"Iye?" Senyuman comel Husna membuatkan amarah Shah cuba dikawal sebaiknya.
Jelas pada pandangan Husna, rahang itu bergerak-gerak bagai menahan geram sambil mencerlung memandangnya tajam.
Shah mendengus kasar sebelum mengambil nafas sedikit kuat. Cuba ditenangkan dirinya agar tak memarahi gadis itu.
"Sudahlah. Kau pergi masuk bilik dulu di sana. Pergi." Tak mempedulikan Husna yang masih tercegat di depannya, kaki pantas saja di bawa masuk ke bilik bertentangan.
Pintu ditutup. Husna di luar hanya ditinggalkan seorang diri dengan reaksi Shah yang langsung tak mahu melayannya.
'Hurmm.. abang penat kot. Tak apalah.'
Beg kainnya di bawa masuk ke bilik yang ditunjukkan Shah. Agak luas. Segala kelengkapan di sana ada untuk kegunaannya.
Segala lampu api juga sudah terpasang, cantik walaupun tampak lama. Klasik.
Diri didudukkan di atas tilam yang amat selesa. Begitu juga bantal-bantal yang ada. Dipicit-picit Husna geram.
'Rasanya ni mesti isi kabu..' dia terangguk-anggul seorang diri sebelum teringat akan sesuatu.
'Eh? Habis tu aku nak tidur dengan siapa malam ni? Fatimah dah takde..' gusar pula Husna apabila memikirkan tiada yang akan bersamanya malam itu.
Sudahlah dia tak pernah lagi tidur seorang diri sepanjang berada di tempat itu. Sedikit sebanyak menakutkan Husna.
Ketukan pada pintu menyentakkan lamunannya.
"Ye ye?" kalut dia menjawab.
"Kau keluar sekarang." suara dingin Shah mengarahkannya. Dan kedengaran derapan tapak kaki itu melangkah pergi, ke ruang tamu barangkali.
Tak menunggu lama, selendang ditanggalkan dan dia mula bergerak keluar. Kelibat Shah dicari di bahagian hadapan.
"Abang? Abang.." dipanggil Shah beberapa kali apabila tak melihat kelibat lelaki itu. Kosong.
Suara seseorang berdehem agak kuat dari arah belakangnya membuatkan Husna pantas menoleh.
Shah sudah duduk bersila di atas lantai, di satu ruangan kosong pada bahagian sebelah bilik, menyuruhnya datang ke sana.
Lantai berlapik tikar mengkuang itu ditepuknya beberapa kali sambil memanggilnya perlahan. Menyuruh Husna duduk di situ.
"Kau duduk sini."
Husna hanya menuruti, tadi bahagian itu masih gelap tanpa cahaya kini sudah kelihatan. Dia memerhati sekeliling. Sepertinya, ruang makan mungkin.
"Kenapa kau duduk dekat sangat? Jauh sikit dari aku." Shah menghalau apabila Husna melabuhkan duduk agak rapat dengannya.
Gadis itu mencebik tak puas hati sebelum mengesot jauh sedikit. Nak dekat pon tak boleh!
"Nanti akan ada orang datang hantarkan makanan. Aku nak kau pergi mandi dulu. Jangan lama-lama, faham?" tuturnya perlahan tanpa memandang Husna.
Pandangannya hanya tertumpu pada pisau yang sedang diasahnya pada batu asah.
"Kau dengar atau tak?" soalnya lagi apabila Husna tak menjawabnya, sekadar melihat perbuatannya leka. Bilah pisau itu diperhati melihat ketajamannya.
"Fa-faham bang. Una pergi mandi sekarang." Husna bangun ke biliknya semula dan berkembam.
Dia melintasi Shah yang masih leka dengan peralatan tajamnya, langsung tak menoleh pada Husna dan turun ke bahagian dapur.
Anak tangga dituruni berhati-hati dan bahagian dapur diperhatinya pula. Jika hendak dibandingkan rumah rersebut dengan rumah Tok Ketua, rumah si suami jauh lebih besar dan lebih baik susuk dalamnya.
Tapi.. semuanya tampak seperti lama tidak digunakan bagai tiada apa yang lelaki itu buat di rumah tersebut.
Bilik mandian di bahagian luar rumah itu dimasukinya. Husna lebih berani apabila memikirkan bahwa Shah ada berdekatan.
Tempat mandian Shah tertutup dan tidak menggunakan telaga. Tetapi punya kolah yang sederhana besar.
Husna mula meratakan air pada tubuhnya dan dia perasankan sesuatu bersama tuala yang tersedia tak jauh dari situ.
Terdapat kayu sugi dan sebuku sabun. Diambilnya dan dihidu dalam. Wanginya..
Bauan orkid itu sangat harum pada deria baunya. Selama ini dia hanya menggosok badan dengan bunga hutan saja, tapi sabun ini memang jauh berbeza.
Dalam tak sedar, Husna mandi agak lama. Makanan juga sudah sampai di rumah apabila salah seorang orang bawahan Shah datang tadi.
Shah mula bergerak ke arah bilik mandian untuk melihat keadaan Husna yang dirasakan sedikit lama.
Suara gadis itu menyapa pendengarannya, lembut... menyanyi. Nada dan lenggang lagunya langsung tak sama dengan mana-mana nyanyian yang pernah dia dengari sebelum ini.
Dalam tak sedar, Shah menunggu Husna di hadapan pintu sambil bersandar pada dinding papan. Menikmati suara merdu itu membuai benak fikirannya.
Sesekali bunyian air menyapa lantai kedengaran. Dan jeritan kecil keseronokan si isteri bermain air mencuit hatinya.
'Agaknya sudah berapa lama aku berseorangan di sini?' Shah mengelamun seorang diri sehingga pintu di hadapannya dikuak dari dalam.
"Ab-abang buat apa dekat sini?" wajah polos itu bertanya padanya musykil.
"Aku teman kau tadi. Cepatlah. Makanan sudah sampai." Shah melangkah pantas meninggalkan Husna di belakang.
Menyembunyikan rasa hatinya.
Husna pun pantas mengikuti langkah Shah ke dalam. Masuk saja ke dalam rumah, pintu dikunci Shah pada bahagian atas dan bawah.
Malam itu mereka makan malam bersama buat pertama kalinya. Husna mencubit isi ayamnya dan disuakan pada mulut dengan mata yang sesekali memandang ke arah Shah yang tak langsung memandangnya.
Suapan lelaki itu diteruskan walaupun dia sedar Husna memerhatikannya. Malam itu buat pertama kalinya, makannya berteman.
Kekok juga kerana tiada sesiapa yang bersuara tetapi Shah sukakannya. Mungkin memang ini yang dia perlukan.
Teman.
Sesudah makan, segala pinggan cawan dibasuh Husna di bahagian dapur. Shah pula hilang entah ke mana.
Husna melangkah ke atas mencari kelibat Shah dan pandangannya terarah pada pintu hadapan yang terbuka luas.
Ternyata lelaki itu ada di beranda rumah bersama beberapa orang lagi lelaki di situ. Melepak.
Apabila Husna bertentang mata dengan salah seorang rakan Shah, terus dia melarikan diri ke dalam biliknya. Seganlah pula.
Tubuh dibaringkan di atas katil itu dan Husna mula terfikirkan, bagaimana kehidupannya dengan lelaki dingin itu dan segalanya-galanya nanti.
'Aku kena biasakan diri dengan semua ni dan jadi isteri yang terbaik untuk abang..' tekadnya.
~~~~~~~~~~~~~
"Siapa di dalam? Bukan kau tinggal seorang?" Azal bertanya pada Shah dan sesekali mencuri pandang ke dalam rumah. Mencari kelibat wanita tadi.
"Jaga pandangan kau. Itu isteri aku." tutur Shah dingin sambil mencerlung memandang Azal yang terlihatnya bagaikan ingin melihat isterinya di dalam.
"Isteri?! Bila masa pula kau bernikah? Kenapa aku tak tahu? Kau Rakib, tahu tentang perkara ini?" Azal bertanya pula rakan di sebelahnya.
Rakib juga menggeleng kerana tidak tahu-menahu tentang hal itu.
"Mana isteri kau? Aku mahu tengok jugak.. Apa salahnya bukan? Tak adalah kami tersuka jika bertemu nanti. Hahaha." Imran pula menyampuk, mengusik si rakan beku. Azal dan Rakib juga ketawa dengan kata-kata Imran.
Shah hanya tergeleng dengan perangai rakan-rakan setugasnya itu. Mereka merupakan satu kumpulan pengawal khas utusan diraja di bahagian utara negeri itu dan diketuai oleh Shah.
Meluangkan banyak masa bersama membuatkan hubungan mereka kian rapat.
"Nanti-nantilah aku kenalkan. Ini.. apa tujuan kau orang ke mari? Ada apa-apa masalah ke?" Shah bertanya serius.
Hari sudah larut malam dan dia tak mahu berlama-lamaan bersama rakan-rakan lelakinya di luar, bimbang menggangu lena dan keselesaan Husna pula nanti.
"Oh ya. Sebenarnya kami peroleh aduan dari istana mengenai kawasan persendirian Indana raja yang telah diceroboh dan kini pengawal telah dikerahkan berjaga di sana." Azal memberikan laporan ringkas pada si ketua.
"Ya.. dan yang membimbangkan, kami rasakan bahawa ianya adalah angkara orang luar." Imran menyampuk pula.
"Siapa yang kau fikirkan?" Shah bertanya dingin sambil menatap setiap dari mereka silih ganti.
"Kami tak pasti tuan. Sesiapa saja boleh kita syaki. Mungkin saja pemberontak tuanku, para pedagang luar mahupun dari negeri jiran." Azal menerangkan lagi.
Shah terangguk-angguk mendengarnya sebelum berkata,
"Hmm.. aku tak mahu perkara ini berulang. Kita akan bergilir mengawasi kawasan sempadan dan pelabuhan. Azal, kau bawa orang-orang kau ke pelabuhan. Rakib berkawal di istana dan Imran, sempadan."
Shah mula membahagikan tugas dan berbual seketika sebelum semuanya beransur pulang.
Dia ke bilik dan membersihkan diri dahulu sebelum tidur. Pintu bilik Husna yang tertutup hanya dipandang, wanita itu sudah tidur barangkali.
Pakaian persalinan dipakai sebelum membaringkan dirinya ke atas katil. Kelambu diturunkan dan Shah mula memejamkan matanya, hendak tidur.
Tak lama dia melelapkan mata, tilam yang bergerak-gerak dan sedikit tenggelam membangunkannya.
Serta-merta matanya terbuka dan pisau kecil di bawah bantalnya pantas diambil. Tubuh seseorang itu ditolaknya kasar jatuh ke tilam dan ditekan tubuh itu kuat.
"Kau siapa?" keras suaranya bertutur.
Tetapi jangkaannya meleset, esakan kecil itu menyedarkan Shah yang mana dia bukan lagi tinggal di rumah itu bersendirian.
Tangan yang menindih kuat dan pangkal pisau di leher gadis itu pantas dialihkan. Liur kesat diteguk, tubuh Husna terus diangkatnya, mendudukkan gadis itu.
"Husna.. haish.. kenapa kau ke mari? Maafkan aku. Aku.. aku tak sengaja." Shah kalut meminta maaf dan menyalakan lampu di meja kecil bersebelahan katilnya.
Leher Husna ditilik, bimbang jika leher itu terluka mengenai pisaunya. Air mata di pipi mulus itu dikesatnya kesal.
Hampir-hampir saja dia mencederakan isterinya sendiri disebabkan kecuaian. Dipujuknya Husna lembut sambil mengusap belakang tubuh itu perlahan.
Shah bukannya tahu bab-bab begini, membuatkan kelakuannya kekok saja.
Apabila Husna sudah reda dari tangisannya, Shah bertanya.
"Kau buat apa di sini?" mata mereka bertentangan, comel saja wajah kemerahan Husna menatapnya tak puas hati.
"Una cuma nak tidur sini je. Takkan lah itu pun tak boleh." bentaknya perlahan, merajuk. Memuncung bibir itu tanda protes.
Manja saja suaranya pada pendengaran Shah, lelaki itu mengeluh berat sebelum mengetap bibir bawahnya. Geram melihat keadaan Husna.
Dengan tubuh yang hanya memakai bajunya yang sedikit labuh dan londeh sehingga melihatkan sebelah pangkal bahu dan hanya sekadar paras atas lutut, sedikit sebanyak menarik perhatiannya.
Tetapi Shah tahu gadis itu masih naif dan suci, mereka tak sepatutnya melakukan apa-apa tanpa sebarang perasaan pada diri masing-masing.
"Maaflah. Aku tak sedar kau datang tadi." Shah memohon maaf lagi.
Husna mengangguk mengiakan sebelum perlahan-lahan mengesot hendak turun dari katil.
"Tak apalah kalau macam tu. Salah Una jugak sebab tiba-tiba je ganggu abang. Una keluar dulu la ye?" Tak menunggu jawapan Shah, Husna mula menapak keluar dari bilik.
Tetapi sebelum saja kakinya sampai ke pintu, lengan Husna ditarik Shah dan dibawa semula ke katilnya.
Tubuh langsing itu senang saja ditolak berbaring sebelum turut berbaring bersama.
"Kau jangan nak mengada. Tidur." Shah bertutur perlahan tanpa memandangnya.
Husna pula tergamam, melihat tak percaya pada Shah yang sudah memejam mata. Tidur menelentang menghadap siling.
Senyuman mula diukirnya tapi cepat-cepat dikawal reaksinya. Lengan Shah di sisi dibawa memanjang ke tepi sebelum dia melabuhkan kepalanya di situ.
Hangat...
Tangan kecil itu tanpa segan silu melingkari pinggang Shah dan menyembamkan wajahnya pada celah tangan lelaki itu.
Tersenyum Husna tidur buat pertama kalinya dengan si suami.
Apabila pasti Husna sudah lena, Shah membuka matanya. Wajah yang hampir tak kelihatan di celah tangannya itu diperhati pelik.
'Seronoknya kau tidur.' omel hatinya.
Tanpa sedar, Shah mengalihkan tubuh mengiring, menghadap Husna.
Rambut hitam lurus itu dielusnya lembut tanpa sedar dan sesekali jari-jemari kasarnya bermain pada kulit wajah Husna.
Dari dahi mengunjur ke bahagian mata yang tertutup, hidung ke kedua pipinya dan jatuh ke bibir comel itu. Diusapnya lembut dan sengihan tersungging kecil pada bibirnya apabila Husna mula merengek apabila tak selesa.
Masa berlalu dan entah bila Shah mula tertidur bersama Husna sehingga keesokan harinya.
Share this novel
thanks update.awal update hri ni.slmt ptg hans