5

Short Story Completed 6432

"AMACAM? Dah puas hati?" soal Navin kepada Fang. Mereka berada betul-betul di hadapan masjid yang Mikael maksudkan ketika di sekolah tadi.

Basikal masing-masing tongkat bersebelahan. Mereka berdiri di depan pagar masjid. Mata menganalisa kawasan tersebut. Kemas. Tiada daun kering bertaburan seperti sudah ditinggal lama. Cuma ... memang tiada pengawal keselamatan.

"Kau kata tak ada pengunjung, tu ada kereta tu!" Muncung Fang panjang sedepa.

Kereta yang diparkir di depan pintu utama masjid mereka pandang lama. Tidak sampai beberapa minit, keluar seorang lelaki dari dalam masjid menuju ke arah kereta tersebut.

"Hm, mungkin cerita ni rekaan semata-mata. Atau pun cuma suatu kebetulan?" Mikael membuat kesimpulan.

Kamarul menggeleng. Putung rokok ditangan, dihabiskan segera dan memadam apinya sebelum dicampak ke dalam tong sampah.

"Atau mungkin orang tu tak tahu pun pasal tempat ni. Kebetulan dia lalu dan singgah solat. Dari apa Mika cerita, aku rasa betul." Kamarul berdiri di antara Mikael dan Navin. Gian mahu merokoknya sudah dipenuhi.

Navin menggosok lengan. Bulu roma menegak.

"Kenapa kau cakap begitu?"

Kamarul menyeluk tangan ke dalam poket. Mata melilau memerhati setiap sudut masjid.

"Sebab setiap detail cerita Mika itu betul. Keadaan masjid kemas, tiada pengawal keselamatan dan satu-satunya pengunjung hari ini cuma abang dalam kereta tu. Baru lepas azan Zuhur, sepatutnya mesti ada bilal ke yang tolong azan."

"... Kalau nak tahu lebih detail, kena lah pergi interview abang yang baru keluar tu." Senyuman Kamarul penuh aura mengusik.

Navin telan air liur. Dia tidak berani mahu melangkah masuk pun.

Fang nekad. Beg sandangnya di sangkut ke pemegang basikal. Dia mahu masuk dan tanya!

Belum sempat sebelah kakinya melangkah masuk, Kamarul lebih cepat menahan. Bahu Fang dipegang menghalang lelaki itu dari meneruskan langkah. Fang pelik.

"Dah, jom balik sekolah. Niat kita tak baik ke sini. Jangan masuk," arah Kamarul. Tongkat basikal dinaikkan. Dia sudah siap-siap mahu bergerak pulang.

"Alah... Kata nak masuk tadi," sungut Fang.

Mikael setuju. Diajak Navin untuk pulang. Hatinya merasa tidak sedap. Ikutkan pengalaman hidupnya, kalau hati rasa tak sedap ... itu amaran untuk mereka menjauhkan diri.

Fang lambat-lambat mengekor dari belakang. Kawan yang lain sudah laju ke hadapan. Tiba-tiba dia rasa mahu menoleh. Kepala dipusing 180darjah ke belakang.

Mata Fang membulat. Seorang perempuan muda memanggil-manggil dia di depan masjid tersebut. Kawasan sekeliling masjid yang dikelilingi hutan membenarkan lagi cerita Mikael sebentar tadi.

Kaki Fang mengayuh laju. Sekejap sahaja dia sudah berjaya memintas Mikael, Navin dan Kamarul yang berada paling hadapan. Peluh merintik ke dahi.

"Kenapa abang cina tu? Nampak hantu ke?" soal Mikael disertai gelak jahat.

Navin diam tidak berkutik. Dia teruskan kayuhan. Kamarul ikut ketawa bersama Mikael.

Sampai di pekan, Fang menghentikan kayuhan. Basikalnya berhenti di pondok bas, menanti kawan yang lain tiba. Jantung berdegup kencang.

Apa yang dia nampak tadi?

"Hoi! Apasal laju sangat? Dah boleh masuk pertandingan lumba dah," perli Mikael. Mereka bertiga berhenti serentak di depan Fang.

"Nanti lah aku cerita. Kita pergi minum dulu jom!" ajak Fang. Dia perlukan air dan makanan untuk dia bertenang.

Tanpa menunggu persetujuan yang lain, Fang kembali mengayuh basikalnya ke salah satu restoran mamak berhampiran. Mikael, Kamarul dan Navin saling berpandangan antara satu sama lain lantas menjungkit bahu. Mereka ikutkan saja rentak Fang.

Basikal mereka parkir bersebelahan basikal antara satu sama lain. Mikael dan Kamarul menggunakan satu kunci. Navin mengunci tayar basikalnya dengan tayar basikal Fang. Mereka terus mendapatkan Fang yang sudah duduk bersandar ke kerusi.

"Jadi, kenapa kau laju sangat tadi?" Kamarul bertanya.

Fang berhenti menyedut air limau aisnya yang baru sampai. Air belum sentuh lidah lagi, Kamarul sudah tanya. Tunggulah dia membasahkan tekak dulu.

"Korang tak nampak ke?"

"Nampak apa?" Navin tidak jadi ambil nasi lemak bungkus yang disusun bertingkat di pinggan yang diletak di tengah-tengah meja.

"Aku nampak hantu perempuan. Betul-betul depan masjid. Dia panggil aku!" Fang menggigit jari.

"Ha? Habislah kau malam ni. Dia datang ajak kau kahwin." Kamarul mengusik.

"Weh! Aku betul-betul ni. Ish, cakap dengan korang ni buat aku lagi tak sedap hati lah!" Fang memuncungkan bibir.

Kamarul dan Mikael gelak sesama mereka.

Navin sentuh tangan Fang. "Aku percaya kau," kata Navin dengan riak serius.

"Kau percaya sebab kau pun penakut juga," sindir Kamarul. Tawanya masih bersisa. Air mata di seka dengan belakang tangan. Sampai menangis mereka gelak.

Fang dan Navin geram. Kaki Mikael dan Kamarul disepak berulang kali. Dua orang lelaki yang duduk bertentangan dengan mereka langsung tidak terkesan. Lagi galak mereka ketawa.

"Okay... Okay... Kau nampak tak muka hantu tu? Cantik tak?" Mikael belum puas mengusik. Kamarul terangguk-angguk setuju. Dia pun mahu tahu juga cantik atau tidak hantu yang memanggil-manggil Fang tadi.

Fang hirup limau ais hingga berbaki lagi separuh. Helaan nafas kuat dilepas. Lega! Limau ais memang menyegarkan seluruh tubuh dan akalnya.

Rasa masam berganti rasa manis selepasnya. Memang enak!

"Aku nampak... Muka dia ... muka hantu tu macam muka dia!" Tangan Fang melurus ke arah belakang Mikael.

Mikael dan Kamarul memusing kepala ke belakang. Air liur mereka telan.

"Apa kau kata, Fang? Kau kata muka aku macam hantu?" bentak Adlina. Dia melangkah menghampiri meja sekumpulan lelaki itu. Tangan mencekak pinggang.

Fang buat muka toya. Dia tak salah. Hantu itu yang salah kerana tiru muka Adlina.

Kepala Fang Adlina pukul kuat dengan sekali libasan. Habis serabai ambut korea Fang dek kerana penangan libasan dari Adlina.

"Bukan salah aku. Hantu yang aku nampak memang tiru muka kau lah!" Fang geram. Rambutnya dibetul-betulkan kembali.

"Mana ada hantu siang buta? Mana hantu tu? Aku nak tengok! Kalau kau tipu, aku lesing kepala kau," ugut Adlina.

Fang menjuih bibir. Perempuan... Gebang aje lebih. Nanti sudahnya dia yang lari terpekik-pekik dulu.

"Kau buat apa dekat sini, Ad? Jauh kau makan tengahari. Dekat kantin tak cukup makanan dah ke?" soal Navin. Dia malas mahu meneruskan topik hantu. Hantu Adlina pun dah cukup.

"Mana lah cukup nak isi perut dia ni."

Sekali lagi kepala Fang jadi sasaran libasan tangan Adlina. Kali ini Fang mengaduh sakit.

Mata Kamarul melilau. Kepalanya terpusingpusing ke kiri dan kanan. Mikael senyum mengejek. Tahu benar apa yang dicari oleh Kamarul.

"Kau seorang aje ke, Ad?" soal Kamarul.

Adlina menggeleng. Sejurus itu bibir Kamarul menyeringai.

Fang tepuk dahi. Abang Kamarul ini memang tak boleh cover betul. Sekurangnya, kena lah tunjuk ego sikit.

"Aku dengan Aisyah. Aisyah dekat cyber cafe. Tengah main game. Aku haus, jadi aku datang lah sini nak beli air," bebel Adlina. Tangan dinaikkan memanggil abang pelayan untuk membungkuskan airnya.

Kamarul tepuk tangan. Lucu.

"Wow! Jarang dijumpai. Aisyah suka main game apa?" soal Kamarul berminat.

Adlina jeling. "Kalau kau nak tahu, kau tanya lah dia sendiri!"

Fang mentertawakan Kamarul. Dia ingat mudah mahu korek informasi? Itulah, dia tawar diri mahu jadi posmen tak bergaji, Kamarul tak mahu.

"Kau ni Ad, dengan abang ketua pengawas pun nak berkira." Mikael membodek.

Adlina menjeling. Kamarul reda. Disedut air di dalam gelasnya.

"Kau tak payah nak mengorat Aisyah. Aisyah tak suka kau."

Tersembur air dalam mulut Kamarul. Mikael ketawa terbahak-bahak sambil menepuk kuat belakang tubuh Kamarul sepuas hati.

"Mana kau tahu Aisyah tak suka Kamarul? Entah-entah Aisyah yang syok dekat Kamarul," Navin menangkan kawan baiknya.

Adlina menidakkan apa yang dikata Navin.

"Aisyah paling tak suka dekat Kamarul. Sebab..."

"Sebab?"

"Kau fikirlah sendiri. Dah lah! Malas aku nak layan korang. Baik aku pergi teman Aisyah lagi seronok." Adlina mempercepatkan langkah keluar dari situ setelah mendapat bungkusan air yang dipesan tadi.

Fang memimik-mimik cara Adlina berjalan. Macam gajah lalu!

"Kau jangan percaya sangat kata minah tu. Entah-entah dia tipu je." Navin memujuk.

Mikael masih tidak habis ketawa. Fang? Dia cuba menyelami perasaan Kamarul yang di-rijek tanpa dia sendiri sedar yang dia sudah di-rijek.

Kamarul menggaru kepala. "Kau rasa kenapa Aisyah tak suka aku?"

"Hish, baru je aku kata jangan ambil hati sangat. Dia gurau je tu. Adlina tu bukan suka pun geng kita ni."

"Tapi, mustahil pula dia bergurau. Adlina tu tak kan kaitkan nama Aisyah dalam penipuan dia tau. Aku kenal Adlina tu dari tadika weh," ujar Kamarul menidakkan kata-kata Navin.

Mikael mengangguk. Ada betulnya kata-kata Kamarul itu. Dia kenal Adlina juga dari tadika. Gadis itu memang cakap main lepas saja tapi Adlina tak akan menipu dengan guna nama orang lain.

"Ha! Kau pun setuju dengan aku kan, Mika? Kau pun kenal Adlina tu macam mana." Bahu Mikael digoyang oleh Kamarul.

Fang mengeluh. Hilang terus ingatannya pada hantu tadi. Masalah Kamarul lebih besar dari masalah hantunya.

"Apa kata kita sama-sama cari tahu kenapa Aisyah tak suka pada Kamarul?"

Semua setuju.

"Kau ada buat tak elok pada dia ke, Rul?" Navin menyoal.

Kamarul geleng. Telapak tangan diangkat. "Sumpah! Aku tak ada buat apa-apa pada Aisyah. Sepanjang masa ini aku saja yang memerhati dia dari jauh. Aku tak pernah dekati Aisyah pun."

"Kau ada buat dia marah?" soal Fang pula.

Kamarul menggeleng lagi. "Aku bercakap dengan Aisyah pun dah susah, apalagi nak buat dia marah."

"Entah-entah kau ni playboy kut. Dia pernah nampak kau layan ramai perempuan."

"Otak kau! Pernah ke kau nampak aku bagi harapan dekat perempuan lain? Sumpah! Aisyah saja yang aku sayang."

Ketiga mereka tercengang. Tak sangka sebegitu tekadnya Kamarul pada Aisyah.

"Alah, tak payah susah-susahlah. Apa kata kau tukar je yang lain? Berlambak yang lagi cantik, Rul...," cadang Mikael. Kotak rokoknya dikeluarkan.

"Aku setuju! Bukan aku nak menghina, tapi Aisyah dengan kau macam langit dengan bumi saja aku lihat. Aisyah tu gelap, berjerawat, kulit kusam, langsung tak menyedapkan mata memandang. Senyum pun jarang! Dibandingkan dengan kau, kulit lebih cerah dari Aisyah. Muka hensem, personaliti kau dengan dia berbeza jauh. Kalau bercinta pun mesti tak kekal lama lah," bebel Navin.

Fang dari tadi hanya mengangguk sahaja. Tiada apa mahu dikatakan. Apa yang Navin kata itu sama seperti apa yang dia fikirkan.

Kamarul mendengus. Lain yang dia harap, lain yang kawan-kawannya ajukan.

"Aku tak menilai dia dari rupa paras. Aku suka pada hati dia," ucap Kamarul dengan nada cukup ikhlas.

Memang Aisyah tidak seindah wanita lain dari segi rupa paras, namun dia percaya hati seperti Aisyah pasti sukar dicari dimana-mana. Senyuman Aisyah yang jarang-jarang dilihat orang itu tersembunyi keindahannya tersendiri. Hanya Kamarul seorang pernah melihat kecantikan Aisyah yang sebenar dan dia tidak berniat mahu berkongsi memori indah itu dengan sesiapa hatta sahabat baiknya sendiri pun.

"Too serious too soon," omel Mikael.

Kamarul mencebik. "Kau orang tak faham perasaan jatuh cinta. Bukan senang-senang aku boleh buang perasaan yang sudah menghuni di dalam hati aku ini," ujar Kamarul senada.

Memang dia tak mengharap untuk kawan-kawannya faham. Akal mereka belum cukup sempurna untuk memahami hati orang yang sedang dilamun cinta. Kamarul senyum sendiri.

Kalau ini hukuman mencintai seseorang sepenuh hati, dia sanggup dihukum begini hingga ke akhir hayat. Di dalam keperitan, tersembunyi rasa bahagia yang dia tidak tahu bagaimana mahu dia gambarkan. Sedih dan gembira pada satu masa. Sedih kerana dia tidak mampu menggapai tangan Aisyah tetapi gembira kerana dia dapat menyukai gadis itu? Argh!

"Bagaimana kalau Aisyah tak seperti yang kau sangkakan?" soal Mikael. Asap rokok berkepul naik ke muka masing-masing. Navin meminta kotak rokok Mikael. Dikeluarkan sebatang dari kotak lelaki itu.

Kamarul bungkam.

"Betul tu, Rul? Macam mana kalau Aisyah bukan seperti yang kau bayangkan? Kau masih akan sukakan dia lagi?" Fang yang sedari tadi menghening diri juga ikut membuka mulut. Dia jadi ingin tahu.

Perasaan suka cuma satu ilusi. Perasaan yang berpaksikan apa kita lihat dan rasa dalam hati. Tapi selalunya perasaan suka akan hilang jika sesuatu itu tidak seperti yang kita jangkakan.

"Aku yakin aku akan terus sukakan dia."

"Yakin sungguh ni. Baiklah, aku beri kau gambaran lain. Kalau Aisyah balas cinta kau, sampai bila agaknya kau rasa kau akan cintakan dia? Nanti kau bosan juga. Dia tak lawa. Nanti mesti kau cemburu tengok awek kami lagi lawa dari kau." Mikael kata lagi.

Kepulan asap dari Navin dan Fang menghadkan penglihatan Kamarul. Nasib mereka pilih meja luar dari restoran. Haraplah tak ada guru atau kenalan guru yang nampak mereka berpesta rokok di kedai mamak ini. Pakai baju sekolah pula.

"Weh! Berasap meja kita. Korang ingat kita tengah barbeque ke apa ni? Boleh bertukar jadi mee mamak salai." Mee goreng mamak yang baru sampai, Kamarul lindung dengan tangan.

"Kau tak jawab pertanyaan Mika tadi. Tak berani nak yakin lah tu," provok Navin.

Kamarul mengetap bibir. Geram.

"Aku yakin aku akan tetap sukakan dia. Puas hati?"

Mikael mengeluh. Bahu Kamarul ditepuk perlahan. "Kau ni dah macam kena guna-guna pula. Perempuan biasa-biasa begitu yang kau mahu? Suka hati kau lah. Jangan kata aku tak warning."

Kamarul tidak menyambung. Dia makan mee goreng mamaknya dengan lahap. Sesekali mata naik ke pintu Cyber Cafe yang terletak bertentangan dengan kedai mamak tempat mereka melepak.

"Apa kata lepas ni kita pergi karaoke?" cadang Navin.

"Oi! Lupa lah tu. Lepas ini kena balik sekolah semula. Ada latihan nasyid." Kamarul mengingatkan.

"Aiseyman...."

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience