Completed
6432
AISYAH berdebar-debar. Batik yang cantik menutupi kepalanya dibetul-betulkan sekali lagi. Aisyah berlalu ke tingkap memerhati keramaian orang di bawah. Berpusu-pusu ramainya pengunjung pada tahun ini.
Hari karnival sekolah....
Hari yang paling dia tidak suka. Hari dimana dia selalunya akan memerap dirumah. Tetapi tahun ini lain! Ini tahun terakhir. Pujukan Adlina tempoh hari buat dia menyerah lalu menurut kehendak si sahabat karib.
"Ad... Aku malulah," bisik Aisyah. Pakaian ala gadis melayu klasik ini dirasakan tidak sesuai dengan dirinya.
Adlina yang sedang bersolek di hadapan cermin terus berpaling.
"Malu? Penat aku solek kau cantik-cantik... Lagipun, kau nak malu apa, Syah? Semua pelajar pakai macam ni."
Aisyah mengeluh. Sebab itu lah dia malu. Dia sudah lah buruk, bersolek begini nanti mesti orang kata dia perasan mahu jadi cantik.
Telefon pintar di atas meja bergetar. Aisyah berhenti termenung. Dicapai telefon di atas meja dan menekapnya ke telinga.
"Ad! Adik saudara aku dah sampai. Aku pergi jumpa dia dekat pagar kejap tau!"
Adlina angkat ibu jarinya. Sebelah tangan tumpu dengan solekan. Dia sebagai Master Ceremonies hari ini. Wajib untuk dia nampak cantik!
Aisyah menapak menuruni tangga dengan laju. Lagi 3 anak tangga mahu sampai ke bawah, Aisyah lompat. Bibir mengukir senyum tidak sudah-sudah.
Lama dia tidak bertemu dengan adik saudaranya, Raimi. Gadis itu duduk jauh darinya dan cuma sesekali Raimi berpeluang datang menziarah.
Tangan Aisyah naik tinggi melambai ke arah Raimi yang terpinga-pinga sendiri di depan pintu pagar sekolah.
"Imi!"
Raimi menoleh. Ketika itu juga senyum memekar. Tubuh Aisyah dipeluk.
"Kak Aisyah cantik lah hari ini!"
Pipi Aisyah memerah. Ini semua hasil kreativiti Adlina. Wajah ditundukkan apabila beberapa orang rakan sekolah menoleh kepada mereka berdua.
"Ayah akak tak masuk sekali ke?" soal Aisyah. Kepala menjenguk ke tempat parking kereta, cuba mencari kereta milik si ayah.
Raimi menggeleng perlahan. "Pakcik ada kerja. Makcik pula ada appointment dengan dermatologist. Raimi seorang aje yang datang. Tapi takpe! Lagi seronok! Boleh kita dating berdua!"
Aisyah tersenyum hambar. Memang dia sudah agak yang ayah tak akan punya masa mahu ke sini. Tapi rasa sayu segera terbang pergi dengan kehadiran Raimi.
"Best-nya sekolah kakak. Semua pelajar kena pakai baju fesyen zaman dulu-dulu. Pengunjung aje yang pakai baju biasa. Jadi dapat beza dengan mudah siapa orang luar, siapa pelajar sekolah," bebel Raimi. Lengan Aisyah dirangkul.
"Imi nak kemana? Kita makan dulu nak? Kak Aisyah lapar...." Perut digosok-gosok. Aimi bersetuju.
Dalam perjalanan menuju ke kantin, sudah berapa gerai mereka singgah. Aisyah tergelak kecil. Raimi memang mudah dihiburkan walaupun umurnya dengan Raimi hanya berbeza setahun. Raimi juga anak tunggal sepertinya jadi sedari kecil, mereka berdua memang rapat. Raimi selesa memanggil Aisyah kakak.
Tangan Raimi Aisyah tarik. Makin lambat mereka mahu sampai ke kantin kalau dibiarkan Raimi yang mengetuai langkah.
"Kak Aisyah! Siapa tu?" Raimi memaku kaki ke tanah. Tidak berganjak walau seinci walaupun sudah ditarik.
Aisyah putus asa. Dia menoleh ke arah yang ditunjuk oleh Raimi.
"Kak! Siapa tu kak? Akak kenal tak?" Raimi keterujaan. Bola mata bersinar. Nada berubah menjadi sedikit mengada.
"Oh... Itu ketua pengawas. Kenapa?"
"Hensemnya! Ini lah pertama kali Imi nampak lelaki sesegak dia. Aduhai! Dengan tanjak dan sampingnya itu. Imi rasa macam tengah tengok hero cerita P.Ramlee!"
Aisyah ketawa terbahak-bahak. Raimi memang peminat cerita klasik.
"Kak Aisyah kenal dia kan? Kenalkan dia dengan Imi ... please?"
Mata Aisyah membuntang. Kenalkan Raimi pada Kamarul? Err... Dia sendiri pun jarang bertegur sapa dengan lelaki itu.
"Kak Aisyah tak rapat sangat dengan ketua pengawas tu," ujar Aisyah. Serba salah kerana tidak mampu memenuhi permintaan Raimi.
Raimi muncung namun tidak sampai berapa saat, bibirnya tersenyum kembali.
"Jadi, inilah masanya kita nak rapat dengan ketua pengawas. Jom kita tegur dia!" Tangan Aisyah ditarik supaya menurut langkahnya.
Aisyah berpeluh dingin. Tidak pernah dibuat seumur hidup pergi menegur lelaki itu terlebih dahulu. Kenapa dalam banyak-banyak yang segak di sekolah ini, Kamarul juga yang berjaya menarik perhatian Raimi!
"Hai abang ketua pengawas!" Raimi menjerit memanggil sebaik mereka hanya beberapa langkah dari Kamarul.
Aisyah menyorokkan wajah di sebalik kepala Raimi.
Kamarul menoleh. Sepanduk yang diberi oleh Fang tadi diturunkan.
"Aisyah?" Perkataan pertama yang meluncur keluar dari mulut Kamarul. Manusia pertama juga yang dia nampak setelah menoleh. Gadis itu berselindung di sebalik gadis berambut separas bahu di depannya.
Mata Kamarul melekat ke wajah Aisyah. Terpana dengan kecantikan si gadis. Tidak disangka yang tahun ini tahun bertuahnya. Aisyah hadir karnival sekolah tahun ini!
"Ni kak Aisyah. Saya Raimi, adik kak Aisyah." Raimi memperkenalkan diri tanpa diminta.
Mata Kamarul beralih kepada Raimi. Dihafal raut wajah di hadapannya kini. Adik Aisyah... Jauh sungguh beza personaliti mereka berdua. Aisyah tidak banyak cakap, Raimi pula macam terlebih cakap.
"Nama abang ketua pengawas apa?" soal Raimi. Tidak betah mahu tunggu lagi.
"Kamarul. Raimi tak sekolah sini juga ke?" Soalannya untuk Raimi namun matanya tetap kepada Aisyah.
Aduhai... Memang tak tidur lah dia malam ini teringatkan Aisyah yang cantik lagi menawan di depannya kini.
Aisyah menyembunyikan wajah disebalik kain batik. Dibiarkan Raimi sahaja yang berborak dengan Kamarul.
Kamarul tersenyum segaris melihat gelagat Aisyah. Dia memang tahu yang Aisyah pemalu orangnya. Bukan dengan dia aje, malah dengan lelaki lain pun Aisyah sangat menjaga pandangan. Kira bertuah sungguh kalau dapat menentang anak mata coklat pekat milik Aisyah. Selalunya Aisyah akan mengelak dari menatap terus ke wajah.
Lagi disembunyikan wajah, lagi abang Kamarul mahu pandang. Tenat Kamarul... Memang hati kau dah tenat.
"Imi tak sekolah sini. Imi sekolah jauh dari sini. Abang Kamarul boleh tolong tangkap gambar Imi dengan kak Aisyah tak?"
Aisyah membulatkan mata. Banyak pula permintaan Raimi ini. Kamarul tu ketua pengawas, mesti ada banyak lagi tugas yang perlu diselesaikan.
"Boleh!"
Belum sempat Aisyah menghentikan Raimi, Kamarul sudah memberi jawapan. Aisyah mengeluh panjang.
"Maaf, Rul. Imi ni memang suka susahkan orang," ujar Aisyah. Tangan mencuit pinggang Raimi.
Kamarul faham. Kepala diangguk sedikit. Lagipun, bila aje dia akan dapat peluang ini....
Peluang melihat Aisyah di dalam gambar? Peluang melihat Aisyah tersenyum?
Kamarul menahan salah seorang pelajar yang berselisih dengannya. Sepanduk di tangan diberi kepada pelajar tersebut. Sempat dia berpesan supaya sepanduk itu diserah kepada Mikael yang sedang duduk terbaring di kerusi malas gerai mereka.
"Takpe, Syah. Tak susah pun. Hari ini biar abang Kamarul jadi tour guide korang!"
Raimi bersorak keriangan. Lengan Aisyah ditarik merapat kepadanya.
Sekeping dua gambar berjaya Kamarul ambil. Matanya asyik melihat wajah Aisyah melalui skrin kamera canggih milik Raimi.
"Baik! Giliran abang dengan kak Aisyah pula!" Raimi berlari menghampiri Kamarul. Ditolak tubuh Kamarul supaya berdiri di sisi Aisyah.
Aisyah terdiam. Pipinya memerah. Raimi ini memang macam-macam kehendak sungguh!
"Sorry, Syah...," pinta Kamarul. Kepala digaru. Gembira dan rasa serba salah di satu masa.
Aisyah angguk kecil. Dia tidak kisah. Dia takut Kamarul yang tidak selesa. Iya lah, pastilah lelaki ini menjaga air mukanya. Bergambar pula dengan gadis tidak cantik seperti dia.
"Kak Aisyah! Kenapa kak Aisyah tak senyum. Lagi sekali!"
Aisyah tersentak. Kamarul di sebelah tergelak senang. Aisyah memberi selayang pandang kepada Kamarul. Sempat dia menangkap senyuman lelaki di sebelah. Hatinya berdegup kencang. Ini lah pertama kali dia melihat senyuman menawan seorang lelaki.
Apa saja yang Kamarul tidak ada? Lelaki ini sempurna. Wajahnya kacak, otaknya bijak, personalitinya dan perwatakannya cemerlang. Ramai kawan-kawan dan semua guru-guru juga amat senang dengan kehadiran Kamarul.
"Syah... Rul ada satu soalan untuk Syah." Mata Kamarul bertentang dengan mata Aisyah.
Kening Aisyah sedikit terangkat. Raimi di depan masih belum berpuas hati dengan gambar yang ditangkapnya dari tadi.
"Kalau gajah jadi ayam, lalu singa jadi ayam dan kambing jadi ayam ... maka, ayam jadi apa?" soal Kamarul dengan riak wajah serius.
Aisyah berkerut dahi. Ligat otaknya bergerak cuba mencari jawapan.
"Ayam jadi singa dan kambing?"
Kamarul tersenyum mengejek. "Salah! Ayam jadi banyak la...."
Suasana sekeliling yang gamat membuatkan Aisyah terjeda seketika cuba memahami jawapan Kamarul. Sesudah itu bibirnya menyeringai. Lucu memikirkankan kebodohan dirinya sendiri. Ketawa mereka bersatu.
Klik!
"Sudah?" soalan diajukan kepada Raimi di depan. Kamarul bergerak menghampiri Raimi kembali.
"Dah. Cantik tak Imi tangkap?"
Kamarul mengangguk. Wajah Aisyah dengan senyumannya yang lebar itu buat Kamarul senang hati.
"Abang dah ada girlfriend?"
"Imi...." Mata Aisyah mencerlung memberi amaran.
"Apa? Imi tanya je. Abang dah ada girlfriend ke?"
Kamarul teragak-agak mahu menjawab. Dikerling Aisyah sekilas. "Tak ada," balas Kamarul sepatah.
"Fuh! Nasib baik abang single. Kalau abang ada girlfriend, habislah Imi mesti kena kejar dengan girlfriend abang."
Kamarul senyum. Raimi ini memang sporting.
"Kalau Imi jadi girlfriend abang, boleh?"
Aisyah terbatuk-batuk. Kamarul tercengang. Matanya terkebil-kebil cuba melihat kesungguhan Raimi. Gadis itu memang tidak bergurau.
Aisyah mencelah di antara Kamarul dan Raimi. Ditolak Raimi dua langkah ke belakang, menjarakkan gadis itu dengan Kamarul.
"Ke abang ada minat pada seseorang?" Raimi masih belum mahu berhenti. Tak cuba tak tahu Dia memang berkenan sungguh dengan Kamarul. Bila lagi dia akan jumpa hero malaya yang sekacak ini.
Aisyah menutup mulut Raimi. Lagi dibiarkan mulut ini terbuka, makin banyak pula soalannya.
"Ha'ah. Abang ada lah minat pada seseorang." Kamarul menggosok belakang tengkuk. Segan mahu menatap wanita yang berjaya menetap di dalam hatinya. Mampus dia kalau Aisyah terkesan getar cintanya pada gadis itu.
Raimi terdiam. Air wajah kelam. Kecewa dengan jawapan Kamarul. Terlepas peluangnya mahu berteman seorang lelaki kacak seperti Kamarul. Apalah nasibnya!
"Maaf, Rul. Imi ni memang begini."
"Takpe. Rul tak kisah. Sorry, Imi...," ujar Kamarul. Anak mata Raimi dicari. Dia perasan perubahan riak si gadis.
"Takpe! Abang belum kahwin lagi. Imi boleh tunggu sampai abang dah kahwin!"
Kamarul menelan liur. Keazaman Raimi memang tidak boleh diperlekehkan.
Aisyah menampar kuat belakang Raimi. Makin menjadi pula perangai nakal Raimi bila dibiarkan.
Raimi menyeringai. Kamera ditangannya diserah kepada Aisyah. "Raimi nak pergi beli makanan dulu. Kak Aisyah dengan abang duduk sini tau. Jangan jalan dulu!"
Raimi berlari anak ke gerai takoyaki meninggalkan Aisyah dan Kamarul berduaan.
Diam.
Suasana di antara mereka berdua berubah sunyi. Walaupun keadaan sekeliling gamat, Aisyah dan Kamarul langsung tidak merasai kegamatannya.
Aisyah mula gelisah. Peluh dingin sudah mula mahu memunculkan diri mereka. Tidak biasa berduaan secara sengaja begini dengan lelaki. Dan lelaki itu pula adalah Kamarul.
"Syah... Tahun ni Syah datang. Rul tak sangka." Kamarul cuba mereka topik perbualan.
Aisyah terkedu.
"Selalunya Syah tak hadir. Karnival sekolah. Rul ingat tahun ni pun Rul tak akan dapat jumpa Aisyah."
"Err..."
"Rul selalu perasan Aisyah. Aisyah tak suka duduk di tempat ramai orang, sebab itu Aisyah selalu di perpustakaan. Aisyah tak suka buat aktiviti luar. Aisyah tak banyak cakap...."
Aisyah menundukkan wajah. Hairan. Kenapa banyak perihal tentang dirinya yang Kamarul tahu.
Mungkin... Tak mungkin! Tak mungkin!
Tak kan lah lelaki idaman pelajar perempuan ini suka pada dia pula. Berangan tinggi betul kau, Syah! Berangan!
"Aisyah!"
Aisyah dan Kamarul berpaling serentak. Ketika itu juga tamparan melayang ke pipi Aisyah. Kamarul terkejut bercampur pelik. Terus mendapatkan Aisyah yang sudah jatuh terjelepok ke tanah.
"Syah okay?" soalan pertama dari bibir Kamarul.
Jelingan Aisyah buat Kamarul kecut perut. Salah soalan pula....
Tangan Kamarul menarik Aisyah untuk kembali berdiri. Gadis yang menghadiahkan tamparan sulung buat Aisyah tadi mendengus.
"Kenapa ni?" Nada Kamarul bertukar tegas.
"Rul kenapa keluar dengan perempuan hodoh ni? Kau memang ada hati nak mengorat Kamarul kan!" Tubuh Aisyah ditolak kuat.
Kamarul yang berada di belakang Aisyah sempat menahan gadis itu dari terdorong jatuh ke belakang.
"Siapa hodoh?" Dahi Kamarul berkerut seribu. Tidak sangka ada yang berani menghina orang lain sebegitu rupa.
"Dia lah! Rul jangan kawan dengan dia ni. Dia ni dah lah penipu, gemuk, buruk pula tu!"
Aisyah menggigit bibir sendiri. Pedih mendengar kata-kata Hilya, teman lamanya.
Tangan Hilya mula bertindak namun cepat ditahan oleh cengkaman Kamarul pada pergelangannya. Aisyah ditolak berlindung di belakang tubuh Kamarul.
"Kau ingat kau bersolek, kau dah cantiklah? Perasan!" Hilya belum berpuas hati.
"Dah! Cukup!" bentak Kamarul. Wajah menyinga.
Aisyah dibelakang terus mendiamkan diri. Langsung tiada tanda mahu mempertahankan dirinya.
"Jawablah! Kau memang penipu kan!"
Kepala Aisyah teragak-agak mahu menggeleng. Dia tahu apa sekali balasannya, tiada siapa akan percaya. Dia tidak pernah menipu.
"She said nope." Kamarul membalas bagi pihak Aisyah.
Hilya berang. Lagi hangat hatinya melihat lelaki idamannya mempertahankan perempuan seperti Aisyah. Selama bertahun-tahun dia cuba menarik perhatian lelaki ini, akhirnya perempuan buruk itu juga yang dapat!
"Kau ni memang tak sedar diri!" Cengkaman tangan Kamarul ditepis kasar. Laju tangan naik ke tudung Aisyah.
Aisyah menahan kain di atas kepala. Sentakan kuat dari Hilya hampir saja membuatkan tudungnya lurut dari kepala.
Kamarul cuba meleraikan Hilya dan Aisyah. Wajah Aisyah dipandang. Mata tertangkap linangan air mata yang mula bertakung ditubir mata Aisyah. Rentapan kuat dari tangan Kamarul menyebabkan genggaman Hilya pada kain tudung Aisyah terlepas.
Beberapa orang pengunjung memerhati mereka.
"Cukup! Ini bukan tempat cari gaduh!" Suara Kamarul meninggi. Membara anak matanya memandang Hilya.
Hilya gerun. Tangannya terhenti.
Kamarul cuba menenangkan Aisyah namun Aisyah terlebih dahulu beredar dari situ. Panggilan Kamarul tidak dipeduli. Dia malu dengan semua orang!
Mana mahu disorokkan wajahnya selepas ini? Satu sekolah pasti percaya dengan kata-kata Hilya. Sekali lagi kejadian yang sama ketika di sekolah rendah dahulu berulang.
Kaki Aisyah terhenti di hadapan seseorang. Wajah diangkat.
Fattah!
Fattah tersenyum sinis. "Kau kenapa, hodoh? Tak ada tempat lain lagi kau nak jalan!"
Aisyah tunduk kembali.
"Perempuan ni memang suka buat aku angin satu badan lah. Geli aku tengok muka kau yang buruk tu!" Tangan diangkat mengacah mahu melayangkan tamparan ke wajah Aisyah.
"Fattah!" Satu suara garau membentak dari arah belakang.
Fattah mengeluh panjang. Disuruh kawan-kawannya untuk pergi dulu. Kawan-kawannya akur. Kini hanya tinggal dia dan Kamarul. Aisyah si penakut masih tidak berganjak.
"Kau nak jadi hero malaya lagi, bukan?" sindir Fattah. Mata memandang pada Kamarul dan Aisyah.
Kamarul berdiri di sisi Aisyah. "Kalau kau tak berlagak gangster di sini, aku tak perlu susah-susah jadi hero."
"Suka hati kau lah! Tepi lah kau, perempuan!" Bahu Aisyah dirempuh. Mata tajam menjeling Kamarul.
Satu hari nanti, dia akan buat Kamarul pula yang merasa terhina. Marahnya pada Kamarul tak akan pernah pudar.
"Aisyah okay?"
Aisyah angguk. Riaknya kosong.
Share this novel