Completed
6432
Ku sedar ku tak seberapa
Jika dibanding mereka
yang jauh lebih megah dari diri ini....
Apa yang mampu ku berhias
Hanyalah hati yang ikhlas
Terpendam simpan untuk dia yang sudi
Mencintai aku dengan seadanya
Mencintai aku bukan kerna rupa
Dalam waktu sedu
Dalam waktu hiba
Ku harapkan dia rela
Mencintai aku dengan seadanya
Sanggup menerima insan tak sempurna
Atau mungkin cinta sebegitu hanya
Kisah dongeng saja....
Aisyah membuka matanya perlahan-lahan. Langit biru diluar tingkap, ditatap. Dagu ditongkat dengan menggunakan tangan. Earphone bersumbat ke telinga. Menghayati bait-bait lirik lagu yang berkumandang di corongnya.
Adakah lelaki yang dapat menerima dia seadanya? Wajahnya yang langsung tidak cantik mahupun menarik?
Sedikit sebanyak hatinya mengakui kebenaran lirik lagu tersebut. Cinta tulus ikhlas hanya suatu dongengan. Dongengan yang dikumandangkan sedari kecil yang kononnya setiap orang layak menggapainya.
Pantulan wajah di skrin telefon dipandang. Aisyah mengeluh hiba.
Tak mungkin insan seperti dia layak bergandingan dengan sesiapa. Apalagi mahu mencari susuk seorang lelaki yang ikhlas menerima dia seadanya. Lelaki sukakan kecantikan dan dia tak cantik!
Bibir dikemam. Menahan rasa sakit setiap kali dia menghina dirinya sendiri. Kesakitan yang berpunca dari hinaan yang dilontarkan kepada diri sendiri dan hinaan itu benar belaka.
Pen diatas meja diangkat semula. Mata pena menari-nari di atas kertas secara rawak. Contengan penuh satu muka surat. Hatinya terusan menjerit sakit. Sakit kerana terpaksa hidup dengan ketidaksempurnaan begini.
Dada berombak deras. Puas. Muka surat yang diconteng tadi dikoyakkan. Aisyah menuju ke arah tong sampah yang diletakkan di depan pintu masuk perpustakaan.
Kaki dilangkah laju seiring dengan lajunya deras ombak di dada. Tanpa diduga, tubuh Aisyah terlanggar tubuh seseorang. Aisyah terdorong jatuh ke belakang. Punggung menghentak lantai.
"Hoi! Buta ke?"
Kepala diangkat laju. Rasa serba salah mencanak tinggi.
Tiga orang lelaki melayu mengerumuni Aisyah. Sinis.
"Ceh! Ingat aku langgar perempuan cantik tadi. Sial lah nasib aku hari ni."
Aisyah terus menundukkan wajah. Gelak tawa lelaki-lelaki tersebut bagaikan pisau yang sedang menghiris hatinya sedikit demi sedikit.
Bukan dia minta wajah begini! Kenapa dia dipersalahkan atas sesuatu yang bukan kehendaknya!
"Tepi sikit perempuan hodoh. Nanti berjangkit pula muka tu dengan aku. Kau tak cuci muka ke? Kotor."
Aisyah mengesot ke tepi. Memberi laluan kepada tiga orang lelaki itu untuk masuk.
Pap!
Kepala lelaki yang menghinanya tadi ditampar oleh seseorang. Aisyah pegun. Mata naik memandang wajah orang yang berani menampar gangster sekolah mereka, Fattah.
"Kau ingat sekolah ni bapak kau punya?" ujar Mikael bernada sinis.
Fattah berpaling tubuh menghadap Mikael. Kecil besar sahaja dipandang musuh seterunya itu.
"Kau sibuk kenapa? Girlfriend kau ke?" sindir Fattah. Matanya beralih ke dua orang rakan di belakang.
Tangan Aisyah Mikael capai, memaksa gadis itu berdiri semula.
"Aku tanya, sekolah ni bapak kau punya ke? Sekolah ni bapak aku punya. Bapak aku yang bayar segala kelengkapan belajar kau, meja kau, buku pinjaman kau. Semua dari duit donation bapak aku dengan bapak dia ni." Ibu jarinya dihala pada Aisyah.
Fattah mengetap gigi. Penumbuknya digenggam.
Baru dia mahu buka mulut, matanya tertangkap kelibat Kamarul yang sedang menghampiri dari arah belakang Mikael.
"Dah! Jom lah! Buang tenaga cari pasal sebab pompuan ni."
Fattah melanggar bahu Mikael dengan kasar. Matanya bertemu dengan anak mata Kamarul. Terus dilarikan pandangan terus ke hadapan.
"Kenapa ni? Aisyah kenapa?" soal Kamarul sebaik tiba di sebelah Mikael.
Mikael geleng. Aisyah meluru masuk ke dalam perpustakaan semula. Buku-bukunya dikemaskan dan dimasukkan ke dalam beg.
"Syah? Kenapa? Beritahu Rul. Fattah ganggu Aisyah ke?" Kamarul muncul dari belakang. Tangan menongkat tubuh di meja.
Aisyah membisu. Diabaikan Kamarul begitu sahaja. Malu kerana adegan tadi dilihat oleh orang lain. Adegan dia tidak berani mempertahankan diri sendiri pun.
Mikael menarik kerusi yang membelakangi kerusi Aisyah. Kaki depan kerusi dijungkit.
"Kau memang tak ada mulut ke? Orang tanya tak jawab. Bila kena tindas pun boleh buat bodoh aje. Kau ingat kau tiang ke?" perli Mikael.
Kamarul tendang kerusi Mikael. Hampir saja Mikael mahu terjatuh namun sempat diimbang kerusinya dengan memegang meja.
Aisyah melanggar kasar tubuh Kamarul, membuatkan lelaki itu beralih ke tepi. Panggilan Kamarul langsung tidak di peduli. Paling pun pasti Kamarul dan Mikael akan mengata belakang dia sebentar lagi.
Dia belajar dari kesilapan. Kesilapan kerana memberi kepercayaan kepada orang lain dengan masalahnya.
"Kenapa? Fattah buat apa?"
Mikael jungkit bahu. "Aku tak dengar sangat. Aku nampak si Aisyah dah terjelepok dekat lantai. Aku malas nak peduli tapi sebab itu wanita idaman kau, aku tolong juga lah. Nanti kalau aku buat-buat tak nampak, mesti kau jeling aku."
Kamarul menyikat rambut dengan jari ke belakang. Hampa.
Kenapa Aisyah selalu mengelak darinya? Jangan kata nak tegur, Aisyah buat tak peduli lagi ada lah.
Kamarul mengorak langkah meninggalkan Mikael sendirian.
"Kau nak ke mana?" soal Mikael. Buku cerita kanak-kanak yang baru mahu diselak, ditutup dan diletak ke atas meja.
"Nak pergi claim hutang. Aku nak Fattah terjelepok depan mata aku."
Mikael mengeluh. Dia masukkan semula kerusi rapat ke meja. Kalau Kamarul sudah kata begitu, dia ikut saja. Mana boleh dia lepaskan peluang tonton babak yang jarang dapat ditonton sekarang.
Langkah Kamarul laju. Jejak Fattah diekori. Dia menuju ke blok makmal. Bibirnya tersenyum sinis sebaik ternampak Fattah dan kawan-kawan. Memang sudah agak Fattah pasti akan melepak di tangga blok makmal. Memang bangunan ini jarang ada pengunjung, kecuali ketika sesi pembelajaran.
"Apa?" soal Fattah. Rokok ditangannya dimatikan.
"Kau nak rampas rokok aku ke, pelajar contoh? Nah! Ambil lah! Aku ada berlambak lagi dekat rumah," sindir Fattah diiringi gelak ketawa. Kotak rokok dicampak ke arah Kamarul.
Kamarul maju beberapa tapak. "Aku nak kau jatuh terjelepok depan mata aku."
Mikael di belakang senyum mengejek. Kamarul memang tenang orangnya sejak jadi pelajar contoh ini. Tapi ... hanya mereka-mereka dan Fattah yang tahu fitrah Kamarul yang sebenarnya.
Fattah mengetap gigi. Geram melihat riak Kamarul yang seakan memperlekehkannya. Lagi-lagi Mikael di belakang sedang mengejek.
"Apasal aku kena ikut cakap kau? Boleh pergi mampus!" Fattah mendaki naik ke atas. Dia mahu pergi dari situ. Malang sekali pagar tangga di tingkat bawah berkunci. Hanya satu laluan saja untuk mereka keluar dari mencari pasal dengan Kamarul.
Kamarul menghalang laluan. Kedua tangan dimasukkan ke dalam kocek seluar.
"Kau buat-buat jatuh sendiri atau aku jatuhkan kau? Jatuh macam mana kau buat Aisyah jatuh tadi."
Fattah tergelak. Kawan-kawan dibelakang membatu.
"Sejak bila kau jadi hero dalam diam ni? Eh, perempuan tu jatuh sendiri lah!" Fattah merempuh tubuh Kamarul. Dalam fikirannya cuma fikir mahu lari sahaja.
Tangan Fattah, Kamarul cengkam kuat. Dipusingkan lengan lelaki itu sekuat hati menyebabkan tubuh Fattah akur dengan gerakan tangannya. Kaki hilang tempat menjejak dan tubuh pula hilang keseimbangan. Terlungkup Fattah jatuh mencium tangga.
Mikael ketawa terbahak-bahak menekan perut.
Kamarul tendang perlahan tubuh Fattah yang terkulai di deretan anak tangga.
"Sekali lagi kau ganggu Aisyah, aku akan ganggu kau balik."
"Aku dah kata, dia jatuh sendiri...," ujar Fattah. Tubuh cuba didirikan kembali. Sikunya bercalar dek kerana terseret di simen tangga.
Kamarul buat tidak tahu. Puas hati dia dapat balas semula apa yang jadi pada Aisyah tadi. Berani-berani Fattah ganggu gadis itu. Dia akan balas sekali ganda lebih sakit jika perlu.
"Kau ingat kau dah cukup baik bila satu sekolah iktiraf kau? Weh! Kau tu sama macam aku. Anak tak guna!" jerit Fattah ketika Kamarul dan Mikael semakin menjauh.
"Boleh pergi mampus dengan lencana ketua pengawas kau! Boleh pergi mampus dengan status pelajar contoh kau! Kau ubah macam mana sekalipun, kau Kamarul yang sama! Anak tak guna! Bagus bapak kau dah mati!"
Air liur diludah keluar. Dia bayangkan dia sedang meludah wajah Kamarul.
Mikael mahu berpatah kembali namun ditahan.
"Biar aje. Aku tak heran."
"Rul..."
"Aku dah kata yang aku dah berubah. Apa dia kata sikit pun tak beri kesan pada aku. Kau jangan risaulah."
Mikael angguk.
Share this novel