BAB 9

Romance Completed 13381

Album mini dalam pegangannya ditutup rapat dan disimpan semula di tempat persembunyian yang dia rasakan selamat. Dia bingkas bangun dan bergegas keluar dari bilik tidur. Air matanya sudah berhenti mengalir meskipun luka di hati masih tak dirawat. Dia menuju ke beranda rumah kondominium yang dia dan suami menetap kini.

Udara malam dihirupnya perlahan. Tanpa dipinta, Zeera menangis lagi. Hatinya berasa terlalu sakit tatkala memikirkan betapa kejam dirinya memperlakukan Farah sebegitu rupa. Tegarnya dia menghancurkan sekeping hati milik seorang sahabat karib dengan memiliki lelaki yang gadis itu cintai sejak zaman sekolah. Dia telah melakar luka yang dalam di hati rakannya. Rakan yang sentiasa berada di sisi kala senang mahupun susah. Dia memang kejam! Tak berhati perut!

Aku minta maaf, Farah! Aku tak tahu yang kau dan Khairi saling mencintai. Maafkan aku!, bentak hati Zeera.

“ Zeera, you dah makan? “ Sisa air mata yang membasahi pipinya cepat-cepat dikesat tatkala Khairi menyapanya. Dia menoleh ke arah wajah suami yang sentiasa dia cintai. Setiap detik, setiap saat.

Senyuman dilemparkan kepada Khairi. Zeera meluru masuk ke ruang tamu dan berlagak selamba tiada apa-apa yang berlaku walaupun hatinya terusik hebat hanya kerana sebuah album.

“ Ina, asal kau buat aku macam ni?! Apa salah aku sampai suami aku pun kau kacau? Kau sedar tak yang kau tu dah bersuami? Tak reti malu ke nak rampas suami orang? Mana maruah kau? Macam mana pula dengan suami kau? “, jerit Zeera sekuat hati. Bergema seluruh kedai serbaneka di mana Ina bekerja dengan suara lantangnya. Pandangan sinis yang dilemparkan ramai pelanggan di situ tidak dipedulikan sama sekali. Sakit hatinya lebih diberikan tumpuan berbanding anggapan orang lain. Apa pun tanggapan mereka, dia tidak mahu tahu. Asalkan rasa sakit yang dia rasakan kini dapat dirawat.

Geramnya bukan kepalang apabila mengetahui perangai sebenar sepupunya seorang ini. Dia diberitahu Khairi bahawa Ina sering melawatnya di studio. Memandangkan suaminya itu bekerja sebagai jurugambar dan lebih-lebih lagi kerja yang semakin bertimbun-timbun menyebabkan Khairi sukar bergerak bebas. Namun, Ina selalu mendesak Khairi keluar makan bersama-sama.

Demi menjaga hati dan hubungan baik sesama saudara, Khairi tiada pilihan melainkan menuruti kehendak Ina yang dia rasakan remeh dan agak keterlaluan. Akhirnya, Khairi bertekad menyatakan ketidakselesaannya dengan sikap Ina yang melampau.

Mencerlung mata sepet Ina memandang kakak saudaranya. Dia memandang wanita itu dengan penuh jengkel, lebih-lebih lagi dengan perut yang membonyot. Terus perasaan yang sarat dengan kebencian dan meluat terhadap Zeera menyelinap masuk ke jiwanya. Tidak dinafikan, Zeera memiliki sebuah kehidupan yang lebih sempurna. Dengan memegang kerjaya sebagai seorang doktor pakar puan di sebuah hospital swasta, dia melihat wanita itu mampu hidup dengan senang-lenang dan sentiasa dilimpahi kemewahan duniawi. Wang bukan masalah bagi Zeera. Dompet wanita itu dilihatnya berkepuk-kepuk dengan wang kertas. Tambahan lagi, Zeera bertuah kerana berkahwin dengan Khairi yang merupakan seorang lelaki yang menepati ciri-ciri lelaki idamannya.

“ Hei, akak! Tak payah nak berlagak samseng pula dekat sini! A’ah, aku memang goda Abang Khairi. So, what? Akak tak teringin nak bermadu? “

“ Kau tak ada hak cakap pasal madu dengan aku. Kau tak layak! Meski aku ditakdirkan bermadu kelak, kau bukan perempuan yang akan kahwin dengan suami aku. Azam yang dah tiga tahun jadi suami kau tu pun kau tak boleh nak setia, macam mana pula dengan suami aku nanti? Oh, kau bukan tandingannya! “

“ Suka hatilah kau nak cakap apa, kak! Aku tetap akan rampas Abang Khairi. Jangan jadi angkuh sangat. “

“ Cermin diri kau sikit sebelum kau nak buat macam tu. Suami aku takkan pernah tertarik dengan perempuan tak bermaruah macam kau, Ina! “

“ Aku harap sangat hidup kau merana, kak! Aku harap sangat suatu hari nanti, akak akan kehilangan semuanya yang akak miliki dan sayangi.. “

Sudah bertan-tan sumpah seranah dilemparkan kepada Emir yang membocorkan rahsia. Meski bibir Farah terkatup rapat, hatinya tetap membebel keseorangan dengan tindakan drastik Emir memberikan nombor telefon barunya kepada Zeera. Sedang dia berjalan-jalan di kawasan di dalam hospital, kakinya segera diatur menuju ke tangga kecemasan. Menurut Zeera, wanita itu ingin berjumpanya di tempat tersebut.

Kalaulah dia mengikut kata hati, tidak mahu dia bersua muka dengan Zeera. Luka yang terpalit dahulu masih belum sembuh. Dia takut jikalau dia berasa sakit lagi. Terlalu cukup penderitaan yang ditanggung, dia tidak ingin disakiti dan menyakiti sesiapa. Biarlah Zeera bahagia dengan Khairi, dia tidak mahu menjadi penghalang. Tetapi, kenapa Zeera teringin benar bertemu dengannya walaupun dia sanggup memutuskan hubungan persahabatan yang telah lama terjalin semata-mata ingin membawa diri yang kecewa. Tidakkah wanita itu berasa betapa dirinya mementingkan diri sendiri tanpa memikirkan orang lain? Tidak cukup jelaskah tindakannya melarikan diri menjadi penyebab banyak hati yang terusik?

Tangisan Zeera di corong telefon tadi merayu-rayu memintanya hadir ke hospital dan berjumpa dengan wanita itu walaupun sekejap. Zeera memberitahunya bahawa dia mempunyai hal yang mustahak yang melibatkan antara hidup dan mati. Langsung bergetar hebat jantung Farah dengan kata-kata Zeera yang kedengaran amat pelik dan menakutkan. Meremang bulu romanya.

Pintu yang menutup seluruh kawasan tangga kecemasan ditolak perlahan. Serentak dengan itu wajah Zeera yang tersenyum manis kepadanya singgah di matanya. Senyuman itu hanya dibalasnya dengan senyuman yang hambar. Dingin. Tiada perasaan. Farah mendekati Zeera yang sedang berdiri dan bersandar di pemegang tangga dengan hati-hati. Matanya terus melorot ke perut Zeera yang membuncit dengan penuh rasa yang tidak mampu diucapkan. Dah mengandung pun Zeera. Bahagianya hidupnya bersama-sama Khairi, sedangkan aku? Masih lagi begini. Terus menanti sesuatu yang tak pasti. Terus mencintai milik orang lain.

“ Farah.. “ Tubuh Farah dipeluk erat. Zeera tidak dapat menahan lagi tangisnya. Dia menangis teresak-esak di bahu rakan karibnya yang sudah lama tidak bertemu. Rindunya kepada Farah bukan kepalang. Berkurun lama dia menyimpan rasa rindu ini keseorangan. Kerinduan yang dipendam tidak juga diluahkan kepada sang suami. Berdosanya dia kerana masih punyai syak wasangka terhadap Khairi sejak sebelum kahwin lagi sehinggalah dia mengandungkan anak sulung mereka.

Farah membalas pelukan kemas Zeera. Dia turut merasakan kerinduan dan kesedihan si gadis. Mustahil kalau dia menyatakan bahawa dia tidak merindui rakan karibnya yang sudah tidak bertemu dua tahun. Terlalu sakit menanggung rasa rindu. Tidak terbendung rasa perit apabila terpaksa pergi dan menjauhkan diri demi kebahagiaan orang lain. Nampaknya tidak sia-sia dia berkorban dan merana sendirian. Zeera pun sedang hamil dan wanita itu kelihatan sungguh sihat.

“ Kau jahat tau! Sanggup kau tinggalkan aku? Kau pergi aja senyap-senyap. Kau banyak dosa dengan aku, tau! “

“ Janganlah cakap macam tu! Aku baiklah! Tapi, aku nak minta maaf dengan kau Zeera.. “

“ Tak! Tak! Aku yang nak minta maaf dengan kau. Aku minta maaf dengan kau sebab aku rampas Khairi daripada kau. Serius, aku tak tahu! Aku tak tahu kau dan Khairi saling mncintai. Aku bersalah, Farah! “

“ Zeera, apa yang kau cakap ni?! Kau dah gila ke? Kau sedar tak yang kau cakap ni pasal suami kau? Apa kena-mengena dia dengan aku? “

“ Aku dah tahu semuanya, Farah! Tak payah berdalih lagi! Aku tahu perasan kau. Aku tahu kau ada hati dengan Khairi. Khairi pun sama. Dia sayangkan kau dari dulu sampai sekarang. Dia selalu mimpikan kau. Dia selalu buat apa yang kau suka buat. Dan kalau kau nak tahu, anak kami ni nanti pun dia nak namakan dengan nama Farah. “ Zeera mengusap lembut perutnya. Dia merasakan anaknya turut memahami perasaannya ketika ini.

Dia tersentap. Jantungnya bagaikan berhenti berdegup. Dia terasa seperti ingin rebah kala itu. Dia terlalu tidak menyangka apa yang dikatakan Zeera. Farah merenung wajah muram Zeera yang sudah dihujani dengan air mata berlelehan di tubir mata.

Tangan Farah diraih Zeera sebelum wanita itu menggenggamnya erat. Zeera masih dalam esak tangisnya yang seperti tidak berkesudahan. Farah pula hanya terdiam membisu walaupun air matanya tetap mengalir lebat. Farah dapat merasakan tangan Zeera yang menggenggam tangannya berpeluh dingin dan menggigil. Wajah Zeera juga berubah pucat tidak seperti mula-mula tadi dia bertemu dengan wanita itu.

“ Farah, kau kena janji dengan aku. Kau kena janji yang kau akan terus mencintai Khairi. Cintakan Khairi seadanya. Dia seorang romantik, tau! Tapi kadang-kadang, kau kena tahan jugalah dengan baran dia tu. Kau .. “ Tangannya direntap kasar daripada pegangan kemas Zeera. Kelihatan wanita itu tersentak dengan tindakannya.

“ Zeera, kau memang dah gila! Aku tak nak dengar lagi kau cakap macam ni. Kau isteri Khairi yang sah. Kau tak boleh senang-senang aja serahkan Khairi kepada mana-mana perempuan termasuk aku! Khairi manusia, Zeera. Dia bukan barang yang boleh kita main pass-pass. Percayalah, Khairi pilih kau untuk jadi peneman hidup dia sebab dia cintakan kau.. “

“ Kau tak faham, Farah. Disebabkan dia suami akulah, aku tahu isi hati dia. Ya, memang dia sayangkan aku! Tapi dia tak cintakan aku. Tak pernah walaupun sekali. Dia hanya cintakan kau seorang. Sakit hati aku bila aku seorang aja yang cintakan dia. Dan lagi sakit hati ni bila kena tengok dia merana. Dia tak bahagia dengan aku.. “

Farah menggeleng-gelengkan kepalanya. Tidak mempercayai apa yang dikatakan oleh Zeera. Tidak mahu menerima kenyataan yang membuka kembali lembaran luka lama. Dia tidak mahu ada kaitan lagi dengan kehidupan rumah tangga Zeera dan Khairi.

Dia tidak mahu menjadi penghalang kebahagiaan dua jiwa yang telah disatukan dengan ikatan yang sah dan suci. Tidak tertanggung rasanya jikalau dia tegar meruntuhkan sebuah masjid. Lebih-lebih lagi, pasangan suami isteri itu bakal menimang anak sulung mereka tidak lama lagi. Dia tidak sekejam itu untuk memutuskan kasih sayang ibu bapa yang sepatutnya dicurahkan kepada seorang anak yang akan berpeluang lahir ke dunia.

Di celahan pintu tangga kecemasan yang terkuak sedikit, Ina mengintai tingkah laku dua orang perempuan. Keadaan tersebut lebih menarik perhatiannya apabila kedengaran esakan dan pergaduhan kecil antara kedua-dua orang perempuan itu. Seorang merupakan kakak saudaranya, Zeera dan seorang lagi tidak dia kenali. Saat perihal Khairi diperkatakan, amarah Ina meluap-luap. Dia tidak menyangka Zeera dengan bodohnya ingin menyerahkan Khairi kepada perempuan yang dipanggil Farah itu.

Hatinya berasa sakit dengan tindakan Zeera yang mahu melepaskan suami sendiri begitu sahaja. Sudahlah sakit ditampar oleh wanita itu masih tidak hilang, ditambah lagi dengan tindakan gila Zeera! Tidak tertahan rasanya pedih hati ini. Nafasnya tidak teratur dengan perasaan geram yang semakin membuak-buak.

Sampai ke satu tahap, Ina tidak mampu bertahan lagi. Dia tidak dapat bersabar lagi dengan ‘drama’ yang sedang dilakonkan oleh dua orang wanita yang punyai kaitan dengan Khairi. Dia perlu menegakkan kebenaran. Khairi miliknya! Dia terlalu mencintai Khairi sehinggakan dia berasa tidak mampu hidup tanpa lelaki itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience