BAB 6

Romance Completed 13381

Sampai begitu sekali Khairi menuduh dirinya. Tegarnya hati lelaki itu membuat andaian yang sangat kejam seperti dirinya tidak punyai harga diri. Lelaki itu terus beranggapan buruk terhadap dirinya tanpa meminta penjelasan terlebih dahulu. Tergamaknya lelaki itu mempersendakan perasaannya yang benar-benar ikhlas dari sudut hati. Tidakkah dia tahu perasaan sebenarnya terhadap lelaki itu? Tidak jelas lagikah keihklasannya dalam menjalinkan ikatan persahabatan selama ini?

Aku tidak boleh mendiamkan kenyataan sebenar. Khairi harus mengetahuinya!

“ Khairi, aku sukakan kau! “ jerit Farah sekuat-kuatnya. Dia tidak tahan lagi memendam rasa.

Khairi berhenti melangkah, namun hanya buat seketika. Dia kemudiannya meneruskan langkah kakinya meninggalkan Farah keseorangan. Membiarkan gadis itu menangis tersedu-sedan. Tidak dia mengendahkan air mata yang membuak-buak daripada sepasang mata gadis itu.

Lagu ‘Tetap Menantimu’ dendangan artis baru popular pada masa kini, Nomad mengisi segenap ruang sunyi rumah kondominiumnya. Meski lagu tersebut sering kali diputarkan oleh juruhebah di corong radio atas permintaan dan undian ramai pendengar Malaysia, rentak muzik itu tidak pernah dia jemu. Bait-bait lirik lagu itu mengandungi maksud tersirat yang menusuk terus ke hatinya. Halwa pendengarannya juga menerima senang akan melodi ciptaan manusia itu.

Kaca televisyen serta-merta menjadi gelap sejurus Khairi menutup suisnya melalui alat kawalan jauh. Entah mengapa akhir-akhir ini, semua rancangan yang dipaparkan di siaran-siaran televisyen tidak menarik perhatiaannya. Tiada satu pun rancangan realiti, drama, dan hiburan yang berpotensi menghilangkan rasa lelah dan stress yang dialaminya. Alat kawalan jauh dicampak selamba ke lantai yang beralaskan karpet lembut. Bunyi radio dikuatkan.

Khairi menghempaskan seluruh tubuhnya ke atas katil di dalam biliknya. Katil yang empuk membuatkan seluruh sendi-sendi badan yang sengal berasa selesa yang amat. Siling bilik yang kosong hanya ditenung. Wajah-wajah Farah dan Zeera silih berganti menjadi wayang di layar ingatan. Kedua-duanya tersenyum mesra ke arahnya. Dia lantas meletakkan lengan sasanya ke atas dahi luasnya. Pening pula kepalanya!

Bagi Khairi, Farah dan Zeera merupakan sahabat yang ikhlas menerima dia seadanya. Dua orang wanita itu amat penting dalam hidupnya. Apabila salah seorangnya lenyap daripada pandangannya, pasti dia menjadi hilang arah dan rasa tidak menentu. Namun, hatinya semakin dilanda keresahan dan keraguan yang maha hebat apabila semakin dekat detik dia bakal disatukan dengan Zeera. Detik yang menyaksikan dia menjadi suami yang sah kepada Zeera. Detik yang membuktikan Zeera menjadi wanita yang halal baginya. Pada ketika itu juga cukup menjadi bukti bahawa ucapan akad yang dilafazkan olehnya nanti merupakan simbol cintanya kepada Zeera. Chopp! Simbol.. cinta..?

Macam mana wujudnya perkataan ‘simbol cinta’ jikalau dia masih dalam dilema. Dia buntu. Bagaimana dia boleh meragui hati sendiri? Mengapa sukar buat dirinya ingin mengetahui siapa yang benar-benar yang mendapat tempat di hati lelakinya? Arghh, sudah! Sesak pula rasa dada aku. Entahlah, soal hati dan perasaan memang melecehkan. Dia paling lemah bab-bab macam nilah! Sejak ditolak ‘lamaran’nya dulu, dia menjadi fobia. Cukuplah dia berasa sakit. Serik oh!

Tokk! Tokk!

Berdentum kuat bunyi ketukan pintu utama kondominium milik Khairi. Bertalu-talu tetamu yang tidak diundang itu mengetuk pintu tersebut. Khairi yang hampir terlelap terus membuka matanya seluas-luasnya. Terkejut yang amat dengan bunyi kuat itu. Jantungnya pun seperti hendak terkeluar dari jasadnya. Dengan langkah yang longlai, digagahkan juga dirinya menuju ke pintu utama walaupun dia masih dalam keadaan yang mamai. Spontan dia mendengus kasar.

Pintu dikuak perlahan. Berapi terus dia jadinya apabila terjengul wajah tak bersalah Emir di muka pintu. Segugus kunci yang digunakan untuk membuka pintu utama tadi dicampak kasar ke atas meja makan untuk menunjukkan dia protes. Dia terus menonong masuk ke dalam kamarnya kembali tanpa menghiraukan muka kelat Emir. Tubuhnya dibaringkan ke katil empuk yang dibelinya pada awal berpindah ke kondominium yang didiaminya kini.

“ Kau ni tak rasa bersalah ke? Atau kau memang tak berhati perut? “ ujar Emir yang selamba menceroboh masuk ke kamar Khairi. Dia berdiri di hujung katil tempat Khairi sedang terbaring dengan selesa. Suhu bilik yang sejuk disebabkan khidmat pendingin hawa barangkali melenakan lagi beradu Khairi. Dia percaya rakannya itu pasti berasa penat dengan kerja-kerja di studio.

“ Apa yang kau merapu ni? Balik-balik aja terus berangin ni, kenapa? “ Khairi masih dalam posisinya dan baring dengan selesa di atas katil.

“ Tak payah nak buat bodoh dengan aku. Kau masih tak bangang untuk tak faham apa yang aku cakapkan ni. Sampai bila kau nak teruskan dendam kau? Sampai Farah mati, baru kau puas? “

“ Woi, kau ni kenapa?! Pantang aku kalau orang cakap pasal mati! Apasal kau cakap macam tu? “ Menyala-nyala api amarah di mata Khairi. Bingkas lelaki itu bangkit daripada pembaringannya. Dia kini duduk di birai katil. Matanya tidak lepas memandang tajam ke arah Emir yang berdiri tegak di hujung katil.

“ Eii, aku tak tahulah nak cakap macam mana lagi dah dekat kau ni! Nak kata kau bahlul, SPM kau lagi terror daripada aku. Kau ni kan memang bengap, eh? Cukup, cukuplah tu kau seksa Farah. Hal lepas kita lupakan. Aku baru lepas balik dari office Farah tadi. Aku hantar surat syarikat. “

“ Habis tu, apa kena mengena dengan aku kes kau hantar surat ke office dia? “

“ Khairi SAYANG, aku terserempak dengan dia. Menangis dekat tangga kecemasan. Tak perlu aku cakaplah siapa yang buat dia nangis, kan? “ Helmet diletakkan elok di lantai bersebelahan kakinya. Emir menyilangkan tangan sambil tubuh penatnya disandarkan ke dinding bilik tidur Khairi yang bercat kelabu.

Khairi menundukkan wajahnya. Beberapa helai rambutnya yang jatuh di dahi diraup ke belakang. Tangan kekarnya mengurut-urut perlahan dahi yang terasa sakit. Berdenyut-denyut semacam. Nafas ditarik dalam-dalam. Dia cuba mengingatkan kembali kata-kata yang dia lemparkan kepada Farah siang tadi di dalam keretanya. Dia akui yang dia bersikap keterlaluan dengan gadis itu sejak lima tahun yang lalu.

Selepas sahaja mereka tamat menduduki peperiksaan SPM, Khairi bertindak menjauhkan diri daripada bertemu mahupun bertanyakan khabar tentang Farah. Dia tekad untuk putuskan hubungan persahabatan yang sudah terjalin sejak mereka di tingkatan dua lagi. Berita dan hal berkaitan Farah tidak dia ambil peduli. Hatinya terus-menerus menghakis rasa kasihnya terhadap gadis itu. Dendam mula merajai hatinya mengganti kasih sayang yang disulamkannya untuk gadis pujaan.

Bukan salahnya jikalau Farah terluka dengan dendam yang bersatu dengan perasaan bencinya sehinggakan dia sanggup melupakan kewujudan gadis itu sepenuhnya. Selayaknya gadis tersebut dilayan sebegitu bagi memberikan suatu pengajaran yang berguna supaya lebih prihatin terhadap perasaan orang lain. Farah harus menerima rasa terluka itu sebagaimana dia pernah merasainya ketika dia ditolak mentah-mentah. Bukankah hidup ini karma?

“ Kau ni okay tak? Muka kau pucat. “ Suasana bilik yang suram dan sepi bergema seketika dengan suara Emir menanyakan keadaannya. Khairi mendongakkan kepala memandang tepat ke arah Emir.

“ Aku.. aku confuse. Semakin dekat tarikh nikah aku dengan Zeera, hati aku semakin sakit. Yang Farah tu pun satu, akhir-akhir ni dia selalu tunjukkan muka depan aku.. “

“ Bro, walaupun aku tak sepandai kau tapi aku tahu tau perangai kau. Aku dah masak gila dengan perangai gila kau! Farah takkan muncul dan jumpa kau kalau bukan tu kehendak kau. Macamlah aku tak tahu yang kau suruh Zeera panggil Farah datang ke butik tengah hari tadi. Kau juga yang plan nakkan Farah jadi pengapit kau orang. Daripada hal-hal hantaran, katering sampailah pengurusan majlis akad nikah, kau babitkan Farah sekali.

Kau heret Farah untuk uruskan majlis persandingan kau. Tentukan mak andam, tempat akad nikah dan baju pengantin, semuanya Farah yang buat. Huh, tanya pendapat konon! Pendapat apa kalau semua dia yang buat. Dia bukan wedding planner untuk sibukkan diri dalam majlis kau orang. “

“ Tapi, Farah terlalu baik untuk berkira dengan kau orang. Setakat uruskan majlis perkahwinan, apalah sangat.

Itu dah macam kerja dia dan dia memang profesional bab-bab ni. Tapi, kau kena ingat. Dia tetap manusia biasa yang ada hati dan perasaan. Kau sendiri tahu yang dia masih sukakan kau walaupun dah macam-macam benda buruk kau buat dekat dia. Kau sengaja seksa perasaan dia dengan babitkan dia dalam pengurusan majlis kahwin kau orang. Kau nak tengok dia merana dengan kemesraan yang sengaja ditunjukkan. Kononnya, kau nak buktikan kepada dia yang kau mampu bahagia tanpa dia. Tapi, sebaliknya kau masih tak mampu lupakan dia dan kau masih cintakan dia.. “

“ Mengarut! Semua tu mengarut! Tak masuk akal! Aku tak pernah cintakan dia! “, nafi Khairi bersungguh-sungguh. Senyuman sindir yang dihadiahkan Emir untuknya membuatkan dadanya berombak memberontak. Lenyap terus sakit kepalanya. Dia bingkas bangun dan berlalu menuju ke balkoni. Pintu kaca yang memisahkan balkoni dengan biliknya ditolak kasar. Jelas menunjukkan dirinya sedang dikuasai amarah dan rasa geram yang tidak terbendung. Sejurus pintu tersebut ditolak, bayu malam berasak-asak masuk ke dalam ruang bilik.

Angin malam yang dingin menyapa wajah Khairi tidak mampu menyejukkan hatinya yang sedang membara. Dia mengelamun jauh ke dalam suasana malam yang kelam. Apabila kepalanya didongakkan ke langit, tiada kerlipan bintang yang sudi menghiasi lautan hitam yang membalut bumi.

“ Puas aku nasihatkan kau, Khairi! Zeera bukan patung untuk kau permainkan perasaan dia. Dia wanita yang miliki hati yang perlu kau jaga. Begitu juga Farah. Jangan kerana kau nak sakitkan Farah, kau gunakan Zeera. Dua-dua tu kawan kita tau. Sebagai kawan, aku nak selamatkan dia orang terutamanya kau. Tindakan kau ni boleh melukakan banyak hati. Ramai yang akan tercedera nanti. Percayalah cakap aku. “

“ Keputusan aku muktamad! Aku akan tetap kahwin dengan Zeera. Pasal Farah, aku tak nak ambil tahu. Kalau dia terluka sekalipun, she deserves for it. Aku takkan berganjak daripada keputusan aku. Kau boleh keluar.“

Khairi masuk kembali ke dalam biliknya dan menghempaskan tubuhnya. Sakit kepala semakin menjadi-jadi. Pandangannya juga berpinar-pinar. Suara Emir yang membebel mengalahkan nenek kebayan semakin perlahan. Matanya terus kabur dan dia tidak mampu melihat suasana sekelilingnya dengan jelas. Akhirnya, dia terdiam kaku apabila pandangan menjadi gelap gelita.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience