persepsi orang pada diri dia. Aku tolong ni pun sebab Hilya dah melampau." Topi diletakkan ke atas muka.
"Kalau kau rapat dengan Aisyah, senanglah Rul nak mengorat Aisyah. Apa kata..."
"Tak nak. Aku percaya dengan prinsip 'usaha tangga kejayaan'. Aku tak nak jadi cupid diorang berdua pula. Kan aku kata, aku tak masuk campur hal peribadi orang lain. Fullstop."
Fang kecewa. Mikael ini memang ada masanya agak mementingkan diri. Ada masanya baik. Huh!
"Kesian pula aku tengok Aisyah. Patutlah dia pendiam gila."
"Nak kesian apanya? Dia sendiri tak mahu berubah. Kamarul aje yang gila. Suka dekat perempuan begitu. Kalau aku... Baik aku pergi cari perempuan lain."
"Haish, kau ni... Memang tak ada rasa simpati dan empati lah, Mika."
Share this novel