BAB 21

Romance Completed 13381

Khairi bingkas bangun dan berdiri menghadap Farah yang mula menangis teresak-esak. Hatinya tersentap dengan kata-kata isterinya. Berkerut terus dahinya. Dia mengepal penumbuk menahan gelodak yang menyeksa jiwa. Mungkin sudah tiba waktunya untuk pergi. Kalau diikutkan hati, dia tidak mahu berpisah walau sesaat pun dengan Farah. Selama-lamanya dia ingin bersama wanita itu.

“ Apa yang kau merepek ni? “ tanya Khairi dengan suara yang dingin. Jelas terasa suasana yang menjadi tegang. Masing-masing tidak bersuara sehinggalah Khairi menguak pintu bilik dan ingin beredar.

“ Awak nak pergi mana? “ Suaranya bergetar menahan sebak yang tidak tertanggung. Jantungnya berdegup laju melihat suaminya ingin berlalu meninggalkan dirinya.

Tangisan Farah menghentikan langkah Khairi. Dia terus kaku lalu pandangannya dilemparkan kepada isteri tercinta. Betapa seksa jiwanya saat ini hanya Tuhan yang mengetahui. Tidak termampu baginya memberikan penjelasan kepada Farah supaya wanita itu memahami dirinya. Semuanya sudah tersurat dan ditakdirkan. Dia yakin dan percaya bahawa Allah telah merencanakan sesuatu yang terbaik untuk mereka berdua.

“ Aku tak minta lebih. Aku cuma nak kau memahami aku. Aku perlukan masa. Dan percayalah yang aku akan sentiasa milik kau. Aku takkan tinggalkan kau melainkan Tuhan yang memisahkan kita. Aku yakin Dia telah rancangkan sesuatu. Dengan nama Allah, aku cintakan kau. Good night, sayang.. “ ujar Khairi seraya menarik perlahan pintu bilik dan hilang disebalik pintu tersebut.

Cahaya bulan menerangi dada langit yang berselimutkan kegelapan malam. Sunyi dan sepi. Angin dinihari yang bertiup dan menyapa wajahnya sekali-sekala mampu membuatkannya menggigil kesejukan. Dia menyilangkan tangannya apabila terasa dingin bayu menggigit tubuhnya hingga ke tulang hitam. Suasana kelam yang aman dari sebarang bunyi yang menggugat ketenangan dihayati dengan sepenuh hati.

Tiba-tiba, dadanya terasa sakit. Khairi menyentuh perlahan dadanya yang meragam. Dia memandang sebentar ke arah jendela kamarnya bersama-sama Farah. Bilik tersebut gelap. Lampu sudah ditutup. Sempat dia berdoa dalam hati agar isterinya lena diulit mimpi. Dan termimpikan segala kenangan manis bersama dengannya. Tidak sedar dia tersenyum, Khairi kembali menyambung termenungnya.

Tidak pernah terlintas dihatinya untuk berpisah dengan Farah. Cukuplah dia sudah beberapa kali berjauhan dengan wanita itu. Tidak sanggup untuk menghadapi detik-detik memedihkan kehilangan Farah yang amat dicintainya. Tetapi, dia percaya akan takdir Tuhan yang Maha Kuasa. Tiada yang mampu menandingi kuasa-Nya. Diam-diam dia berjanji bahawa hanya ajal maut yang memisahkan dirinya daripada bersama-sama Farah.

Sedang dia mengelamun, Khairi tersentak tatkala sayup-sayup kedengaran seseorang yang membaca surah Yasin. Pantas dia meninjau keadaan sekelilingnya. Namun, hampa apabila tiada sesiapa yang dilihatnya. Semakin lama semakin kuat bacaan ayat-ayat suci itu di gegendang telinganya. Bukan kali pertama dia mengalami keadaan misteri sebegini tetapi sudah untuk beberapa kali.

Khairi terduduk sambil dia menyandarkan tubuhnya yang terasa longlai di dinding keras rumahnya. Dia tidak lagi mempedulikan kehadiran beberapa ekor nyamuk yang jahat menggigit lengannya memandangkan dia berada di luar rumah. Fikirannya melayang-layang entah ke mana. Matanya dipejam rapat-rapat bagi menghayati alunan bacaan surah Yasin yang sentiasa menggetarkan hati manusianya. Setitik demi setitik air mata lelakinya jatuh mengalir dan membasahi pipi.

Dibiarkan sahaja butir-butir jernih itu menitis lebat seiring doa taubat yang dipanjatkannya kepada Ilahi.

Bersungguh-sungguh dia memohon keampunan atas dosa-dosa dan kekhilafannya sepanjang riwayat hidupnya di atas muka bumi yang fana ini. Suka dan duka mahupun kebahagiaan dan keperitan yang telah dia tempuhi dikenangkan kembali. Wajah-wajah insan yang dia sayangi bermain-main di ruang mata. Wajah Puan Raniey, kaum-kerabat, Emir, sahabat-handai, arwah Zeera dan .. Farah.

“ Aku minta ma.. af.. Farah .. Maafkan a.. ku .. sayang .. “ bisik Khairi keseorangan. Bahunya terenjut-enjut hebat melawan esakannya yang menjadi-jadi. Dadanya terasa terlalu perit. Sakit. Pedih.

“ Aku rasa .. dah tiba masanya untuk aku kembali ke tempat asal aku. Aku sangat percaya dengan apa yang telah tertulis untuk kita. Maafkan aku, Farah. Aku selalu buat air mata kau menitis. Aku yang sentiasa melukakan hati kau. Aku minta maaf. Kalaulah aku boleh mengubati luka tu. Aku.. aku.. cintakan kau. Demi Allah, aku terlalu cintakan kau.. Maafkan aku. “

“ Lah, dekat sini rupanya dia! Puas orang cari dia. Tengok-tengok, dia tengah basuh pinggan. Khusyuknya! “ Pinggang ramping Farah dicuit oleh Khairi sehingga wanita itu terjerit kecil kerana terkejut. Selepas itu, terus wanita itu kembali meneruskan kerja-kerja membersih dan mengendahkan kehadiran Khairi di sisi. Muka masam Farah jelas menunjukkan protes. Tergelak Khairi dengan mimik isterinya . Comel sangat !

“ Janganlah merajuk. Pasal semalam, aku minta maaf tau! “

Farah tidak peduli. Dia masih berkeras hati untuk meneruskan mogok terhadap lelaki itu. Pujuk rayu suaminya dibiarkan berlalu tanpa sedikit pun dia berganjak. Dia terus melaksanakan tugasnya. Tersentak dengan tindakan Khairi yang memeluknya erat, Farah berhenti daripada mencuci pinggan-pinggan kotor lebihan majlis sambutan hari lahirnya semalam. Pelukan Khairi dilepaskan. Mata lelaki itu ditenungnya tajam. Pandangan tidak puas hati dilemparkan.

“ Awak ni tak nampak ke saya tengah mengemas? Apa yang awak nak .. “ Tubuhnya kaku serta-merta. Matanya terbeliak kerana terkejut. Dengan erti kata lain, dia terpempan. Kucupan hangat Khairi yang mendarat dibibirnya membuatkan dia membatalkan niat untuk memarahi lelaki itu.

Geram melihat wajah comel Farah dengan mata wanita itu yang terkebil-kebil memandangnya, sekali lagi Khairi mengucup bibir isterinya. Lama. Dilepaskan bibirnya daripada terus memagut bibir Farah setelah dia benar-benar berpuas hati. Dia tersenyum nakal. Tangannya mula merayap di sekitar pinggang Farah yang sudah tidak betah membisu.

“ Khairi, awak nak buat apa ni? Gelilah! Orang tengah mengemas kan? “

“ I love you.. “

Ucapan syahdu yang dilafazkan oleh Khairi menusuk ke kalbu. Farah terdiam dan berdiri kaku. Wajah lelaki itu ditenung, meminta kepastian. Semakin kelu lidahnya saat tubuhnya dipeluk erat tanpa sebarang kata-kata antara mereka. Akhirnya dia membalas pelukan sang suami dengan penuh kasih.

“ Ehem.. ehem.. “ Matanya yang terpejam dicelikkan perlahan-lahan apabila mendengar seseorang berdehem. Bagai baru tersedar dalam keadaannya yang masih mendakap tubuh sasa Khairi, Farah termalu sendiri. Lekas pelukannya dileraikan. Khairi pula dilihat memegang perut kerana bersungguh-sungguh mentertawakannya.Eii, geramnya.. Tumbuk kang!

Farah menarik muka masam semasam buah lemon yang terdapat di pasaraya. Makan hati dengan gurauan bersahaja daripada Khairi. Dia mengucap kalimah suci berkali-kali dalam hati untuk meredakan kehibaan yang sedang memuncak. Entah mengapa sejak akhir-akhir ini dia terlalu beremosional dan mudah berkecil hati dengan tingkah Khairi.

Nasi goreng belacan yang telah siap dimasak segera dihidangkan di atas meja makan. Sebuah kotak berisi air perisa oren diambil lalu dituangkan ke dalam gelas. Sakit hati dengan Khairi masih tidak hilang. Dia bertindak membisu dan tidak menghiraukan Khairi yang tersengih-sengih sehingga mempamerkan barisan gigi putih lelaki itu.

“ Yang awak ni tak habis-habis nak tersengih macam kambing tepi jalan tu, kenapa? Tak reti nak breakfast? Nanti lambat sampai ke studio. Siapa susah? “ Kalau boleh, ingin saja dia menambah banyak-banyak serbuk cili dalam sindirannya kepada Khairi. Biar terasa pedas sikit!

“ Hahaha .. “ Kedengaran suara garau milik Khairi mentertawakannya.

“ Eh, awak ni dah kenapa? Sakit? Tergelak-gelak dari tadi .. “

“ Mana ada apa-apa. Suka pula abang dengar bebelan sayang .. “

Muncung Farah yang sudah panjang sedepa kembali mengecut. Terbantut terus rajuknya. Farah memandang Khairi tanpa sesaat pun berkelip. Kata-kata Khairi benar-benar membuatkannya terkesima. Terlepas sudu yang dipegangnya. Mulutnya pun terlopong luas dengan rela hati mempelawa nyamuk atau lalat masuk.

Farah tidak mampu lagi menahan air mata yang bergenang. Dibiarkan butir-butir jernih itu mengalir. Dia terharu dan sebak saat Khairi menggelarkan diri dengan panggilan ‘abang’ dan memanggilnya ‘sayang’. Detik-detik manis seperti inilah yang dia impikan sejak Khairi melafaz akad. Dan tidak dia menyangka angan-angannya menjadi kenyataan.

‘ Syukur ya Allah, Kau telah memakbulkan doaku untuk membuka pintu hati suamiku untuk kembali mencintaiku. Ku panjatkan kesyukuran kepada-Mu, ya Rabb kerana Kau telah mengurniakan kebahagiaan yang tidak ternilai kepadaku. Kau sentiasalah merahmati rumahtangga kami dan panjangkanlah cinta kami hingga ke syurga-Mu ‘.

Khairi mengesat air mata Farah yang mengalir lebat. Pipi Farah diusap-usap lembut dan penuh kasih. Dia kemudiannya melekapkan bibirnya ke dahi dan ubun-ubun Farah. Tangan Farah diraih dan digenggam erat. Mereka berpandangan untuk seketika sebelum tangan Farah dikucup oleh Khairi.

“ Maafkan segala dosa-dosa abang. Maafkan abang kerna selalu menyakiti sayang. Abang bersyukur sangat sebab memperisterikan sayang tau. Abang bertuah punyai isteri macam sayang. Percayalah. Tiap kali abang cuba menjauhkan diri daripada sayang, sayang tetap berada di sisi abang. Kalau apa-apa jadi pada abang, sayang kena kuat, tabah. Abang takkan tinggalkan sayang. Abang akan sentiasa ada di hati sayang. Dengan nama Allah, abang terlalu cintakan sayang .. “

Berjuraian air mata Farah mendengarkan luahan Khairi yang kedengaran terlalu sayu. Sebak dan hiba bersatu melihat wajah Khairi yang pucat. Dia meneliti setiap inci wajah Khairi bagai sudah lama dia tidak menatap wajah itu. Ingin dia melepaskan kerinduan yang mencengkam. Apabila Khairi memeluk bahunya, dia menangis semahu-mahunya. Dia tidak mahu kehilangan lelaki itu!

Tersedar daripada tangisannya yang panjang, Farah terkebil-kebil memandang Khairi. Jam di dinding dilihat sekilas sebelum dia mengerutkan dahi.

“ Ya Allah, abang! Dah pukul berapa ni? Tak lambat pergi kerja ke? “

“ Alah, bukan sempat pun sampai kerja. Setengah jalan aja. “ Khairi selamba mencapai kunci kereta dan menyangkutkan kamera lensa miliknya ke leher.

Farah terdiam untuk menghadam kata-kata Khairi sebentar tadi. Dahinya sudah berkerut seribu. Tatkala melihat Khairi yang sudah berdiri di muka pintu, dia hanya membiarkan persoalan yang berlegar-legar di fikirannya tidak berjawab.

Terkocoh-kocoh dia mendapatkan Khairi. Tabiat kebiasaannya dilakukan iaitu menyalami Khairi.

“ Apalah abang ni. Dahlah makan sikit, pergi kerja lambat pula tu. “

“ Abang tak ada seleralah sayang.. “

Khairi mencapai tangan Farah untuk ke sekian kalinya. Digenggamnya tangan Farah seperti enggan melepaskannya lagi. Dikucup tangan isteri tercinta berkali-kali. Kemudian dahi dan pipi Farah menjadi mangsa kucupan Khairi. Tergelak kecil Farah diperlakukan seperti kanak-kanak layaknya. Farah hanya tersenyum bahagia tatkala Khairi merenung anak matanya dengan suatu rasa yang sukar dimengertikan.

“ Urmm .. okaylah .. Abang pergi dulu .. “ ujar Khairi dengan suaranya yang sedikit bergetar.

“ Dah , dahlah tu. Balik rumah nanti, abang boleh sambung pegang tangan Farah. Okay? “

Khairi terdiam sejenak.

“ Abang takut tak dapat balik, sayang.. “ Pipi Farah diusap lembut.

“ Hah? “

Terpinga-pinga Farah apabila Khairi ketawa secara tiba-tiba. Dia berlawak ke tadi? Tak rasanya.

“ Tak ada apa-apalah. Abang pergi dulu. Tapi sebelum tu, janji dengan abang yang sayang akan jadi seorang wanita yang gigih dan kuat walaupun tanpa abang disisi. Jaga diri .. dan baby kita elok-elok .. “ Khairi mengusap lembut perut Farah yang kempis. Farah yang jelas terkejut dengan tindakan Khairi mengucup perutnya hanya mampu terdiam. Terasa hangat kucupan kasih Khairi menjalar ke seluruh tubuhnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience