BAB 16

Romance Completed 61357

Janji harus dikotakan. Kini, hospital tempat Adry bekerja sudah menjadi rumah keduanya. Selesai sahaja kerjanya di resort, dia akan bertandang ke hospital. Boleh dikatakan, semua staf di hospital itu mengenalinya. Dia bukan sahaja mengacau si Adry, malah menjadi pekerja charity di situ.

“Kak, ni nak buat macam mana?” tanya suara comel milik Kyra, si kecil yang menghidap penyakit leukemia tahap kedua.

Anisa melihat buku latihan Bahasa Melayu Kyra. Walaupun baru berusia empat tahun, kanak-kanak itu bijak dalam pelajaran. Seawal usia tiga tahun, ibu bapa Kyra menghantar anak mereka ke tadika atau lebih tepat pusat asuhan.

“Kyra baca ni, lepas tu suaikan dengan gambar. L.O.R.I, lori. Tarikkan perkataan lori dekat gambar lori. Faham tak lagi?” Kyra mengangguk laju. “Good girl,” Diusap kepala Kyra perlahan.

Dibawa langkah ke katil hujung wad. Seorang kanak-kanak perempuan sedang mewarna buku lukisan. Saufi yang berusia enam tahun itu pula menghidap penyakit jantung. Ini sudah kali ke sepuluh dia dimasukkan ke wad. Anisa ralit melihat kanak-kanak itu. Tersentuh hatinya dengan semangat berjuang kanak-kanak di sini.

“Besar nanti Sufi nak jadi apa?” soal Anisa.

“Cita-cita Saufi ke, Kak?” Anisa senyum. “Saufi nak jadi macam papa, doktor. Nanti Saufi boleh jaga diri Sufi dengan kawan-kawan. Tapi, Kak. Sempat ke Saufi nak jadi doktor?”

Mata Anisa mula berkaca.

“Insha Allah. Saufi berdoalah. Ya Allah, Kau sihatkanlah tubuh badan Saufi agar dia boleh menjadi orang berguna kelak. Kau limpahkan jua rahmat ke atas dirinya. Amin,” Saufi turut mengaminkan doa Kak Nisanya itu.

“Amin…”

“Akak balik dulu. Nanti akak datang lagi ya?” Seperti Kyra, diusap juga kepala Saufi. Semoga Allah memberkati kanak-kanak ini. Amin.

Sebaik sahaja dia menutup pintu wad itu, air matanya laju sahaja menuruni ke pipi. Betapa kuatnya semangat kanak-kanak di wad itu. Tidak dapat dia membayangkan jika satu hari nanti, Kyra dan Saufi serta kanak-kanak yang lain pergi meninggalkannya. Kuatkah dia, seorang insan yang semakin menyayangi mereka?

Adry yang perasan akan Anisa, bersembunyi di sebalik pasu bunga di sisi kaunter. Hatinya mula tersentuh dengan kebaikan gadis itu. Betullah apa yang dikatakan oleh Anisa hari tu, dia tidak boleh tanpa gangguan gadis itu. Huh, melalut apa dia ni. Sejak bila dia suka? Parah sungguh apabila hati dan fikiran tidak seiring.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience