Completed
6432
BEG camping Mikael campak masuk ke dalam khemah yang baru siap dipasang oleh Kamarul, Fang dan Navin. Badan dijatuhkan ke dalam.
Kerana mereka berjaya menjuarai pertandingan nasyid tempoh hari, Ustaz Adi bersetuju mendapatkan peruntukan dana untuk bawa kelab agama Islam sebagai hadiah dari sekolah. Akhirnya, mereka majoriti memilih untuk menjelajah Gua Tempurung.
"Dah! Dah! Bangun! Kejap lagi kita nak masuk jelajah gua dah." Kamarul menendang punggung Navin, Fang dan Mikael yang sudah selamat terbaring di dalam khemah.
"Pening aku tak hilang lagi ni naik bas," rungut Fang. Nak setengah botol minyak angin dia sapu di kepala dan hidung.
Navin menggeliat. "Aku tak puas tidur lagi."
Mikael langsung tak berbunyi. Pengsan agaknya.
Kamarul kemas apa yang patut. Bukan selalu dia dapat menyertai aktiviti luar sekolah. Mana-mana aktiviti yang memerlukan dia untuk keluar duit, dia tidak akan sertai. Untung, aktiviti kali ini ditaja sepenuhnya oleh sekolah.
Suara pelajar perempuan bergelak ketawa buat ketiga-tiga mereka bangun dari pembaringan. Kawasan khemah mereka dengan pelajar perempuan terpisah. Mereka di tepi sungai, pelajar perempuan pula di padang rumput.
"Macam tak pernah nampak perempuan," omel Mikael.
Navin, Fang dan Kamarul mencebik. "Cakap orang, yang kau bangun sekali nak tengok ni kenapa?"
"Aku nak pastikan diorang semua selamat je."
"Ceh!"
Mata kembali terhala ke kawasan khemah pelajar perempuan. Bila lagi mahu lihat pelajar perempuan mengenakan pakaian biasa. Hari-hari asyik tengok pakai baju sekolah aje.
"Hm, semua duduk dalam khemah. Tontonan tak menarik sungguh." Navin kembali terbaring.
Lihat Navin terbaring, Fang join sekali. Kini hanya tinggal Kamarul dan Mikael sahaja yang masih setia mencuci mata.
Kamarul siku lengan Mikael. Dikerling lelaki itu dengan ekor mata.
Mikael angkat kepala, sekali.
"Kau buat apa lagi dekat sini? Pergilah join diorang tidur."
"Tak nak. Aku pun nak cuci mata. Aku tahu lah kau nak tengok Aisyah, bukan?"
"Habis tu, kau pun nak tengok Aisyah aku juga lah?"
"Gila! Macam tak ada perempuan lain. Aisyah tu jauh dari citarasa aku. Bukan lawa pun."
"Kau nampak penumbuk aku ni? Berani kau kutuk Aisyah. Melayang penumbuk aku dekat muka kau nanti." Penumbuk Kamarul tayang depan muka Mikael.
Mikael menyerah kalah. Malas mahu cari pasal dengan orang angau.
"Kau tengok lah puas-puas. Hambik! Aku tak heran pun." Bahu Kamarul ditolak sehingga lelaki itu jatuh terbaring ke tanah. Mikael junamkan badannya diantara Navin dan Fang.
Kamarul bangun. Seluar yang terkena tanah ditepuk-tepuk. "Jangan tidur betul-betul pula! Kejap lagi nak naik bas pergi Gua Tempurung."
"Ha? Tak sampai gua lagi ke?" sungut Navin. Bibir memuncung.
"Gua mana yang kau nampak dekat sini? Aku nampak gua lubang hidung kau je."
"Gua aku ni pun okay apa. Kau tolong galikan." Navin mengembangkan lubang hidungnya.
"Baik aku gali lubang hidung aku sendiri. Dah! Dah! Bangun! Aku tak percaya korang. Nanti aku tinggal sekejap, korang dah buat air liur basi."
Malas-malas mereka bertiga bangun dari berbaring. Segala kelengkapan yang diperlukan sepanjang menjelajah gua nanti di masukkan ke dalam satu beg.
"Masuk dalam beg siapa?"
"O-som lah. Baru adil."
Kamarul lolos terlebih dahulu. Memang taktik dia mahu lari dari kena bawa barang mereka semua.
"Ya, Cikgu! Weh, Cikgu panggil aku. Kau orang setel lah." Kamarul cepat-cepat berlalu.
"Ha... Menipu lebih mamat tu. Aku ni belum pekak. Ah, cepat o-som!" Fang sudah siap sedia angkat tangannya.
Mikael dan Navin duduk berdepan dengan Fang. Masing-masing siap angkat tangan.
"O-som!" jerit mereka serentak.
Sama.
"O-som!"
Sama lagi.
"O-som!"
"Yeeha! Aku dah lepas! Kau dengan Navin." Fang berundur kebelakang sedikit.
Mikael pandang mata Navin. Navin pula buat muka selamba.
"Sejak akhir-akhir ni bahu aku sakit." Mikael cipta alasan dengan harapan Navin akan bersimpati.
"Aku lagi lah... Aku cepat penat. Tak boleh bawa barang berat." Mata Navin terarah kepada timbunan barang kelengkapan mereka. Tuala dan baju ganti lagi....
"Aku dekat rumah tak tenang. Selalu kena jaga adik aku."
"Rumah kau ada orang gaji, Mika. Kau jangan nak membongak." Navin menggeleng. Alasan Mikael tak boleh diterima.
Mikael mengeluh. Matanya memandang Fang dan Navin silih ganti.
"Mak dengan Ayah aku dah bercerai."
Navin dan Fang tersentak. Riak Mikael kosong. Sukar untuk Navin dan Fang mencari kejujuran disebalik kata-katanya.
"Be-betul ke? Tapi mak ayah kau kan pasangan bahagia."
Mikael pandang Navin dan Mikael. Langsung tiada cahaya di dalam matanya.
"Kau orang rasa begitu?" sinis.
Fang dan Navin saling berpandangan. Tidak tahu apa yang sepatutnya mereka balas untuk menyedapkan hati Mikael. Memang selama ini mak dan ayah Mikael terlihat bahagia.
"O-som!" jerit Mikael.
Navin menggelabah. Dia keluarkan apa sahaja yang difikir oleh fikiran.
"Aku menang! Kau bawa barang-barang ni!" Mikael menjerit keterujaan. Segala baju, tuala, lampu suluh dan lain-lain kelengkapan Mikael sumbat masuk dalam beg Navin.
Navin tercengang. Fang pula hanya memerhati gerak-geri Mikael.
"Mika... Kau betul-betul okay ke? Mak ayah kau bercerai."
Mikael angkat wajahnya. Tangan berhenti memasukkan barang-barang. Senyum diukir.
"As expected. Aku dah agak diorang tak akan bertahan lama. Mak aku cuma utamakan kami aje. Ayah aku ada perempuan simpanan. Dia nak kahwin dengan perempuan tu. Mak aku tak izinkan. Daripada Mak aku terseksa hidup dengan Ayah, lebih baik mereka bercerai."
"Adik-adik kau tahu?"
Mikael mengangguk. "Diorang tahu. Adik-adik aku ... mak aku jaga. Aku seorang aje yang stay rumah ayah aku."
"Patutlah lama aku tak nampak adik-adik kau. Last kau kata adik-adik kau masuk asrama."
Mikael menggeleng. "Aku tipu. Diorang bercerai tahun lepas. Adik-adik aku ikut mak aku. Aku ... ayah aku minta hak penjagaan aku dari mahkamah. But, well ... apa-apa aje lah. Aku malas nak fikir lagi. Aku malu nak beritahu korang sebab keluarga korang sempurna. Aku cemburu."
Bahu Mikael ditampar kuat oleh Fang.
"Semua orang ada masalah keluarga. Kamarul lagi teruk. Dah lah tak ada ayah, miskin pula. Makanan pun catu. Aku ... kau tengok saja keluarga aku macam tak ada masalah. Tapi, ayah aku kuat berjudi. Hari-hari mereka gaduh!" Fang tuding ibu jari kepada diri sendiri.
"Family aku pula tak habis-habis bandingkan aku dengan adik-beradik lain. Hidup dalam keluarga aku macam perlumbaan tanpa garisan penamat," luah Navin.
Mikael ketawa kecil. Lucu pula mendengar luahan Navin dan Fang.
"Sebab tu aku tak mahu sedih-sedih. Kalau aku sedih dan rungut banyak sangat tentang ayah aku ... nanti Rul teringat pada arwah ayah dia pula. Meleleh pula air mata abang tu nanti."
Fang dan Navin setuju. Memang mereka selalu mengelak dari bercakap soal ayah. Kamarul itu nampak saja keras, tapi mereka semua tahu yang Kamarul banyak memendam perasaan. Selepas ayah Kamarul meninggal dunia, hidup lelaki itu susah. Hanya mengharapkan ibunya untuk bekerja mencari duit. Mereka sendiri lihat dengan mata kepala mereka hidup Kamarul selepas kehilangan ketua keluarga secara tiba-tiba.
"Rul tahu tak?"
Mikael menggeleng. "Aku tak mahu beritahu Rul. Kau orang pun tahu yang Kamarul banyak terhutang budi pada mak ayah aku. Mak dan Ayah aku anggap Kamarul macam anak sendiri. Aku tak sampai hati nak beritahu Rul. Aku tak mahu Rul putus asa bila dapat tahu pasangan yang dia kagumi pun bercerai-berai. Biar mak ayah aku terus jadi idolanya dalam menggapai kejayaan."
"Kalau kau dah kata begitu, kami janji kami kunci mulut." Fang zip mulutnya. Navin ikut.
"Dah siap belum?" Terjengul kepala Kamarul dari luar khemah.
Fang terjerit nyaring kerana terkejut dengan sapaan yang tiba-tiba.
"Tak guna! Jerit macam perempuan!" Navin menolak kuat tubuh Fang menjauh darinya. Gatal satu badan dengar suara perempuan Fang.
Mikael ketawa terbahak-bahak. Sepatutnya dia rakam aksi Fang tadi. Acah macam berani. Kena sergah sikit dah melenting.
"Rul, kau ni memang tak tahu bagi salam ke?" rungut Fang. Jatuh saham!
"Masalahnya, aku bagi salam ... kau nak jawab ke?"
Fang terdiam. Memikirkan apa yang mahu dibalas.
"Ha, dah! Jom lah cepat. Semua orang dah beratur dekat bas dah."
Pintu khemah di kunci supaya barang-barang mereka selamat di dalam.
Share this novel