BAB 32

Romance Completed 13446

“AWAL awak balik?” Wajah penat Noah melekat dalam pandangan. Wajah orang bermasalah. Kusut-masai. Serabut. Aik, takkan baru putus cinta kot?

Noah menoleh, memandangku. Tiada senyuman di wajah itu. Suram. “Oh.. ada hal sikit. Kau dah masak?” Pertanyaan Noah itu aku balas dengan satu anggukan. Sememangnya aku sudah masak awal. Takut sekiranya Noah buat perangai nak lunch kat rumah. Macam haritu. Kelam-kabut aku dibuatnya. Mujurlah ada sisa lauk yang aku tinggalkan. Itupun aku siap dicop makan gaji buta olehnya.

Jadi, untuk mengelakkan pisang berbuah dua kali, aku masak awal. Senang sikit. Tak ada lah kelam-kabut sangat kalau mamat ni buat spotcheck tiba-tiba. Macam sekarang ni, tapi yang peliknya, waktu lunch belum menginjak lagi. Masih pukul 12. Apasal dia balik awal ek? “Siapkan makanan. 3 plates. Aku lunch kat sini harini.” arahnya tegas. Langsung tak memandang aku.

Aku sekadar mengangguk, tanda mengerti. Kalau bos kecil dah bagi arahan, takkan nak menggeleng pula? Nak kena pelangkung? Ke pelempang? “3 plates? Encik Noah bawa tetamu ke?” Penasaran aku bertanya. Berkerut aku dibuatnya. Kening yang langsung tak gatal aku garu perlahan. Selamba.

Noah sudah naik bahang. Sedikit sebanyak rimas akan pertanyaanku yang bertalu-talu. Nafas dihelanya kasar. “Yep, aku bawa tetamu. Dia ada kat luar. Nanti lepas siap hidang, jemput dia makan dulu. Aku nak naik bilik kejap. Ada urusan. Kau faham Bik?” Suara Noah kedengaran keras. Menggeletar tubuh aku rasanya. Menggigil. Takut-takut aku angguk.

“Dah, pergi buat kerja. Jangan nak kacau aku.” ucapnya seraya mendaki anak tangga. Dingin saja lagaknya. Moody.

Aku sekadar memerhati tingkahnya. Sedikit sebanyak berkecil hati akan layanan kasarnya. Haih.. tak apa lah Nina. Tak apa. Macamlah tak biasa dengan sikap baran si Noah tu. Baran mengalahkan Megat Fayyad The Spiderman. Berbeza betul dengan sikap Megat Rayyan yang jauh lebih lembut, lebih terbuka. Sebab itu hati boleh jatuh suka, jatuh cinta. Eh?

Teringatkan kata-kata Noah sebentar tadi, terus melayang lamunan aku entah ke mana. Hmm.. tetamu? Siapalah dia agaknya? Perempuan ke lelaki? Kalau perempuan macam mana? Err.. maksud aku, kalau perempuan, macam mana nak dilayan kerenahnya? Mahu saja dia minta itu ini. Gaya mengalahkan bos aku sendiri. Pasti!

Sedang aku asyik mengomel sendiri, tiba-tiba, pandanganku melekat pada sekujur tubuh tegap di halaman rumah. Lelaki. Nampak gaya macam pernah dilihat. Tapi.. tak boleh pula aku cam gara-gara dibelakanginya. Hmm.. tak apa lah. Kejap lagilah aku tegur. Pasti lelaki itu si tetamu kehormat yang dimaksudkan Noah sebentar tadi. Huh.. nasib baik lelaki. Bukan perempuan. Kalau tak, memang nahaslah aku diperlakukan seperti hamba abdi.

Selesai sahaja kerja menghidang, terus aku mendekati si lelaki tinggi yang masih membelakangi aku itu. Setapak demi setapak aku menghampirinya, merapatinya. Dapat kuhidu haruman yang cukup biasa dengan nafasku. Kuat. Tak silap aku macam bau perfume Giorgio Armani. Perfume yang pernah dipakai….

Tunggu sekejap. Giorgio Armani? Terpandangkan wajah kacak yang mula menoleh itu, lantas aku berpaling – membelakanginya pula. Terkejut. Berdetak kuat jantung aku dibuatnya. Berdebar hebat juga dada aku dikerjakannya. Baru sahaja aku ingin melangkah, meninggalkannya, terasa seperti ada pautan di lengan kananku. Kemas. Kuat, sehinggakan begitu sukar untuk aku leraikan.

Aku angkat muka – memandangnya. Terasa seperti ada sesuatu yang menyentuh palung jiwaku. Ada sesuatu yang mencuit tangkai hatiku. Tajam mata ini dipanah mata ambar itu. Dalam. Bagaikan ditusuk dan ditikam sedalam yang mungkin. Aku menahan rasa. Cuba untuk beriak selamba. “Awak buat apa lagi kat sini? Tak cukup ke sakitkan hati saya selama ni?”

“Tak ada apa. Cuma nak melawat seorang.. kawan. Kawan lama. Salah ke?” Pertanyaan Rayyan itu aku balas dengan diam yang lama. Tak tahu nak membalas apa. Buntu. Seolah-olah bibir bagaikan sudah terkunci. Pautan di lengan aku cuba leraikan, namun mata ini masih bertaut dengan matanya.

“Tak nak jemput saya masuk ke?” tambahnya lagi demi memecahkan bisu antara kami. Aku berdeham kecil, sekadar ingin membasahkan tekak. Plus, ingin meredakan gemuruh yang menguasai jiwa. Mata sengaja aku jatuhkan pada lantai. “Masuklah..” ucapku seraya mengangkat kaki.

Rayyan hanya mengekor dari belakang. Dia tersenyum.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience