14

Short Story Completed 6432

AISYAH memeluk peti perubatan rapat ke dada. Teragak-agak mahu menghampiri kumpulan lelaki yang sedang leka bergurau-senda sambil memanggang ayam dan daging di atas pemanggang.

Tangan Kamarul diperhati dari jauh. Dia sudah agak. Lelaki itu tidak pergi mendapatkan rawatan dari guru bertugas.

"Kau tunggu apa lagi? Pergi sajalah beri pada dia."

Aisyah menggelabah. Bukan dia tidak mahu pergi tapi ... kalau pelajar perempuan lain nampak, mesti dia akan dikutuk belakang-belakang.

"Kau tolong bagi, boleh?" Peti perubatan itu ditolak ke tangan Adlina.

Adlina mencerlung. Dia mahu makan!

"Tak nak lah. Aku tak nak jumpa si Fang tu. Mendidih hati aku ni kalau nampak muka dia."

Aisyah mengeluh panjang. Kalau boleh, dia mahu buat tidak tahu saja tapi ... Kamarul luka pun kerana mahu tolong dia.

Kenapa lah lelaki itu pergi tolong dia tadi! Kalau Kamarul tidak tahan kepala dia dari terhentak batu itu, pasti rasa serba salah tidak akan bersarang di dalam hati kini.

Dalam banyak-banyak perempuan Kamarul boleh tolong, kenapalah dia juga Kamarul pilih. Abaikan sajalah dia! Hish!

Kaki diarah untuk melangkah. Jantung berdebar. Peluh mula mahu merintih ke dahi. Dia memang akan kegelisahan kalau berdepan dengan lelaki. Lagi-lagi Kamarul. Lelaki paling dia tidak suka.

Navin memuncungkan bibir kepada Kamarul. Matanya terlihat kelibat Aisyah di belakang.

Kamarul berpaling.

"Syah! Kenapa? Syah nak makan?" soal Kamarul. Tangan mencapai pinggan kertas di tepi dan terus mengepit beberapa ketul ayam dan daging masuk ke dalam pinggan.

Mikael melongo. Ayam dia Kamarul ambil! Penat dia bakar! Tak guna punya Kamarul. Nak mengorat awek punya pasal, bahagian dia yang dikebas.

Huluran Kamarul Aisyah tolak. Diangkat peti perubatan sedikit tinggi. Tidak berani mahu menentang anak mata lelaki itu.

Kamarul terpinga-pinga.

Fang menyiku lengan Kamarul. Mata memberi isyarat.

"Pergi lah. Dia suruh kau letak ubat kat tangan lah, dol....," bisik Fang.

"Ye tak ya! Aku lupa tangan aku luka tadi."

Kamarul berpaling semula menghadap Aisyah. Peti perubatan di tangan Aisyah, disambut.

"Terima kasih, Syah."

Aisyah angguk. Senyum tidak, jengkel pun tidak. Tugasnya sudah selesai. Dia tidak mahu berlama dengan Kamarul. Cukuplah tadi ada pelajar sekelas dengannya mengata dia sengaja mahu tarik perhatian Kamarul. Perempuan tak cantik macam dia pun orang mahu mengata.

Fang menepuk dahi. Dasar lembap sungguh abang Kamarul ni!

"Yang kau pergi ambil peti tu apahal?"

"Dah Aisyah bagi, aku ambil lah."

"Alah, benak pula dia ni. Patutnya kau buat-buatlah sakit. Minta dia tolong ubatkan. Kau ni lembap lah, Rul. Peluang nak berduaan depan mata, kau boleh biar hilang begitu aje."

"Weh! Ya tak ya juga!" Kamarul tercengang. Dia tidak fikir sampai ke situ!

"Dah lah, Rul. Dengan bakat kau yang tak berapa nak ada dalam hal percintaan ... baik kau lupakan saja lah perasaan kau tu. Memang tak boleh pergi jauh." Fang sudah malas mahu layan.

Punyalah banyak peluang yang Kamarul dapat untuk mengenali Aisyah dengan lebih dekat, boleh pula Kamarul lepaskan begitu saja.

"Eh, jangan lah gitu. Tolong lah aku macam mana nak rapat dengan Aisyah ni...," Kamarul sedikit merayu.

Mikael geram. Memanglah Kamarul ini lambat dalam soal hati dan perasaan.

"Nah! Pergilah bagi dekat dia. Tanda terima kasih." Piring yang Kamarul isi dengan ayam dan daging bahagiannya tadi, Mikael beri ke tangan Kamarul.

Kamarul tersengih. Huluran Mikael diambil. Nasib Mikael masih ada rasa kasihan padanya.

Langkah dihayun ke arah Aisyah. Jantungnya kencang. Terasa mahu meletup saja.

"Syah...," panggil Kamarul.

Aisyah berpaling ke belakang. Serta-merta gelak tawa mereka mati.

"Ini untuk Aisyah. Terima kasih untuk tadi."

Mata Aisyah terkebil-kebil. Tidak tahu sama ada patut atau tidak dia menerima pemberian Kamarul.

"Sama-sama, Rul. Takpe, aku sambut bagi pihak Aisyah." Adlina memintas. Huluran Kamarul disambut.

"Dia bagi dekat Aisyah lah dol. Apasal kau yang sambut?" Fang muncul dari belakang.

Kamarul garu kepala. Mula dah si Fang ni....

"Apa masalahnya? Aku tolong terima aje. Bukan aku tolong makan kan!" Pinggan pemberian Kamarul tadi diserah kepada Aisyah. Adlina mencekak pinggang di depan Fang.

"Yelah. Kau tak tolong makan, tapi adalah lebih baik kalau kau tak tolong sibuk jugak...," balas Fang dengan nada memerli.

Memang Adlina menganggu. Hilang peluang Kamarul mahu berbual dengan Aisyah. Kalau Adlina tak menyibuk, pasti Aisyah dan Kamarul boleh biasakan diri dengan satu sama lain.

Aisyah berlalu ke bangku berdekatan. Makanan yang Kamarul beri disuap ke dalam mulut.

Bibir Kamarul menahan senyum. Pertelingkahan Adlina dan Fang tidak dipedulikan. Biar lantak mereka berdua lah mahu bergaduh sampai pagi esok sekalipun.

"Kalau kau tak menyibuk, mesti hidup aku aman!"

"Ada aku sibuk dengan masalah hidup kau ke? Aku rasa tak ada!"

"Ah! Kau memang penyibuk! Penyibuk!"

"Diamlah kau, tak sunat! Tak sunat! Tak sunat!"

Kamarul terbalikkan ayam dan daging di atas grill.

"Rul... Kau tolonglah pisahkan diorang berdua tu. Sampai tahun depan pun tak habis kalau begini." Navin mengeluh. Hilang selera dengar Adlina dan Fang berperang mulut.

"Biar diorang terjerit-pekik sampai bateri diorang habis. Aku pun malas nak layan."

Fang kembali duduk berdiri di sebelah Kamarul.

"Opocot mak kau hijau!" latah Mikael. Piring yang sudah kosong terlepas dari tangan.

"Mana kau dapat rambut fesyen baru ni, Fang? Maggie atas kepala." Mikael berkerut dahi. Atas kepala fang dipandang.

Fang tersenyum hambar. "Dapat dari si penyibuk tu lah." Kepala dikibas. Jatuh semua maggie yang Adlina tabur atas kepala dia tadi.

Navin tarik lebihan maggie yang tersisa di atas kepala Fang dan dimasukkan ke dalam mulut. "Hm, indomee goreng. Sedap!"

"Pengotor lah kau, Vin! Perisa kelimumur pun kau telan juga." Mikael bergaya mahu muntah.

Fang menggerakkan jari telunjuk ke kiri ke kanan. "Tch! Tch! Dijamin bersih. Perisa head&shoulder. Aku siap syampu rambut masa mandi dekat sungai tadi."

"Hm, patut lah ada rasa alam semula jadi sikit tadi."

Kamarul dan Mikael menggeleng. Kalau basuh dengan air zamzam pun, belum tentu mereka mahu makan berpinggankan kepala Fang.

