BAB 22

Romance Completed 13381

Menelan air liur Farah dibuatnya tatkala tangan sasa Khairi terus menerus mengusap perutnya tanpa segan silu jikalau jiran tetangga ternampak adegan itu. Tidak tegar dia ingin menghalang Khairi daripada terus menerus membelainya. Dan akhirnya dia merelakan saja. Janji lelaki itu bahagia!

“ Nanti bila baby kita dah lahir, dia mesti jaga sayang untuk abang. Dia juga mesti kuat macam mamanya. Maafkan abang ya, sayang. Maafkan abang. Dengan nama Allah, abang cintakan sayang. Abang pergi dulu! “ Terlerai juga genggaman kemas tangan mereka. Khairi mengatur langkah berat menuju ke kereta.

“ Demi Allah, abang cintakan sayang sangat-sangat! “ Sebelum Khairi memboloskan diri ke dalam Honda Civic miliknya, sempat dia menjengahkan kepalanya dan menghadiahkan flying kiss kepada Farah. Mereka berbalas senyum.

Farah masih berdiri tegak di perkarangan rumah walaupun kereta milik Khairi sudah hilang dari pandangan. Rasa sebak menerpa dirinya secara tiba-tiba. Dia juga berasa bimbang sepeninggalan Khairi. Dia hanya mampu memandang kosong ke arah jalan raya yang telah dilalui Khairi tadi.

Stereng kereta digenggam kuat. Menahan sebak yang tidak tertanggung, air mata lelakinya mengalir lebat. Kenangan-kenangan yang tercipta bersama-sama Farah silih berganti terlayar di ruang mata. Sesekali tumpuannya terarah terhadap pemanduannya.

Suasana jalan raya yang lengang memudahkannya untuk terus melayan perasaan. Kereta mewah Honda Civic yang dipandunya terhenti apabila lampu isyarat menunjukkan lampu merah. Dan saat lampu isyarat bertukar hijau, Khairi bertindak menekan pedal minyak sekuat hati tanpa menyedari sebuah kenderaan berat sedang menuju ke arahnya secara bertentangan.

Tatkala jarak treler panjang yang bergerak laju dengan kereta Khairi sudah semakin hampir, Khairi cemas dan tidak mampu mengawal kenderaannya yang meluncur laju membelah jalan raya. Hanya kalimah syahadah yang membasahi bibir Khairi sebelum kereta miliknya bertembung dengan sebuah treler panjang. Akibat impak yang kuat, Honda Civic Khairi remuk teruk dan terseret sejauh untuk beberapa kilometer.

Dalam keadaan kereta yang terbalik dan hancur, Khairi masih dapat melihat kehadiran orang ramai yang mulai mengerumuni kawasan kejadian. Serpihan kaca yang bertaburan menyakitkan tubuhnya. Dia mengerah segala kudratnya untuk melepaskan diri daripada terus tersepit dalam kenderaan yang telah kemik. Namun, kakinya yang patah menyukarkan terus pergerakannya. Darah pekat yang mengalir dari celahan kepalanya juga amat memedihkan sehingga dia tidak berdaya lagi.

Khairi hanya mampu menyerahkan segala-galanya kepada yang Maha Esa apabila deria baunya menangkap bau minyak petrol yang tumpah. Pandangannya mulai kabur. Sakit yang ditanggung bagai tidak terasa lagi. Air matanya mengalir lesu mengenangkan orang-orang tersayang terutamanya .. Farah. Sekali lagi Khairi mengucap dua kalimah syahadah dengan suara yang tenggelam timbul.

Oleh sebab terlalu terkejut dengan keadaan pemandu treler yang telah maut kerana tercampak di atas jalan raya, orang ramai seperti tidak mengendahkan keadaan seorang lagi mangsa yang tersepit dalam sebuah kenderaan yang juga terlibat dalam kemalangan itu.

“ Bang, bukan ke dalam kereta hujung tu ada orang? “ tanya seorang remaja belasan tahun kepada beberapa orang awam yang sibuk mengangkat mayat pemandu treler ke tepi jalan raya.

Seorang lelaki dalam lingkungan 20-an mengangkat wajah sambil mengelap peluh yang mulai merinik di dahi. Dia mengecilkan matanya untuk melihat kebenaran kata-kata remaja tadi memandangkan sebuah lagi kenderaan yang remuk dan dipercayai terlibat dalam kemalangan itu tercampak jauh. Betapa dia terkejut kerana tidak menyedarinya sejak tadi.

“ Woi, apa kau orang tercegat lagi dekat sini? Jom ikut aku selamatkan lelaki tu! “

Beberapa orang awam bergegas mendapatkan Khairi. Tetapi belum sempat mereka menghulurkan bantuan, kereta remuk itu meletup dan terbakar. Semua yang berada di situ terpempan dan tidak mampu melakukan apa-apa. Berkepul-kepul asap hitam di ruang udara ekoran letupan yang berlaku. Api marak terus menjilat kereta Honda Civic dan sekali gus telah mengorbankan seorang insan yang bernama Muhammad Khairi.

“ Maaf, puan. Pihak kami tidak mampu berbuat apa-apa. Kereta milik Encik Muhammad Khairi meletup sejurus pihak kami tiba di tempat kejadian. Orang ramai juga tidak berkesempatan menghulurkan bantuan ekoran kejadian tumpahan minyak petrol yang menyebabkan kereta yang dipandu oleh si mangsa meletup. Arwah terperangkap dalam kenderaan tersebut kerana dipercayai tersepit dan keadaannya yang cedera parah. “

Hanya Tuhan yang mengetahui betapa hatinya hancur dan remuk saat dimaklumkan pemergian Khairi kerana terlibat dalam kemalangan jalan raya. Berderau darahnya apabila nama Khairi yang disebut sebagai salah seorang mangsa yang terkorban. Air mata merembes laju mengenangkan pemergian Khairi yang menyayat hati.

Farah terhenyak di bangku plastik yang disediakan di ruang menunggu di sebuah hospital kerajaan. Sejak dimaklumkan berita sedih itu, hanya air mata yang menggambarkan betapa terseksa dirinya kerana kehilangan Khairi. Puan Raniey disisi tidak berputus asa meniupkan kata-kata semangat kepada Farah.

“ Farah, jangan macam ni sayang. Allah lebih sayangkan arwah. Farah kena relakan pemergian arwah. Kalau tak, arwah tak tenang di sana. Bukan Farah seorang aja yang sedih dengan kehilangan arwah, mama juga sedih sayang .. “ Puan Raniey memeluk erat bahu Farah yang sedang menangis teresak-esak.

Seteko kopi panas dan kuih karipap buatan sendiri dihidangkan oleh Puan Raniey kepada anak muda yang bertandang ke rumahnya pada petang itu. Puan Raniey tersenyum hambar dengan kerenah Emir yang serupa satu-satunya anak lelakinya, Khairi. Kalau bab makan, arwah memang gelojoh. Dilihatnya Emir mengusap bibir yang melecur kerana terminum air kopi yang masih panas. Terus cawan berisi kopi panas itu diletakkan ke atas meja, membiarkan air tersebut menjadi sedikit suam.

“ Mama Raniey dan Farah sihat? Emir nak minta maaf sebab tak dapat datang majlis tahlil arwah. Tiba-tiba ada urgent di tempat kerja yang tak boleh nak dielak. “

“ Alhamdulillah, mama okay, Emir. Cuma Farah. Asyik berkurung di dalam bilik. Tak nak makan, tak nak minum. Mama risau tentang keadaan dia. Kalau mama letak makanan dalam bilik dia, hanya sikit aja makanan yang dia jamah. Tak luak mana pun. Mama dah tak sanggup nak tengok dia terus bersedih. Pedih hati mama bila dengar dia menangis teresak-esak sambil panggil nama arwah. Hampir tiga minggu arwah pergi, Farah tetap macam ni. “

Emir mengeluh berat. Tidak dinafikan bahawa dia sendiri masih tidak mempercayai kenyataan yang terbentang di hadapannya ini. Khairi, sahabat baiknya telah kembali ke rahmatullah, pergi untuk selama-lamanya. Pastinya Farah menerima tamparan yang hebat dengan pemergian Khairi yang secara mengejut. Lebih-lebih lagi, keadaan arwah yang menyayat hati.

Sudahlah pasangan itu baru sahaja ingin mengecap bahagia. Ditimpa pula dengan musibah yang berat dan tidak tertanggung.

Dia memahami perasaan dan kesedihan yang melanda Farah. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul tetapi tidakkah Farah mengetahui bahawa Tuhan mempunyai rencana untuk perjalanan hidupnya? Tidakkah dia beriman kepada qada’ dan qadar Allah?

“ Saya faham perasaan Mama Raniey dan Farah. Kehilangan arwah Khairi tinggalkan kesan yang dalam. Saya sebagai kawan baik arwah pun rasa sedih sangat. Tapi suratan Allah tiada apa-apa yang dapat menghalangnya. Tak sangka arwah pergi terlalu cepat. Dia baik orangnya. Saya berasa terkilan sebab tak dapat memohon maaf daripadanya .. “ Wajah Emir berubah mendung. Hatinya dijentik rasa sebak. Terasa semacam baru semalam dia bersua dengan Khairi tetapi realitinya Khairi telah meninggalkannya untuk selama-lamanya.

Juadah petang yang terhidang di depan mata langsung tidak dijamah. Puan Raniey lebih selesa melayani kesedihannya atas pemergian Khairi. Air mata yang menitis tidak henti-henti dibiarkan terus membasahi wajahnya yang dimamah usia. Puan Raniey hanya mengangkat wajah sebaik Emir meminta izin untuk beredar.

“ Okaylah, Mama Raniey. Emir kena masuk kerja balik. “

“ Baiklah, kalau macam tu. Tapi selalulah datang sini, jenguk Farah. Mama takut kalau-kalau dia tak mampu tanggung seorang diri. Lagipun, Farah tak nak share dengan mama. Mungkin dengan Emir dia terbuka hati nak luahkan kelukaan dia . “

“ Insyaallah, Emir janji. Balik dulu. Assalamualaikum. “

“ Walaikumusalam .. “

“ Farah, makan nasi ni sikit sayang. Makan dua tiga suap pun dah memadai. Mama risau sangat tengok Farah bersedih macam ni. Tak makan, tak minum. Nanti Farah sakit, “ pujuk Puan Raniey dengan penuh lemah-lembut. Diusap-usapnya bahu Farah. Berharap benar menantunya itu terbuka selera untuk menjamah sedikit nasi goreng kampung yang dimasaknya. Tetapi, Puan Raniey hampa dan terasa hati apabila Farah tidak termakan dengan pujukannya. Farah masih termenung jauh dengan juraian air mata yang kerap kali menitis setiap kali ingatannya kepada Khairi.

Tangan yang sudah letih mengusap bahu Farah melurut jatuh. Tawar hati dengan kedegilan Farah membuatkan Puan Raniey mengalah. Pinggan yang berisi nasi goreng kampung diletakkan di atas sebuah meja kecil bersebelahan katil. Puan Raniey hanya mampu melihat sayu keadaan Farah yang berteleku di lantai sambil setia memeluk bingkai gambar majlis akad nikah Khairi bersama-sama menantunya. Mula mengatur langkah keluar dan meninggalkan Farah bersendirian, Puan Raniey sempat berpaling kepada Farah.

“ Farah kena kuat hadapi semua ni. Farah kena ingat bahawa mama lagi terluka. Bayangkan sembilan bulan mama kandungkan Khairi sehinggalah Khairi dewasa, arwah sentiasa berada di sisi mama. Tapi Allah lebih sayangkan Khairi. Dia jemput Khairi sebelum mama. Terasa sakit, pedih dan nyilunya hingga ke hulu hati bila Khairi terus lenyap dan tinggalkan mama.

Kalau Farah berterusan begini, Khairi tak tenang di sana. Biarlah rohnya tenang dan Farah perlu teruskan hidup berbekalkan cinta dan kasih arwah .. “

Pintu bilik tertutup rapat. Kelibat Puan Raniey hilang disebalik pintu. Suasana menjadi kaku dan sepi. Bercucuran air mata Farah menangisi nasibnya. Betapa peritnya rasa mengakui kebenaran kata-kata Puan Raniey tadi. Bicara itu terus terkesan di hatinya. Dia sesungguhnya alpa akan takdir Tuhan yang ditentukan buat dirinya. Dia terlupa bahawa Allah SWT telah menurunkan musibah yang mampu ditanggungnya dan Dia lebih Maha Mengetahui. Hanya kesedihan dan kehibaan yang menyelubungi diri hampir menyesatkan akidahnya dan menjauhkan dirinya daripada Tuhan yang Maha Kuasa.

Bingkai gambar yang merakam detik-detik manis saat dia diijabkabulkan dengan Khairi ditatap penuh rasa kerinduan.

Sebaknya hati tatkala merenung seraut wajah Khairi dengan segaris senyuman yang meniti di bibir merah lelaki itu pada gambar yang tidak bernyawa dalam pegangannya. Air mata mengalir lesu menuruni pipinya yang mulai cengkung. Farah memegang bahagian dadanya yang dicengkam rasa sakit.

“ Ya Allah, aku terlalu rindukan suamiku. Aku teringin sangat untuk berjumpa dengan dia buat kali terakhir. Aku rindukan .. dia. Sangat.. sangat. Aku berdosa dengan dia. Ya Allah, Kau kuatkanlah aku. Kuatkan aku untuk hadapi dugaan-Mu ini. Ya Rabb, aku rindukan dia ..

Abang, Farah rindu abang. Farah nak jumpa abang. Farah nak peluk abang. Farah tak boleh lupakan abang. Hati Farah sakit sangat .. sangat .. Farah nak abang berada di sisi Farah. Farah rindukan abang. Farah terlalu sayangkan abang. Dengan .. nama Allah, Farah pun terlalu cinta .. kan .. abang .. Abang .. abang .. “

Farah menangis teresak-esak. Sepasang mata miliknya juga terasa pedih yang mencucuk-cucuk kerana menitiskan air mata tidak henti-henti. Matanya berpinar-pinar seiring dengan kepalanya yang mula memberat. Tubuhnya lemah dan tidak lagi berdaya ekoran keengganannya makan dan minum dengan teratur sejak tiga minggu lalu. Tubuh Farah yang tersandar di dinding perlahan-lahan rebah ke lantai apabila suasana menjadi kelam. Gelap.

Angin petang yang bertiupan menyapa lembut wajah Farah yang sedang duduk bersimpuh di atas bumi yang berhamparkan rumput hijau. Tenang dan damai. Itulah yang dirasakan oleh Farah ketika ini sambil mengucap syukur kerana dia berpeluang menghirup udara segar di tepi tasik luas yang indah. Rimbunan pokok besar menghalang tubuhnya daripada terasa bahang mentari yang memancar. Tasik kelihatan bersinar-sinar akibat fenomena pantulan cahaya. Farah masih menikmati ciptaan Tuhan yang maha hebat itu sehingga saat dia dikejutkan dengan bunyi tangisan bayi yang jelas di pendengarannya. Spontan dia berpaling, mencari punca datangnya bunyi tersebut.

Terpempan melihat seseorang yang amat dia rindui, Farah kaku di posisi dan diam tidak berkutik. Hanya air mata yang bergenang di tubir mata. Bagai terhenti degupan jantungnya tatkala memandang wajah bersih Khairi dengan segaris senyuman mesra yang meniti di bibir merah lelaki itu. Kini Khairi benar-benar muncul dihadapannya dengan seorang bayi dalam dukungan. Menggigil-gigil lutut Farah bagi mengimbangi tubuhnya untuk berdiri.

“ Abang, Farah .. rindukan abang. Jangan tinggalkan Farah. Kalau abang nak pergi pun, bawa Farah sekali. Farah nak selalu bersama-sama abang. Farah tak boleh hidup tanpa abang .. “ rayu Farah tersedu-sedan. Farah mendekati Khairi yang setia berdiri tegak sambil mendukung bayi yang telah nyenyak tidur. Tidak Farah berpuas hati dengan reaksi yang ditunjukkan oleh Khairi. Lelaki itu membisu, hanya tersenyum kepadanya. Sedikit sebanyak terubat juga rindunya dengan senyuman itu.

“ Abang .. ni bayi siapa? Apa nama dia? “ Jaraknya dengan Khairi semakin dekat. Wajah comel milik bayi dalam dukungan Khairi menarik perhatian Farah. Ditenungnya wajah yang lena itu dengan penuh rasa kasih. Tergelak sendiri Farah dibuatnya tatkala dia merasakan wajah bayi comel itu mempunyai iras-iras wajahnya dan wajah Khairi.

Kening halus yang terukir indah di wajah bayi itu seperti kening miliknya. Mata galak dan bulu mata yang lebat tidak ubah seperti Khairi. Hidung yang terletak elok di wajah bayi itu pula sebiji sepertinya, manakala bibir comel milik bayi itu seperti bibir milik Khairi.

Sedikit terkejut dengan tindakan Khairi yang menyerahkan bayi itu dalam dukungannya, Farah tetap menyambut huluran itu. Ditatap wajah bayi itu bersilih ganti dengan wajah Khairi yang masih lagi tersenyum. Hangatnya kucupan Khairi di dahinya membuaikan perasaan. Serasa suatu kekuatan menjalar di segenap pembuluh darahnya sekali gus mendamaikan hatinya yang dirundung keresahan. Dan apabila sepasang matanya dialihkan kembali ke wajah milik Khairi, lelaki itu telah hilang dari pandangan. Tiada lagi senyuman yang memekar di bibir merekah Khairi. Tiada lagi kucupan hangat daripada Khairi. Air mata menjadi peneman setia Farah.

Dari jauh dia sudah melihat Emir menayangkan barisan gigi putihnya sambil saling membalas pandangan. Perlahan-lahan Emir mengayun langkah mendekatinya yang sedang duduk di salah sebuah bangku yang terdapat di ruang menunggu hospital kerajaan. Dia bersuara sejurus lelaki itu melabuhkan punggung bersebelahan dengannya.

“ Emir, thanks for helping .. “ Sambil wajah yang masih menekur ke lantai, Farah berterima kasih atas perhatian Emir kepadanya. Sesungguhnya dia terhutang budi dengan lelaki muda ini. Amatlah dia hargai pengorbanan Emir.

“ Its no matters, Farah. My pleasure. Lagipun, tak tergamak rasanya aku nak biarkan Mama Raniey angkat kau tadi. Tak ke patah tulang orang tua tu nanti! “ Ketawa besar Emir dengan kata-katanya sendiri. Memikirkan detik-detik cemas pagi tadi apabila Farah pengsan di bilik air, Mama Raniey lantas menelefonnya. Dia yang baru ingin bertolak ke tempat kerja terus memecut ke rumah Khairi. Oleh sebab kebimbangan yang melampau, dia bertindak merempuh masuk rumah Khairi dan tanpa berfikir panjang bergegas menuju ke bilik yang datangnya tangisan Mama Raniey. Terkejut dia melihat Mama Raniey yang berusaha keras ingin mencempung tubuh Farah yang sudah tidak sedarkan diri. Sempat dia tergelak kecil lantas mengambil alih mencempung tubuh Farah yang boleh tahan beratnya untuk dihantar ke hospital yang berdekatan.

“ Kau ni jahatlah! “ Farah tersenyum dengan cerita Emir. Tidak dia sangkakan begitu besar kasih Puan Raniey kepadanya hingga terfikir ingin mencempung tubuhnya yang berat ini. Ni mesti kes kalut sangat! Mama, mama ..

“ Hah, apa doktor cakap pasal kau sampai pengsan bagai ni? Kau ada sakit ke? “

“ Aku .. aku .. “ Kesunyian mengisi ruang antara mereka berdua. Farah yang kembali menekur memandang lantai hilang kata-kata untuk seketika. Emir pula sudah panas punggung tidak betah dengan diam Farah.

“ Farah, kau jangan buat aku takut. Kau sakit apa ni? Teruk sangat ke? “ tanya Emir dengan resah.

Wajahnya diangkat memandang Emir yang sudah bimbang di tahap kritikal. Lucu pula riak wajah lelaki itu dengan dahi yang berkerut seribu. Farah tersenyum. Tangannya mengusap perutnya yang masih kempis dan tidak menunjukkan sebarang bentuk.

“ Alhamdulillah, there’s my little Khairi in my tummy .. “ Setitik air mata Farah jatuh terharu dengan rezeki kurniaan Tuhan. Senyuman terus meniti di bibirnya melihat Emir yang sudah terlopong dengan berita gembira yang disampaikan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience