3

Short Story Completed 6432

ADLINA menggeliat sepuas hati. Lega rasanya setelah berjam-jam lamanya mereka mencatat nota sambil meniarap di atas lantai surau yang sejuk ini. Suhu pendingin hawa dinaikkan. Sejuk!

Aisyah dilihat baru selesai mengerjakan solat fardu zuhur. Adlina menggeleng kepala. Solat lagi lambat-lambat. Tadi dia ajak Aisyah solat sekali, Aisyah leka sangat mengerjakan latihan matematik tambahan.

Adlina terbaring lalu berpusing-pusing di atas lantai. Dalam surau sahaja mereka bebas untuk tidak memakai tudung memandangkan tidak ramai pelajar yang suka datang ke surau. Kebanyakan masa surau ini sunyi. Hanya Ustaz Adi yang datang setiap kali masuk waktu solat.

Gelak ketawa kumpulan lelaki di bahagian Ikhwan buat Adlina menyampah.

Ya, satu-satunya pengunjung surau ini yang paling dia tidak suka.

Adlina menutup mata. Cuba menganggap Fang dan rakan-rakan di depan tiada di sini namun gagal. Ada sahaja yang mereka ketawakan dan borakkan. Tak guna!

Tangan mencapai kain tudung yang di sangkut di atas sofa tanpa berlengah, Adlina menapak ke tirai yang memisahkan bahagian lelaki dan perempuan. Aisyah yang baru selesai melipat kain sejadah tertiarap kembali menyiapkan kerjanya yang tertangguh.

"Oi! Diamlah sikit. Orang nak menenangkan diri pun jadi tak tenang," marah Adlina. Kain yang memisahkan bahagian lelaki dan perempuan itu diselak sedikit.

Sempat dia menangkap susuk satu per satu manusia di bahagian ruang solat lelaki. Semua mereka sedang berebut sofa. Hanya Kamarul sahaja yang tidak sertai sekali. Dapat dia tangkap susuk Kamarul yang sedang berdiri di saf. Baju pengawas berwarna biru itu buat Adlina tahu yang itu Kamarul.

"Hm, dia pun ada dekat sini... Nak tenangkan diri, pergilah balik rumah. Tak ada siapa nak bising."

Adlina ketap bibir. Fang memang suka menyakitkan hati dia. Sebab inilah dia menyampah dengan kumpulan si Fang ni. Mulut Fang di dalam kategori mulut longkang. Busuk!

Fang menjelir lidah. Makin hangat juga hati Adlina melihat gelagat Fang. Mikael sudah pengsan di atas sofa. Navin duduk sambil meriba kaki Mikael. Fang dan Adlina saja tidak henti-henti berperang mulut.

"Sudahlah tu, Ad. Biar jelah diorang. Bila kerja nak siap kalau kau layan si Fang tu."

Suara Aisyah bergema. Kamarul yang baru selesai solat terus menoleh. Bibirnya menyeringai.

"Sabar, Rul. Kau jangan cari pasal pergi selak pula kain rentang tu," bisik Fang.

Kamarul ketuk kepala Fang dengan penumbuknya. Dia tidak lah gila sebegitu sekali. Mampus dia kena kejar dengan bapak Aisyah kalau dia pandai-pandai tengok anak dara itu pula.

Mikael menggeleng. Tidak puas tidur. Dia dapat pengsan sekejap sahaja. Fang dan Adlina berbalah, bagai mahu runtuh surau kecil ini. Mikael bangun dari pembaringan. Giliran dia pula mahu solat. Tadi matanya kantuk benar..

Mikael menapak ke luar surau. Tempat wuduk lelaki biasanya di luar. Bilik wuduk di dalam surau hanya terdapat di ruangan solat wanita.

Air paip dibilas ke wajah. Segar!

Usai mengambil air wuduk, Mikael segera ke mengerjakan solatt. Suara Navin dan Fang berbual sedikit sebanyak mengganggu tumpuannya tetapi dibiarkan. Dia faham Fang tidak tahu pun silapnya. Kemudian nanti akan dia ingatkan Fang.

Kamarul pula duduk melunjur di bucu surau. Kawasan kegemarannya. Jauh dari orang lain. Buku cerita novel bergenre misteri yang dipinjam di perpustakaan tadi dibuka semula. Tenang.

Tetapi, cuma sebentar. Fang duduk di sebelah. Dengan hadirnya Fang, maka tertutuplah pintu ketenangan Kamarul. Dan terkunci teruslah pintu ketenangannya apabila Navin juga ikut duduk di sebelahnya.

Kamarul meraup wajah. Buku ditangan, diturunkan ke riba.

"Rul, aku nak tanya lah."

"Hm, apa dia?" Kamarul memandang dinding putih surau.

Fang bernada berbisik. "Apa yang kau suka pada Aisyah? Macam mana kau boleh suka dia? Aku musykil."

Kamarul mengeluh sepanjang yang boleh.

Ya, Fang musykil lagi. Dia lah bapa segala kemusykilan.

"Bukan apa ... Aisyah itu kan biasa-biasa aje. Kau ni segak, kacak, abang popular di sekolah. Kalau kau bergandingan dengan Aisyah, jauh beza!" bebel Fang lagi. Tangannya siap menggambarkan beza kecantikan Aisyah dengan kesegakan Kamarul.

Memang di pandangannya Aisyah merupakan seorang gadis yang tak akan berjaya menarik minat sesiapa. Wajahnya biasa-biasa. Kulitnya sedikit gelap, berjerawat. Kalau mereka berselisih, kebanyakan masa Aisyah ini riaknya kosong saja. Senyum tidak, marah tidak.

Dia hairan juga. Apa yang membuatkan Kamarul yang segak lagi hangat ini jatuh angau pada gadis biasa-biasa seperti Aisyah?

Hujung bibir Kamarul terjungkit. Terbayang Aisyah sahaja dia sudah rasa melayang-layang bahagianya. Dia tak pernah rasa begini.

Memang betul apa yang Fang kata... Kalau diikutkan, Aisyah langsung tiada ciri idamannya. Setelah Kamarul jatuh suka tanpa sengaja, ciri wanita idamannya berubah seratus peratus kepada ciri seorang Aisyah.

Dadanya disentuh. Sebut nama Aisyah di dalam hati saja jantungnya sudah berdebar sebegini hebat.

"Dia... Er... Dia ... entahlah. Aku tak tahu. Aku suka segalanya tanpa sebab," balas Kamarul dalam nada berbisik juga.

Navin beriak terharu. Tidak dia sangka hati Kamarul sebegini suci. Padahal masa sekolah rendah dulu, Kamarul lah paling tidak berperikemanusiaan.

"Kau suka dia mesti dah lama kan? Sebab kau berubah, Rul. Dari budak nakal, kau berubah jadi pelajar contoh." Fang tanya lagi.

Kamarul garu belakang tengkuknya. Segan mahu mengaku. Memang dia cuba yang terbaik untuk menarik perhatian Aisyah selama dua tahun ini. Dan tahun ini peluang terakhirnya.

Kamarul tersedar. "Weh! Tapi melampau lah tu panggil aku budak nakal. Aku debik muka kau nanti." Penumbuk dihadap ke depan muka Fang.

Navin mengapi-apikan. "Ha, debik dia Rul. Debik! Dia lapar kasih sayang kau tu."

"Lovestruck," sampuk Mikael yang baru selesai mengerjakan ibadah.

Semua mata tumpu kepada Mikael. Mikael duduk bersila di depan tiga orang sahabat baiknya.

"Aku rasa itu apa yang orang panggil 'Lovestruck',"

Semua tiada reaksi. Mikael mengeluh. Dia berdiri dan buat gaya hatinya di panah sesuatu dan jatuh terbaring di lantai.

"Faham?" soal Mikael.

Semua geleng.

"Kau tengah asah bakat berlakon ke?" Navin ketawa.

"Bam! Salah! Sungguhnya kawan-kawan aku memang jahil ilmu cinta."

Semua mereka buat muka toya. Menyampah dengan Mikael. Acah tahu aje.

"Okay... Okay... Lovestruck means... to be hit by love. Kau dirempuh oleh emosi cinta. Letupan rasa cinta yang teramat terhadap seseorang."

Mulut semuanya melopong. Terangguk-angguk kepala masing-masing mendengar hujah Mikael.

"Also, Lovestruck is considered as a short-term mental illness brought on by the intense changes associated with romantic love."

Navin dan Fang bertepuk tangan. Kamarul pula terkulat-kulat.

"Mental Illness? Biar betul?" Kamarul was-was.

Mikael angguk. " Simptom dia ... kau ada euphoria?"

"Euphoria? Perasan terlebih gembira, teruja? I guess, yes."

"Susah tumpu perhatian?"

"Sometimes. Bila aku teringatkan dia."

"Tak selera makan?"

"Err... bila teringatkan dia. Ya!"

"Stress?"

Kamarul menggerak-gerakkan muncung. "Stress macam mana?"

"Macam kalau kau teringatkan dia, kau stress?"

"Ada tapi tak selalu."

"Bila kau stress, kau ada buat sesuatu berulang kali untuk distress?

Kamarul teragak-agak mahu angguk. Antara yang selalu dia buat adalah dia selalu mengulang baca ayat-ayat yang sama. Atau dia akan berulang-alik melepasi kelas Aisyah hanya untuk melihat wajah gadis itu. Ada juga kebiasaannya suka membasuh tangan setiap kali dia di dalam keadaan tertekan. Tertekan memikirkan cara mahu menarik perhatian Aisyah.

"Bro, kau memang dilanda love-struck!" Bahu Kamarul ditepuk beberapa kali.

Kamarul terdiam.

"Tapi, takde apa-apa kesan buruk kan?" Navin bertanya bagi pihak Kamarul. Nampaknya abang Kamarul sedang terkejut sehingga tak mampu berkata-kata.

Mikael tersengih. Mata menjeling Kamarul yang masih beku.

"Tak. Cara nak atasi... guna attachment theory and everything will be okay. Boleh kata, brader ini perlu dibalas cintanya tak pun dia perlu feedback positif dari pihak lagi satu tu." Bibir Mikael memuncung ke arah ruang solat wanita. Puas hati Mikael dapat mengenakan Kamarul.

Kamarul ketap bibir. Buku ditangan, dibaling ke arah Mikael.

Kalau itu, dia pun tahu!

"Assalamualaikum!"

Kepala mereka semua berpusing. Mikael dan Kamarul menjawab salam.

Ustaz Adi masuk. Senyum tak lekang di bibir.

"Ha, Ustaz dah agak kamu semua mesti di sini. Ustaz ada perkara nak minta tolong kamu."

Kamarul bangun dari lantai. Huluran salam Ustaz Adi disambut. Begitu juga semua yang lain. Navin dan Fang sudah terlalu biasa dengan salam-menyalam cara orang Islam ini.

"Minta tolong apa, Ustaz?" soal Kamarul. Yang lain menanti sahaja di belakang.

"Sebenarnya, pertandingan nasyid peringkat sekolah dah dekat. Tapi ada budak nasyid saya yang tak dapat turut serta. Jadi saya nak minta awak berempat tolong ganti tempat mereka, boleh?"

"Kami berempat? Sekali dengan Fang dan Navin?"

Fang dan Navin saling berpandangan.

"Ya. Nasyid ni nyanyi lagu macam lagu negaraku aje Fang, Navin. Tak salah apa pun kalau awak berdua join sekali," jelas Ustaz Adi. Nadanya sedikit mendesak.

Tiba-tiba suara Adlina mengekek ketawa bergema ke segenap ruang surau mereka. Aisyah dan Adlina yang sudah berkemas dan menggalas beg ke bahu itu muncul dari sebalik tirai.

"Ambil saja mereka semua ni nasyid, Ustaz. Dah duduk melepak dari tengahari sampai petang dalam surau ni, setiap hari pula tu ... kena lah bayar balik bil penghawa dingin yang mereka pakai ni dengan titih peluh diorang," sindir Adlina.

Fang mahu maju namun ditahan oleh Navin. Kakinya dilayang tinggi. Adlina jelir lidah. Aisyah juga ketawa.

Mendengar ketawa Aisyah, Kamarul teruja.

"Boleh, Ustaz!"

Navin, Mikael dan Fang terkejut. 

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience