BAB 9

Romance Completed 61361

Dua tahun setengah lalu… (Pertemuan Adry dan Anisa)

Terkocoh-kocoh Anisa ke lobi hospital. Panggilan telefon yang diterimanya tadi memanggilnya untuk menjejakkan kaki ke hospital ini. Laju kakinya melangkah ke kaunter. Matanya meliar mencari jururawat. Namun, tiada pula. Beberapa minit menunggu, barulah muncul seorang jururawat wanita.

“Sorry, nurse. Saya nak cari pesakit yang bernama Miza binti Mohktar. Ada?”

Jururawat itu memeriksa senarai nama pesakit yang mendaftar di hospital itu.

“Ada, cik. Dia baru masuk dewan bersalin. Cik boleh tunggu di wad kecemasan, hujung sana,” beritahu jururawat itu, ramah.

“Terima kasih, nurse,” ucap Anisa sebelum berjalan laju ke tempat yang diberitahu.

Sebaik tiba di hadapan wad kecemasan itu, dia mencari kelibat sesiapa yang mungkin dia kenal. Namun, gagal. Sudahnya, dilabuhkan punggung di kerusi yang tersedia. Jam tangan di pergelangan tangannya, dipandang sejenak. Sudah lewat petang rupanya.

Seorang wanita muncul di ruang itu bersama dua buah beg. Anisa melakar senyuman. Wanita itu membalas senyum itu sambil duduk berdekatan dengan Denisa.

“Tunggu siapa?”

“Kawan saya. Dia ada kat dalam,” balas Anisa, dengan senyuman di bibir.

“Oh, dah lama ke?” soal wanita itu lagi.

“Saya pun tak pasti, auntie. Saya baru sampai selepas dapat call tadi. Suami dia outstation, itu yang terpaksa temankan dia sekejap. Auntie pulak tunggu siapa?”

“Anak auntie. Dah dua jam dia masuk. Suami dia pun tak ada di sini. Memang lama lagilah nak kena tunggu. Bersalin bukannya mudah,” Anisa tergelak kecil. Kelakar pula nada wanita itu.

“Insha Allah, semuanya okey,” kata Anisa. Tangannya mengeluarkan telefon bimbit dari dalam beg.

“Mak long,” panggil suara garau seseorang. Wanita itu mendongak sedikit. Tersenyum dia melihat susuk tegap itu.

“Hah, Adry dah habis shif ke?”

“Baru aje habis. Abang Zain tak sampai lagi ke?” soal jejaka itu kembali. Dia duduk di sebelah mak longnya.

“Belum. Flight delay katanya. Dua jam lagi baru sampai agaknya. Adry tak boleh ke masuk dalam? Adry kan doktor kat sini jugak. Mak long risaulah…”

Anisa yang terdengar permintaan wanita itu, menelan air liur kasar. Selamba sahaja dia menyuruh lelaki itu masuk. Lainlah, lelaki itu adalah suaminya. Memanglah doktor, tapi perempuan pun ada malunya. Kalau dialah, awal-awal lagi dia tempah doktor private. Yang penting, perempuan! Nauzubillah, lelaki yang menyambut anaknya nanti.

“Siapa waris Puan Miza?” Anisa tersentak. Diangkat tangannya. “Suami dia mana?” soal jururawat yang berwajah garang itu.

“Kerja luar. Ada apa ya?”

“Boleh awak teman dia kat dalam?”

Pantas Anisa berdiri. Beg tangannya sudah jatuh ke lantai.

“Errr… perlu ke?” tanya Anisa dengan mimik muka berkerut.

Jururawat itu tenung Anisa macam nak ditelan sahaja gadis rupawan itu. Perkara serius, dibuat main-main pula.

“Iya. Pesakit perlukan sokongan. Awak sila ikut saya,” Anisa sudah kelam kabut. Wajahnya yang pucat tadi juga sudah tidak berdarah. Mahu sahaja dia pecut tinggalkan ruang itu. Agak-agak, sedap tak tidur atas lantai jubin ni?

Tanpa sempat Anisa menjawab, jururawat itu terus sahaja menarik tangannya. Apa lagi yang dia mampu buat? Digagahkan juga kakinya melangkah. Sebelum sempat dia masuk ke dalam, Anisa cepat-cepat menyambaar beg tangannya yang terjatuh di atas lantai.

Wanita dan lelaki muda itu hanya memandang sahaja perlakuan Anisa yang dirasakan pelik. Gadis itu seperti takut-takut sahaja untuk menjejakkan kaki ke dalam dewan bersalin.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience