BAB 1

Romance Completed 13381

Sudah sebulan berlalu sejak dia dikhabarkan dengan berita penyatuan dua jiwa insan yang amat dia kenali dan sayangi. Namun, keadaannya tetap sama, malah hatinya semakin parah dalam meniti hari-hari tibanya detik dua mempelai tersebut bakal disatukan.

Apa yang termampu, hanyalah mengalirkan air mata yang tidak henti-henti membasahi pipinya yang semakin cengkung ekoran tidak berselera makan akhir-akhir ini. Sesiapa pun yang melihat dirinya tika ini, pasti menganggap dirinya tidak ubah seperti mayat hidup yang terlantar di kamar sepi di suatu sudut rumah pangsapuri lima tingkat milik keluarganya.

Air mata mengalir lagi melalui lekuk pipi. Entah untuk berapa kalinya butir-butir mutiara jernih itu membasahi wajah demi menggambarkan betapa perit dan deritanya rasa yang ditanggung kini. Farah tidak betah lagi berkeadaan sebegitu rupa. Pantas dia mengesat air mata yang berhamburan yang tiada penghujungnya dengan belakang telapak tangan. Dia segera menegakkan tubuhnya dan duduk bersila di lantai sambil bersandar pada dinding rumah. Matanya melorot jatuh pada cebisan-cebisan kertas yang berselerakan di hadapannya.

Masih segar di ingatan Farah, saat dirinya disampaikan khabar gembira majlis perkahwinan antara Khairi dan Zeera. Bermati-matian dia mengingatkan bahawa berita itu hanyalah ura-ura yang dilampiaskan kepadanya demi merosakkan hubungan persahabatan antaranya dengan dua insan tersebut tetapi akhirnya dia jatuh terjelepuk di muka pintu rumah tatkala kiriman kad kahwin tiba. Bercucuran air mata sehinggakan matanya benar-benar sebam dan tidak mampu menitis lagi. Hanya Tuhan yang tahu betapa sakit dan hancur sekeping hati wanita miliknya yang sememangnya rapuh ketika dimaklumkan lelaki yang dia sukai sejak zaman sekolah kini bakal menjadi suami sahabat karibnya sendiri.

Ya Allah, sesungguhnya hanya Engkau yang mengetahui apa yang terbaik untukku dan orang-orang sekelilingku. Jikalau memang sudah tersurat Khairi bukan jodohku tetapi sebaliknya dia milik sahabat karibku, Engkau rahmatilah dan limpahkanlah mereka kebahagiaan hidup di dunia mahupun di akhirat. Ya Rabb, aku seorang hamba-Mu yang teramat lemah. Aku kini tidak berdaya untuk menempuh kenyataan yang Engkau bentangkan untukku kerana hatiku .. hatiku .. teramatlah sakit.

Perit yang amat. Pedihnya hatiku hanya Engkau yang mengetahui. Justeru itu, Engkau simbahilah diriku dengan sekelumit iman agar aku tetap berdiri teguh dan menghadapi segala dugaan-Mu dengan penuh tabah. Amin.. amin.. amin.. Ya Rabbal Alamin.

Farah memeluk lututnya yang secara tiba-tiba menggeletar kuat. Dadanya sungguh terasa berombak saat ini. Apabila terkenangkan meriahnya majlis perkahwinan Khairi dan Zeera, hatinya terus terasa sakit dan pedih bagai dihiris sembilu. Sekiranya dia mampu merawat luka separah ini, sudah lama dia mengubatinya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience