BAB 15

Romance Completed 13381

Setiap malam dinihari dia berteleku di tikar sembahyang, memohon ketenangan daripada Pencipta agar kesedihan yang membelenggu hatinya pulih. Namun, semakin hari semakin perasaan sedih itu mencengkam jiwanya. Kenangan bersama-sama arwah Zeera menghantuinya. Bayangan wajah isterinya sentiasa bermain di minda.

“ Khairi, anak mama. Kita kena percaya dengan rancangan Allah SWT. Yakinkan diri bahwa setiap yang Dia tentukan untuk kita adalah yang terbaik. Dugaan yang Allah SWT berikan adalah mengikut kemampuan kita. Maknanya, anak mama ni mampu dan cukup kuat untuk menghadapi apa yang telah berlaku. Arwah Zeera dan Farah Dayyan pergi meninggalkan kita sebab Tuhan lebih menyayangi mereka. Bukan salah kita. Macam apa yang mama cakap tadi, kita sama-sama doakan kesejahteraan roh mereka di sana agar segalanya dipermudahkan.

Mama susah hati tengok anak mama seorang ni asyik muram aja. Tapi Khairi, mama nak tahu sama ada hati Khairi dah tertutup untuk kehadiran orang baru ke? “

“ Apa yang mama cuba cakapkan ni? Khairi tak faham.. “

“ Khairi, mama rasa ada baiknya kalau Khairi cari pengganti arwah Zeera. “ Khairi menarik kasar tangannya daripada genggaman Puan Raniey. Dia tersentak dengan kata-kata wanita itu. Pengganti arwah?

“ Tak, mama! Tiada sesiapa yang dapat menggantikan tempat arwah. Khairi hanya cintakan arwah seorang. Hanya arwah! “ Langkahnya diatur laju untuk mendaki anak-anak tangga menuju ke tingkat atas tetapi dia terhenti tiba-tiba. Wajah Puan Raniey direnung untuk mendapatkan kepastian daripada wanita itu. Terdiam buat seketika.

“ Khairi, mama minta maaf! Mama tersilap cakap. Bukan pengganti arwah Zeera. Mama tahu tak ada mana-mana perempuan pun yang dapat menggantikan arwah. Maksud mama, seseorang yang boleh mengambil alih tugas arwah. Mama nak makan minum anak mama terjaga. Tak adalah mama risau kalau ada orang lain yang akan jaga dan lindungi anak mama. Sekurang-kurangnya, ada seseorang yang menjaga Khairi bila Khairi sakit. Sentiasa bersama-sama ketika susah atau senang. Nanti kalau mama dah tiada, siapa nak teman Khairi? Khairi kena faham yang kita tak ada saudara mara yang lain. Keluarga kita hanya tinggal kita berdua. Mama risaukan Khairi.. “

Dia cuba mendekati Khairi. Tangan anak lelakinya dicapai dan digenggam kejap sebelum dia perlahan-lahan melepaskan pegangannya. Air mata mengalir perlahan di pipi cengkuk tuanya. Dia memalingkan tubuhnya untuk beredar dari situ tetapi tangannya pula pantas dicapai oleh Khairi. Puan Raniey menoleh mencari seraut wajah anak lelakinya yang kini menginjak usia 25 tahun. Sejuk hatinya apabila Khairi mengucup tangannya yang berkedut seribu. Lama.

“ Maafkan Khairi, mama. Khairi berdosa dengan mama. Khairi terlalu pentingkan diri sendiri sehingga Khairi abaikan mama. Khairi janji! Khairi akan jaga mama, sayangkan mama. Khairi akan ikut segala cakap mama.. “

Kedengaran esakan tangis Puan Raniey di segenap ruang tamu rumah teres dua tingkat yang sunyi sepi. Hanya dihuni olehnya dan Khairi. Jikalau dahulu, rumah inilah yang menjadi saksi akan kebahagiaannya sekeluarga saat arwah suaminya masih ada bersama-sama. Namun apabila suaminya meninggal dunia akibat serangan jantung dan anak tunggalnya mendirikan rumah tangga, rumah itu sudah hilang serinya. Tidak lagi semeriah dulu. Yang sentiasa dimeriahkan dengan gelak tawa arwah suami dan anak lelakinya. Terlalu sebak mengenangkan kenangan manis dahulu menyebabkan air matanya mengalir tanpa dipinta. Dan tatkala tanganya dikucup oleh Khairi, dia menangis teresak-esak meluahkan kesedihan yang sudah lama terpendam. Memuntahkan segala kesakitan menanggung rindu keseorangan.

Tumpuan diberikan sepenuhnya terhadap kerja yang sedang dilakukan. Berhati-hati dia memasukkan benang berwarna keemasan ke dalam lubang kecil di hujung sebatang jarum. Setelah berjaya memasukkan benang tadi, tangannya mula laju menjahit manik-manik yang berkilauan dan berbagai bentuk di bahagian dada baju pengantin. Kerja-kerja menjahitnya berjalan lancar memandangkan tiada sesiapa yang menganggu. Terlalu fokus dengan kerja tersebut, Farah tidak menyedari kehadiran seseorang. Seseorang yang asyik merenungnya sedari tadi.

Apabila gadis itu mula mengemas barang-barang jahitan ke dalam bekas tersedia, Khairi pun mula melangkah masuk ke dalam Aleeya’s Boutique. Dia terus meluru ke arah Farah yang sedang terbongkok-bongkok mengutip manik-manik yang berteraburan di atas lantai disebabkan kesilapan yang tidak disengajakan. Belum sempat Farah habis mengutip manik-manik tersebut, lengan gadis itu menjadi sasarannya. Dia memaut erat lengan Farah dan mengheret gadis itu keluar dari butik pengantin. Kedengaran keluhan terbit di bibir Farah.

“ Woi, Khairi! Kau ni dah kenapa? Sakitlah! Kau ingat aku ni apa? Barang yang kau boleh main tarik-tarik? Aku tengah kerja, kan? Hormatlah sikit. “

“ Kahwin dengan aku! “

Farah ketawa sinis. Tercuit hatinya dengan lawak antarabangsa yang dibuat oleh Khairi tengah-tengah hari buta ini. Dia menggeleng-gelengkan kepala. Memandang rendah terhadap keupayaan lelaki itu dalam membuat lawak. Tak lawak langsung! Dahlah main tarik-tarik dengannya. Tup,tup.. terus ajak kahwin. Gila ke apa mamat ni? Hilang akal agaknya!

“ Kau buat lawak apa ni, Khairi? Dahlah, daripada aku melayan kau lebih baik aku pergi sambung kerja. Bye! Bye! “

“ Ni bukan permintaan tapi arahan! Kau kena kahwin dengan aku! Walau apa pun yang terjadi. Faham? Next week, aku hantar masuk meminang. Pastikan kau terima pinangan aku. “ Tercabar dengan tawa sindiran Farah, Khairi bertindak drastik dengan mencengkam lengan dan menarik gadis itu ke dalam pelukannya.

Pang!!

“ Kurang ajar! Kau tak berhak peluk aku sesuka hati kau. Lebih-lebih lagi depan khalayak ramai. “

Suara Farah nyaring menampar halwa pendengaran Khairi. Orang ramai yang berkunjung ke butik mahupun yang hanya lalu-lalang di kawasan itu hanya memandang pelik ke arah mereka berdua. Tidak ketinggalan yang berbisik sesama sendiri dan tersenyum sinis dengan ‘drama’ yang sedang dilayarkan kepada mereka. Suasana menjadi hening seketika sebelum tenggelam dalam kedinginan si pelakon layar.

Khairi terpempan dengan tamparan kuat daripada Farah, manakala si gadis pula terkejut dengan tindakannya sendiri yang tergamak menjatuhkan maruah lelaki itu di hadapan orang ramai. Dia benar-benar tidak menyangka dengan apa yang telah berlaku. Pelukan Khairi mendesaknya untuk mempertahankan maruahnya tanpa menyedari ringan sahaja tangannya menampar pipi lelaki itu.

Air mata menitis membasahi wajahnya. Tanpa berlengah lagi, Farah berlalu meninggalkan Khairi dan meluru masuk ke dalam butik. Puan Aleeya yang turut menjadi saksi atas kejadian yang berlaku terus mendekati pekerjanya. Bahu Farah diusap-usap perlahan menenangkan gadis itu. Semakin dipujuk, semakin lebat pula air mata Farah yang mengalir. Dia menyembunyikan dirinya di dalam bilik persalinan sambil melayan perasaan. Kedengaran esakannya dari luar bilik persalinan yang mempunyai ruang kecil itu.

“ Farah, jangan macam ni. Saya risau tau dengan keadaan awak. Farah keluarlah. Saya nak cakap dengan awak ni.. “ pujuk Puan Aleeya yang ternyata berhasil apabila Farah membuka pintu bilik persalinan yang menjadi tempat persembunyian gadis itu. Farah menjengulkan wajah sebelum kembali menundukkan kepalanya. Malu mempamerkan wajahnya yang pasti kelihatan hodoh dengan air mata yang tidak berhenti berjuraian sejak tadi. Ekor matanya tetap meliar mencari kelibat Khairi di luar butik. Sempat dia menarik nafas lega ketika mendapati lelaki itu telah beredar.

“ Saya tak tahu apa yang telah berlaku antara awak dengan lelaki tadi. Tapi kalau awak ada masalah dalam perhubungan, awak kena kuat. Awak kena menghadapinya. Bukan dengan cara macam ni. Awak tak boleh berterusan bersedih. Menangis tak menyelesaikan masalah. Berbincang baik-baik dengan kekasih awak tu. Tengok dari air mukanya, saya pasti dia seorang lelaki yang baik. Mungkin dia tak reti nak sampaikan perasaan dia.. “

Panjang lebar nasihat yang dituturkan oleh Puan Aleeya kepada Farah. Tangan si gadis digenggam memberikan sekelumit kekuatan yang termampu. Dia tersenyum tatkala melihat pekerjanya itu terkebil-kebil dengan kata-katanya tadi. Namun, dia memahami keadaan tersebut kerana sesungguhnya dia pun tidak percaya yang dirinya boleh menuturkan kata-kata sebegitu.

Layak seperti seorang kaunselor cinta! Dah boleh tukar profesion ni. Daripada seorang usahawan wanita yang memiliki butik pengantin menjadi seorang kaunselor berjaya yang petah berkata-kata.

“ Macam nilah, Farah. Saya bagi awak cuti untuk hari ni dan esok. Awak tenangkan diri. Rehat cukup-cukup. Lagipun, customer tak ramai lately. I’ll be able handle everthing. Don’t worry about it. “

Kepalanya diangguk-anggukkan mengiyakan kata-kata majikannya. Lagi pula badannya mula terasa sakit-sakit. Begitu juga dengan kepalanya yang terasa berat tiba-tiba. Dapat dia merasakan suhu badannya yang turut berubah. Menjadi panas tak semena-mena.

Tanpa berlengah, Farah berlalu ke kaunter butik untuk mengambil barang-barangnya. Dia memeluk tubuh gempal Puan Aleeya dan mengucapkan terima kasih kepada wanita itu sebelum dia bersiap-siap untuk pulang ke rumah.

“ Aaaahh!! “ jerit Farah kuat apabila terkejut dengan kewujudan sesusuk tubuh yang sedang berdiri tegak di hadapan pintu rumahnya. Terbeliak matanya memandang kehadiran Khairi yang tidak disangka-sangkakan itu. Langkahnya juga terhenti melihatkan riak tenang di seraut wajah lelaki itu. Hanya hatinya yang bergetar hebat dengan renungan tajam yang ditujukan kepadanya.

“ Kau buat apa dekat sini? Ke tepi, aku nak masuk ke dalam rumah.. “ Farah bersuara apabila Khairi membisu seribu bahasa dan masih tercegat di hadapan pintu rumahnya. Dia memberanikan diri untuk menolak tubuh bidang lelaki itu untuk beralih sedikit kerana menghalang laluannya untuk masuk ke dalam rumah. Tetapi, hampa. Lelaki itu masih enggan berganjak dari posisi tadi. Masih tidak beralah, terus berdiri tegak dan membatukan diri. Hanya renungan tajam yang mampu menusuk ke kalbu dihadiahkan kepadanya. Alahai, Khairi! Bab-bab pandang, renung macam nilah, aku kalah. Berdebar tahu tak kau pandang aku macam tu!

“ Khairi, tolonglah! Aku penat. Kau nak apa sebenarnya ni? “

“ Aku nak kahwin dengan kau. Dan kau wajib kahwin dengan aku. Walau apa-apa pun yang terjadi. “

Gulp!

Air liur yang ditelan terasa kesat benar di kerongkongnya. Serta-merta jantungnya berhenti berdegup. Terpempan dengan kata-kata Khairi yang berjaya membuatkan dirinya terasa di awang-awangan. Namun, rasa indah itu hanya untuk sementara sebelum rasa sebak dan hiba mengetuk pintu hatinya. Dia teringatkan arwah Zeera. Wajah arwah bermain-main di ruang mata.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience