"Hurmm... huaaa! Hm.." Husna menggeliat senang setelah enak tidur berlapikkan tilam buat pertama kalinya.
Selalunya di rumah Tok Ketua dulu, dia hanya tidur di atas tikar mengkuang yang sedikit tebal sahaja.
Baringnya didudukkan dan tangan naik menggosok-gosok lembut mata yang masih mamai. Sekeliling bilik yang sudah mula diterangi cahaya mentari luar dari tingkap yang terbuka diperhati..
Kosong.
"Abang.." panggilnya sekali apabila terlihatkan pintu bilik yang sudah terbuka.
Rambut yang sedikit kusut diperbetulkan, Husna turun perlahan-lahan dari katil dan dengan langkah longlainya keluar mencari kelibat Shah.
"Abang.." suara sedikit dikuatkan, memanggil apabila tiada suara yang menyahut. Koridor rumah diperhati ke ruang tamu... kosong.
Kaki dibawa bergerak pula ke biliknya, turun pula ke dapur dan bilik air..
Kosong.
'Abang pergi mana ni? Takkan la dia tinggal aku so rang-sorang je?'
Terasa hati dibuatnya bila memikirkan si suami yang langsung tak mengkhabarkan apa-apa dan hanya meninggalkan dia seorang diri. Tak adil!
Sekeliling rumah kayu besar itu diperhatinya dari tengah ruang, sunyi...
Rasa mahu menangis tiba-tiba apabila hanya dia seorang saja di situ. Sudahlah dia lapar.. tinggal di tempat asing.. tiada sesiapa..
Siapa yang tak sedih bukan.
Tiba-tiba suatu bunyian menyapa pendengarannya dari luar sebelah rumah. Kaki pantas dihalakan ke luar melalui pintu belakang. Terompah kayu yang tersedia disarungkan ala kadar sebelum mencari arah bunyi.
Suatu bayangan lelaki tak berbaju dilihatnya agak jauh. Dengan langkah yang terjingkit-jingkit dia merapati, tiang kaki rumah papan itu dijadikan tempat menyoroknya sambil memerhati susuk tubuh sederhana berotot itu memotong kayu api.
Peluh yang merenik di dahi ke wajahnya, tubuh yang kasar dihiasi parut lama dan aura dingin si lelaki amat menarik perhatiannya.
Tanpa sedar, dia bagaikan stalker di sebalik tiang. Tersengih seorang diri, menikmati panorama indah.
Agak lama dia memerhati Shah leka, sehinggalah..
"Haihh.. Kau mahu apa Husna?" Shah mengeluh berat, kepenatan, sebelum bertanya dingin tanpa memandang Husna.
Pangkin kecil berdekatan didekatinya sebelum punggung dilabuhkan, duduk. Kedua tangan menongkat tubuh sambil memandang Husna tak jauh dari situ, tajam.
Dia sudah lama terlihatkan wanita itu dari hujung mata pandangannya, hanya malas mahu menegur. Tak dia sangka Husna akan statik di situ dalam jangka maaa yang agak lama membuatkan dia mengalah akhirnya.
"Ehe..." senyuman comel diberikan kepada Shah, cuba mengawal reaksi dirinya yang tertangkap tadi. Si jejaka yang masih tak kalih menandangnya itu dihampiri.
"Abang buat apa ni?" Husna menyoal sekadar berbasa-basi sambil duduk di sebelah Shah. Senyuman manis ditayangkan.
"Tak nampak ke aku tengah masak nasi sekarang?" jawabnya sarkastik seraya menjeling Husna disebelah sinis.
"Perli Una pulak. Orang tanya je.." gumamnya perlahan, tercebik bibir Husna mendengar jawapan Shah.
"Ni.. kau jangan duduk dekat sangat dengan aku. Jauh sikit." halau Shah pula.
Sedikit ternganga mulut Husna mendengar kata Shah. Ewah ewah.. suka hati dia je nak halau-halau orang!
Dengan wajah cemberut, dikesot sedikit punggung menjauhi Shah. Pandangan dibuang ke depan, tak mahu melihat Shah.
Shah yang perasankan perubahan Husna di sebelah hanya membiarkan. Dia mengambil bajunya di atas pangkin sebelum melangkah pergi, meninggalkan Husna di belakang.
"Eh! Bang! Abang nak pergi mana tu? Janganlah tinggalkan Una sorang-sorang.. Ishh!!" tersengih dia sedikit mendengar celoteh kalut si isteri di belakang.
"Tunggulah Una.. abang ni jahatlah!" bebelnya tak puas hati.
Kabut Husna cuba menyaingi langkah kaki Shah dengan terompah kayu di kakinya. Sudahlah agak besar, menyukarkan langkahnya.
"Kenapa kau ikut aku? Pergilah sambung merajuk sana." halau Shah lagi, sinis.
Husna di sebelah dijeling sekilas ingin melihat raut wajah putih yang mulai beransur kemerahan itu.
"Bila masa pulak Una merajuk?" balasnya geram. Langkah masih diatur mengikuti Shah yang pergi ke bahagian hutan di sebelah rumah.
"Kita nak buat apa dekat sini bang? Abang nak pergi mana ni? Ada apa-apa ke dekat dalam?" bertalu-talu soalan diutarakan Husna sepanjang perjalanan.
Tiada satu pun yang dijawab Shah. Lelaki itu hanya membalas segalanya, "hm.." saja. Entah betul atau taklah.
"Bang.. Una tanya ni. Kita nak ke mana?" tanyanya lagi entah yang ke berapa kali.
"Kebun." balasnya sepatah. Husna yang mula teruja terus menyoal berbagai-bagai soalan pada Shah, tetapi lelaki itu hanya mendiamkan diri saja.
Shehinggalah tiba-tiba, sesuatu menarik rambut Husna dari tepi.
"Arghhh!!!" berdesing telinga Shah mendengarnya.
Tubuh pantas dikalih, "Kau kenapa Husna?!" tanya Shah geram. Bertaut kening itu menatap si isteri di belakang yang sudah terduduk di atas lantai hutan.
"Eee!! Tepilah! Abang.. tolonglah Una! Ish!" beberapa ekor monyet hutan mengkerumuninya tanpa sebab ditepis dan dihalau Husna agar menjauh darinya.
Ketawa kecil Shah dengan telatah wanita itu. Dipusingkan tubuhnya dan ditekup sedikit mulutnya agar senyuman dan ketawanya tak kedengaran.
"Emm.. bang! Tolonglah Una halaukan diorang!" Tak berani dia mahu bangun apabila ada seekor monyet di hadapannya, antara dia dan Shah.
Lelaki itu buat tak endah, disandarnya pada sebatang pokok sambil memeluk tubuh. Memandang ke arahnya dengan senyuman sinis.
Geram Husna dengan sikap tak prihatin Shah. Sudahlah kakinya sakit lagi dengan insiden malam semalam, Shah pula langsung tak ambil tahu dengan keadaan dirinya kini.
Kepala ditunduk menahan tangis, 'Una tak main-mainlah! Una takut monyetttt.. tak suka!' jeritnya dalam hati.
Sesekali dia menjerit kecil apabila disentuh monyet-monyet yang nakal, ditepis-tepisnya dengan riak tak suka.
Sehingga satu ketika..
"Ishhh! Sudahlah! Jangan ganggu aku." kesabarannya sudah mencapai batasan. Husna menjerit kegeraman sebelum cuba bangun, menahan rasa pedih di lututnya yang kembali berdarah.
Pandangan berkaca itu dibuang pada Shah yang masih seperti tadi, memandangnya dengan senyuman sinis.
"Una nak balik rumah Tok!" jeritnya geram sebelum laju saja berlari ke arah bertentangan, tak dihiraukan lagi monyet-monyet yang ada.
Meninggalkan Shah.
Tersentak lelaki itu dengan kata-kata Husna tadi, balik ke rumah Tok? Gilakah?
Dia mengeluh perlahan sebelum diikutnya laluan Husna tadi, mencari si isteri.
'Rumitnya dengan perempuan ni.. itu pun nak marah ke? Tak faham aku.' desis hatinya.
Sememangnya Shah hanya membiarkan Husna tadi kerana monyet-monyet di hutan kampung itu, semuanya jinak-jinak belaka kerana sering bertembung dengan manusia.
Menjadi kebiasaan bagi orang kampung apabila bertembung warga hutan itu apabila pergi mengutip hasil hutan dan memburu. Tiada yang perlu dirisaukan. Tetapi Husna pula..
Tak sangka pula wanita itu takut dengan haiwan tersebut. Timbul rasa serba-salah pula dalam hati Shah apabila teringatkan wajah ketakutan Husna dengan mata berkaca itu.
'Macam-macamlah..' rungutnya.
~~~~~~~~~~~~~~
"Orang minta tolong.. bukan nak tolong. Ketawa mengejek pulak. Tak padan dengan muka handsome, tapi.. eeeeiiishh! Perangai macam jebon!" bebel Husna seorang diri.
Disebabkan marah dengan sikap suaminya, Husna melulu mahu pulang ke rumah. Ditinggalnya Shah di belakang.
"Mana rumah ni? Bukan kami lalu sini ke tadi?" gumamnya seorang diri.
Dipusing-pusingnya di kawasan yang sama kerana teragak-agak mahu ke mana.
"Ishh.. jangan macam-macamlah.. tak kan aku sesat lagi kot? Ala.." omelnya seorang diri sambil memandang sekeliling.
Timbul rasa takut pula dengan bunyi-bunyian Hutan di sekelilingnya. Akhirnya Husna mengambil keputusan untuk kembali semula mengikut jejak langkahnya ke mari tadi.
Agak lama dia berjalan, Husna yakin dia sudah tersesat. Disebabkan kepenatan dan rasa sakit pada lututnya, Husna berhenti berjalan.
Mahu menangis dibuatnya dek kebodohan sendiri. 'Itulah padahnya lawan cakap suami.. padan muke kau.' desis hatinya.
Perutnya sudah menjerit-jerit minta diisi, tubuhnya lemah kepenatan ditambah pula dengan keadaan hutan di sekeliling menyediakan nyamuk-nyamuk yang banyak.
Tertampar-tampar dia seorang diri menghalau nyamuk di sekeliling sehinggalah sesuatu menyapa pendengarannya.
Bunyi tapak kaki kuda yang agak banyak dan berterusan itu menarik perhatiannya. Cuba dibangunkan diri dari duduknya mencari arah bunyi tanpa sedar dirinya sudah dikesan mereka.
"Berhenti! Siapa di sana?!" suara garau itu menjerit ke arahnya membuatkan Husna panik apabila mereka tampak seperti terus meluru ke arahnya untuk menangkapnya.
Terduduk Husna apabila dua orang lelaki berbaju bersampin dan siap bertanjak bagai mendekatinya.
Berkerut dahinya memandang mereka semua. 'Macam set pengembaraan filem lama lah pulak. Suami aku pun tak pakai macam ni.'
"Hoi! Kau siapa sebenarnya?" salah seorang dari mereka bertanya tegas.
"Kau buat apa di sini? Mengintip pergerakan tuanku ye?!" Seorang lagi lelaki turut menyoalnya garang membuatkan Husna rasa mahu menangis pula.
Terketar-ketar dia dengan keadaan itu apabila pasti tiada wanita yang ada bersama mereka. Semuanya lelaki!
Sekumpulan lelaki berkuda sekitar 10 orang sedang mengiringi seorang lelaki di atas di tengah-tengah antara mereka.
Si lelaki itu perasankan keadaan wanita yang terduduk di lantai hutan tersebut. Timbul rasa simpati pula pada si gadis. Dia turun dari kuda putihnya sebelum menghampiri semua pengiringnya tadi.
"Siapa yang tuan hamba berdua soalkan ini?" si dia bertanya pada dua orang pengiringnya itu sebelum berpaling memandang si gadis yang menundukkan wajah.
"Tuanku, patik syak perempuan ini ada niat jahat. Kita tak boleh-" terdiam lelaki itu apabila Yuzuf mengarahkannya diam.
Dia seperti cam wanita di hadapannya ini. Berseorangan di dalam hutan seperti ketika..
"Hei, ini beta. Ingat?" suara lembut Yuzuf yang bertanya padanya membuatkan Husna mula mendongak.
Tergamam Yuzuf pada tinggungnya apabila wanita yang selalu menjadi igauannya itu benar-benar di hadapannya kini.
"Seorang diri? Nama kau siapa?" soalnya lembut. Senyumam manis diberikan kepada Husna agar wanita itu tak takut padanya.
Teragak-agak dia menggeleng seraya menjawab perlahan, "Saya tunggu seseorang.. nama saya Husna."
"Husna.. baiklah. Husna cedera bukan? Mari, beta bawa pulang ke istana. Rawat luka-luka yang ada ya?" pujuknya lagi lebih lembut.
Husna pantas menggeleng, dia tak mahu! Dia takut!
"Sa-saya nak tinggal sini." ujarnya pula menolak perlawaan.
"Jangan begitu. Bahaya wanita seperti Husna bersendirian dalam keadaan begini di hutan. Selepas siap dirawat, beta janji, beta akan bawa Husna pulang ya?"
Dicubanya mengajak Husna lagi. Ini lah wanita bunian yang dikatakan orang kampung itu. Cantik bak bidadari, hanya ditemui di hutan dan lembut segala tutur katanya. Ah! Sempurna bagi Yuzuf.
"Janji awak akan bawa saya pulang semula?" soal Husna was-was dengan keputusannya.
Yuzuf mengangguk yakin sebelum menyuakan tangan ingin membantu Husna bangun tapi ditolak baik wanita itu. Dia masib mampu...
Husna bangun perlahan-lahan dan diiringi ke kuda. Dia ragu-ragu untuk mengikuti Yuzuf, sesekali dia akan menoleh dan memandang sekeliling mencari kelibat Shah.
Mahu membantah, dia takut pula dengan keadaan sekeliling. Apa yang perlu dia lakukan sekarang?
'Abang dekat mana ni? Una nak balik.. Una nak abang..' rintih hatinya ketakutan.
Share this novel
hey you..update la lagii..best cite ni