BAB 13

Thriller Series 2079

SEBULAN YANG LALU....

Makcik Salma melihat anak gadisnya termenung di hadapan cermin. Dia melangkah masuk ke dalam bilik anaknya itu.

"Irdina.. Kenapa sedih ni nak?"

"Ibu.. Kenapa tak ada orang sudi berkawan dengan Dina. Dari Dina kecik sampai sekarang, Dina tak ada kawan..hmm..." sebak suara Irdina.

Tangan Irdina tidak henti-henti menggores gambar mukanya di setiap album dan frame menggunakan pisau kecil. Dia sudah mula rasa sangat benci dengan mukanya sendiri.

"Dina sayang.. Kita tak boleh paksa orang suka kita sayang.." pujuk Makcik Salma. Dia memandang perbuatan Irdina itu.

Dulu, Irdina tidak kisah memiliki wajah yang hodoh sepertinya. Walaupun sentiasa di ejek ketika di sekolah, Irdina masih kuat dan mampu menerima takdirnya itu. Semakin Irdina membesar gadis itu semakin berubah menjadi seorang yang kemurungan. Walaupun Irdina tidak pernah bersuara tetapi Makcik Salma tahu anaknya sangat menginginkan muka yang cantik seperti orang lain.

"Tapi Dina teringin nak bercinta macam orang lain bu. Dina dah 19 tahun. Dina teringin sangat nak berkawan dengan lelaki..." Irdina meluahkan suara hati.

"Kenapa? Dah ada ye jejaka yang bertaut kat hati anak ibu ni?'' tersenyum Makcik Salma memandang anaknya yang tersipu malu itu.

Dengan pantas Irdina mengeluarkan telefon pintarnya. Kemudian menunjukkan gambar Aniq yang ditangkap curi dari jauh ketika lelaki itu sedang berehat setelah selesai bermain futsal di gelanggang.

Irdina sangat tertarik dengan Aniq sebagai kapten pasukan di kolejnya. Tanpa Aniq sedar, Irdina adalah junior dan turut belajar di kolej yang sama. Lebih menggembirakan Irdina apabila dia mengetahui Aniq turut menyertai kursus bahasa inggeris yang sama dengannya diluar. Kerana itu lah membuatkan Irdina sering memerhatikan Aniq dari jauh.

Impiannya untuk mendekati Aniq juga terpaksa dilupakan kerana mukanya yang berbintik merah kehitaman dan sangat hodoh. Itu menyebabkan dia sentiasa memakai pelitup muka(mask) kerana tidak mahu di ejek sesiapa lagi.

"Kacak orangnya" puji Makcik Salma.

Makcik Salma memandang sayu anaknya itu. Irdina seorang anak yang baik dan tidak pernah melawan.

Kerana Irdina terlahir dengan wajah yang hodoh membuatkan suaminya marah dan tidak menerima anak mereka. Setelah suaminya mengetahui sihir yang dilakukan selama ini, dengan serta merta suaminya itu pergi meninggalkan mereka. Sejak dari itu dia membesarkan Irdina sendiri dengan penuh kasih sayang.

Hari ini, Makcik Salma akan cuba menunaikan impian anaknya itu dengan menggunakan sihir yang pernah dilakukannya sewaktu muda dulu ketika dia mahu memikat ayah Irdina. Dia hanya memerlukan seseorang yang memiliki muka yang cantik untuk dijadikan mangsa. Tetapi siapa?

MALAM ITU, Makcik Salma keluar dari rumah sendirian ke bandar. Dia ternampak seorang gadis yang memiliki rupa paras yang sangat cantik sedang keluar masuk dari sebuah kelab malam sambil berpelukan bersama lelaki.

Keesokan dan hari-hari seterusnya juga dia memerhati lagi gadis yang sama keluar masuk dari kelab malam itu dengan lelaki yang lain. Baginya, gadis itu telah mensia-siakan muka yang cantik dengan tidak menjaga maruah serta tidak setia pada satu pasangan saja. Sedangkan kami yang hodoh ini cuma mahu di sayangi dan dicintai seikhlas hati. Kerana muka hodoh ini, kami tidak langsung di pandang lelaki! Bentak Makcik Salma di dalam hati.

Akhirnya dia mengambil keputusan menculik gadis yang bernama Suhaili Samad itu.

Suhaili diikat di atas kerusi di dalam bilik misteri itu. Dia berasa sangat takut saat memandang muka Makcik Salma yang kelihatan hodoh dan bengis. Dia juga tidak tahu bagaimana dia boleh terpukau dan mengikut saja ajakan wanita 50-an itu ke sebuah rumah banglo usang di pinggir hutan ini.
Sedar saja, dia sudah terikat sebegini.

Suhaili cuba meronta-ronta dan mahu melepaskan diri. Dengan tiba-tiba Makcik Salma ketawa memandangnya.

"Kau tahu kenapa kau di sini?"

Suhaili yang mulutnya di tutup hanya mampu menangis dan menggeleng memandang wanita 50-an itu.

"Hahaha. Sebab kau tak tahu nak hargai dan mensia-siakan muka yang cantik ni.. Kau hanya tahu menayang muka yang cantik ni untuk memikat lelaki. Kau gadis liar. Kau tak setia pada pasangan kau..! Lebih baik muka kau ni, aku bagi anak aku guna untuk memikat lelaki yang dia suka'' kata Makcik Salma sambil tersenyum sinis.

Kemudian mulut Makcik Salma terkumat kamit membaca mantera. Suhaili yang sedang terikat meronta-ronta dan menangis saat memandang Makcik Salma yang mula memasang lilin di sekelilingnya dan meneruskan ritual pelik itu.

Dengan tiba-tiba wanita 50-an itu mengelar leher Suhaili membuatkan tubuh Suhaili menggigil dan mati dengan perlahan-lahan. Makcik Salma dengan pantas mengambil sesuatu untuk menadah darah yang memancut keluar dari leher gadis itu.

Mayat Suhaili di masukkan ke dalam sebuah tempayan besar berserta darah yang banyak memancut keluar. Air di tambah untuk memenuhi ruang tempayan itu. Mulut Makcik Salma tidak berhenti membaca mentera.

Setelah selesai melakukan tugasannya itu, dia keluar memanggil Irdina lalu masuk semula ke dalam bilik itu untuk menyuruh anaknya menatap mayat Suhaili di dalam tempayan. Irdina menutup muka kerana takut memandang jasad yang terbeliak tidak bernyawa itu.

"Pandang muka dia Dina.. Ambil air darah tu dan sapu kat muka. Nanti muka cantik dia akan jadi pada Dina.. Tengok dia sayang... Jangan takut… Tengok…." lembut Makcik Salma memujuk anaknya.

Irdina dengan perlahan-lahan membuka mata dan memandang mayat itu. Muka cantik sebegitulah yang menjadi idamannya. Dalam ketakutan dia hanya menurut saja kata ibunya.

Setelah selesai melakukan ritual itu, Makcik Salma menciduk air yang bercampur darah dalam tempayan itu dan mengisinya ke dalam beberapa botol kosong. Kemudian menyerahkan kepada Irdina.

"Ambik air ni. Bagi pada dia. Atau sesiapa yang Dina suka.. Kalau lelaki tu minum ni, dia akan sentiasa nampak muka Dina sangat cantik. Nanti dia akan jatuh cinta pada Dina" kata Makcik Salma dengan yakinnya.

Irdina rasa sangat gembira. Sejak itu, dia memerhatikan Aniq dari jauh dan mula mencari peluang untuk menyerahkan air merah campuran darah ini kepada lelaki itu.

Peluangnya tiba setelah melihat beberapa gadis sedang menyerahkan beberapa air dan hadiah kepada Aniq ketika lelaki itu berehat seketika di tepi gelanggang.

Dengan pantas Irdina menuangkan air merah yang dibawanya ke dalam cawan plastik lalu menyerahkannya kepada Aniq. Dia berasa lega setelah Aniq sudi menerima air itu walaupun dia tahu pandangan Aniq sedikit jijik kepadanya.

Sejak itu, Irdina sengaja menanggalkan pelitup muka yang dipakai dan menayangkan mukanya saat berjumpa dengan Aniq. Dia perasan lelaki itu tidak berkelip mata saat terpandang mukanya. Dia memang tidak menyangka sihir dan ritual yang dilakukan ibunya sangat berhasil.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience