13

Short Story Completed 6432

"BAIK! Semua dah ada kumpulan masing-masing? Saya ulang, 4 orang satu kumpulan. Sepanjang perjalanan masuk sampai keluar, awak semua kena jaga kumpulan awak. Jangan berpecah."

Mikael berdiri di sebelah Kamarul. Fang dan Navin di belakang mereka berdua, bermain-main. Langsung tidak peduli dengan ucapan abang renger yang bertanggungjawab mengetuai kumpulan besar mereka.

Kamarul berdehem. Serta-merta suasana bertukar sunyi. Semua pelajar mengunci mulut. Perhatian ditumpu sepenuhnya kepada Cave Renger.

"Pergh! Kuasa abang ketua pengawas memang lain dari lain. Kita pun kalah, Boy." usik salah seorang Cave Renger bernama Man.

Pipi Kamarul memerah. Padahal tadi dia batuk sebab tekaknya gatal saja. Buat hal lah budak-budak ni....

"Okay! Group abang ketua pengawas paling depan. Ha, abang sarankan selang-seli kumpulan lelaki dan perempuan. Make sure kumpulan paling hujung, kumpulan lelaki."

Pelajar lelaki mengeluh.

"Jangan camtu... Kita lelaki! Kita kena lah jadi pembuka dan penutup. Lindungi bidadari-bidadari dunia ni. Diorang ni bukan boleh percaya. Nanti tiba-tiba hilang. Nak tangkap gambar lah, apa lah. Terus lupa semua. Jadi, sebagai lelaki ... kumpulan paling hujung kena pastikan kumpulan perempuan tak tinggal dekat belakang. Okay?"

Semua lelaki mengangkat tinggi ibu jari masing-masing tanda setuju.

"Orait! Gitu lah. Ni calon-calon ketua keluarga berjaya ni!" Man memandang Boy. Boy gelak saja.

"Yang bawa henfon, pastikan dah seal siap-siap waterproof bag telefon pintar. Nanti dah masuk dalam, dah gelap." Renger Boy bersuara. Kaki bergerak ke depan ke belakang memeriksa setiap pelajar.

Mikael gantung telefonnya ke leher dan diselit masuk ke dalam baju. Kamarul matikan terus telefon dan mengedap beg waterproof-nya. Fang keluarkan kamera GoPro miliknya.

Mereka memulakan perjalanan. Bermula dengan pendakian sehingga ke puncak dalam gua. Deretan anak tangga mereka daki dengan kelajuan sederhana. Semakin lama semakin tinggi.

Cave Renger menerangkan serba sedikit sejarah tentang Gua yang sedang mereka jelajahi. Setiap kali ada batuan di dalam gua yang berbentuk seakan-akan binatang, kumpulan besar mereka akan berhenti untuk mengambil gambar.

"Mak aih! Banyaknya tahi kelawar!" jerit Fang. Hidung di tutup.

Renger Man dan Boy tergelak. "Tahi kelawar orang guna jadi baja tanaman," ujar Cave Renger Boy.

Mereka teruskan perjalanan turun ke sungai di dalam gua. Semua mengeluarkan lampu suluh kecil masing-masing. Rata-rata mereka membawa head-lamp.

Kamarul letak lampu suluh kecil miliknya ke dalam mulut ketika mereka diminta untuk merangkak di dalam air, melalui lubang kecil yang hanya muat untuk melunjurkan badan sahaja.

"Abang Rul rilek je letak lampu suluh dalam mulut. Kita over gila siap beli head-lamp."

Fang tergelak kecil mendengar pujian pelajar perempuan kepada Kamarul. Kalau lah mereka tahu yang Kamarul sebenarnya tak mampu beli head-lamp.

Sebab Kamarul pelajar yang diminati di sekolah, segala perlakuannya terlihat gah saja dimata pelajar lain. Hakikatnya.... Hanya mereka yang tahu.

Mata Fang bertembung dengan mata Adlina. Senyuman Fang mati.

"Hmph!"

"Hmph!"

"Sudah-sudahlah tu. Kau orang berdua ni nak masam muka sampai bila?" Navin di sebelah mendengus. Memang sejak kejadian tarik-menarik rambut hari itu, Fang dengan Adlina memang pantang bersua muka.

"Sampai sakit di hati aku hilang," Fang sentuh dadanya.

Adlina mencebik. "Macam aku nak sangat bermanis muka dengan kau. Tak ingin!" Bergema suara Adlina. Semua berpaling memandang mereka berdua.

Adlina bergerak ke belakang. Di tolak Aisyah berdiri paling depan. Fang menjuih bibir. Dia bergerak paling depan dan meminta Kamarul untuk ke belakang sekali.

"Syah okay? Nak Rul tolong?" Tangan dihulur untuk membantu. Keadaan gua yang gelap membuatkan gadis itu teragak-agak mahu melangkah. Lagi-lagi dalam keadaan membongkok.

"Takpe," balas Aisyah. Huluran Kamarul ditolak. Tak kan lah dia mahu pegang tangan lelaki.

Aisyah kembali melangkah dengan penuh hati-hati. Kawan di belakang tidak henti-henti menarik bajunya.

"Eh! Syah! Jangan angkat kepala...."

Buk!

"Aduh!" Kamarul mengaduh kesakitan. Tangan dikibas-kibas.

Aisyah terjeda. Tangan Kamarul yang menahan kepalanya dari terhentak batuan yang tajam di atas kepala tadi, sedikit merah dan membengkak. Dia nampak kerana suluhan lampunya tepat ke tangan lelaki itu.

"A-awak okay ke?" Aisyah cemas.

"Takpe. Takpe. Sikit je." Belakang tangan di periksa. Hanya luka kecil kerana tergesel dengan batuan tajam di atas kepala mereka. Badan pun sudah naik sakit kerana membongkok dari tadi.

Tangan Kamarul ditarik mendekat. Aisyah perhati lama bahagian yang sudah kemerahan.

Kamarul tahan senyum. Dia rela bersakit-sakit begini kalau perhatian Aisyah lah habuannya. Apa sangatlah luka di tangan kalau hatinya terisi.

"Kenapa dengan tangan kau, Rul?" Mikael yang tadi di depan, kembali ke belakang apabila kelibat Kamarul jauh tertinggal.

"Tak. Tangan aku tergesel batu ni ha." Muncung memanjang ke atas.

Mikael senyum mengejek. Dia tersilap langkah. Sepatutnya tadi dia biarkan sahaja Kamarul berdua dengan Aisyah. Adeh.... Sorry, Rul!

"Nanti Aisyah minta cikgu ubat," ujar Aisyah. Riak penuh rasa serba salah. Kalau dia tak degil tadi, tak adalah tangan lelaki ini jadi mangsa.

Kamarul menggeleng. "Takpe, Syah. Sikit je."

"Kenapa ni? Rul kau luka ke?" Adlina di belakang sudah kembali ke depan.

"Sikit je. Takde apa lah ni." Tangan disorok ke belakang. Biarlah cuma Aisyah seorang yang diberi keizinan melihat luka di tangannya. Kenangan terindah Kamarul.

Wajah Aisyah dipandang. Tudung dan baju juga sudah lencun dek kerana merangkak dalam air tadi. Tapi, Aisyah masih comel!

Wajah Aisyah yang keanakan itu memang dengan mudahnya boleh mencairkan hati Kamarul. Pada orang lain, Aisyah mungkin tidak cantik mana. Tapi pada Kamarul, wajah Aisyah ada keindahan sendiri kalau dilihat betul-betul. Warna kulit Aisyah yang kecoklatan itu menutup keindahan sebenar raut di hadapan Kamarul ini.

Aisyah memang cantik!

"Rul! Kau menung apa lagi tu? Jalan lah dei. Orang belakang dah tunggu." Navin berlaga bahu dengan Kamarul.

Kamarul tersedar. Dari tadi dia syok tenung wajah Aisyah.

Aisyah menundukkan wajah. Segan ditatap lama-lama oleh Kamarul. Lelaki sekacak itu pasti sedang menilai kehodohan wajahnya. Pasti Kamarul geli melihat dia. Dia memang sudah biasa diperhatikan dengan pandangan begitu. Orang selalu pandang wajahnya lama dan mengata belakangnya. Bibir digigit lembut. Jantungnya berdebar kerana kegelisahan.

"Hati-hati, Syah...," pesan Kamarul ketika tangannya ditarik oleh Navin.

Navin membebel seorang diri di depan. Kalau dia biar Kamarul melayan perasan, memang makin menggunung rasa serba salah Aisyah. Kamarul ni tak boleh cover langsung. Paling pun, ego lah sikit. Jaga air muka. Kalau ditenung anak dara tu macam nak telan, semua orang pun dapat agak yang Kamarul syok dekat Aisyah.

"Weh, hentikan lah senyum macam kerang busuk kau tu. Seram lah!" Navin menggosok lengan.

Setiap kali dapat jumpa Aisyah, Kamarul akan tersengih seorang diri. Dia pula yang naik seram.

"Kenapa?" Fang mencelah.

Muncung Navin memanjang memberi isyarat kepada Fang.

"Patutlah dia tersengih sorang-sorang ni. Nak aku tolong lukakan tangan kau lagi tak, Rul? Anytime aku boleh buat. Demi kebahagiaan kau."

Kamarul tempeleng kepala Fang. Rasa pedih ditangan tadi kembali bila nampak muka Fang. Menjerit juga dia letak ubat kejap lagi ni!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience