Terperanjat Aniq apabila memandang tangan tua yang berbintik memegang tangannya. Makcik Salma memandang Aniq dengan muka bengis.
"Kau nak pergi mana?!" soal Makcik Salma kasar.
"Err. Saya.. Saya nak pergi tandas'' tergagap Aniq menjawabnya.
"Tandas sana.! Bukan sini..!" Makcik Salma melepaskan pegangan tangan Aniq sambil menunjuk kasar ke arah tandas. Aniq mengangguk laju kemudian pantas berlalu ke tandas itu.
Setelah beberapa minit, Aniq keluar dari tandas. Dia mencari Makcik Salma tetapi kelibat wanita 50-an itu sudah tiada di situ. Dengan cepat dia pergi ke ruang tamu dan duduk di sebelah Irdina.
"Kenapa?" Irdina memandang Aniq dengan pandangan yang pelik.
"Err tak ada apa. Hihi" Aniq tersengih menampakkan gigi yang tersusun cantik. Jantungnya yang berdebar kencang tadi sudah semakin tenang.
"Awak.. Saya tanya sikit boleh?'' Aniq sedang berkira-kira mahu bertanya atau tidak.
"Tanya apa?" soal Irdina.
"Awak, memang tinggal berdua je ke dengan Makcik Salma?''
"Aha. Kenapa?" Irdina berasa pelik dengan soalan lelaki itu.
"Err. Sebab.. Saya macam terdengar suara orang dalam bilik berhampiran toilet tu" kata Aniq dengan jujur.
"Err. Tu bilik peribadi Makcik Salma" jawab Irdina. Dia perasan riak muka Aniq sedikit ketakutan.
"Oo. Sorry kalau saya tanya. Makcik Salma tu buat kerja apa lagi selain jaga awak dalam rumah ni?'' Aniq terasa ingin tahu.
"Makcik Salma dulu seorang dukun. Dia berubat orang. Dulu la. Sekarang tak lagi. Bilik tu dia buat tempat untuk berubat pesakit dia" terang Irdina.
Aniq mengangguk faham. Patutlah dia memandang Makcik Salma sedikit pelik. Bulu romanya sedikit meremang ketika berdiri dihadapan pintu bilik misteri itu tadi.
"Awak nak balik pukul berapa ni?" suara Irdina menyedarkan Aniq. Aniq turut memandang jam di tangan.
"Dah nak pukul 11 malam. Bas ada lagi ke awak?''
"Ada. Tapi kawasan sini kalau dah pukul 11 kadang-kadang bas tak lalu sangat " jawab Irdina.
"Oo yeke. Habis tu saya nak balik naik apa eh?" soal Aniq berpura-pura.
"Awak tunggu je kat simpang depan tu. Kalau ada bas awak naiklah bas. Kalau tak ada bas. Awak order grab"
"Alar. Depan tu gelap kan. Saya takut la pulak.. hihi. Err. Kalau saya tidur sini boleh?'' Aniq mencuba nasib. Mana tahu dapat menumpang bilik Irdina malam ini. Boleh lah dia memeluk gadis itu. Jauh imaginasi Aniq sekarang ini.
"Awak nak tidur sini?''
"Ye. Boleh? Kenapa? Makcik Salma marah ye saya tidur sini. Dengan awak. Dalam bilik.." usik Aniq sambil menjongket kedua keningnya berkali-kali.
"Err. Boleh tidur sini.."
"Betul ni??" Aniq terus memotong kata Irdina. Dia merapatkan badannya pada gadis itu.
"Err. ye.. Tapi kat sini" Irdina cuba menolak perlahan badan Aniq yang cuba mendekatinya.
"Mana? Atas sofa ni?" hampa rasa hati apabila melihat Irdina mengangguk.
"Ok boleh la. Janji saya dekat dengan awak" kata Aniq sambil tersenyum.
Terharu Irdina mendengarnya. Dia sudah mula terusik dengan kata-kata manis yang keluar dari mulut Aniq itu. Lelaki ini sweettalker jugak.
"Err. Ok.."
"Awak. Jom kita selfie nak? Kita masih belum ada gambar sekali kan?'' Aniq mengeluarkan telefon pintarnya. Dengan pantas Irdina turut mengambil telefonnya.
"Pakai phone saya" kata Irdina. Aniq mengangguk setuju.
Mereka berdua bergambar mesra bersama. Setelah berpuas hati Aniq meminta Irdina mengirimkan kepadanya gambar selfie mereka. Irdina hanya mengangguk dan mengatakan akan menghantarnya nanti.
"Awak tidurla. Dah lewat. Esok awak ada kelas kan kat kolej?"
"Aha. Esok pagi. Nanti awak kejut saya erk..." pinta Aniq manja.
Irdina hanya tersenyum sambil mengemas buku di atas meja. Kemudian dia bangun dari sofa untuk masuk ke dalam bilik. Langkahnya terhenti apabila Aniq memanggilnya.
"Awak nak pergi mana?''
''Saya nak ambik selimut dengan bantal bagi awak" jawab Irdina. Aniq mengangguk sambil tersenyum.
Dalam beberapa minit Irdina keluar dari bilik dan menghulurkan selimut serta bantal kepada Aniq.
"Terima kasih Dina cantik" kata Aniq. Tersipu malu Irdina mendengarnya. Kemudian dia terus masuk ke dalam bilik.
Aniq memerhati ruang tamu yang samar itu. Mata melilau mencari kelibat Makcik Salma. Mungkin wanita 50-an itu sudah terlena di buai mimpi. Kerana mata terlalu mengantuk membuatkan Aniq terlupa tentang hal tadi.
Malam itu, Aniq tersedar setelah terdengar bunyi sesuatu di telinganya. Dengan mata yang layu dan masih mengantuk membuatkan dia cuba membuka mata dan memandang sekeliling.
Dia bangun dan duduk di atas sofa sambil jari menggosok mata yang masih mengantuk itu. Satu kelibat hitam dengan laju melintasi masuk ke arah pintu dapur. Sedikit terperanjat Aniq dibuatnya. Dengan suasana dapur yang gelap membuatkan keningnya bekerut memandang dapur.
"Dina...? Awak ke tu?" mata tidak lepas memandang ke arah dapur itu.
Ketika dia ingin turun dari sofa dia terasa kakinya di cengkam kuat beberapa saat. Dengan pantas Aniq mengangkat semula kedua kakinya ke atas sofa.
Krekk....Krekk...Krek...
Sesuatu berbunyi di bawah sofa mengejutkan Aniq. Jantungnya mula berdebar kencang.
Dengan perlahan-lahan Aniq menundukkan muka untuk melihat ada apa di bawah sofa yang dia duduk sekarang. Mungkin tikus atau kucing. Dia cuba positifkan hati. Mata di kecilkan. Dia membesarkan matanya semula setelah memastikan tiada apa-apa di bawah sofa. Aniq menghembus nafas lega.
Aniq berbaring dan mula mengiringkan badan. Ketika dia mahu melelapkan mata semula dia terdengar suara tangisan mendayu-dayu betul-betul ditepi telinga.
''Humm...Hummmm...Humm''
Jantung yang tenang tadi mula berdebar laju. Peluh kecil mula keluar membasahi dahinya. Penghawa dingin yang terpasang tidak langsung menyejukkan tubuhnya sekarang.
Mata dibuka dengan perlahan-lahan. Tiba-tiba Aniq ternampak Irdina dengan muka yang hodoh serta kedua biji mata yang kehitaman sedang bersila di hadapan muka Aniq dalam keadaan leher yang terteleng ke tepi. Aniq terbangun dan menjerit ketakutan.
"Ah! Hantu! Hantu!! Hantu!!!" menggigil kedua tangan Aniq sambil menutup muka.
"Aniq..! Aniq! bangun!"
Aniq tersedar dari mimpi itu. Tercungap-cungap nafas Aniq sambil memandang Irdina dan Makcik Salma yang sedang memandangnya tanpa berkelip.
"Awak kenapa?" soal Irdina.
"Saya nampak hantu!" jawab Aniq dengan laju. Dia yakin dia tidak bermimpi. Seram dia melihat muka Irdina yang hodoh itu.
"Jangan merepek! Mana ada hantu dalam rumah ni!" marah Makcik Salma.
Aniq mula tersedar apabila mendengar suara Makcik Salma yang meninggi itu. Irdina turut menegur Makcik Salma untuk tidak memarahi Aniq.
Aniq menggosok mukanya yang berpeluh. Jam tangannya menunjukan pukul 2.30 pagi. Dia memandang Irdina.
"Saya nak balik lah" dengan tergesa-gesa Aniq mencapai telefon dan beg sandangnya.
"Waktu-waktu macam ni bas tak ada la awak." pujuk Irdina.
"Tak apa. Saya order grab. Saya pergi dulu..!" dengan pantas Aniq berjalan ke pintu utama dan keluar dari rumah itu.
Irdina pantas mengekori Aniq sehingga ke pintu pagar utama untuk memujuk dan menyakinkan lelaki itu bahawa tiada hantu dirumahnya. Makcik Salma hanya berdiri di tepi tingkap dan memerhati mereka dengan pandangan yang tajam.
Share this novel