Completed
6432
"AISYAH!"
Kepala Aisyah berpusing ke kanan. Tangan dilambaikan ke arah Adlina.
"Kau dah habis latihan ke?" soal Adlina sebaik melabuhkan punggung di sebelah Aisyah. Air botol yang dibawa dari tengah padang tadi dibuka dan diteguk.
Aisyah mengangguk. Tumpuannya lebih kepada buku ditangan. Dia harus habiskan baca siri kali ini hari ini. Dia perlu tahu apakah yang akan berlaku kepada San Chai dan Dao Ming Shi!
Adlina mengintai melalui hujung mata. Bibirnya tersengih-sengih.
"Oh... Kau tengah baca babak bercium ya... Sweet kan? Kalau lah aku ada Dao Ming Shi aku sendiri...." Adlina memeluk botol air seakan dia sedang memeluk watak hero novel di tangan Aisyah.
Aisyah menyiku bahu Adlina. Dia juga ikut tersengih-sengih membayangkan watak yang sama.
Suara pelajar-pelajar lelaki bersorak mematikan anganan mereka berdua. Aisyah buat tidak peduli. Memang dia tidak berminat dengan mana-mana lelaki di sekolah ini. Semuanya kebudakan.
"Kau tengok tu? Geng si Fang tu. Kemana-mana nampak muka diorang aje. Stress betul lah!" omel Adlina. Botol air mineral ditangan dipukul-pukul ke tanah.
Aisyah angkat matanya dari buku. Pandangan di hala ke arah padang. Sekumpulan lelaki sedang berkejaran ke sana ke sini hanya untuk sebiji bola. Dia memang tak boleh hadam permainan yang menjadi kegilaan rakyat Malaysia itu. Berlari berpeluh sana sini semata untuk rebut bola. Bosan!
Paling membosankan, penonton yang menonton orang kejar bola yang tidak pasti akan sampai ke kaki siapa.
Matanya bertembung dengan mata Kamarul. Terus dilarikan semula pandangan ke tulisan di buku.
"Padan muka Fang kena denda!" jerit Adlina keterujaan.
Aisyah angkat semula wajahnya. Mencari kelibat Fang. Lelaki itu sedang berlari anak mengelilingi padang. Aisyah senyum namun senyumannya mati apabila Kamarul menghampiri. Lagak Kamarul berjalan saja boleh buat perempuan pandang tak berkerdip mata. Tapi bukan Aisyah! Aisyah memang tak suka pada lelaki itu.
"Ad, cikgu Shila panggil kau." Kamarul menyampaikan pesanan Cikgu Shila kepada Adlina. Air paip yang terletak hanya beberapa langkah dari Adlina dan Aisyah itu dibuka. Kepala dibasahkan.
Panas! Baju sukannya pun sudah basah dek peluh.
Adlina berlalu ke arah Cikgu Shila. Sempat dia menyuruh Aisyah untuk menunggu dia di situ.
"Aisyah baca buku apa tu?" soal Kamarul. Ini lah peluangnya mahu berkenalan
Aisyah pusingkan kulit buku. Memberi Kamarul membaca sendiri tajuknya. Beberapa saat, dia buka semula helaian yang dibaca tadi. Kamarul tidak dipedulikan.
"Seronok tak? Rul nak cuba baca." Kamarul masih tidak berputus asa.
Aisyah mengeluh. Mata menjeling lelaki yang sedang berdiri di sebelah.
"Kalau tak seronok, Syah tak baca."
Hati Kamarul menjerit keriangan. Kalau dibawa telefon pintarnya tadi, sudah pasti dia rakam suara Aisyah berbual dengannya. Lambaian Cikgu Khairul dari arah padang tidak dipedulikan.
"Mana Syah beli? Rul nak baca juga."
"Hm, ini novel cinta. Lelaki bukan pandai baca novel cinta." Aisyah jawab ala kadar. Lagi dia tak layan, lagi banyak pula soalan si Kamarul ini. Dia ingat Kamarul akan bosan bila dia buat tidak tahu.
"Takpe. Rul boleh baca."
Aisyah diam. Fokus kepada pembacaan. Lagipun, dia tidak selesa Kamarul berlama di sini. Nanti ada pula pelajar perempuan yang tidak puas hati dengannya.
Tak perlulah Kamarul mahu berlagak ramah-tamah pula dengan dia. Dia tak kisah pun jika tidak dipedulikan.
"Cerita pasal apa?" Kamarul tanya lagi. Dia tak mahu berganjak dari situ. Kalau boleh, sampai habis waktu sekolah dia mahu setia di sini. Bila lagi dia akan dapat peluang berduaan.
Aisyah terus mendiamkan diri. Kamarul yang berdiri di belakangnya dibiarkan.
Tangan Kamarul bergerak-gerak menghalau Fang yang mahu menghampiri. Fang ini nampak saja apa yang dia buat. Kamarul kenal senyum sinis itu. Dia tahu Fang sengaja mahu sabotaj kenangan indahnya.
"Hai, Aisyah. Buat apa berdua ni? Dating ya?" usik Fang dengan senyum mengejek.
Aisyah mendengus. Dia langsung bangun lalu meninggalkan dua orang lelaki itu terpinga-pinga. Malas mahu layan!
Kalau setakat Fang mahu mengejek dia berduaan dengan Kamarul yang segak itu, baik tak payah. Dia pun tak pernah terfikir mahu berduaan dengan Kamarul. Dia sedar dirinya langsung tak sesuai mahu berdiri di sebelah lelaki itu pun.
Kamarul pukul bahu Fang. Bengang.
"Kau lah ni! Tengok Aisyah dah tinggalkan aku."
"Alah... Sombonglah Aisyah tu." Fang membela diri.
Berkerut dahi Kamarul menahan rasa geram. Kalau Fang tak datang tadi, mesti dia sudah duduk berbual panjang dengan Aisyah. Mata menghantar susuk Aisyah sehingga gadis itu duduk di bangku kantin sekolah. Kamarul mengeluh.
Mungkin Aisyah tak selesa dengannya. Mungkin dia busuk sangat kut?
Lengan diangkat. Kamarul merapatkan hidung ke ketiak.
"Weh, aku bau tengik tak?" Kamarul mendekatkan ketiaknya kepada Fang.
Tersembur air dari dalam mulut si Fang. Hilang selera dia mahu minum air botol.
"Tengik? Ni dah tahap hanyir dah! Hilang deria bau aku untuk tiga hari ni. Semua sebab pekena bau ketiak kau. Patutlah Aisyah lari," ejek Fang. Dia sudah siap mahu larikan diri.
"Wei! Mana ada. Dia rilek je duduk dengan aku tadi. Semua salah kau!" Tangan Kamarul mencengkam kolar baju Fang. Lelaki cina itu terdorong ke belakang lalu terjelopok jatuh.
Kamarul ketawa terbahak-bahak. Puas hatinya melihat Fang mencium tanah.
"Weh, Rul! Cikgu panggil kau dari tadi ... kau buat tak nampak aje ya?" Mikael datang dengan bola ditangan. Dilambung-lambung bola sepak yang sudah kotor dilumur tanah dan lecak itu.
Kamarul menjungkit bahu. Cikgu Khairul itu tak lain tak bukan mesti nak serahkan kerja pada dia. Tahu sangat dia dengan kemalasan lelaki itu. Malas mahu berlama-lama dan berpeluh di padang, dia selalu serahkan kerja memantau dan mengemas alatan sukan kepada Kamarul Kalau alatan sukan kelab mereka saja tak apa juga, tapi dia perlu kumpul juga alatan kelab lain. Kalau semua kelab sudah habis latihan, baru dia boleh mengunci bilik sukan.
Ah, tidak! Dia nak balik cepat.
"Jom lah gerak balik. Nanti si boroi tu nampak aku, dia suruh aku kunci bilik sukan. Pukul 7 pun tak sampai rumah lagi. Navin mana?"
Muncung Mikael terarah ke kantin. "Sedang dingorat oleh adik junior."
Mata Fang dan Kamarul terhala ke kantin. Beberapa orang pelajar india sesi petang mengerumuni Navin. Mereka mencebik bibir.
Navin memang mudah berkawan. Personalitinya yang ramah dan kelakar itu dengan mudahnya dapat memancing perhatian pelajar perempuan. Lagi-lagi yang sama kaum dengannya.
"Navin ni aku rasa kira termasuk kategori paling hensem lah dalam masyarakat india. Kemana-mana mesti ada je awek india usyar dia," komen Mikael.
Kamarul bersetuju. Tidak dia nafikan yang Navin memang diminati ramai. Tapi bagi mereka bertiga yang sudah lama mengenali Navin, dari sejak mereka comot lagi ... Navin biasa-biasa aje!
"Mika, kau pergi panggil Navin. Aku dengan Fang gerak pergi ambi basikal dulu."
Mikael mengeluh. Malas-malas dia menapak ke kantin.
"Goodluck, kaki 2...," jerit Fang.
Mikael menjeling. "Diamlah kau, kaki 3!" Beg sandang di baling ke arah Fang. Fang sempat menangkap beg Mikael.
Kamarul menghayun langkah ke pondok meletak basikal. Diam membisu. Apa yang diborakkan oleh Fang langsung tidak masuk ke telinganya.
"Aku nak ke kedai buku dulu sebelum balik."
"Kedai buku dah tutuplah. Tadi kau tak nak pergi," rungut Fang.
Kamarul menarik keluar basikalnya dari celah palang tempat dia mengunci tayar basikalnya.
"Bukan kedai buku sekolah. Kedai buku dekat luar."
"Kau nak cari apa?"
"Novel cinta."
"Novel cinta? Sejak bila kau baca novel cinta?"
"Sejak tadi." Kamarul mengulum senyum.
Fang ternganga. Tiba-tiba dia tersedar. "Jangan kata kau nak cari novel yang Aisyah baca tadi?"
Anggukan Kamarul buat Fang menepuk dahi.
"Kau betul-betul perlukan bantuan, Rul. Angau kau ni perlukan ubat."
"Aisyah lah ubatnya." Kamarul tersenyum simpul.
Cengkaman tangan Fang pada basikal, terlepas. Basikal tersadai ke tanah.
"Wei, korang! Dia memang dah tenat ni!" Fang melaung kuat ke arah Navin dan Mikael yang sedang menghampiri.
Navin dan Mikael berlari mendapatkan Fang dan Kamarul. Kepala Kamarul mereka siku berjemaah.
Share this novel