BAB 17

Romance Completed 13381

Suasana sekeliling yang asing baginya dilihat dengan mata yang tidak berkelip. Melihatkan perabot yang terdapat di situ, dia dapat mengagak dirinya berada di ruang tamu sebuah rumah. Begitu asyik menghayati suasana tenang di rumah tersebut, Farah tersentak apabila matanya singgah ke wajah Khairi yang sememangnya sedang merenungnya dengan pandangan tajam. Seorang wanita yang berusia di sisi juga membuatkan dirinya berasa tidak selesa.

“ Farah okay? Kalau rasa tak sedap badan atau pening-pening lagi, mama boleh suruh Khairi bawa Farah pergi ke hospital. “

Perasaan janggal dan tidak selesa yang dirasakannya sebentar tadi terus lenyap apabila wanita yang murah dengan senyuman di sisinya itu dengan ikhlas dan selamba membahasakan diri sebagai mama dengannya. Walaupun ini merupakan pertama kali dia bersua muka dengan Puan Raniey. Tenang seketika hati yang sedang lara dengan belaian mesra daripada seorang ibu. Farah mengangkat wajah dan memandang Puan Raniey.

“ Urm.. puan, saya okay. Terima kasih sebab sudi jaga saya. Saya sendiri tak tahu macam mana saya boleh pengsan. Saya dah banyak menyusahkan puan dan Khairi. Jadi, saya rasa saya nak minta diri dulu. Maaf. “ Farah tercari-cari beg galasnya yang ada bersama-samanya sebelum dia pengsan. Tetapi, barang itu tidak dijumpai. Terus matanya ditalakan ke arah Khairi. Dia pasti bahawa lelaki itu yang telah menyimpan beg galasnya.

“ Tak payah nak mengada-ngada! Tidur dekat sini malam ni. Dah tahu badan masih lemah, still berdegil nak balik juga. Kalau kau pengsan lagi, siapa susah? Dekat rumah kau tu, mana ada orang. Ini arahan, bukan permintaan! “

Terlopong Puan Raniey dengan tingkah Khairi yang tidak pernah dia ketahuinya sebelum ini. Tidak pernah dia melihat anaknya begitu tekad memberikan arahan yang pasti tidak boleh diingkari. Mata Farah pula sudah membulat dengan kata-kata Khairi. Tidak percaya dia bahawa lelaki itu boleh menunjukkan belang di hadapan orang lain. Teruk punya perangai! Asyik nak ikut angin dia aja! Fed up tahu tak? Sabar ajalah, wahai hati!

“ Khairi, apa yang kau merepek ni? Aku dah sihatlah! Aku nak balik. “

“ A’ah, pergilah balik! Dah malam-malam buta macam ni pun, kau masih nak balik? Baliklah! Tak bawa apa-apa, tak ada duit. Habis tu, nak balik naik apa? Jalan kaki? Bagus juga cadangan tu! Sebab aku selalu tengok orang Cina bersenam pada waktu malam. Kau pula buat marathon tengah-tengah malam. Sesuai sangat!

Lagi satu, kau sedar tak yang kau ni perempuan? Kau nak buat apa kalau tiba-tiba jantan jalanan kacau kau? Masa tu, kau tak payah fikir macam mana nak selamatkan diri! Nak balik sangat? Baliklah! Berambus! “

Tengkingan Khairi membuatkan hatinya terguris. Kata-kata yang dilemparkan kepadanya terus menyakiti jiwanya. Walaupun ada kebenarannya seperti yang dikatakan oleh lelaki itu, dia tetap berkeras untuk terluka. Luka parah! Bukan kali pertama dia telah ditengking oleh Khairi. Sudah banyak kali! Tetapi, entah mengapa hati ini sentiasa berduka dengan layanan kasar yang diberikan.

Apa yang dia harapkan sebenarnya daripada Khairi? Layanan baik? Kasih sayang atau .. cinta? Iya, dia mengaku. Dia terlalu mengharapkan cinta tulus daripada lelaki itu. Dari dahulu lagi, dia sentiasa berharap agar wujud rasa kasih dan sayang di hati lelaki itu untuk dirinya. Namun, ternyata dia tewas kerana arwah Zeera yang menjadi insan yang berjaya menakluki hati Khairi. Sudah jelas mereka saling mencintai antara satu sama lain sehingga cinta yang disulam berpanjangan hingga ke jenjang pelamin. Akad juga telah dilafazkan oleh Khairi untuk memiliki arwah Zeera dengan sebuah ikatan perkahwinan yang sah di sisi syarie’. Yang menghalalkan hubungan dua orang insan yang sedang bercinta.

Farah sebak, terluka. Dia malu kerana diperlakukan sebegitu oleh Khairi di hadapan Puan Raniey. Tidak lagi dia mempedulikan tanggapan orang lain terhadap dirinya, dia menitiskan air mata. Pilunya hati mengenangkan kelakuan buruk Khairi terhadap dirinya. Hanya kepadanya! Lelaki itu sentiasa panjang akal untuk menyakitinya, membuatkan dia merana.

Selain daripada peristiwa semasa dia kehilangan kedua orang ibu bapanya, Khairi merupakan punca air matanya mengalir laju dan tidak henti-henti.

“ Khairi, kenapa buat Farah macam ni? Khairi ingat dengan cara menengking orang boleh selesaikan masalah? Kenapa Khairi marah sangat dengan Farah? Oh, sebab Farah tak nak kahwin dengan Khairi? Kalau sebab tu, bagus sangatlah! Farah dah buat keputusan yang terbaik untuk dirinya. Sebelum kahwin pun dah meninggikan suara, lepas kahwin macam mana pula? Perempuan mana yang nak kahwin dengan lelaki yang berkasar dengan mereka? Tak ada, Khairi!

Hari ni, mama dah nampak semua perangai buruk Khairi. Kalau macam ni, Khairi tak payah kahwin. Kahwin untuk buat anak orang merana, buat apa? Hah, Farah pun! Ada benarnya cakap Khairi tadi. Farah kan anak dara. Mana boleh balik seorang-seorang malam macam ni. Bahaya. Farah tidur rumah mama, eh? “

Kemarahan yang dipendam sejak dia menjadi penonton setia ‘drama’ antara Khairi dan Farah telah dihamburkan, Puan Raniey berasa lega. Berpuas hati kerana mampu meleraikan pertelingkahan antara si gadis dengan anak lelakinya. Sakit pula matanya melihat layanan buruk yang diberikan Khairi kepada Farah. Dia seorang wanita, jadi dia mengetahui benar apa yang dirasakan oleh si gadis apabila diperlakukan sebegitu. Jikalau Farah tidak terluka, masakan air mata gadis itu berlelehan dan membasahi wajah mulusnya. Khairi sudah melampau!

“ Mama tak payah nak menangkan sangat perempuan ni. Kalau dia nak balik, biarkan aja! Biar padan dengan muka dia yang kemek tu kalau jadi apa-apa nanti. “ Khairi bersuara kerana dia berasa tidak senang dengan keprihatinan si ibu terhadap Farah.

“ Khairi diam! No need to provoke me. Eleh, cakap muka Farah kemek. Tapi dia yang bersusah-payah dukung Farah dari rumah Farah sampai rumah mama. Tu tandanya apa? Betul ke Khairi bencikan Farah? “ usik Puan Raniey dengan senyuman lebar.

Geli hati melihat riak wajah Khairi yang berubah pucat tidak semena-mena apabila dia mengusik si anak. Puan Raniey tersenyum lagi. Dia dapat melihat Farah menundukkan wajah mungkin ditebak rasa malu barangkali. Tiada juga air mata lagi yang meleleh tetapi hanya sisa air mata yang menghiasi di wajah si gadis. Suasana menjadi dingin seketika. Tiada sesiapa yang bersuara. Khairi tidak pula bising dan menafikannya. Anak lelakinya kini terkelu.

Puan Raniey mengalihkan perhatiannya kepada Farah di sisi. Sehelai selendang merah jambu di atas meja yang berdekatan dicapai lalu dipakaikannya ke kepala si gadis. Ternyata si gadis kebingungan dan tidak menyedari bahawa sedari tadi kepalanya tidak bertutup. Dengan erti kata lain aurat Farah terdedah kepada anak lelakinya.

“ Maafkan mama ya, Farah. Mama terpaksa tanggalkan selendang Farah tadi. Kepala Farah panas sangat. Nasib baik tak melarat lepas lap dengan kain basah. Mama nak minta maaf sebab dedahkan aurat Farah depan Khairi.

Farah jadi kan tidur rumah mama? Lagipun tak ada apa nak dirisaukan. Bukannya Khairi dengan Farah aja dalam rumah ni. Mama kan ada. Farah boleh tidur di bilik tetamu tetapi kalau Farah nak tidur dengan mama pun boleh. Lagi seronok.. dan selamat. Tak adalah chance orang tu nak merangkak ke.. nak buat apa-apa ke.. “

“ Mama, Khairi takkan buat benda tak senonoh tulah! “

“ Mama tak cakap pun Khairi yang buat. Mama ada cakap siapa ke orang tu tadi? “

“ Suka hatilah! Kalau layan mama, memang Khairi surrender. Nak tidur. Penat. “

Terkekek-kekek Puan Raniey mengetawakan anaknya. Tidak pernah dia melihat Khairi serba tidak kena sebegitu. Dulu ketika bersama-sama arwah Zeera pun, tidak pula anaknya itu buat perangai. Tetapi apabila diri anaknya dikaitkan dengan Farah, hati ibunya kuat mengatakan bahawa si gadis mempunyai tempat istimewa di hati anak lelakinya. Jelas terpancar kerisauan di raut wajah Khairi ketika Farah pengsan dan tidak sedarkan diri. Walaupun kedengaran kasar dan agak keterlaluan dalam pertuturan Khairi, dia yakin anak muda itu bimbang akan keselamatan Farah apabila si gadis berkeras ingin pulang ke rumah.

Alhamdulillah, syukur ke hadrat-Mu , ya Allah. Puan Raniey sempat memanjatkan kesyukuran di dalam hati. Kemudian tangannya memegang tangan Farah, menyuruh gadis itu bangkit.

“ Jom, kita pergi tidur dekat bilik mama. Farah bersihkan diri dulu, solat Isyak. Lepas tu, kita tidur okay? Jangan ambil hati dengan angin Khairi tu. Dia memang macam tu. “

“ Tapi, puan. Beg saya.. “

“ Tak perasan ke tadi yang Khairi bawa beg Farah naik atas? “

“ Perasan. Erm, maksudnya Khairi bawakan beg saya ke bilik puanlah? “

“ Nampaknya, Farah takkan dapat beg Farah tu. Sebab Khairi dah bawa ke bilik dia. Khairi tak nak Farah balik ke rumah malam ni. Iyalah, kalau Farah dah dapat beg, kemungkinan besar Farah akan balik juga ke rumah malam ni. Tak sudi tidur rumah mama. “

“ Err.. bukan tak sudi. Saya tak nak menyusahkan sesiapa. Terutamanya Khairi. Tapi, beg saya tu.. “

“ Farah tak menyusahkan kita orang pun. Khairi pun macam lagi suka aja kalau Farah tidur di rumah ni. Pasal beg, jangan risau. Khairi takkan selongkar. Dia cuma simpan aja beg Farah tu dalam bilik dia. Pagi esok, Farah minta beg tu daripada dia. “

Dia hanya mampu menganggukkan kepalanya dalam keterpaksaan. Kerisauan mula bertandang di hati. Takut kalau-kalau beg galasnya diselongkar oleh Khairi. Sudahlah banyak barang rahsia yang tidak boleh diketahui Khairi yang tersimpan di dalam beg tersebut. Dengan langkah longlai, dia membuntuti Puan Raniey ke bilik wanita itu untuk berehat. Dia berharap sangat lelaki itu tidak melakukan perkara terkutuk dengan menyelongkar barang privasinya.

Laju dia menuruni anak-anak tangga untuk menuju ke tingkat bawah rumah teres milik Puan Raniey. Pintu bilik Khairi masih tertutup rapat walaupun tangannya pedih kerana mengetuknya bertalu-talu. Terus dia membuka pintu tersebut untuk menemui tuan empunya bilik. Ternganga mulutnya melihatkan suasana bilik yang luas dan tersusun rapi. Lebih mengejutkan apabila katil milik Khairi juga sudah berkemas. Dia menengok sekeliling mencari lelaki tetapi tiada.

Khairi sudah meninggalkan bilik tidurnya. Dia memandang ke tangga tatkala telinganya menangkap bunyi derapan kaki. Benar! Kelibat Khairi menuruni tangga dan tergesa-gesa berjalan ke muka pintu. Dia yang sedia terkejut terus berlari anak. Kereta Vios berwarna hitam pekat milik Khairi sudahpun menderum laju meninggalkan perkarangan rumah apabila dia sampai di pintu utama rumah lelaki itu. Rasa macam nak menangis lagi! Puas dia mencari beg galasnya di bilik lelaki itu tapi tidak dijumpai. Pasti Khairi membawanya ke tempat kerja. Khairi!!

“ Farah, nak pergi mana tu? Meh, sarapan dulu. Tengok Khairi pergi kerja buat apa? Tak lapar ke? “ tanya Puan Raniey dengan penuh keibuan. Wanita itu kelihatan sungguh menawan dalam pakaiannya yang berwarna hijau pucuk muda. Sungguh padan dan sesuai dengan warna kulitnya yang cerah. Seraut wajah Khairi yang tampan ternyata diwarisi daripada wajah ibunya yang cantik. Puan Raniey masih kelihatan anggun dan betapa wajahnya tidak dimamah oleh usia.

Dia mengorak langkah lemah menuju ke suatu sudut yang mempunyai sebuah meja makan yang agak besar. Di atas meja tersebut, terhidang bihun goreng air tangan Puan Raniey yang berasap-asap kerana baru sahaja diangkat dari atas dapur. Beberapa jenis kuih juga menghiasi meja makan bersama-sama seteko air kopi pekat.

“ Kenapa puan tak kejutkan saya? “ Setelah melabuhkan punggungnya, Farah meluahkan kegusarannya.

“ La, yeke? Sebab bukan semalam Farah baru datang period ke? Buat apa bangun awal-awal pagi? Bukannya boleh solat. “

“ Tak adalah. Kalau puan kejutkan saya, boleh saya tolong puan siapkan sarapan. Lagi satu, tak dapatlah si Khairi tu bawa lari beg saya. Apa yang precious sangat dengan beg buruk tu sampai dia bawa ke tempat kerja? “

Berkerut dahi Farah apabila Puan Raniey tergamak mentertawakannya. Puan Raniey dilihatnya masih tidak berhenti ketawa sekembalinya wanita itu dari dapur untuk mengambil semangkuk air basuh tangan. Dia menggaru-garu kepalanya yang dilitup dengan sehelai selendang walaupun tidak berasa gatal.

Ada ke dia buat lawak tadi? Bersungguh betul mak Khairi ni ketawakan aku? Tengok tu! Sampai memegang perut bagai sebab ketawa terlalu kuat. Boleh pula dia ketawakan aku sampai keluar air mata? Haish, ni dah melampau ni! Mak dengan anak, dua kali lima.

“ Apa ni, puan? Ketawakan saya sampai macam tu sekali? “ Sudah panjang sedepa muncung Farah. Sedikit terasa dan tersentak dengan tingkah Puan Raniey yang tidak ubah seperti Khairi. Kenalah terima kenyataan. Mana kuah nak tumpah kalau tak ke nasi, kan?

“ Oh, minta maaflah, Farah! Mama tak dapat tahan nak ketawa. Mama geli hati dengan kerenah kau orang berdua. Macam budak-budak! Tapi dah tua bangka dah. “ Sehelai tisu dicapai dan digunakan oleh Puan Raniey untuk mengelap air mata yang mulai bergenang di tubir mata. Menitiskan air mata sebab ketawa sakan tadi. Sampai tak ingat dunia. Teruk juga kan?

“ Hah, ‘kau orang berdua’ tu siapa? “ Kening Farah kembali bersatu.

“ Siapa lagi kalau bukan Farah dengan Khairi. Layan kerenah kau orang sebiji macam layan kerenah budak-budak kecil. Patutlah Khairi pagi tadi turun terkocoh-kocoh. Breakfast pun tak sempat. Rupa-rupanya main kejar-kejar dengan Farah. Seronok betul dia mama tengok. Senyum melebar sampai ke telinga.. “

Suapannya terhenti. Dia merenung wajah Puan Raniey yang tersenyum mesra. Hatinya terusik lagi. Khairi tersenyum lebar? Betul ke? Sebab peristiwa pagi tadi? Melihatkan Puan Raniey yang masih petah bercerita tentang anak lelakinya, Farah mengambil keputusan untuk tidak mengendahkan soalan-soalan yang menerjah benak hatinya. Membiarkan soalan-soalan itu tidak berjawab. Takut jawapan yang diterima nanti mengecewakannya.

Aik, Farah! Jawapan apa yang kau harapkan? Jangan kata kau nak jawapan yang menunjukkan Khairi sudah jatuh suka dekat kau kembali? Sedarlah diri! Berpijak di bumi yang nyata. Khairi hanya cintakan arwah Zeera, isteri dia yang sah. Takkan semudah itu perasaannya boleh berubah? Jangan mengharapkan cinta daripada Khairi. Kau dah cukup merana dengan layanannya. Takkan kau nak lebih merana apabila cinta kau ditolak pula?

“ Dah lama mama tunggu saat Khairi tersenyum macam tu. Sejak arwah Zeera tak ada, Khairi sentiasa muram. Dingin.

Kadang-kadang, dia jadi seorang yang panas baran dan selalu berang. Adalah juga mama pergi studio sebab PA dia call mama dan cakap Khairi bertumbuk dengan pekerja dia sendiri. Teruk budak lelaki itu dibelasahnya. Tapi last-last, kes tu selesai lepas dia sendiri minta maaf dengan budak Azman tu. Tak hairanlah kalau dia orang boleh berbaik balik sebab mama tahu Azman memang pemaaf orangnya. Senang memaafkan orang lain. Lebih-lebih lagi, kalau orang tu ialah Khairi. Dah jadi kawan baik pun mama tengok dia orang tu. “

“ Puan, Encik Azman tu baru kahwin kan? “

“ A’ah, baru aja kahwin. Mama dan Khairi pergi majlis dia. Macam mana Farah boleh tahu? Farah kenal ke kawan Khairi? “

Dah terjawab salah satu soalan yang bermain di fikirannya. Benarlah tekaannya! Encik Azman yang merupakan salah seorang pelanggan yang menyewa baju-baju pengantin di Aleeya’s Boutique. Encik Azman itu jugalah yang membuat pesanan untuk dihantar ke sebuah bilik hotel tempat dia menginap sebelum majlis perkahwinannya berlangsung. Yang menemukannya kembali dengan Khairi. Sehinggalah pertemuannya dengan lelaki itu kini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience