BAB 20

Romance Completed 763

3 Tahun kemudian…

Violet tersenyum seorang diri. Sudah agak lama dia tak menjejakkan kaki ke
bumi USA. USA tu stands for UiTM Shah Alam jangan nak bajet United
States of America sangatlah kan…

Senyuman di bibirnya semakin melebar lagi bila teringat pada
kawan-kawannya, suka sangat meletak gelaran untuk setiap cawangan UiTM.
Kalau UiTM Merbok cawangan Kedah dipanggilnya MERlbourne. UiTM Arau
cawangan Perlis dipanggilnya ARAUstralia. Macam-macam… tapi itulah yang
orang panggil kenangan. Kenangan merapu dengan teman seuniversiti. Belum
berjumpa lagi tapi rindu dah bermukim di hati. Alahai, hati kerjanya nak
merindu sahaja…

Violet termenung lagi. Betapa cepatnya masa berlalu, masa meninggalkan dia
dan semuanya berubah. Dari mula-mula dia sampai sini bergelar
pelajar freshie semester satu yang hingus pun masih basah, pergi ke
kelas pun baju tak bersetereka kemudian berubah menjadi seorang anak
gadis yang lebih dewasa. Belajar tentang kehidupan… belajar menjadi anak
gadis yang menjaga dirinya, belajar tinggal jauh dari keluarga dan
menjadi berdikari.

Kemudian, ketika itu juga dia mengenali si dia… belajar sukakan
seseorang yang berlainan jantina darinya. Belajar tentang subjek luar
dari silibus pelajaran. Subjek hati! Teringat lagi betapa tak matangnya
dia dulu. Sanggup berhabis duit… ulang-alik naik bas semata-mata nak
jumpa dengan si dia yang dia minati. Sanggup menahan kesejukkan dengan
biar bas pertama berlalu, semata-mata nak tunggu bas kedua dengan si
dia. Bodohnya dia masa tu. Violet menggelengkan kepalanya berkali-kali.

Yang paling Violet tak akan lupa adalah belajar tentang rasa sakitnya hati
bila kita menafikan yang kita sayangkan orang tu. Sungguh… mungkin
dia nampak tabah ketika itu tapi dalam hati sakit yang ditanggung tu
hanya tuhan sahaja yang tahu.

Ya, lagu mereka… Hanya Tuhan Yang Tahu.

Sungguhlah orang cakap masa dan pengalaman mematangkan seseorang
manusia. Tapi yang Violet pasti, hanya satu yang belum berubah lagi.
Hatinya… hatinya tetap setia pada yang seorang itu… seorang itu yang
entah sekarang ada di mana? Itu Violet sendiri tak pasti.

Bas Rapid KL berhenti di hadapan Kolej Seroja. Violet hendak ke Menara
SAAS untuk mengambil baju konvokesyennya. Ya, lusa adalah tarikh keramat
yang sentiasa dia nantikan sepanjang waktu dia belajar dulu untuk
mengambil ijazah pertamanya. Bukti penat lelah dia bersengkang mata
belajar, segulung ijazah yang akan membuat kedua ibu bapanya bangga.
Sungguh sampai sekarang Violet rasa dia macam tak percaya dirinya mampu
mengharungi susah payah dan jerih penat menelaah belajar dulu. Sungguh...

Alhamdulillah. Sesungguhnya Allah tak akan menimpakan hambaNya dengan
sesuatu dugaan yang tak mampu dipikul oleh mereka dan disebalik
kepayahan yang mereka alami Allah janjikan nikmat yang setimpal bahkan
lebih untuk mereka yang sabar dengan ujian yang diberi.

Violet tiba-tiba rasa sayu… tapi sayu yang bersalut gembira.
“Alhamdulillah…” kalimah itu bermain lagi dibibirnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience