Completed
6432
"PERSAHABATAN ATAU CINTA?"
Tangan Fang menghentak kuat meja. Bising satu perpustakaan. Mikael yang baru mahu terbang ke alam mimpi, tersedar kembali. Kamarul meletak jari ke bibir. Meminta Fang untuk memperlahankan suara.
"Amenda?"
"Persahabatan atau cinta? Mana kau pilih?"
"Lagi? Yang kau obsess dengan cinta sejak dua menjak ni kenapa? Bosanlah!" Buku di tangan Fang, Mikael rampas. Muka surat buku tersebut dibelek laju lantas di campak ke dalam tray beroda yang terletak di sebelah rak buku.
"Oi! Aku tak habis baca lagi!"
"Shhhhhh! Korang ni bercakap macam pakai mikrofon. Kejap lagi kena tendang juga kita bertiga keluar dari sini," tegas Kamarul. Dua orang kawan baiknya ini memang sengaja mahu rosakkan rancangannya.
"Navin mana? Dari semalam tak nampak batang hidung. Dia layan hindustan ke apa dekat rumah?" soal Kamarul. Baru dia teringat pasal Navin. Semalam kawan baik lagi seorang itu tak hadir ke sekolah. Harini pun Navin tidak membuat kemunculan semula.
Mikael jungkit bahu. Fang keluarkan telefon pintar dari kocek seluar. Jari menari di atas skrin.
"Hm, betul tekaan kau. Memang dia layan hindustan." Skrin telefon dihadapkan ke depan muka Kamarul. WhatsApp status Navin terpapar. Potongan dari video lagu cerita bollywood.
Kamarul berdecit. Cerita Shah Rukh Khan, Tak bosan ke?
"Call lah dia suruh datang sini."
"Baik, kaki 1. Kaki 2, kau call. Aku tolong cakap," arah Fang kepada Mikael.
Mikael dirikan semula tubuhnya. Dengan malas, telefon ditarik keluar dari kocek. Nama Navindran anak lelaki Ravinchandran di cari. Telefon diserah kepada Fang.
"Ehem! Halo, tambi! Mana duduk? Tengah berak ke?"
Kamarul dan Mikael tahan senyum. Fang terangguk-angguk.
"Begitu. Berak kau warna apa? Cuba tengok."
Kali ini mata Mikael terbuka luas. Kerusi dirapatkan ke kerusi Fang. Kamarul juga sama. Dia yang duduk bertentangan dengan Fang terus berdiri dan menjulurkan badan ke depan. Cuba mendengar butir bicara Navin.
Fang mengekek. Dia tahu dua orang kawannya sudah terkena.
Riak Mikael dan Kamarul berubah. Baru mahu beri semangat meneran kepada Navin. Ceh! Fang tipu rupanya.
"Kitorang dekat library. Kau dengan siapa?"
Fang terangguk-angguk lagi. Kali ini Mikael dan Kamarul tak berminat mahu menelinga. Mikael sambung tidur dan Kamarul pula sambung menelaah bahan bacaan.
"Okay! Kitorang lepak sini aje. Teman Rul usha pujaan hati dari jauh."
Buku ditangan Kamarul mencium kepala Fang. Kiri kanan kepala Kamarul berpusing. Kalau ada pelajar lain yang terdengar perbualan mereka, tak pasal-pasal jadi gosip pula.
"Rul, sampai bila kita nak lepak sini? Bosan...," rungut Mikael.
"Alah, kejap lah. Aku tak nampak dia lagi."
Mikael sembamkan muka mencium meja. Sofa takde! Kalau lepak di surau, boleh juga dia baring di atas sofa.
Kamarul ni tak gentleman langsung! Pergi sajalah luah perasaan kalau dah suka sangat. Nak tenung-tenung anak dara orang dari jauh ni kenapa?
"Kau memang dah kronik, Rul. Kau memang nak jadi loser." Fang mencelah. Gelak dia lihat gelagat Kamarul sejak dua menjak ini. Kamarul memang dah jatuh cinta betul ni!
"Kenapa kau yang jatuh cinta, kami diheret sekali?" rungut Mikael. Fang sibuk mendandan rambut depan skrin telefonnya. Tangan Fang mengusap dagu.
"Sebab korang kan kawan aku."
"Jawapan tak masuk akal!" Mikael kembali mencium meja.
Kamarul kembali buka buku di tangan.
"Aku terfikir lah, korang rasa perempuan pun kentut juga tak?" Fang bersuara. Topik baru dibuka.
Ternganga mulut Mikael. Kamarul urut dahi.
"Aku rasa lebih baik kita tukar istilah 'kentut' kepada batuk. Tak ada lah tak sopan sangat kan." cadang Kamarul. Pelik bila guna istilah itu pada bidadari dunia.
"Ha? Batuk? Lagi tak masuk akal. Guna lah istilah sendawa." Mikael pula memberi cadangan.
"Alah, ikut kau orang lah. Aku cuma musykil. Aku tak pernah dengar perempuan kentut." Fang mengeluh.
"Yang kau nak dengar sangat kenapa? Mika, kau cuba kentut sikit bagi dia dengar," arah Kamarul. Pandangannya terhala kepada Mikael.
Fang geleng. Tangannya buat tanda pangkah.
"Mika lelaki."
"Waduh! Gawat lo ni. Mika, kau kentut tapi kentut macam perempuan."
"Ha! Tak nak aku. Mana aku tahu kentut macam perempuan tu macam mana. Kejap! Kenapa kau menyokong topik kentut si Fang ni."
Kamarul terdiam. Tubuh disandar ke kerusi.
"Aku pun musykil juga."
Mikael tepuk dahi. Dasar dua orang kawannya ini memang tak ada benda lain nak difikirkan.
"Apa kata kita tanya Navin? Dia ada adik dan kakak, kan?" saran Fang. Jari telunjuk terarah kepada Mikael dan Kamarul bersilih ganti.
"Korang tak ada adik beradik perempuan ke? Aku ingat kau ada adik, Mika?" Mata Kamarul memandang Mikael.
Mikael menggeleng.
"Adik beradik aku semua lelaki," balas Mika.
"Kami anak tunggal." Kamarul dan Fang berkata serentak.
"Hei! Sorry aku lambat." sapaan Navin buat kepala mereka bertiga berpusing.
Kening Navin berkerut. "Kenapa?"
Kamarul berdehem lantas kembali menelaah buku di tangan. Mikael jatuhkan semula kepalanya ke meja. Mata Fang mengecil memandang dua orang lelaki melayu di depan dan sebelahnya ini. Mesti nak suruh dia yang tanya lah tu!
Sebagai tukang tanya yang profesional, dia akan tanya! Ini memang kerjaya sepenuh masa dia.
"Vin, aku nak tahu lah... Aku musykil betul ni!"
Navin tarik kerusi di sebelah Kamarul. Mikael dan Kamarul berlagak tenang, seperti tidak peduli.
"Apa yang kau musykilkan?"
"Hm, kau tahu ... macam mana perempuan kentut?"
Navin terkebil-kebil. "Maksud kau? Kentut?"
Fang angguk laju. Riak Navin kosong.
"Macam kita lah."
"Maksud aku, mungkin lebih sopan ke ... bunyi lain dari lelaki ke?"
Navin pejam mata. Apa agaknya sangkaan 3 orang sahabat baiknya ini mengenai perempuan? Sah mereka bertiga ini memang tidak tahu apa-apa berkaitan perempuan.
Kamarul dari tadi tidak membelek helaian muka surat, Mikael pula langsung tidak menoleh muka. Sah! Diorang berdua menelinga dalam tidak peduli. Berlakon!
"Bunyi macam kentut. Takde beza."
Ketegangan Fang reda. Jawapan yang sudah dia duga. Kamarul sudah menyelak muka surat lain. Mikael angkat kepala dari meja. Segala rasa ingin tahu tadi hilang serta-merta.
"Okay! Kembali pada soalan aku masa mula-mula tadi. Vin, kau pun kena jawab. Pada korang, persahabatan atau cinta? Mana lebih penting?" Fang menongkat dagu memandang tiga orang kawannya.
Navin mendongak memandang siling. Kamarul setia dengan buku di tangan, sesekali dia curi pandang ke arah bilik pengawas perpustakaan. Mikael nampak seperti tidak berminat.
Fang senyum sinis. Dia boleh tebak jawapan mereka. Paling pun, hanya Kamarul saja yang akan jawab lain dari majoriti semua mereka nanti.
"Okay! Kita jawab serentak. 1... 2... 3! Persahabatan!"
"Cinta!" Kamarul.
"Cinta!" Mikael.
"Cinta!" Navin.
Senyuman Fang mati. Gigi diketap kuat. Kalau dia boleh sepak muka tiga orang ni dengan sekali sepakan, dah lama dia sepak mereka bertiga bertubi-tubi.
"Aku sunyi. Aku perlukan tempat berkasih sayang." Kamarul beralasan.
"Aku jeles tengok semua orang dah ada girlfriend!" Mikael cium meja semula.
"Aku... Aku tak boleh bayang zaman muda aku dihabiskan bersama korang. Tragis!" Navin meraup wajah.
Fang mengepal penumbuk. Kalau begitu, dia pun mahukan girlfriend juga! Dah lama dia menahan diri dari bercinta. Tak guna punya kawan! Dalam diam, kawan-kawannya sudah memungkiri janji yang mereka buat ketika di sekolah rendah dulu!
"Aku... aku pun sunyi! Argh! Sunyinya! Hari-hari muka kau orang!" Fang memegang kepala. Rambut dikusut-masaikan.
Navin ketawa terbahak-bahak sehingga berair mata. Tidak dia sangka mereka yang dikata antara yang paling segak di sekolah ini, semuanya lelaki bujang yang kesunyian.
"Kau tak rasa kita patut cari cinta sekarang? Aku betul-betul tak nak habiskan hayat aku dengan kau orang." Suara Mikael mengendur. Reda dengan nasib mereka. Telefonnya di tekan-tekan.
"Kau tengok Instagram aku. Semua penuh gambar kita berempat!" Telefon di tangan Mikael angkat. Gambar dari mereka sekolah rendah sehinggalah ke sekolah menengah.
Kamarul angkat wajah dari buku. Dia tersenyum sinis.
"Aku malu nak muat naik apa-apa gambar dalam Instagram post mahupun story. Asyik muka korang aje."
Navin sambung gelak. "Amma aku kata, aku tak ada kawan lain selain korang. Apa Lagi nak ada girlfriend."
Pap!
Buku ditangan Kamarul tutup. Matanya dipejam rapat untuk beberapa saat. Mikael, Navin dan Fang tumpu kepada Kamarul. Kalau Kamarul sudah buat gaya anime begitu, pasti dia punya idea bernas untuk mengatasi masalah kesunyian mereka ini.
"Apa kata kita belajar mengorat perempuan?"
"Ha? Kau cakap begitu sebab kau nak mengorat Aisyah, bukan?" Mikael beriak tidak setuju. Dia tak mahu belajar mengorat! Mengorat saja dah memalukan, apalagi belajar mengorat.
Kamarul angguk yakin. Fang mencebik. Dia juga tidak setuju. Navin tidak berkata apa-apa.
"Tak adil! Aku tak setuju." Fang membangkang. Tangan menghentak meja, perlahan.
"Kenapa kau tak setuju?" Kamarul membetulkan duduk. Kalau tadi dia lebih rileks, sekarang dia serius.
"Kau dah ada yang kau suka. Tapi kami bertiga ni tiada lagi yang kami suka. Macam mana nak belajar mengorat? Untuk apa? Tak ada goal yang kami mahu achieved."
"Aku setuju! Aku setuju!" Navin ulang berkali-kali sokongannya pada Fang. Tangan diangkat tinggi ke atas.
Kamarul mahu membuka mulut namun segera dipintas oleh Mikael.
"Ha, kau jangan nak suruh kitorang pilih suka hati saja ya. Aku terajang kang." Tangan Mikael angkat, mengacah mahu pukul Kamarul.
Kamarul tak jadi mahu meneruskan kata-kata. Mulutnya dikunci semula..
"Tak kan korang tak pernah suka pada sesiapa? Apa ciri-ciri yang korang cari?" Navin membuka peluang untuk mereka meluah.
Fang tersandar ke kerusi. Berfikir. Kamarul tersenyum. Mikael mengeluh kuat.
"Aku suka perempuan yang open-minded. Korang tahulah kan, aku ini banyak soalnya." ujar Fang. Gigi ditayang.
"Hm, aku suka macam Aisyah. Elok perangai. Alah, stok isteri mithali. Aku suka perempuan yang biasa-biasa. Blend into background. Hanya yang celik saja nampak kelebihannya." Tersipu-sipu malu Kamarul bercerita tentang ciri kesukaannya.
Mikael, Fang dengan Navin buat gaya mahu muntah.
"Aku percaya love at first sight. Aku pandang dia terus jatuh cinta." Giliran Navin pula berangan.
"Kau punya hindustan bawa sampai realiti, Vin...," komen Kamarul.
Kali ini semua mata memandang Mikael.
"Aku ... aku suka perempuan matang." Ringkas jawapan Mikael.
Kamarul melunjurkan tubuh ke depan. Tangan diletakkan di atas meja bagi menampung badannya. Bibir tersenyum. Hatinya digeletek rasa lucu.
"Mika... Kau suka wanita yang lebih tua, ya?" duga Kamarul.
Mikael menggaru kepala. Teragak-agak dia mahu mengangguk.
Kesemua mereka melopong. Seakan tidak percaya.
Tiba-tiba Fang tersedar. Tangan menepuk meja, perlahan.
"Patutlah kau tak pernah layan adik junior yang syok dekat kau, ya? Kenapa kau suka perempuan lebih tua? Ops! Maksud aku, matang." Fang tersengih mengenang kesilapannya dalam berkata-kata.
Mikael menjeling. Tapi dia tak marah. Sudah lali dengan perangai kawan-kawan yang suka membahan sesama sendiri.
"Sebab ahli keluarga dia majoriti lelaki. Tokoh wanita dalam rumah dia cuma mak dia. Pastilah kau pandang tinggi pada wanita matang macam mak kau, bukan? Kau rasa wanita matang adalah pasangan terbaik." Kamarul menyatakan hujahnya.
Mikael mengangguk. Navin dan Fang mengangkat ibu jari kepada Kamarul. Seperti yang dijangka daripada pelajar contoh sekolah mereka.
"Nampaknya, misi kita mencari girlfriend ni tak akan berjaya lah buat masa terdekat ni," celah Fang.
"Kenapa?" soal Navin. Mata terkebil-kebil.
"Sebab member ni suka perempuan lebih tua. Dan kita adalah pelajar paling tua dalam sekolah ini. Mika tak akan dapat cari girlfriend. Tak syok lah member sorang forever alone."
Kamarul mengangkat tangan. "Setuju! Jadi misi mencari girlfriend ni..."
"Kira batal!" kata mereka serentak.
Semua duduk ke kerusi kembali. Melayan aktiviti masing-masing. Mikael, Fang dan Navin bermain permainan atas talian bersama. Kamarul menelaah bacaan ringan yang terhenti separuh jalan sebentar tadi.
Share this novel