Keesokannya di waktu petang, Aniq memandu kereta Honda CITY birunya ke sebuah kawasan pendalaman. Kemudian dia memberhentikan keretanya dihadapan rumah banglo usang itu.
Aniq keluar dari kereta dan berdiri di hadapan pintu pagar utama. Hatinya terasa rindu untuk menatap muka dan mendengar suara Irdina. Sambil menekan loceng, mata Aniq melilau memandang sekeliling banglo setingkat itu.
Rasa sedikit kecewa kerana tiada sesiapa yang muncul di situ. Jari cuba mendail nombor Irdina tetapi gadis itu tidak menjawab panggilannya. Mungkin Irdina masih terasa dengan sikapnya yang bergegas keluar dari rumah ini tempoh hari dan mengatakan rumah banglo ini berhantu. Dengan rasa hampa dia mengambil keputusan untuk pergi saja dari situ.
Ketika Aniq berpaling ke belakang dia terkejut melihat Makcik Salma berdiri betul-betul dihadapannya dengan pandangan yang tajam.
"Err...Mak.. Makcik.." turun naik dada Aniq kerana terperanjat. Dia melihat Makcik Salma sedang memegang beberapa beg plastik di tangan. Mungkin wanita 50-an itu baru pulang dari membeli barang di kedai. Agaknya.
Tiba-tiba Makcik Salma melemparkan senyuman.
"Cari Dina ke?''
"Err.. Ya Makcik. Err. Dina ada?'' tergagap suara Aniq.
"Dia belum balik dari kelas dia" jawab Makcik Salma. Aniq mengangguk faham.
"Kalau macam tu tak apalah. Saya pergi dulu.." dengan wajah menunduk dan senyuman paksa Aniq meminta diri.
Tiba-tiba Makcik Salma menahannya.
"Jangan pergi lagi. Tunggulah Dina kat dalam. Kejap lagi dia balik.." ramah suara Makcik Salma.
Aniq memandang pelik Makcik Salma. Mood wanita 50-an kelihatan baik. Adakala berubah menjadi garang. Teragak-agak Aniq mahu menerima pelawaan itu.
"Err.. tak apalah makcik.."
Makcik Salma terus menarik tangan Aniq untuk masuk ke dalam halaman.
"Marila.. Mari.." pujuk Makcik Salma bersungguh-sungguh.
Aniq sebersalah mahu menolaknya. Dengan terpaksa dia mengekori langkah Makcik Salma di belakang.
Setelah masuk ke dalam rumah, Makcik Salma menuju ke dapur untuk membuat minuman. Kerana berasa bosan menunggu membuatkan Aniq bangun dari sofa dan berjalan ke arah rak buku lama itu. Dia memandang frame gambar yang dilihatnya sebelum ini. Hatinya masih tertanya-tanya siapa gadis disebelah Makcik Salma itu. Muka gadis itu tidak jelas kerana terdapat kesan toresan kecil di situ.
Beberapa buku lama di situ menarik perhatian Aniq. Tangan mencapai salah satu buku itu dan menatapnya. Tajuk di muka hadapan buku itu bertulis
‘MANTERA, ILMU HITAM DAN SIHIR'
Berderau darah Aniq saat membaca tajuk buku itu. Dengan perlahan-lahan dia membelek isi dalam buku satu-persatu.
"Mari. Minum..''
Suara Makcik Salma mengejutkan Aniq. Dengan pantas Aniq menutup dan meletakkan semula buku itu setelah melihat Makcik Salma memandang tajam ke arahnya.
Perlahan-lahan Aniq berjalan dan duduk di atas Sofa. Makcik Salma turut melabuhkan punggung berhadapan Aniq. Aniq hanya memandang saja air merah itu. Dia berasa pelik kenapa tiada air lain yang dihidangkan oleh Makcik Salma.
"Minumlah" pelawa Makcik Salma setelah melihat Aniq hanya memandang saja air dihadapannya.
"Ya makcik.. Ya..'' Aniq mengangguk laju kemudian menghirup air minuman merah yang pada awalnya sedikit payau.
"Err.. Boleh saya tahu. Ni air apa sebenarnya ye makcik?'' soal Aniq setelah menghabiskan satu gelas air berwarna merah itu. Walaupun dia sudah diberitahu sebelum ini itu jus delima, tetapi baginya rasa jus itu sedikit pelik.
"Ni jus delima buatan makcik sendiri. Bagus untuk kesihatan tubuh badan. Dina suka minum air ni.." terang Makcik Salma. Aniq mengangguk faham.
"Makcik.. Boleh saya tanya sikit. Err.. Mana ibu Dina ye?" Aniq berpura-pura memerhati sekeliling. Seingatnya, Makcik Salma hanya menceritakan tentang ayah Irdina.
Makcik Salma memandang Aniq. Dia menarik nafas panjang sebelum bersuara. Mata tuanya kelihatan sayu.
"Ibu Dina meninggal selepas ayah dia pergi tinggalkan mereka. Selepas itu makcik lah yang membesarkan dia sampai sekarang"
Setelah beberapa saat terdiam dia menyambung bicaranya lagi.
"Kesian Dina. Dia tak pernah ada kawan. Tak ada orang yang sudi berkawan dengan dia padahal Dina seorang budak yang baik.." keluh Makcik Salma. Aniq hanya mendengar tanpa bersuara.
"Makcik suka bila ada lelaki kacak macam kamu sudi berkawan dengan Dina.. Makcik harap kamu tidak mengecewakan Dina.." kata Makcik Salma dengan senyuman.
Aniq hanya mengangguk sambil tersenyum paksa.
Pintu utama yang tiba-tiba terkuak dari luar mengejutkan mereka. Irdina muncul di situ dan terkejut memandang Aniq yang sedang tersenyum ke arahnya.
Aniq dengan semangatnya terus bangun dari sofa dan pergi ke arah Irdina.
"Hai awak.." ramah Aniq menyapa.
"Hai.. Saya ingat awak dah tak sudi datang sini." kata Irdina.
"Emm saya nak mintak maaf pasal malam haritu.." sebersalah Aniq memandang Irdina.
"Rumah saya mana ada hantu. Saya harap awak tak takut lagi" kata Irdina sambil tersenyum.
"Itu mungkin roh yang tak tenang yang lalu lalang dalam rumah ni. Nanti makcik halau supaya roh-roh jahat itu segera pergi.." kata Makcik Salma sambil memandang ke arah mereka.
Berkerut kening Irdina mendengar Makcik Salma berkata begitu.
Dengan lantang Irdina bersuara.
"Jangan merepek boleh tak?! Mana ada roh kat sini. Hish!" dia menjeling ke arah Makcik Salma.
Makcik Salma terdiam. Dengan riak wajah yang kecewa dia segera bangun dari sofa dan beredar dari situ. Aniq hanya menjadi pendengar tanpa menyampuk.
Irdina memandang Aniq dengan rasa sebersalah. Beberapa hari Aniq tidak menghubunginya membuatkan hatinya sedih dan rindu. Sengaja dia tidak menjawab panggilan Aniq tadi.
Kata-kata Makcik Salma itu boleh membuatkan Aniq ketakutan. Dia tidak mahu Aniq pergi meninggalkan dia lagi.
"Awak jangan percaya dengan apa yang Makcik Salma cakap ye. Dia memang macam tu. Percaya yang bukan-bukan"
"Eh tak ape awak. Saya ok je. Lagipun awak ada cakap dia dukun kan? Mesti dia terbawak-bawak dengan perubatan dia" kata Aniq sambil tersenyum. Dia juga cuba positifkan hati sendiri.
Irdina mengangguk lega. Dia mengajak Aniq untuk masuk dan belajar di dalam biliknya. Aniq hanya tersenyum dan mengikut saja langkah Irdina.
Share this novel