"Fang, kau mesti makan pork kan? Sedap tak?" soal Mikael. Selama ini dia tidak peduli, tapi bila difikirkan semula ... dia jadi tertanya-tanya pula.

Fang angguk. "Selalu juga. Rasa sedap atau tak? Hm... Ikut pada masakannya. Kalau pada kualiti, mestilah daging beef lagi sedap! Nyum!" Fang menjilat jari.

Mikael terangguk-angguk. Dihala wajah kepada Navin yang dari tadi hanya mengunyah ayam bakar saja. Daging langsung tak disentuh.

"Vin, kau memang tak makan daging?"

Navin berhenti mengunyah. Terjeda seketika mendengar soalan Mikael.

Kamarul ketuk kepala Mikael dengan pengepit. "Dia mana makan daging. Macam kita tak makan pork."

"Eh... Kenapa? Aku tahu agama hindu tak makan daging tapi aku ingat saja-saja aje korang tak makan."

Navin letak pinggannya ke atas meja.

"Kami tak makan daging lembu bukan sebab tuntutan agama saja. tapi, lebih dari itu. Kami anggap lembu ini anugerah Tuhan kepada manusia. Kami percaya lembu adalah anugerah yang harus dimuliakan dan dijaga dengan baik. Contohnya, macam susu. Lembu bekalkan susu bukan untuk anak lembu saja tapi untuk semua manusia. Kami beri gelaran 'Komatha' iaitu gelaran yang sama seperti ibu. Tapi, bukan bermaksud kami sembah lembu tau!"

Semua ternganga mendengar penerangan Navin.

"Maaflah aku tanya, Vin. Apa kena mengena lembu dengan ibu? Aku betul-betul keliru." Mikael tanya lagi.

Navin menepuk dahi. "Kau ni bukan orang Malaysia sejati lah. Kau kena lah ambil tahu agama lain supaya tak salah sangka. Lembu kami anggap macam ibu sebabkan sifat lembu yang sanggup berkorban dan menanggung derita demi anak-anak. Tengok susu lembu, berapa banyak produk yang dihasilkan dari susu lembu? Hampir semua orang dalam dunia ini guna susu lembu dalam kehidupan seharian. Bukan susunya aje, kalau zaman dulu ... lembu banyak membantu di sawah. Dewa kami Krishna juga seorang pengembala lembu. Jadi, lembu bagi kami ada nilai estetik yang tersendiri. Atas kerana mahu menjaga anugerah Tuhan ini, kami tak makan daging lembu. Malah, kami jaganya dengan baik," bebel Navin.

Kamarul mengusap dagu seakan baru mengetahui sesuatu yang tidak pernah didengarinya sebelum ini. "Boleh tahan hebat cerita mengenai budaya kau. Aku cuma tahu yang korang sayang pada lembu."

"Aku pula tahu yang korang anggap lembu macam ibu, aku ingat lembu tu Tuhan Ibu korang macam kristian." Fang menambah.

Kamarul menampar kepala Fang. Maggie di atas kepala Fang melekat ke tangannya.

"Bukan ke hal Tuhan Ibu dalam agama Christian itu ajaran sesat? Di korea, bukan?"

"Eh, yeke? Memang aku ada dengar tapi aku ingat itu betul. Sesat ya?"

"Alahai... Itulah aku suruh kau banyakkan membaca Fang."

"Tuhan Ibu tu apa cerita pula?" Mikael yang dari tadi mendengar akhirnya mengajukan soalan.

Kamarul menggeleng. Dia tak mahu teruskan topik ini. Baik dia beri sepenuh perhatian pada makanan di depan mata.

"Itulah. Kau tak membaca, Mika." Fang serah kata-kata Kamarul padanya tadi kepada Mikael.

Mikael menyiku kepala Fang dengan buku limanya. "Sempat kau kutuk aku ya."

Panggilan dari Ustaz Adi buat mereka berempat keras. Gurauan yang tidak sudah-sudah dari tadi terus berhenti. Mikael yang paling diam. Takut nanti Ustaz Adi suruh dia iqamat pula subuh nanti.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience