Completed
6432
MIKAEL menghabiskan sisa rokoknya yang terakhir sebelum kotak rokok dikemekkan lalu dicampak masuk ke tong sampah. Telefon pintar dikeluarkan. Sekali lagi dia memeriksa teks pesanan dari Kamarul. Mata melilau mencari papan tanda kedai yang Kamarul hantar padanya sebentar tadi.
Setelah menemui apa yang dicari, Mikael mendaki naik ke tingkat dua. Pintu kaca pusat hiburan karaoke ditolak.
"Mika! Kau dah sampai!" Fang yang baru keluar dari tandas terus mendapatkan Mikael yang baru muncul di sebalik pintu.
"Zip seluar, wei...,"
"Ops! Sorry... Sorry... Ala, tak ada siapa nak tengok pun. Kau nak tengok ke?"
"Baik aku tengok aku punya."
Fang ketawa terbahak-bahak. Fang berjalan dahulu di hadapan, dan Mikael mengekor dari belakang. Mereka tiba di salah satu bilik hiburan paling hujung.
Pintu dibuka.
"AISYAH! Jangan ragu-ragu dengan cinta ini! Jangan ragu-ragu ku jadi kekasihmu! Percaya... Wei! Aku belum habis nyanyi lagi!"
Fang menyengih. Lagu lain mula dimainkan. Navin terbaring lesu di atas sofa.
"Dia ni memang terencat dah. Dari tadi dia ulang lagu sama. Nak muntah aku dengar." Navin mengetuk-ngetuk kepalanya.
Mikael berpaling. Mahu keluar dari situ.
"Hoi! Birthday boy, kau jangan nak lari!" jerit Kamarul dengan mikrofon masih di tangan. Navin bangun dari duduk. Cepat-cepat tangan menyeluk masuk ke dalam beg sandang.
Pop!
Bertebaran segala kertas-kertas kecil dari atas jatuh ke kepala Mikael. Keluhan dilepas panjang. Dia dah agak. Mereka bukan kecil lagi mahu buat kejutan hari jadi begini. Spoil!
Kamarul berdiri di atas meja kayu yang terletak di tengah-tengah bilik karaoke mereka. Lagu hari jadi dikumandangkan. Bingit!
"Rul! Suara kau sumbanglah. Bagi aku pula yang nyanyi!" Navin cuba merampas mikrofon di tangan Kamarul.
Kamarul meninggikan tangan ke udara, menghalang Navin dari merampas mikrofon di tangannya. Fang pula tenang menyanyi lagu jiwang di sofa. Pertelingkahan Navin dan Kamarul langsung tidak menganggu tumpuan Fang.
Mikael jatuhkan tubuhnya ke sebelah Fang. Setiap tahun hari jadinya tidak pernah Navin, Fang mahupun Kamarul lupa. Setiap tahun juga mereka akan berkaraoke sampai muntah.
"Kek mana kek?" soal Kamarul. Mata terhala pada Fang.
Fang terkebil-kebil.
"Dekat kedai. Aku belum bayar."
Navin membebel dalam bahasa india. Bermacam-macam perkataan makian keluar dari mulutnya.
Fang tutup telinga. Mencicit dia keluar dari bilik.
"Kek coklat!" jerit Kamarul.
"Vanilla!" Navin membangkang.
"Rokok!" laung Mikael dalam keadaan tidak bersemangat.
Kamarul mencampak sesuatu kepada Mikael sebelum dia kembali menyambung nyanyiannya.
Mikael sambut. Bungkusan dikoyakkan.
"Pen dengan pembaris kau bagi aku?"
Pen dan pembaris dibelek-belek. Memang sah pen dan pembaris biasa, Tiada yang istimewa.
"Itu aje aku mampu. Lagipun, kau perlu ke hadiah mahal-mahal? Kau boleh dapat semua tu tanpa perlu aku bagi pun." Kamarul menyeringai. Kepala digaru. Memang dia tak cukup dana mahu belikan hadiah yang mahal untuk Mikael tahun ini.
"Aku pula! Nah! Aku bungkus cantik-cantik kali ni untuk kau, Mika." Navin serahkan apa ditangannya kepada Mikael.
Kali ini Mikael buka dengan lebih berhati-hati. Navin memang suka buat loyar buruk. Tahun lepas Navin beri dia hadiah minyak wangi yang dia letak di dalam belon. Bila dia buka kasar-kasar, belon tersebut pecah. 3 hari juga dia rendam bajunya untuk menghilangkan bau minyak wangi yang melekat.
Mikael jeling Navin dengan ekor mata. Senyum Navin buat dia curiga.
Makin dia curiga, semakin kuat rasa ingin tahu. Tangan terus mengoyak bungkusan dengan penuh hati-hati.
Mata Mikael membulat. Dipandang Navin dengan rasa tidak percaya. Bibir sudah menyeringai tidak dapat menahan rasa teruja.
"Ini yang kau dah lama mahu kan? Aku beli untuk kau. Aku kawan yang baik tak?"
Kotak Vape atau dipanggil rokok elektrik itu dibuka. Bersinar-sinar mata Mikael.
"Kau lah kawan terbaik aku!" Kepala Navin ditarik dan dicium. Navin geli.
Kamarul mencebik. "Kau jangan ketagihan pula. Penat kitorang kumpul duit tau." Kamarul mengeluarkan kain poketnya. Membuktikan betapa pokainya dia hanya kerana menderma duit buat membeli hadiah Mikael.
Mikael tersengih. Vape tersebut dikeluarkan. Mahu cuba.
"Tadi kitorang dah rasmi dulu vape kau. Kira kau yang paling last lah. Sebelum bagi, lepas gian dulu." Kamarul mengekeh ketawa.
"Tak guna! Kena sanitize dulu ni. Tak jadi aku nak cuba. Tak pasal-pasal korang meragut ciuman pertama aku secara tidak langsung."
Kamarul letak mikrofon di tangan. Beg silang yang dibawa dari rumah, ditarik mendekat.
"Nah! Ini hadiah dari Mak aku. Dia jemput kau datang bila-bila. Nanti dia masakkan lauk kegemaran kau." Bekas makanan yang dikeluarkan dari beg, diberi kepada Mikael.
Mikael cepat-cepat menyambut. Bekas makanan dibuka. "Thanks, bro! Kegemaran aku ni!"
"Aku tahu," ujar Kamarul. Dikerling Mikael sekilas. Bibir tersenyum nipis.
"Kek dah sampai.... Wei! Korang dah bagi hadiah masa aku takde!" Fang muncung. Kotak kek diletak ke atas meja.
Kamarul dan Navin menyerbu kotak di atas meja. Langsung tak dipedulikan rajuk Fang. Fang jungkit bahu. Memang sudah dia agak, member tak akan pujuk dia. Peduli pun tidak!
"Eh, kau orang semua dah buat keputusan ke nak sambung belajar dalam bidang apa lepas SPM ni?" soal Navin yang baru mahu menyuap kek ke dalam mulut. Sudu plastik yang Fang sudah bawa siap-siap dari rumah itu memudahkan kerja membalun makanan. Tak payah berpinggan bagai. Suap terus aje!
Mikael geleng. Fang dan Kamarul mengangguk.
"Kau mesti nak sambung ke luar negara kan, Rul? Kalau lihat pada keputusan peperiksaan kau, kau boleh mohon tajaan penuh ke luar negara." Kek disuap ke dalam mulut. Sudunya berlanggaran dengan sudu Fang. Masing-masing mahu berebutkan coklat putih di permukaan kek.
Kamarul menggeleng. Sudu disuap ke dalam mulut. Air Coke yang Fang beli bersama dengan kek dibuka penutupnya. Cawan kertas dipenuhkan.
"Aku tak akan tinggal mak aku seorang diri di sini. Aku mungkin sambung dalam negara aje. Takde duit!" Kamarul melawak.
Memang dia tidak mampu. Hidup mereka setiap hari pun ikut nasib jualan kuih-muih emaknya. Ada hati pula dia mahu menyambung pelajaran ke luar negara? Dia tak akan bebankan wanita kesayangannya itu.
"Nanti aku usahakan mana-mana universiti yang sudi bagi tajaan penuh. Aku kalau boleh tak mahu susahkan mak aku nak tanggung sara hidup aku pula. Kalau ada, aku sambung. Kalau aku tak dapat tajaan mana-mana ... aku kerja terus ajelah. Kerja sapu sampah pun takde hal." Panjang lebar Kamarul bercerita tentang perancangan masa hadapannya.
Mikael terjeda seketika sebelum membuka mulut. Makanan pemberian emak Kamarul sudah licin separuh.
"Kalau kau mahu ... aku boleh minta tolong ayah aku taja kau belajar, Rul. Cakap saja pada aku bila-bila kau perlu," ujar Mikael. Dia tahu benar keadaan kewangan keluarga Kamarul.
Sekali pandang, orang pasti akan sangka Kamarul datang dari latar belakang keluarga yang kaya-raya. Pakaiannya bersih, kemas dan terlihat baru sentiasa. Kamarul memang rapi orangnya. Siapa sangka, lelaki ini sebenarnya datang dari keluarga papa kedana.
Kamarul pandang wajah Mikael seraya menggeleng kepala. Dia mahu usaha sendiri. Lagi pun, sudah terlalu banyak pertolongan keluarga Mikael pada keluarganya. Dia tak mahu terlalu selesa dengan pemberian.
"Aku mahu usaha sendiri kali ini, Mika. Ayah dan Mak kau dah banyak bantu kami. Nanti kalau aku berjaya, aku tak lupa sebut nama diorang masa naik pentas ambil skrol. Kalau aku berjaya lah, ya? Kalau tak, aku titipkan doa sajalah dekat mak ayah kau."
Mikael menampar kuat bahu Kamarul. "Kau ni...."
"Betul tu! Aku pun sama, Rul. Aku sambung dalam negara aje. Ikut pada result peperiksaan aku ... mana yang sanggup terima aku, aku pergi aje." Fang menuding sudunya ke wajah Kamarul.
"Aku mungkin ke luar negara. Kau orang faham-faham sajalah keluarga aku. Semua adik-beradik aku belajar luar negara. Cantikkan imej bisnes keluarga kononnya walaupun aku langsung tak minat mahu kerja dengan keluarga sendiri. Aku nak buka kedai jual game!" Navin mencapai cawan kertas yang sudah diisi air Coke oleh Kamarul tadi.
Semua mata memandang kepada Mikael. Menanti bibir itu pula untuk berkata sesuatu berkenaan rancangan masa depannya.
Mikael mengeluh. "Aku tak ada perancangan lagi."
"Bukan kau kata kau nak jadi engineer?"
"Aku kata, bukan ayah aku. Lagipun result aku tak hebat macam kau, Rul. Nak masuk bidang tu, angan-angan kosong aje kut."
Semua menggumam serentak. Tersedar akan reaksi yang sama ... semua ikut ketawa.
"Apa kata kita buat study-group? Rul, kau jadi Sifu kami," cadang Fang.
"Aku tak kisah. 7 ringgit sejam. Per kepala tau."
"Kurang ajar. Sempat lagi kau pau kami." Navin memanjangkan tangan mahu menampar kepala Kamarul.
"Faham-faham lah. Aku kena simpan duit untuk sambung belajar." Kamarul mengekek ketawa.
Mereka habiskan sisa kek. Mikrofon yang tadinya jadi rebutan, terkulai layu saja di atas sofa. Masing-masing melayan permainan di atas talian. Hampir setengah jam mereka begitu. Hanya setelah Kamarul offline, baru masing-masing mengangkat wajah dari skrin telefon.
"Weh, nak kemana? Belum habis lagi ni. Lagi berapa minit je nak tamat ni. Kau dah off dulu."
Kamarul menyilang beg ke bahu.
"Aku kena balik lah. Mak aku seorang diri dekat gerai. Kejap lagi nak tutup dah."
Mikael ikut offline. Fang dan Navin ternganga.
"Aku ikut sekali lah. Dah lama tak jumpa mak kau," ujar Mikael. Dia bangun dari sofa.
Fang dan Navin pandang sesama sendiri. Mereka berdua angguk.
"Jomlah! Aku nak ikut sekali!"
"Aku pun!"
Kamarul tercengang. Serba salah mahu bawa kawan-kawannya ke gerai kecil mereka. Lagipun, gerai tepi jalan saja. Kotor dan berhabuk.
"Tak payah lah. Nanti korang kena paksa jual kuih nanti."
Navin menepuk bahu Kamarul.
"Muka hensem macam aku ... kalau jual kuih pun akan tetap hensem," kata Navin dengan nada bangga.
"Aku pun!" Fang angkat tangan setinggi yang boleh.
"Aku memang tak dinafikan lagi kekacakannya." Mikael mengusap dagu.
Kamarul buat gaya mahu muntah mendengar kata-kata Navin.
Navin, Fang dan Mikael berjalan dulu di depan dan Kamarul ikut dari belakang. Hujung bibir Kamarul terjungkit.
Share this novel