Completed
6432
FANG mencucuk straw ke lubang air kotak. Disedut straw tersebut sepuas hati.
Lega! Dapat juga dia beli air kotak perisa kegemarannya. Selalu asyik habis saja. Kalau tidak pun, cikgu koperasi tidak re-stock.
Duit baki yang dihulur oleh adik koperasi, diletak ke tapak tangannya.
"Dik! Bagi akak air kotak perisa Teh Bunga tu satu!"
Fang memalingkan muka ke kanan. Kedua mereka menjeling antara satu sama lain.
"Kau ni suka dekat aku ek? Mana aku pergi, kau ikut."
"Sorry sikit! Takde kerja aku nak ikut kau. Muka pun tak hensem. Mata sepet."
Fang mengetap bibir. "Sepet-sepet jangan kutuk. Dari kau tu, hidung kembang!"
"Hidung aku kembang pun, aku cantik...."
Mengecil mata Fang melihat Adlina dari atas ke bawah. Cantik?
"Kau ni boleh tahan kuat perasan juga. Bila masa kau cantik? Siapa yang mulakan fitnah paling hina ni pada kau? Cantik? Kah Kah!" Fang pura-pura ketawa besar semata mahu menyakitkan hati Adlina.
Adlina mengepal penumbuk lalu diangkat naik ke depan muka Fang. Fang langsung tidak gentar. Setakat penumbuk Adina, macam kena cium je rasa.
"Maaf kak. Air kotak yang akak nak tu, abang ni yang last sekali beli tadi." Adik yang menjaga kaunter koperasi mencelah.
Makin terbeliak mata Adlina memandang air kotak ditangan Fang.
"Kau ni! Aku dah lama teringin nak minum air tu. Kenapa kau beli!"
"Siapa cepat, dia dapat lah ... cik cantik. Eh, perasan cantik." Tangan dilambai-lambai kepada Adlina.
Adlina geram. Belakang kaki Fang ditendang.
Fang yang tidak dapat mengawal keseimbangan badan, terus mencium lantai. Habis kotor baju sekolah yang tersarung di badan.
"Hoi! Tak senonoh betul perangai," marah Fang sebaik mengangkat muka. Najis! Tempat orang pijak pakai kasut itu yang telah diciumnya. Ini kalau gosok pakai berus gigi pun belum tentu suci semula ni.
"Tepi sikit! Perempuan cantik nak lalu!" Adlina menendang perlahan Fang yang masih terduduk di lantai.
"Ha, perempuan cantik? Ini perempuan kurang ajar namanya," sindir Fang. Sengaja membengkakkan lagi hati Adlina.
Baru dia mahu berdiri, rambutnya ditarik kuat. Fang mengaduh.
Tangan Adlina tidak melepaskan rambutnya. Fang terduduk kembali ke lantai. Kepala menjadi sasaran amukan gadis perasan cantik.
"Wei! Sakit lah!"
"Rasakan amukan perempuan cantik ni! Berani kau kata aku kurang ajar!"
"Kau panggil aku sepet dulu kan. Racist!"
Makin kuat kepalanya ditarik dan tolak oleh tangan Adlina. Pelajar lain hanya memerhati. Ada seorang dua wakil pergi memanggil guru tapi majoriti tidak berganjak apalagi mahu membantu.
Pelajar lelaki menyokong Fang, manakala pelajar perempuan pula menyokong Adlina.
Riuh-rendah suasana di kantin sekolah. Guru koperasi cuba mematahkan pertelingkahan mereka tetapi tidak berjaya. Makin teruk pula bila ada yang campur tangan.
Fang dirikan tubuhnya didalam keadaan menahan kesakitan. Boleh tahan kuat cengkaman tangan Adlina pada rambutnya.
"Kalau aku botak, aku saman kau!"
"Sebelum kau saman aku, baik aku puaskan hati aku dulu!" Kepala Fang digoncang-goncang.
Fang terpaksa membongkok. Adlina yang lebih pendek darinya ini menyukarkan lagi dia untuk meloloskan diri.
Nak pukul perempuan? Bukan resmi lelaki!
Mata Fang terpahat pada Kamarul yang baru sampai. Pelajar yang mengerumuni mereka menyulitkan pergerakan Kamarul.
"Rul! Tolong aku! Perempuan ni dah gila!"
Mikael dan Navin muncul dari arah bertentangan dari Kamarul. Dua-dua tercengang.
"Kau buat salah apa, Fang? Baik kau minta maaf je." Navin beri cadangan. Dia tiada niat mahu ikut campur. Nanti tidak semena-mena rambut dia juga jadi mangsa.
Lawan dengan perempuan? Kamarul pun tak akan berani. Apa lagi dia.
Fang geleng. "Aku tak buat salah. Dia ni yang sawan. Salah makan ubat!"
"Apa kau cakap!"
"Aduh! Aduh! Tercabutlah kepala aku hoi!"
Semua hanya jadi penonton aksi tolak tarik antara Fang dan Adlina.
"Mika!"
"Sorry... Sorry... Aku tak pukul perempuan." Mikael awal-awal sudah tarik diri dari membantu.
Kamarul garu kepala. Buntu. Ini mesti Fang cari pasal dulu. Mulut Fang memang tak ada lesen.
Kedua tapak tangan disatukan di hadapan Adlina. Kamarul beriak sedikit merayu.
"Ad... Please... Lepaskan dia. Dia tak sengaja," rayu Kamarul. Dia tidak tahu cara apa lagi yang boleh digunakan. Lebih teruk kalau guru disiplin tiba sekejap lagi.
Adlina menjeling. "Tak nak! Fang kena minta maaf dulu!"
Mata Kamarul beralih kepada Fang. Dia memerintahkan Fang untuk lakukan apa yang diminta Adlina.
Fang mengeluh. Kedua tangan diangkat tinggi.
"Yelah! Yelah! Aku minta maaf! Kau paling cantik! Paling baik! Paling beradab! Aku yang salah!" jerit Fang sekuat hati.
Adlina tolak kuat kepala Fang. Cengkaman dilepaskan. Puas!
"Kenapa ni?" suara guru disiplin sekolah mereka, Cikgu Farizal memecah sunyi.
Adlina dan Fang menunduk. Kedua mereka mencuit lengan Kamarul.
"Takde apa, Cikgu. Diorang berebut air kotak je." Air kotak yang tersadai di atas lantai, Kamarul angkat dan tunjuk kepada Cikgu Farizal.
"Tadi ada budak kata mereka bergaduh."
"Betul. Sebab air kotak."
Cikgu Farizal menggeleng kepala. Matanya memandang Fang mencari kepastian.
Wajah Fang tegang. Rambut yang berserabai dibiarkan.
"Sudah! Kalau tak ada apa-apa lagi, semua masuk kelas sekarang. Rehat dah habis, awak semua buat apa lagi dekat kantin ni." Rotan ditangan Cikgu Farizal melibas angin.
Semua pelajar berpusu-pusu menuju ke tangga.
Share this novel