11

Short Story Completed 6432

"BUAT malu lah kau ni, Fang. Yang kau pergi bergaduh dengan si Adlina tu kenapa?" Kamarul mendengus.

Fang menyikat kembali rambut yang kusut-masai. "Bukan salah aku lah. Si Adlina tu yang suka gaduh dengan aku. Bukan aku nak gaduh dengan dia."

"Banyaklah kau! Dah kalau kau selalu menyakitkan hati dia, memang lah dia suka nak bergaduh dengan kau. Cuba mulut tu kau zip betul-betul."

"Aku tak boleh lah. Muka Adlina tu memang muka cari pasal. Asal aku nampak dia je, aku rasa nak cari pasal."

Navin angkat tangan. "Yang itu aku setuju!"

"Ada orang muka dia memang muka ajak orang cari pasal dengan dia. Macam muka kakak aku. Aku suka gila cari pasal dengan kakak aku. Memang muka dia macam ajak gaduh!" bebel Navin. Tangannya bergerak ke kiri ke kanan.

Mikael mencebik. "Tapi, kena pilih perempuan lah ya? Pandai pula kau cari pasal dengan perempuan yang cantik."

Fang menyengih. "Sebab dia cantik lah aku cari pasal. Aku tak nak dia perasan dia cantik sangat."

"Itu dengki namanya." Kepala Fang Kamarul tolak kuat.

Fang dan yang lain ketawa besar.

"Kau jangan terjatuh cinta pula dengan Adlina tu. Suka sangat kau usik dia," perli Kamarul. Senyuman mengejek diberi.

Fang terbatuk-batuk. Air mineral yang baru mahu masuk ke tengah, tersembur keluar. Naik segala bulu roma membayangkan hidupnya dengan Adlina yang garang dan gila tu.

"Gila lah! Memang konfem aku botak kalau aku suka dekat dia. Minta simpang!"

"Okay apa... Kau kan suka cari pasal dengan orang. Adlina lah yang paling sesuai dengan kau. Yang boleh layan perangai kau." Mikael menyokong Kamarul.

Fang memeluk lutut. Tubuh digerak ke kiri dan ke kanan. "Tak nak! Nanti aku kena sunat."

"Kalau kau tak kahwin dengan Adlina pun, kami boleh tarik kau pergi sunat."

"Korang tak rasa ke rutin kita membosankan sejak akhir-akhir ni?" tanya Mikael. Mata memandang wajah satu per satu kawan-kawannya.

Fang mengiyakan kata-kata Mikael. Memang sejak dua menjak ini mereka tak ada buat perkara yang menarik.

"Aku nak tanya, korang dah hafal belum lirik untuk nasyid nanti?"

Navin mendiamkan diri. Dialih perhatiannya pada telefon di tangan. Fang menggeliat tiba-tiba. Otak ligat berputar mencari alasan. Mikael berpura-pura tidur.

"Kau orang jangan nak berlakon. Mesti menang tau! Ini ada kaitan dengan air muka aku."

"Biar betul, Rul? Kau betul-betul nak menang ke?" Mikael terkejut.

Kamarul angguk laju. Memang dia mahu mereka meraih pingat juara untuk pertandingan nasyid nanti. Manalah tahu dengan pingat itu, dia dapat meraih perhatian Aisyah juga.

Kamarul senyum seorang diri. Bayangkan Aisyah saja dia boleh jadi tidak betul.

"Ha, berangan anak dara orang lah tu. Kau ni dahsyat lah, Rul. Sebab perempuan, kau sanggup buat apa sahaja ya." Fang memerli. Memang dia tak faham apa yang bagus sangat Aisyah tu.

Orang angau memang buta.

"Kalau aku kena jual korang atau bogelkan korang depan khalayak ramai pun, aku sanggup demi Aisyah."

"Eh, apa kata kita main surat layang?" cadang Fang. Ada saja akalnya mahu menghilangkan kebosanan.

"Surat layang?" Kamarul letak pen di tangan ke atas meja.

Navin dan Mikael setia menjadi pendengar. Jangan kata mahu membalas, mahu fikir pun mereka malas.

"Ya. Surat layang. Kau tulis surat dan layang dekat gadis yang kau suka."

"Dan atas sebab apa tiba-tiba kau nak melayangkan surat ni?" Kamarul curiga.

"Kan kau malu sangat nak beritahu Aisyah kau suka dia. Apa kata kau beri dia 'hint' bahawasanya ada orang sukakan dia. Amacam?"

Mereka pandang sesama sendiri.

"Hm, boleh tahan bijak kau hari ni. Bagus betul penangan Adlina tarik rambut kau."

Fang baling air botolnya ke arah Kamarul. Sempat lagi Kamarul perli dia. Dia dah beri idea bagus ni!

"Jadi, sekarang kita nak tolong layang nota cinta Kamarul pada Aisyah lah ni?" Mikael minta kepastian.

Kamarul dan Fang mengangguk.

"Nak tulis apa? Aku mana pandai nak tulis surat cinta."

"Aiseyman... Janganlah buat karangan. Kau ingat ni exam ke? Tulis I Love You setulus hati sudah lah!"

Mikael memerhati. Tidak pasti sama ada dia mahu menyelamatkan Kamarul atau tidak. Kamarul ni naif lah pula. Nampak benar yang Fang hanya mahu seronokkan dirinya sendiri. Buatnya nota tersebut jatuh ke tangan orang lain, bagaimana?

Tapi ... seronok juga sekali sekala dapat mengenakan Kamarul. Ah, biar sajalah!

"Kau dah tulis?"

Kamarul serahkan kertas kecil di tangannya kepada Fang. Fang lipat kertas-kertas tersebut menjadi origami berbentuk burung dan kapal terbang.

"Jom cari Aisyah!" ajaknya.

Mata Kamarul terbeliak. "Sekarang? Esok lah...."

Fang tampar kepala Kamarul.

"Kau nak takut apa, Rul? Muka macam kau ni, mana-mana perempuan pun tak akan tolak. Kalau Aisyah tahu kau suka dia, entah-entah dia yang datang luah perasaan pada kau."

Kamarul menjuih bibir. Kalau semudah itu, dia tak perlulah bersusah-payah cari perhatian dari Aisyah.

"Kalau Aisyah seperti yang kau kata, takde lah aku habiskan masa terluang aku dengan korang. Baik aku lepak dengan buah hati aku. I love you, you love me dengan Aisyah."

"Ha, itu lah kau. Sebab tu aku kata citarasa kau ni pelik. Daripada Aisyah, baik kau pergi mengorat Adlina. Memang konfem dapat!" Navin bersuara.

Fang jeling tajam Navin. "Kenapa Adlina? Dia tu menakutkan lah. Baik pilih naib ketua pengawas. Siapa tu nama dia? Aku lupa."

"Nama pun kau lupa, ada hati pula nak kenankan aku dengan dia. Mesti muka dia pun kau tak tahu macam mana." Kamarul memerli.

"Untuk pengetahuan kau, Fang ... naib ketua pengawas pun lelaki." Navin merehatkan lengan ke bahu Fang.

Fang terkebil-kebil. "Iye ke? Kenapa aku tak tahu?"

"Sebab kau memang tak pernah tahu."

"Ah! Tak peduli lah! Yang penting, jom cari Aisyah. Kau rasa dia dekat mana?" soal Fang. Kamarul dipandang lama.

"Aku rasa dekat surau. Selalu habis sekolah, dia lepak surau. Sekarang pukul berapa?" Kamarul bertanya pada Mikael. Lelaki itu selalu memakai jam.

"2:30."

"Ha! Dia belum ke surau lagi. Dekat kantin kut."

Navin berceloteh dalam bahasa yang tidak mereka bertiga fahami.

"Abang ni memang kemaruk dekat Aisyah. Jadual Aisyah pun dia ingat!" ujar Navin bila terperasan yang semua kawan-kawan tidak faham sepatah haram apa yang dikatanya.

Fang berlari keluar dari kelas. Tubuh dipanjangkan melihat ke kantin yang berada di arah bertentangan.

"Betul tekaan kau, Rul. Dia memang dekat kantin. Jom!"

"Eh? Serius? Kejap! Kejap! Berdebar pula jantung aku. Tak jadilah!"

Mikael kepit leher Kamarul dengan lengannya. "Alang-alang dah tulis, jom kita layang je!"

Langkah Kamarul terdorong mengikut langkah Mikael. Navin dan Fang di depan, berlari anak ke bangunan bertentangan.

Mereka berdua berhenti apabila Aisyah betul-betul berada di bawah. Fang melunjur tangan ke depan.

Origami di tangan terlepas. Mata Kamarul terbeliak. Jantung berdebar.

Mata mereka bertiga setia mengekori gerak-geri origami yang baru dilayangkan oleh Fang tadi.

"Yang kau pergi jatuhkan dekat si Adlina kenapa, Setan!"

Mikael ketawa terbahak-bahak. Tangan melepaskan leher Kamarul. Laju Kamarul mengejar Fang.

"Sorry! Sorry! Tersalah target!" Fang berlari menyelamatkan diri sendiri dari ditangkap oleh Kamarul.

Navin terjengul memandang ke bawah. Ibu jari diangkat. "Safe! Safe! Adlina tak perasan."

Kamarul berhenti mengejar.

"Biar aku pula yang baling." Navin mengeluarkan origami miliknya pula dari dalam kocek seluar.

"Aku akan pastikan Aisyah dapat 'hint' cinta kau, Rul." Hujung origami ditiup kuat sebelum melancarkannya ke bawah.

Kamarul telan air liur. Susah dia mahu percaya kawan-kawannya. Lebih kepada mereka ini suka main-main sahaja.

Kapal terbang kertas Navin terbang dan tersangkut di dahan pokok bunga.

Mikael ketawa terbahak-bahak lagi. Kamarul libas kepala Navin sekuat mungkin.

"Pastikan Aisyah dapat 'hint' cinta aku konon."

Navin tersengih. Kepala yang dipukul oleh Kamarul, digosok.

Fang keluarkan lagi sepucuk dari poketnya. "Aku ada satu lagi! Kali ni aku janji, Aisyah mesti dapat."

"Haih... Sukahati kau lah!" Kamarul malas mahu peduli.

Dalam tidak peduli, berdebar juga jantungnya.

Layangan Fang kali ini lebih teratur. Kamarul dan Mikael tegang. Mata mereka setia pada kapal terbang origami milik Fang.

Sekali lagi....

"Setan! Kenapa pergi ke Adlina lagi!" Libasan kuat kena di kepala Fang.

Mikael tidak dapat tahan geli di hati. Terbahak-bahak dia ketawa sambil menekan perut. Kamarul memang tidak bernasib baik dalam hal percintaan.

Kamarul mendengus tidak puas hati. Kepala menjenguk ke bawah. Serentak itu tangan Fang ditarik supaya menunduk. Peluh merintik ke dahi.

"Kenapa?"

"Ad... Ad dapat kertas tu. Ni semua kau punya pasal! Apasal lah aku pergi ikut rancangan tak ada kepastian macam ni." Kamarul serabaikan rambutnya.

Mikael tergeleng-geleng. Dia bangun dari mencangkung.

"Korang duduk sini. Biar aku yang pergi bagi dekat Aisyah." Mikael berlagak maco. Langkah kakinya penuh keberanian.

Apalah sangat beri surat cinta. Bukan surat cinta dia pun.

Kaki laju menuruni tangga. Fang, Navin dan Kamarul setia di tingkat 3, mata tidak dialih dari memerhati gerak-geri Mikael.

"Gila lah! Beraninya Mika. Selamba aje dia bagi luahan perasaan kau dekat Aisyah."

Kamarul mengangguk mengakui kebenaran kata-kata Navin. Fang mencebik.

"Aku punya tadi dua-dua dah hampir nak sampai ke tangan Aisyah dah. Adlina tu yang menyibuk."

"Banyaklah kau! Sembang!" Navin dan Mikael berkata serentak.

Bahu Kamarul ditepuk perlahan oleh Navin. "Aisyah ambillah kertas dekat tangan Mika. Hint cinta kau dah sampai pada Aisyah."

Mikael mendaki ke atas semula. Kamarul, Fang dan Navin menunduk kembali. Takut kalau Aisyah ternampak mereka di atas.

"Dah! Aku dah bagi," ujar Mikael sebaik tiba di hadapan mereka bertiga.

"Aisyah kata apa?"

"Aisyah kata ... terima kasih?"

"Tu je?"

"Itu aje lah. Atau kau mahu aku pergi beritahu dia yang kertas tu dari kau?" Mikael berpaling ke belakang. Siap sedia mahu pergi mengejar Aisyah semula.

"Eh! Jangan... Malu aku kalau dia rijek aku mentah-mentah."

"Adeh... Brader, apa kata kau pergi luah je. First come first serve." Fang mempersilakan.

Kamarul bangun dari mencangkung. Belakang baju yang melekat cat kapur dinding ditepuk sedaya yang boleh.

"Betul tu. Cakap sajalah, Rul. Bukan susah mana. Pergi depan dia, cakap ... I love you! Setel!" gesa Navin.

"Cakap senanglah. Yang hadap patah hati nanti aku tau. Aku akan tunggu sampai Aisyah betul-betul suka aku."

"Suka hati kau lah, Rul. Jangan kau melepas, sudah!"

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience