Completed
6432
DERINGAN loceng menandakan kelas telah pun tamat. Mikael mengintai ke bawah meja. Bibirnya menyeringai. Terjungkit-jungkit bahunya menahan ketawa.
Pap!
Mikael mengaduh. Kepala digosok. Mata menjeling orang di belakang.
"Kau sorok apa?"
"Ada lah!" Mikael senyum mengejek.
Kamarul mencebik. Dicekik leher Mikael dari belakang.
"Hoi! Hoi! Apa ni belasah orang tak ajak aku!" jerit Fang dari luar kelas. Fang berlari mendapatkan Mikael dan Kamarul.
Mikael menahan sakit. Tubuh Kamarul dibelakang tubuhnya diangkat. Lutut menggeletar apabila tubuh Fang pula terpaksa ditampung.
"Ke tepi lah!" jerit Mikael. Kamarul dan Fang mengekek.
"Tak nak! Kau bagi dulu apa yang di dalam poket kau tu!"
Dalam menahan berat dan juga sakit kerana dicekik oleh lengan Kamarul, lambat-lambat Mikael mengeluarkan isi poketnya. Mata Kamarul membulat.
"Dirampas!"
"Weh! Jangan lah serius sangat...." sungut Mikael.
Kotak rokok di tangannya hilang sekelip mata. Kamarul selaku ketua pengawas juga merangkap sahabat baiknya ini memang tak boleh nak beri muka sikit pun pada kawan sendiri. Tak habis-habis kena ikut peraturan.
"Aisey... Kenapa kau tak cakap, kalau tak aku mesti tolong kau Mika...." Fang juga ikut kecewa.
Kamarul mendengus mendengar keluhan dua orang sahabat baiknya ini. Dia tidak kisah kalau Mikael dan Fang mahu buat perangai tak bermoral di luar sekolah, tapi di dalam sekolah ... namanya akan terpalit sama.
"Sudahlah! Sekarang ni kita nak lepak mana?" soal Fang. Tali beg sandangnya di sangkut ke dahi, beg dilibas ke belakang. Baju kemeja yang di tuck-in dalam seluar, dikeluarkan. Lega!
"Surau," balas Kamarul.
Fang tepuk dahi.
"Dei! Tak up-to-date lah ini abang... Hari-hari lepak surau, aku yang buddhist ni boleh jadi muslim nanti tau. Jangan cakap azan, al-Fatihah pun aku dah hafal!" Tangan Fang lurus ke wajah Kamarul.
Kamarul senyum. Mikael menyokong kata-kata Fang sebentar tadi.
"Betul lah, Rul. Kau ni stok abang surau sangat lah. Aku panas bontot duduk di surau tu, lagi-lagi kalau terserempak Ustaz Adi. Ah, mampus kena ceramah!"
Kamarul malas mahu ambil peduli. Dia harus ke bilik guru terlebih dahulu.
"Jumpa dekat kantin lah kalau macam tu. Aku kena jumpa cikgu dulu. Ah! Jangan lupa! Belikan aku Mihun Sup satu!" Jari telunjuk Kamarul naik tegak. Kaki berlari anak mendaki tangga ke tingkat 3. Tangan melambai ke arah Mikael dan Fang.
Mikael dan Fang saling berpandangan. Mata masing-masing memberi pandangan penuh makna sesama sendiri.
"O-som!" jerit mereka serentak. Tangan kanan dikeluarkan.
"Air lawan batu! Aku menang! Kau beratur belikan Mihun Sup Kamarul!" Mikael melompat keriangan.
Fang mendengus. Begnya dicampak ke lantai. Tewas lagi!
Hal duit bukan berat bagi Fang, tapi membayangkan dia perlu beratur lama hanya untuk semangkuk Mihun Sup ... Fang reda.
"Kita lepak surau dulu lah. Tunggu budak sesi petang masuk kelas dulu," cadang Fang.
Mikael menggaru dagu. "Aku tak kisah tapi kalau Mihun Sup Kamarul habis, kau tanggung."
"Argh! Tak jadi lah! Cepat turun! Nanti Mihun Sup habis!" Fang berlari menuruni tangga. Mikael menurut dari belakang.
Kali ini mereka bersaing turun tangga pula. Fang menggunakan kakinya yang panjang sebagai senjata terhebat dalam memenangi persaingan kali ini, sementara Mikael mengambil risiko lebih bahaya dari Fang. Dia lompat dari atas sehingga ke bawah. Setiap kali lompat, setiap kali itu lututnya terketar-ketar ketika mendarat.
"Macam budak-budak," perli seorang pelajar perempuan yang berselisih dengan mereka berdua di tangga.
Mikael berhenti melangkah. Fang juga begitu. Kedua mereka mencebik.
"Perasan cantik!" ejek Fang dan Mikael serentak.
"Bajet lawa! Buruk!" Fang menambah minyak lagi.
Gadis bernama Adlina itu berpaling. Kawan-kawan di belakang sebagai penyokong.
"Busuk! Tak mandi! Tak hensem! Tak sunat!" Adlina ejek mereka semula. Perkataan terakhir ditujukan kepada Fang.
Fang mahu maju namun lengan Mikael menahan.
'Serah pada aku' Mikael memberi isyarat mata.
Fang angguk. Dia beralih sedikit ke belakang.
Adlina keraskan otot wajahnya. Sikit pun dia tidak gentar dengan Mikael. Dua orang, eh 4 orang lelaki yang terkenal dengan kenakalan mereka. Nakal dan tak boleh dibuat sebagai teman lelaki! Itu apa yang dikata kawan-kawan perempuannya.
Mikael menarik nafas dalam-dalam. Akan dia hamburkan segala kata makian dengan sekali lafaz!
Baru Mikael mahu membuka mulut, bahunya disentuh seseorang. Fang keras seperti batu.
"Kau buat apa ni gaduh dengan perempuan? Sorry, Lina. Diorang ni mereng sikit." Kamarul menolak Mikael ke belakang.
Mikael mengajuk Kamarul dari belakang. Fang menjungkit bahu. Muncungnya bergerak ke depan ke belakang.
Adlina melirik ke arah Kamarul. Hanya kerana Kamarul ini ketua pengawas di sekolah, dia sudi maafkan Mikael dan Fang. Kalau Kamarul tak ada, dia sanggup berperang dua lawan satu!
"Jom, Aisyah!" Tangan Aisyah ditarik. Kawan lain menurut langkah Aisyah dan Adlina.
Kamarul tersenyum-senyum. Tangan dilambai. Fang dan Mikael di belakang acah mahu muntah melihat gelagat tak semenggah Kamarul.
"Angau!" ejek Mikael. Fang ketawa terbahak-bahak. Perut ditekan.
"Kisah pula aku. Biarlah! Mari sini beg kau, Mika!" Beg Mikael ditarik.
"Kau nak buat apa?"
"Telefon aku lah. Kan aku sorok dalam beg kau. Aku suruh korang belikan Mihun Sup, kau pergi bergaduh dengan perempuan dekat tangga pula." bebel Kamarul.
Tangan menyelongkar isi beg Mikael. Berjaya membawa keluar telefon pintar miliknya dari dalam beg Mikael, beg lelaki itu dicampak kembali kepada tuannya. Kamarul menghidupkan skrin telefon. Kaki diangkat mendaki anak tangga ke tingkat atas semula.
"Eh! Kau nak kemana? Kata nak makan Mihun Sup?" panggil Fang. Belakang telinga digaru.
"Aku kan nak pergi jumpa cikgu dulu. Ini pun aku pusing balik sebab nak ambil telefon je. Jangan lupa beli Mihun Sup aku!" laung Kamarul yang sudah hilang di sebalik anak tangga.
Fang muncung semula. Nampaknya memang dia kena beratur lah sekejap lagi ni.
Mikael mengatur langkah turun ke bawah. Fang melintasi Mikael. Pantang Mikael bila dirinya rasa tercabar. Persaingan yang terhenti tadi bermula semula. Seorang guna kakinya yang panjang, seorang lagi guna bakat atletnya untuk meraih kemenangan.
Bila kelajuan mereka sama, aksi tarik dan tolak berlaku.
"Aku menang!"
"Cis! Mana boleh, kau kaki panjang. Tak adil."
"Aku kaki panjang, tapi tinggi kita sama saja kan. Potensi pun sama. Mungkin kau kena mengaku yang kau memang lembap," ejek Fang. Meninggi hidungnya menikmati kemenangan.
Kerana dia sudah menang, mood nya baik mahu pergi beratur di kantin. Beg sandang di silang ke bahu. Pelajar junior yang sedang beratur di tangga terus-menerus memandang ke arah Fang.
Ha, dia sedar dia kacak. Memang banyak adik junior yang minat padanya. Lagi-lagi kalau dia main bola sepak. Pergh!
Malang sekali, lelaki sekacak dia tiada keinginan mahu bercinta buat masa sekarang. Dia seronok menikmati zaman sekolah dengan kawan-kawan. Janji mereka berempat, siapa yang bercinta dulu ... dia loser!
Gila! Dia tak akan jadi loser. Dia akan pertahankan status bujangnya sampai semua teman-teman lain kahwin dulu.
Kepala Fang berpusing memandang Mikael di belakang.
"Hai, abang Mika. Ini untuk abang...," sapa adik junior yang sedang beratur mahu naik ke kelas masing-masing.
Mikael sambut huluran gadis di hadapan. "Thank you!"
Aiseh... Mika juga yang lebih terkenal darinya. Tak boleh jadi ni!
Mamat mereng ini juga lebih ramai peminat. Betul lah yang perempuan semuanya buta!
"Mesti kau akan jadi loser yang pertama," ujar Fang seraya menyamakan rentak langkah dengan Mikael. Mahu provok Mikael.
"Demi cinta, aku sanggup jadi loser."
Hah?
Fang terlopong. Terasa seperti ada ribuan ulat bulu naik ke badan. Gatal! Geli! Bluek!
"Sumpah, kau dah mereng!"
Mikael gelak kelucuan.
"Tapi aku rasa yang paling mahu jadi loser sekarang ni, Kamarul. Dia tengah angau!"
"Ceh! Kamarul tak boleh pakai. Nampak macam pelajar contoh, padahal dia lebih setan lagi dari kita. Apa kata kita kenakan dia, nak?" Tanduk Fang muncul. Banyak akal jahatnya mahu kenakan pelajar tersopan sekolah mereka itu.
Mikael campak beg galasnya ke salah satu bangku kantin yang kosong. Dia duduk lantas menjatuhkan kepala ke atas meja.
"Apa kau tunggu lagi tu? Kalau Mihun Sup habis, kau jawablah dengan Kamarul nanti. Dia dah berhari-hari mengidam Mihun Sup makcik kantin dah." Mikael tidak menjawab pertanyaan Fang. Jauh sekali berkeinginan mahu mengenakan Kamarul.
Fang tersedar. Kaki memecut laju ke arah gerai Mihun Sup yang hampir kosong. Dalam hati berdoa semoga Mihun Sup Kamarul masih ada lagi.
Share this novel