4

Short Story Completed 6432

PEN ditangan dipusing-pusing. Selang beberapa minit, mata Fang naik ke wajah Kamarul. Dia mengeluh lagi.

Nota di tangan dipandang. Bahasa yang dia sendiri sukar mahu faham. Liriknya diselangi bahasa melayu dan arab. Bila sampai bahasa arab, dia dan Navin melopong. Mikael dan Navin pergi tandas pun lama.

Kepala dilentok ke atas meja perpustakaan. Mata terus ke arah Aisyah di kaunter buku. Gadis itu leka dengan buku.

Fang menggumam. Dahsyat sungguh penangan cinta gadis itu pada Kamarul. Boleh buat Kamarul bersetuju tanpa fikir dua tiga kali. Lebih teruk, yang lain pun diheret sekali. Kamarul yang jatuh cinta, mereka sekali kena hadap ombak dan badainya bersama.

Kelibat Adlina masuk ke dalam perpustakaan. Mendapatkan kawan baiknya, si Aisyah. Aisyah dengan Adlina memang jauh beza. Adlina cantik, ramai peminat. Aisyah pula tak berapa nak lawa, peminatnya... abang depan ni aje.

Kalau difikirkan, Adlina lebih layak bergandingan dengan Kamarul. Kenapa tidak Adlina saja yang menjadi pilihannya? Ish! Susahlah dia mahu faham cinta.

Adlina menoleh ke arah Fang. Mata mereka bertembung. Fang cerlungkan mata. Adlina pula buat gaya mahu cari pasal. Terus Fang angkat kepalanya dari atas meja.

"Apa?" ujar Fang tanpa mengeluarkan suara.

Dari kumat-kamit bibir Adlina, Fang tahu apa yang Adlina kata padanya.

'Pa-dan mu-ka!'

Tambah pakej jelir lidah dan mengejek-ejek dia dari jauh.

"Kaki 1, kau tengok kawan baik pujaan hati kau memadan-mukakan aku," sungut Fang meminta simpati.

Kamarul yang sedang gigih menterjemah lirik tulisan arab kepada tulisan rumi mengangkat wajah dari kertas. Dipandang Adlina yang sedang berdiri sambil menari mengejek si Fang di depan Aisyah.

"Biar aje lah. Jatuh air muka bergaduh dengan perempuan. Kita lelaki, kena bagi muka dekat mereka lebih sikit."

Fang mencebik. Kerusi dijungkit-jungkitkan kebelakang. Pen ditangan digigit.

"Kalau aku rosakkan persembahan nasyid ni, konfem kau kejar aku satu sekolah kan, Rul?"

Kamarul angkat kembali wajahnya dari memandang kertas.

"Kau ingat, Fang... Jangan buat pelik-pelik. Rosak reputasi aku di mata Aisyah, rosak juga muka kau. Aku tak peduli. Kau kena hafal. Kalau boleh, kita kena juara!"

Ah! Sialan ! Kerana cinta, abang Kamarul dah gila. Kalau mereka juara kali ini, masa menuntut di universiti nanti ... dia akan ambil bahasa arab sebagai kursus tambahan. Hebat sangat lah kalau dalam masa seminggu dia boleh hafal bahasa arab panjang berjela ni!

"Kalau kau mahu, biar aku tolong cakapkan dekat dia. Kalau kau nak aku jadi posmen tak bergaji pun aku sanggup," tawar Fang. Naik pening kepalanya cuba menghafal bahasa asing ini.

Kalau setakat mahu dia baca al-Fatihah, lebih mudah lagi!

Kamarul menggeleng. "Aku mahu dia nampak aku macam aku mula-mula nampak dia. Aku nak dia sukakan aku tanpa aku paksa perasaan aku pada dia."

Fang mengeluh kuat. Dahinya mencium meja.

"Jangan risaulah... Bahasa arab ni kira bahasa yang mudah dihafal. Kalau tak, macam mana muslim seluruh dunia boleh belajar baca quran dalam tempoh yang singkat."

Kamarul hulur kertas ditangan.

"Nah! Aku dah rumikan semua. Kau baca je yang dah dirumikan tu. Bagi dekat Navin juga."

Kertas huluran Kamarul, Fang baca. Mata membulat.

"Kau translate semua ni? Rul, kau hebat...."

Kamarul tergelak. "Memang lah. Dah dari kecil aku diajar baca quran. Dah, hafal cepat. Petang ni ada latihan. Dah berapa hari berlatih, kau dengan Navin tak habis-habis miming je."

Fang garu kepala. Tersengih. Memang bahagian bahasa Arab, dia dan Navin gigih terkumat-kamit tanpa bersuara.

"Kalau Aisyah tak jatuh cinta dekat kau, nanti aku carikan kau Aisyah yang lain. Okay?"

Kamarul tunjuk penumbuknya.

"Hoi! Borak apa?" Mikael datang dari belakang. Kerusi sebelah Kamarul ditarik dan duduk.

"Tengah bertaruh berapa meter jauhnya kau target dekat tandas sana. Pergi buang air kecil pun lama." Fang membebel.

Mikael senyum penuh makna. Tidak dibalas kata-kata Kamarul.

Mata Kamarul mengecil. Syak timbul di benak. Hidung didekatkan ke wajah Mikael.

"Kau merokok dekat tandas, ya?"

Mikael tersengih. "Gian, bang."

Fang merengek. Kaki dihentak perlahan. "Apasal tak ajak aku?"

Gulungan kertas Kamarul layangkan kepala dua sahabat karib itu. Dia tunggu seorang lagi kaki subahat tiba. Pantang dia lepa.

"Alah, Rul. Kau pun merokok juga."

"Bukan dalam kawasan sekolah."

"Eleh, tepat lagi ... bukan depan Aisyah kan?"

Kamarul buat tak tahu. Tidak menafikan juga tidak mengiyakan.

"Cakap pasal nasyid, tiba-tiba aku teringat satu cerita." Mikael merapatkan kerusi ke meja. Duduknya tegak.

Fang berminat. Kamarul menelinga walaupun matanya ke arah kertas di tangan.

"Cerita apa?" Navin tiba dengan beberapa paket keropok yang disorok di dalam kemeja sekolah. Nasib tempat duduk mereka jauh dari orang ramai.

Keropok paket dibuka. Keropok bertukar-tukar tangan di bawah meja.

"Korang tahu cerita pasal masjid cantik dekat atas bukit sana tak?" Tangan Mikael memanjang menuding ke arah taman perumahan di atas bukit yang boleh dilihat dari kaca tingkap bilik perpustakaan mereka.

"Tak tahu. Cerita apa?" Navin merapatkan badan ke meja.

Mikael senyum sinis. Riak ingin tahu ditayang.

"Ada orang cerita, masjid tu masjid besar. Segala kelengkapan dalam masjid tu tip-top! Tapi, tak ada sesiapa berani berjemaah di situ. Lagi-lagi nak solat seorang diri. Masjid tu dibuka tapi tak ada siapa yang pernah masuk solat. Pak cik guard pun tak ada."

"Kenapa macam tu?"

Kunyahan Fang semakin perlahan.

Kamarul sudah hilang tumpuan pada kertas. Dia lebih tertarik dengan cerita Mikael.

"Sebab tak ada sesiapa berani curi. Masuk pun tak berani. Kata orang sana, masjid tu masjid jin."

"Ye ye aje dia ni." Kamarul pintas. Bulu romanya meremang. Sudahlah rumah dia dekat-dekat situ aje.

"Betul... Aku tak main lah cerita tipu-tipu. Pernah ada orang singgah masjid tu. Nak solat... Tapi, masa dia ambil wuduk ... dia dengar bunyi air mengalir, orang guna tandas. Dia sangka ada orang."

Navin sudah berhenti mengunyah.

"Lepastu, dia masuk nak pakai telekung. Dia tengok ada banyak telekung dekat atas lantai. Tersusun aje semua. Macam baru lepas solat. Tapi, tak ada orang. Dalam masjid tu gelap. Sunyi. Walaupun dah masuk waktu, tak ada siapa bang."

"Ei! Dah lah! Aku seram." Navin membaling kepingan keropok ke muka Mikael.

Kepingan tersebut Mikael sambut dan disumbat masuk ke dalam mulut.

"Penakutlah kau ni. Cerita tengah best," rungut Fang. Kakinya sudah dinaikkan ke atas kerusi. Bersila.

"Aku tak nak ambil risiko ada budak mimpi sampai terkencing pula malam ni. Eh, budak pula. Abang senior." Mikael capai kertas lirik miliknya. Kerusi dijungkit-jungkit ke belakang sambil menghafal.

"Apa kata kita pergi jenguk masjid tu, harini?" cadang Fang. Mata bersinar-sinar.

"Eh! Tak nak lah. Lemah lutut aku nanti." Ravin bantah.

"Bukan masuk pun, dari luar je. Mensahihkan apa Mikael cakap. Kalau ada orang singgah masjid tu, maknanya cerita Mika ni menipu lah," pujuk Fang.

Mikael angkat ibu jari tanda setuju. Kamarul juga begitu. Kalau bab misteri-misteri ini memang kegemaran mereka dari sekolah rendah. Navin sahaja yang penakut.

"Suka hati lah! Aku ikut aje tapi aku cakap awal-awal ... aku paling belakang. Kalau ada apa-apa, kau orang kena bagi aku lari paling depan. Macam biasa," pinta Navin.

"Itu hal kecil. Kalau ada apa-apa, aku dengan Rul ada. Memang dari sekolah rendah pun kitorang yang protect korang. Badan kering macam kau berdua ni, kena tiup angin pun boleh tumbang," ajuk Mikael.

Navin dan Fang mencebik.

"Kau tunggu nanti aku dah berduit, aku bina badan." Fang menaikkan otot lengannya yang tak berapa ketara bentuknya itu.

Kamarul dan Mikael gelak terbahak-bahak. 

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience