Completed
6432
"ABANG, saya nak kuih ni satu!"
"Baik!" Kamarul berpaling.
Anak mata mereka bertembung. Jantung Kamarul kencang. Hampir terlepas plastik di tangan.
"Aisyah... Hai...,"
Aisyah mengetap bibir. Dipandang Kamarul dari atas ke bawah. Sapaan Kamarul tidak dijawab.
"Aisyah, lambat datang hari ni. Sibuk ke?" Puan Hajar muncul dari sebalik tubuh Kamarul.
Aisyah mengangguk lambat-lambat. Pandangan mata dilarikan dari terus menatap mata Kamarul.
"Mak kenal ke Aisyah ni? Satu sekolah dengan Rul," soal Kamarul sedikit teruja. Memang bertuah sungguh dia hari ini. Dapat bertemu dengan Aisyah di hari cuti. Kalau tidak, manakan dapat dia tatap wajah Aisyah kecuali di sekolah. Itu pun dipandang curi-curi sahaja.
Puan Hajar mengangguk. Aisyah menyalami tangan Puan Hajar sebagai tanda hormat. Memang setiap petang dia akan ke sini membeli kuih. Tak sangka wanita di hadapannya ini emak kepada Kamarul, lelaki yang paling dibenci.
"Lah... Aisyah sama umur dengan anak makcik lah, ya? Kamarul SPM tahun ni. Aisyah pun sama?" Kuih yang diminta oleh Aisyah, Puan Hajar masukkan ke dalam plastik.
Aisyah angguk lagi. Mulut terkunci rapat. Hilang terus mulut becoknya dengan Puan Hajar selama ini. Yang Kamarul pun satu, tidak habis-habis merenung wajahnya. Dia tahu lah dia tidak cantik, kulit berjerawat sana sini! Tak perlulah Kamarul pandang dia macam tak pernah nampak orang kulit berjerawat.
"Nasib Aisyah cepat. Kalau tidak, karipap kegemaran Aisyah habis tau. Makcik memang simpan untuk Aisyah."
Kamarul beralih setapak ke belakang tatkala si Emak mahu mencapai kuih yang terletak dihadapannya. Mata masih setia di wajah Aisyah. Akan dia salin gambaran ini kemas-kemas dalam fikiran dan hati. Bila rindu, boleh juga dikenang-kenang sendiri.
"Aisyah dari mana?" Ramah pula mulut Kamarul mahu bertanya. Sayang jika peluang keemasan begini terlepas.
"Kelas tuisyen," balas Aisyah sepatah.
"Aisyah pergi tuisyen? Hm, Rul tak mahu pergi? Rul nak SPM dah. Kena tumpu lebih pada pelajaran," tawar Puan Hajar. Kamarul dibelakang dikerling meminta kepastian.
"Tak apa, Mak. Rul belajar sendiri je. Lagipun, sama aje belajar dekat sekolah dan dekat mana-mana pun...," tolaknya.
Ikutkan, memang dia juga mahu ke kelas tusiyen. Dan keinginan yang satu itu semakin berkobar-kobar pula bila dapat tahu yang Aisyah juga ada menyertai kelas tambahan di luar. Tapi, keinginan terpaksa dilupakan. Jangan kata kelas tuisyen, nak bayar duit yuran kelab persatuan pun dia berkira. Lagi-lagi mahu bazirkan duit ke kelas tambahan berbayar. Dia sanggup pinjam saja buku dari perpustakaan. Nak buku soalan yang bagus-bagus, pinjam saja Mikael punya. Dia memang peminjam setia!
Aisyah lega. Nasiblah Kamarul menolak tawaran si emak. Buatnya Kamarul mendaftar di pusat tuisyen yang sama dengannya, pasti tidak tenang mahu belajar.
Kamarul beralih tempat, melayan pelanggan lain yang baru datang.
Aisyah mencuri pandang wajah Kamarul. Iri sungguh dia dengan ketampanan dan kesempurnaan wajah lelaki itu. Bersih, cerah, segak, bulu matanya walaupun pendek tapi lentik. Kening hitam pekat. Rapi saja.
Lelaki idaman pelajar wanita di sekolahnya. Siapa yang tak mahu bergandingan dengan Kamarul yang serba boleh? Pandai, kacak, bertanggungjawab, berkepimpinan, kesayangan guru-guru. Boleh dikata, sesiapa yang dapat menakluki Kamarul ... dia akan jadi wanita yang hebat kerana setakat ini Kamarul terkenal dengan julukan 'teruna idaman'. Bersih dari segala gosip cinta dan Kamarul juga tidak pernah melayan mana-mana luahan cinta.
Jauh beza dari dia. Comot, kusam, gelap, berjerawat. Hidung pun tak mancung. Bibir pucat. Lesu saja. Ini pun dia sedaya upaya menguruskan badan. Kalau tidak, pasti diejek selalu.
Wanita idaman sekolah? Pirah!
Adlina seorang sahaja yang sudi jadi kawan baiknya walaupun Adlina itu cantik macam model catwalk.
Huluran Puan Hajar disambut. Beberapa keping not ringgit 10 diberi. Digulung-gulung not ringgit tersebut supaya wanita di hadapannya ini tidak perasan.
"Eh, banyak sangat ni Syah. Syah!"
Aisyah sudah berlari ke kereta milik ayahnya. Tangan melambai-lambai seraya bibir mengukir senyum.
Kamarul terdiam. Jantungnya bagai dipanah asmara. Senyuman yang mahu dia rakam dan tonton sepanjang hidup.
"Mak berkenan tak dengan Aisyah tu?" Kamarul mengusik.
Puan Hajar menjeling. Belakang tubuh Kamarul ditampar kuat.
"Sekolah tak habis, gatal nak berkenan pada anak dara orang. Ada duit, baru buka mulut. Takde duit, jangan berangan."
Kamarul tersengih. Belakang tengkuk digaru.
"Rul! Aku dah habis jual kuih mak kau!" jerit Fang dari jauh sambil mengayuh basikal.
"Rul! Aku yang habiskan dulu. Diorang lambat!" Navin membangkang. Basikal Fang dipintas.
Mikael di belakang selamba menghembus asap vape-nya sambil bersantai-santai mengayuh.
Fang, Navin dan Mikael memberhentikan basikal mereka betul-betul di depan warung kecil milik Puan Hajar. Bakul tempat mereka isi kuih tadi diserah semula kepada Kamarul.
Kali ini mereka berempat membantu mengemas gerai dan menutup payung. Langit sudah bertukar warna. Sekejap lagi gelap menyapa. Kalau tidak kemas sekarang, susah pula mak Kamarul mahu angkat dan bawa balik segala kelengkapan meniaganya.
"Tadi Aisyah datang kedai aku." Kamarul tersengih-sengih.
Navin, Fang dan Mikael mengusik. "Untunglah... Kami ni apa pun takde. Nak pandang awek mana satu pun tak tahu. Mesti best ada seseorang yang kita suka, kan?"
Kamarul mengangguk dan menggeleng. "Best tapi tak best. Apa gunanya suka tapi tak dapat mendekati. Pandang dari jauh aje. Hm...."
"Citarasa kau ni pelik lah, Rul. Sungguh pelik!"
Kamarul gelak besar. Dia langsung tidak ambil hati.
"Yang pasti, aku letakkan hati pada orang yang tepat. Aku ni setia tau. Aku akan setia dengan dia."
"Kalau cinta kau tak kesampaian? Contohnya ... kalau dia kahwin dengan orang lain?"
Kamarul terdiam. Bibirnya menggumam perlahan seperti sedang berfikir.
"Kalau itu ... nanti dah jadi baru aku fikirkan. Selagi belum jadi, aku usaha mana yang boleh."
"Sah kau angau. Sah! Sah!"
Share this novel