Bab 6

Romance Completed 35321

KERETA dipandu laju menelusuri jalan raya. Beruntung jalan raya tidak terlalu sibuk membuatkan perjalanannya agak lancar. Niat di hati ingin terus pulang ke rumah. Namun, dia tidak mahu masuk ke rumah dalam keadaan muka masam menahan marah di hati. Dia sakit hati dengan lelaki tadi. Ya, lelaki bernama Azril tadi.

Kereta dibelokkan ke kanan memasuki perkarangan sebuah masjid. Mungkin selepas berwudhuk dan membaca al-Quran boleh menenangkan hatinya. Meredakan kemarahannya.

Setengah jam duduk di dalam masjid, dia keluar untuk meneruskan perjalanan pulang ke rumah. Dia muhasabah dirinya. Mungkin Azril itu cuma satu ujian untuk menguji kesabarannya. Untuk menaikkan lagi darjatnya. Sepanjang perjalanan, bibirnya melafaz zikrullah. Lima belas minit kemudian, dia tiba di rumah.

"Assalamu'alaikum..." dia memberi salam. Memang dia tuan rumah. Tapi, memberi salam adalah wajib.

"Wa'alaikumussalam..." kepulangannya disambut oleh pembantu rumah yng dipanggil Ibu.

"Syifa' nak air?" Ibu bertanya. Syifa' hanya menggeleng dan menghadiahkan senyuman manisnya.

"Ibu berehatlah. Biar Syifa' yang buat air untuk ibu. Untuk Tiara juga. Tiara dah okey ke ibu?" Syifa' bertanyakan perkembangan Tiara.

"Alhamdulillah. Dah okey. Syifa' pergilah jumpa dia dalam bilik. Dia masih agak letih rasanya." Jawab si ibu.

Syifa' berjalan ke dapur membancuh air kemudian dihidangkan buat ibu yang kelihatan begitu penat. Mungkin kerana bekerja dari pagi tadi. Seawal sebelum subuh lagi, sudah macam-macam kerja dilakukan. Setelah itu, Syifa' masuk ke bilik tetamu dan memberi segelas lagi air pada Tiara. Air itu sudah dicampur sedikit dengan ayat yang dibacakan 30 juzuk al-Quran. Moga Allah memberi izin untuk Tiara sembuh.

"Tiara okey dah?" Tanya Syifa' lembut.

"Alhamdulillah. Baik sikit. Syifa' pergi mana tadi?"

"Syifa' pergi siapkan kerja sikit tadi. Oh, by the way, Ustaz Akhtar kirim salam." Mendengar bicara Syifa', Tiara menunduk. Malu. Sebiji macam Ustaz Akhtar kelmarin. Nasib baik bukan sedang minum. Kalau tidak, mahunya tersedak.

"Wa'alaikumussalam." Tiara menjawab dengan halus suaranya.

Tiara Alisya dilamar oleh ustaz Akhtar sebelum berpindah. Dipendekkan cerita, wajah Tiara Alisya dan Ustaz Akhtar ni ada iras. Biasanya, orang kata kalau wajah ada iras ni, berjodoh. Apa pun, yang terbaik Syifa' doakan. Yalah. Siapa tidak mahu melihat sahabat bahagia?

"Malam ni ustaz datang rumah dengan abi Syifa'. Nak tahu jawapan Tiara." Tiara sedikit terkejut.

"Macam mana Syifa' tahu? Dari siapa? Bila? Ustaz ke bagitahu?" Terkejut masih tak hilang. Menyoal penuh tanda tanya. Seperti polis pencen lagaknya.

"Tiara lupa ke Syifa' macam mana?" Soalan dibalas dengan soalan. Syifa' menjungkitkan kedua-dua keningnya sambil tersenyum manis.

"Eh. Ha'ahlah! Tak patut betul Tiara rahsiakan. Tetap Syifa' tahu!" Mereka tertawa bersama.

"Tiara...." panggil Syifa'. Lembut. Sayu.

"Hmm?" Kepalanya diangkat. Rambut yang jatuh ke mata diselak ke belakang.

"Bersedia okey." Syifa' berpesan. Suaranya serius kali ini. Kahwin bukan mainan. Keputusan harus benar dan tepat. Kalau tidak, penyesalan diri sendiri yang tanggung.

Tiara segera menggenggam tangan Syifa'. Memohon sedikit kekuatan. Ini bukan perkara main-main. Ini soal hidupnya. Masa depannya. Syifa' beruntung punya seorang abi. Namun, Tiara tiada. Dia hidup sebatang kara. Menyara diri sendiri cuma. Mungkin, suami soleh galang-ganti buatnya.

Malam itu, seperti yang dijanjikan, Ustaz Akhtar datang ke rumah bersama keluarganya. Abi menyambut mesra kedatangan tetamunya. Jika diikutkan hati abi, mahu sahaja dipinang Ustaz Akhtar untuk Syifa'. Namun, bila dijelaskan tentang lamaran Ustaz Akhtar pada Tiara Alisya, terus Abi membatalkan hasratnya. Tiara Alisya sudah dianggap seperti anaknya juga. Mana mungkin dia membiarkan puteri yang satu itu berduka.

Tetamu dijemput masuk ke ruang makan untuk menikmati hidangan makan malam bersama. Sengaja Syifa' meminta Tiara yang masak. Tiara masih duduk di dalam bilik. Segan untuk berhadapan dengan Ustaz Akhtar. Setelah dipujuk dan diberi semangat oleh Syifa', akhirnya dia keluar juga makan bersama.

"Alhamdulillah. Sedap betul masakan hari ni. Siapa masak ni? Ibu atau Syifa'?" Tanya Pak Cik Hamid, ayah kepada Ustaz Akhtar.

"Dua-dua bukan, pak cik. Ni haa... Tiara Alisya binti Thaqif!" Jawab Syifa'. Tiara menekur lantai. Malunya tak tertahan. Wajahnya merona merah.

"Oh... Patut Akhtar pilih...." Mak Cik Hamidah mengusik anaknya pula. Ustaz Akhtar juga menunduk.

"Ya la. Muka pun ada iras, Mak." Salah seorang adik perempuan Ustaz Akhtar menambah. Makin menunduk keduanya.

"Baiklah, tak perlu berlengah. Sebelum keduanya lebih parah menunduk hingga mencium lantai, saya mulakanlah. Kita teruskan pada agenda. Kehadiran kami bukan sekadar ingin berkunjung melawat, tapi untuk mendengar jawapan Tiara tentang lamaran anak kami." Pak Cik Hamid mula serius dalam berbicara. Keadaan sunyi. Semuanya menanti jawapan Tiara.

Tiara masih ragu. Menimbang tara jawapan terbaik yang harus diberi. Agak lama keadaan sunyi sepi. Menanti jawapannya. Tiara mengarah akal dan hatinya bekerja. Mencari satu jawapan pasti. Menetapkan hati.

"Saya terima..." Perlahan Tiara memberi jawapan. Namun, keadaan sunyi begitu, pastinya semua yang ada mampu mendengar suaranya.

Ustaz Akhtar terus melakukan sujud syukur. Disaksikan oleh semua yang ada. Mak Cik Hamidah membawa Tiara ke dalam pelukannya. Akhirnya, dia bakal menerima seorang menantu. Menantu sulung yang begitu mulia akhlaknya.

'Ya Allah... Semoga keputusanku ini tepat. Mungkin inilah masanya untuk aku melupakan dia. Dan mencintai yang halal bagiku nanti.' Tiara berbicara dalam hati.

Bila tak pernah bergaul bebas, menjaga batas. Tidak bercinta sebelum nikah. Beginilah keadaannya. Sesi ta'aruf saja sudah begitu indah dihiasi malu kedua-dua insan. Bila menurut syariat, kita takkan pernah rugi!

Selesai berbincang tentang beberapa perkara, keluarga Ustaz Akhtar meminta diri untuk pulang. Abi, Syifa' dan Tiara menghantar sehingga ke muka pintu. Itu suatu adab dengan tetamu. Jangan sampai mereka terasa. Kunjungan tetamu wajib dilayan sebaiknya.

"Terima kasihlah makan malam tadi. Tak lama lagi, dapatlah kami nikmati setiap hari." Ujar Pak Cik Hamid sambil bersalaman dengan Abi.

"InshaaAllah Hamid... Semoga dipermudahkan Allah." Balas Abi dengan doa. Disambut oleh Mak Cik Hamidah dan kedua adik Ustaz Akhtar.

Ustaz Akhtar pula sudah bersedia di tempat pemandu setelah bersalaman dengan abi. Malunya tak tertahan. Jadi, sebelum pengsan, baik dia berlalu. Tak adalah terlalu malu. Diperhatikan dari jauh ibunya yang sedang memeluk Tiara Alisya. Dia tersenyum sendiri. Tidak sia-sia segala penantiannya.

'Ya Allah, moga usaha ini mengundang redha-Mu. Peliharakan Tiara Alisya buatku. Engkaulah sebaik-baik penjaga.' Doanya tulus di hati.

Kereta dipandu tenang menuju ke rumah mereka setelah keluarganya masuk ke dalam kereta. Sempat dia melihat senyuman bahagia di bibir Tiara Alisya. Jenuh dia menahan bibir dari tersenyum saat diusik keluarga. Betapa indahnya aturan Yang Esa!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience