BAB 5

Romance Completed 13381

Kriukk.. kriuukk..

Tangis Farah henti serta-merta. Tangannya yang tadi meramas beg mula beralih mengusap lembut perutnya yang sakit minta diisi. Dia segera membuang pandang ke luar tingkap kereta. Sakit perutnya tidak diendahkan. Dia malu sendiri apabila perutnya berbunyi menandakan dia benar-benar lapar. Ya Allah, malunya! Aku nak letak muka dekat mana ni? Mesti dia dengar bunyi perut aku? Betul ke? Aaahh, malunya! Cepatlah sampai ke office. Lambatnya masa berjalan!

Apabila benar-benar yakin Farah tidak melihat ke arahnya, Khairi menalakan matanya kepada gadis itu. Untuk seketika, senyuman menghiasi bibirnya yang kerap melafazkan kata-kata yang melukakan hati gadis yang dia minati sejak dibangku sekolah sehinggalah.. kini..

Tahu pun malu! Tadi punyalah merengek mengalahkan anak buah aku. Kalau lapar, cakap jelah lapar. Ni nak jual mahal lagi! Zeera dah bagi green light, kira okay sangatlah.

Khairi kembali menumpukan perhatiannya terhadap pemanduan. Dia cekap memusingkan stereng kereta dan menuju ke sebuah lorong yang lari daripada kesesakan lalu lintas yang tak akan pernah reda. Dia dapat melihat Farah menunjukkan muka cemberut melalui ekor matanya kerana tidak melalui jalan menuju ke pejabat gadis tersebut. Sampai di suatu simpang, keretanya diparkirkan sebentar di pinggir jalan. Dia terus meluru keluar dari perut kereta tanpa mengendahkan si gadis.

Beberapa minit kemudian, dia kembali memboloskan dirinya ke dalam kereta sambil menjinjing sebuah beg plastik. Beg plastik itu terus dicampakkan kepada Farah tanpa menghiraukan reaksi terkejut gadis itu. Enjin kereta dihidupkan kembali dan kereta dipandu keluar melalui jalan besar.

“ Apa ni? “ tanya Farah lurus. Terkejut apabila ribanya dihempap dengan suatu beg plastik yang mempunyai isi di dalamnya.

“ Boleh tak sebelum kau tanya, kau tengok dulu apa ada dalamnya? Tak habis-habis dengan perangai lembab kau ni! “

“ Apa kau cakap? Aku? Aku lembab? Woi, cermin diri kau tu dulu! Kalau aku lembab, kau tu panas baran. Singa jantan pun kalah dengan kau. Hal kecil pun kau boleh nak mengamuk bagai nak rak. Ish, pleaselah! “

“ Baik kau tutup mulut kau sebelum aku campak kau keluar dari kereta ni.. “

Farah menjeling geram ke arah Khairi yang kelihatan fokus terhadap pemanduannya. Setelah lelaki itu memberikan amaran keras, dia terus mendiamkan diri. Malas nak layan angin tsunami Khairi. Lagi dilayan, lagi sakit hatinya nanti. Lebih-lebih lagi, lelaki itu sedang memandu. Tak naklah dia mendera emosi dan mental pemandu di atas jalan raya. Silap hari bulan, dua-dua dah innalillahi wainaillahi rajiunn kang.. Err, minta simpang!

Beg plastik yang dicampakkan oleh Khairi tadi dicapai dan dilihat isi di dalamnya. Terdapat dua bungkus plastik roti berkrim vanilla dan dua tin Milo. Baru kini dia dapat menghadam niat baik Khairi yang membelikannya makanan selepas peristiwa perutnya yang berkeroncong kuat. Tanpa membuang masa, tangannya lantas membuka bungkusan plastik yang membalut roti dan rakus memakannya. Dalam diam, dia sungguh terharu akan keprihatinan Khairi terhadap dirinya.

“ Kalau lapar, cakap lapar. Kau bukannya boleh makan lambat! Ada gastrik! Sakit teruk nanti menyusahkan orang aja .. “

Dia masih mampu tersenyum dengan amarah yang dilemparkan oleh Khairi kepadanya. Jauh di sudut hati, dia terlalu yakin bahawa lelaki itu risau akan kesihatan dirinya. Sejak zaman sekolah lagi, Khairi sudah mengetahui tentang penyakitnya yang menjadi teruk apabila tidak makan mengikut waktu. Sejak dahulu juga, lelaki itu selalu memarahinya kerana tidak mengambil berat tentang pemakanan. Selain ahli-ahli keluarga, hanya Khairi yang mengetahui satu hal ini. Zeera pun tidak mengetahui masalah kesihatan yang dihadapinya meskipun gadis itu merupakan salah seorang rakan yang paling rapat dengannya.

Farah membisu. Begitu juga dengan Khairi. Hanya bunyi deruan pendingin hawa yang menampar telinga masing-masing memandangkan radio tidak dipasang. Suasana di dalam kereta amat sepi seperti sepinya hati mereka berdua kala ini. Kedua-duanya asyik melayan perasaan. Memori silam disingkap kembali mengenangkan kenangan yang pernah tercipta antara mereka yang menerbitkan bibit-bibit kasih dalam hati masing-masing.

2004.

Taman Sains Exora. Punggungnya dilabuhkan ke sebuah bangku batu yang tersedia di taman sains yang indah itu yang direka khas oleh pihak sekolah. Pemandangan yang indah yang menggamit perasaannya yang sentiasa bergolak ini tidak jemu menjadi santapan mata walau beribu kalipun. Bunga-bungaan yang memekar, mewarnai setiap sudut taman, pepohon yang merimbun memberikan teduhan, anak-anak ikan yang berenang bebas di dalam kolam rekaan dan setiap kali bayu berdesir lembut menyapa suasana membuatkan sesiapa yang melihat terpesona. Apatah lagi taman tersebut sentiasa dijaga rapi bagi memastikan setiap tanaman tumbuh dengan sihat dan hidupan di dalam kolam tidak mati.

Farah menguis-nguis tanah dengan hujung kakinya yang berkasut sekolah. Habis kotor kasut sekolahnya yang putih dipalit dengan warna tanah yang kecoklatan. Sekali-sekala kepalanya didongakkan memandang ke langit yang membiru.

Kelihatan berkepul-kepul awan putih menghiasi dada langit sekali gus melengkapi suasana indah ciptaan Ilahi.

Jam tangan ditelek lama. Jarum jam yang bergerak perlahan pada setiap saat itu dipandang dengan rasa yang penuh kecurigaan. Benarkah waktu yang ditunjukkan oleh jarum ini? Dia sudah menunggu kedatangan orang itu sejak pukul satu petang lagi. Tetapi, jam sudahpun menunjukkan hampir pukul tiga petang. Mana dia ni? Janji lepas balik sekolah tapi batang hidung tak nampak-nampak juga. Khairi, mana kau?

Masa terus berlalu. Perasaan tidak senang mula menebak dirinya. Solat zuhur pun belum dilaksanakannya. Hamba jenis apa dia ini? Sepatutnya tanggungjawab yang wajib itu perlu diutamakan dahulu. Namun, dia hanya manusia biasa yang selalu terleka dengan hal-hal duniawi. Terlalu mengikut kata hati yang sudah dicemari dengan godaan syaitan laknatullah. Dia rela menjadi bodoh dan ditundukkan dengan tuntutan perasaan yang melalaikannya daripada perintah Tuhan.

Dia tidak betah menunggu lagi. Hatinya benar-benar terluka kini. Dia tidak mahu dilukai. Dia tidak merelakannya.

Khairi memang mahu menghancurkan sekeping hatinya. Lelaki itu mula berjinak-jinak untuk mendendaminya sedangkan tidak pernah mencuba untuk memahaminya. Adilkah itu? Apa yang diharapkan oleh lelaki itu jikalau dia menerima ‘lamaran’nya? Bagaimanakah perjalanan perhubungan yang dikatakan indah kononnya yang dijalinkan oleh pasangan yang masih bersekolah? Bukankah sepatutnya zaman sekolah merupakan tempoh yang perlu digunakan sebaik-baiknya untuk menuntut ilmu sebagai bekalan pada masa depan? Bukannya masa yang sesuai untuk beradu kasih. Tiada salahnya kalau menaruh perasaan terhadap seseorang ketika masih bersekolah tetapi rasa suka itu hanyalah rasa suka. Rasa yang terbit itu masih rapuh untuk disemai semasa usia baru setengah jagung.

Menitis air mata Farah di pipinya. Hanya dengan cara ini dia dapat meluahkan yang terbuku di hati. Baginya, Khairi ibarat penawar dan juga racun. Senyuman dan sikap penyayang Khairi yang pernah ditunjukkan kepadanya mampu mengubati luka yang tercipta. Tetapi, lelaki itu juga boleh menjadi racun dalam sekelip mata yang mematahkan hati di dalam jasadnya. Tidak tergambar rasa kasihnya kepada lelaki itu.

Farah bangkit dan menggapai beg sekolahnya. Saat dia berpaling ingin beredar dari situ, matanya terpandangkan susuk seseorang yang amat dia kenali. Seseorang yang dia nantikan kedatangannya. Seseorang yang dia.. rindui. Khairi sedang berdiri betul-betul berhadapan dengannya. Mata galah lelaki itu mencerlung memandangnya. Tiada senyuman yang menghiasi wajah itu. Lelaki itu menunjukkan wajah bengisnya dengan melemparkan pandangan benci kepadanya.

Bergenang air mata. Farah tidak sanggup menghadapi Khairi. Dia ingin berlalu tetapi langkahnya mati dengan kata-kata lelaki itu.

“ Asal kau nangis? Hati kau sakit? “ Khairi menghempaskan beg sekolahnya ke tanah. Tanda dia ingin berbicara dengan Farah. Dia memprotes apabila Farah ingin berlalu begitu sahaja tanpa menghamburkan amarah terlebih dahulu kepadanya.

Iyalah kan, siapa yang tak marah, geram bila kena tunggu lama? Dia tak sangka budak perempuan dihadapannya ini lebih bodoh berbanding dirinya. Sanggup dia tunggu aku? Bodoh! Dah tahu aku bencikan kau, kau tetap nak percayakan aku?

Remuk-redam hatinya kala ini. Dia berperang dengan dirinya sendiri. Kalau ikutkan hati, mahu dibomkannya Khairi! Biar berkecai jasad lelaki itu, baru puas hatinya. Betul ke puas? Bukan kau nanti lagi merana ke? Kehilangan orang yang kau sayang separuh mati!

“ Kenapa kau buat aku macam ni? Apa salah aku? Kalau iya pun aku banyak salah dengan kau, aku minta maaf sangat-sangat! Kenapa kau seksa aku macam ni? Hati aku sakit, Khairi! “

“ Sakit hati kau aja yang kau kisah, sakit hati aku? Ada kau ambil peduli? Tak pernah dan takkan kau peduli, Farah! Kau pentingkan diri sendiri. Kau tolak perasaan aku dan kau malukan aku depan geng aku! Kau ambil keputusan untuk tinggalkan aku. “

“ Khairi, kau sedar tak apa yang kau cakapkan ni? Kau sedar tak yang kita ni masih bersekolah dan kita ada tanggungjawab yang lebih berat daripada benda ni.. “

“ Benda ni? Kau cakap perasaan suka aku kepada kau, ‘benda ni’? Even aku ada mak bapak, duit dan harta yang melimpah-ruah, aku terlalu dahagakan kasih sayang. Aku nak ada orang yang ambil berat dan kisah pasal aku. Tanya aku sama aku dah makan atau belum, aku sihat atau tak. Mungkin kau rasa semua benda tu remeh, tapi tak untuk aku! Aku nak menyayangi dan disayangi.. “

“ Aku faham perasaan kau. Aku faham sangat-sangat. Tapi, kau faham ke dengan masalah aku pula? Ayah aku dah meninggal dunia sejak aku kecil lagi. Mak aku, ibu tunggal yang dah berhenti kerja sebab sakit. Aku merupakan anak sulung dan aku punyai tanggungjawab untuk sara keluarga aku. Aku perlu belajar sungguh-sungguh dan dapat kerja yang gaji besar supaya aku mampu memenuhi keperluan kami sekeluarga. Aku takut, aku takut aku leka bila aku terima kau.. “

“ Susah senang kita hadapi sama-sama! Takkan aku biarkan kau.. “

“ Tak! Tak, Khairi! Kau takkan faham. Kau ada tanggungjawab yang memerlukan komitmen yang tinggi. Kau satu-satunya anak yang mak bapak kau ada. Aku tak sekejam nak rampas anak dia orang. Kau perlu bahagiakan mak bapak kau dulu. Aku minta maaf. Bukan masanya lagi untuk kita couple.. Aku.. “

“ Cukup, aku dah faham maksud kau! Kau takkan terima aku. “ Beg sekolahnya yang dicampak tadi diambil kembali. Dia berjalan mendekati Farah yang berlinangan dengan air mata. Sebab air mata itulah, Khairi tidak sanggup meneruskan semua ini. Sebab air mata itu jugalah, dia ingin menamatkan agendanya untuk menyakiti hati Farah.

“ Kau hipokrit, Farah! Kau sukakan aku tapi kau tak mengaku. Aku yakin, kau pun mesti teringin nak couple dengan aku tapi kau malu. Kau malu sebab aku tak handsome. Kau malu sebab aku bodoh. Kau juga malu dengan kawan-kawan kau sebab aku tak layak untuk kau! Kau menipu diri sendiri dan tak nak couple sebab kononnya budak-budak yang couple tergolong orang-orang yang tak ada masa depan dan akan buat maksiat. Sedangkan dalam hati kau, kau memang nak couple dengan aku, kan? “

Dada terasa sesak. Oksigen bagaikan tidak dapat mengisi ruang jantungnya dan tubuhnya mulai menggeletar. Matanya hanya ditalakan kepada langkah perlahan Khairi yang diatur untuk beredar dari situ. Air mata bergenang di kelopak mata dan hanya menunggu masa untuk dihamburkan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience