17

Short Story Completed 6432

AIR kotak yang dibeli dari koperasi, Kamarul hulur kepada Aisyah.

Aisyah dari tadi hanya diam membisu. Tiada sepatah kata yang keluar dari bibir gadis itu. Kamarul pula yang jadi bimbang dan tidak keruan.

"Syah dah mesej Imi. Kata dengan dia yang Syah di sini."

Aisyah angguk kecil. Air kotak yang sudah siap dicucuk oleh Kamarul untuknya itu disedut. Suasana sepi semula antara mereka.

"Syah... Kenapa Syah tak lawan semula? Apa Hilya kata tu betul?"

Aisyah menggeleng laju.

"Aisyah, kalau ada orang kata yang tak betul mengenai kita ... kita kena betulkan."

"Tiada siapa percaya pun. Apa gunanya...."

"Rul percaya."

Mata Aisyah naik ke wajah Kamarul. Pelik. Kenapa Kamarul begitu baik dengannya?

"Kenapa Rul baik sangat? Patutlah Rul idaman semua pelajar perempuan di sekolah ini."

Kamarul ketawa. Semua? Dia pasti dia bukan idaman Aisyah dan yang dia mahukan cuma Aisyah.

"Aisyah tak kisah. Lagipun ini tahun terakhir. Lepas ini, Aisyah akan pergi jauh dari semua orang. Ke tempat yang tiada siapa kenal Aisyah." Rancak dia bercerita tentang rancangannya di kemudian hari.

Memang dia mahu mulakan hidup baru selepas tamat persekolahan. Dia mahu berhijrah ke negara orang dan di sana nanti, tak akan ada lagi kawan-kawan seperti Hilya. Dia mahu lupakan kenangan lama.

"Itu sahaja impian Syah? Kecilnya...."

Aisyah mencerlungkan mata. Berani Kamarul memperkecilkan impian yang baginya besar? Kamarul ada segalanya, mesti Kamarul tak faham apa yang terpaksa dilaluinya.

"Oh, macam lah impian Rul tu hebat sangat."

Kamarul senyum mengejek. "Bolehlah. Lebih baik dari impian Syah."

Aisyah mencebik. "Ha, apa impian Rul tu?"

Dia tak mahu ambil peduli tapi sebab Kamarul mencabar egonya, dia tanya juga.

"Rul nak hargai segala yang buruk dan baik, jadikannya satu pengajaran juga penunjuk arah untuk mencapai kejayaan. Rul nak belajar tinggi-tinggi dan dapat kerja yang bagus. Jadi, nanti Mak Rul tak perlu bersusah-payah jual kuih-muih dekat tepi jalan lagi. Mak Rul tak perlu bangkit jam 3-4pagi lagi semata mahu mencari duit. Rul boleh beri apa sahaja yang Mak Rul perlukan. Sampai Mak Rul tertanya-tanya bila peluh dia nak menitik lagi sekali."

Aisyah tergelak kecil. "Tapi nanti Aisyah rindulah nak makan kuih Mak Rul jual. Pandai Mak Rul buat kuih." Riak Aisyah muram.

"Kalau Aisyah nak, Aisyah boleh telefon Rul bila-bila. Nanti Rul bawa untuk Aisyah."

Aisyah menggeleng. Tidak sampai hati mahu menyusahkan Kamarul pula.

Kamarul dan Aisyah saling bertatapan. Untuk seketika, mereka merasakan mereka di dalam dunia yang tersendiri. Kamarul suka melihat senyuman Aisyah. Senyuman yang paling ikhlas pernah terukir di bibir gadis itu. Gelak tawa Aisyah juga terdengar indah di pendengaran.

Ada lagi kah ketawa seindah ini di dalam dunia? Dia suka melihat gadis itu senang dan gembira. Sejak bila perasaan terlalu suka ini hadir? Dia sendiri tidak dapat mencari jawapannya. Hari berganti hari, rasa suka melihat dan memandang bertukar kepada rasa cinta.

Dia suka lihat Aisyah yang baik hati. Aisyah selalu menyendiri tetapi gadis itu tidak lupa berbuat kebaikan. Setiap hari Kamarul pasti terserempak dengan Aisyah yang leka memberi kucing jalanan makanan. Setiap hari, pasti sebungkus makanan kucing menjadi isi beg sekolahnya.

Aisyah juga selalu mengalah dengan orang lain.

Kamarul tahu Aisyah tidak selemah yang dilihat. Gadis ini kuat. Kalau tidak, mana mungkin Aisyah berjaya merangkul juara Tae Kwan Do peringkat daerah bagi kategori wanita.

Aisyah melarikan anak mata. Tidak sanggup berlamaan menatap anak mata coklat pekat milik Kamarul. Satu perasaan aneh cuba mengetuk pintu hatinya. Bahagia dan aneh saling bersalutan menyelubungi tangkai hati.

Mana mungkin....

Dia masih terlalu muda untuk memahami rasa suka dan cinta. Perasaan yang hadir ini mungkin hanya satu rasa kagum. Dia mengagumi Kamarul kerana perwatakan lelaki itu yang baginya terlalu baik.

"Aisyah nak sambung belajar ke luar negara ya?" Kamarul cuba menghilangkan rasa janggal.

Aisyah mengangguk. Walaupun keputusan peperiksaannya tidak sebagus Kamarul, tapi dia tahu dia akan berjaya ke luar negara juga. Ayahnya bukan orang biasa-biasa. Keluarganya agak berada. Belajar di luar negara juga salah satu impian si ayah.

"Rul tak mahu ke luar negara? Rul kan budak pandai."

Kamarul ketawa terbahak-bahak. Pandai? Pujian ini patut atau tidak disimpan di dalam memori.

Dia bukan pandai semula jadi, dia pandai berpeluh darah, bersengkang mata, dan macam-macam ber lagi lah!

Kalau dia tidak belajar bersungguh-sungguh, siapa yang akan membela nasib keluarga?

"Rul ni anak peniaga kuih je, Syah. Belajar di luar negara tu macam impian yang berisiko buat Rul. Rul akan sambung di dalam negara saja. Itu pun kalau ada duit... Rul tak mahu terlalu memaksa diri. Kalau tak sambung belajar pun takpe! Rul akan cari jalan lain untuk berjaya."

Aisyah melempar senyum. Dia suka dengan keazaman dan kegigihan Kamarul. Memang patut pun lelaki ini menjadi ketua pengawas sekolah mereka. Dan dia pasti Kamarul akan berjaya ke mana saja lelaki itu pergi.

"Syah tahu Rul akan berjaya dalam apa jua yang Rul ceburi."

"Sebab?"

"Sebab Rul orang baik. Orang baik ni Tuhan sayang tau."

Kamarul mengerdipkan mata sekali. "Orang jahat pun Tuhan sayang juga. Orang jahat yang berusaha menjadi baik."

"Aisyah ada satu teka teki untuk Rul."

Kamarul membetulkan duduk. "Apa dia?"

"Kenapa perempuan mengutamakan kecantikan berbanding kepintarannya?"

Kamarul terlepas tawa kecil. Teka teki? Ini macam minta beri pandangan saja. Lagipun, secara peribadinya dia merasakan wanita yang pintar lebih menarik daripada yang cantik.

"Hm, ini teka teki atau kemahiran berfikir aras tinggi?"

"Alah, jawab aje lah. Kenapa?"

Kamarul diam seketika. Otaknya digerakkan semampu boleh.

Tak! Dia tak ada jawapan lain selain itu. Berat untuk dia mengaku tapi memang itulah jawapan yang dirasakan yang terbaik.

"Sebab... err.... sebab ramai lelaki bodoh nak yang cantik je?"

Aisyah tersenyum simpul. Kamarul tahu jawapannya tepat melalui senyuman penuh rasa lucu dari Aisyah.

"Rul lelaki pertama yang jawab dengan betul."

"Tapi ... perempuan kena tahu juga. Wanita yang pintar akan dapat menawan hati lelaki yang juga pintar. Tak begitu? Hanya orang bodoh yang mencari kecantikan fizikal, dan orang yang bijak akan mencari madrasah yang baik untuk keluarga dan anak-anaknya. Wanita adalah madrasah buat anak-anak, bukan buat tontonan seluruh umat."

Aisyah terdiam. Kagum dengan apa yang dijelaskan oleh Kamarul.

"Wanita tak perlu cantik demi lelaki. Lelaki akan lihat gadis yang dicintainya adalah yang paling cantik sekali meskipun gadis itu anggap dirinya adalah yang paling buruk sekali. Yang penting, cintai Allah dan Allah akan menemukanmu dengan yang juga mencintai-Nya. Kan?"

Malu-malu Aisyah mengangguk membenarkan kata-kata Kamarul. Untuk pertama kali dia merasa dirinya tiada kekurangan dan bezanya dari mana-mana wanita lain. Hatinya lapang!

"Gadis yang Rul suka bertuah ada lelaki seperti Rul yang menyukai dia. Mesti gadis yang Rul minat tu cantik kan?" Aisyah tersengih.

Senyuman Kamarul melebar.

"Dia yang paling cantik sekali di mata Rul. Dan Rul tak pernah jumpa gadis secantik dia seumur hidup Rul." Mata terus melekat ke wajah Aisyah.

TAMAT

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience