BAB 8

Romance Completed 13381

2011.

Dua tahun kemudian.

“ Emir, kau dah dapat cari nombor phone baru Farah? “, tanya Zeera kepada Emir pada suatu petang. Hatinya berdegup-degup menanti jawapan yang bakal keluar daripada mulut kawannya itu. Sejak akhir-akhir ini, dia selalu berasa gelisah tidak mengira waktu. Mimpi-mimpi malamnya juga selalu dibayangi dengan wajah kawan karibnya yang sudah lama tidak bersua. Dan semenjak dia hamil ini juga dia terlalu merindui Farah. Dia pasti akan menangis apabila mengenangkan gadis itu.

Emir dilihatnya sedang menghirup perlahan kopi panas yang berasap-asap. Dengan penuh kesabaran, dia menanti lelaki di hadapannya ini menjawab soalannya. Emir merenung ke anak matanya sebelum mengukir senyuman yang penuh rahsia.

Dia memang masak dengan sifat Emir yang pandai menyimpan rahsia. Macamlah dia tidak tahu selama dua tahun Farah menghilang pun, lelaki itu merahsiakan di mana Farah berada. Dia pasti lelaki itu tahu keadaan Farah sekarang. Apa yang gadis itu buat sekarang. Semuanya tapi dia tetap mendiamkan prasangkanya itu. Biarlah. Mungkin Farah punyai alasan yang kukuh untuk mengelakkan diri daripadanya dan suami.

“ Dah. Dah dapat pun. Nah, dalam kad tu, ada phone number dan alamat company yang dia tengah kerja sekarang. So, what are you gonna do? You wanna meet her? “ Kopi yang masih panas ditiup-tiup Emir dengan harapan kepanasan air tersebut akan berkurangan. Dari tadi dia sukar untuk minum kopi itu kerana terlalu panas. Melecur lidahnya kerana menghirup air yang sebegini panas.

“ Aku nak jumpa dia. Aku terlalu rindukan dia. Dan aku mesti jumpa dia.. sebelum terlambat.. “ Bersinar-sinar mata Zeera melihat nombor telefon yang dipercayai milik kepada Farah yang tertera di atas sekeping kad yang diberikan oleh Emir. Segunung harapan dan impian mula dicipta agar dia berpeluang berjumpa dengan sahabat karibnya. Dia teringin sangat bertentang mata dan memeluk tubuh gadis itu. Aku rindu sangat dengan kau, Farah!

Zeera tersenyum sendiri. Perutnya yang sedikit membuncit disentuh lembut. Terletus tawanya tatkala anak yang berada dalam kandungannya menendang lembut perutnya seperti anaknya itu juga meraikan dan gembira untuk bertemu dengan Farah. Tanpa dia sedari, dirinya ditenung pelik oleh Emir. Mahu tak pelik, mak bunting ketawa seorang-seorang. Dahlah dekat kantin hospital ni ramai orang. Banyak mata yang memandang ke arah mereka. Ish, Zeera ni!

“ Woi, mak bunting! Kau ni dah kenapa? Ketawa seorang-seorang? Kalau nak meroyan sekalipun, tak payahlah dekat sini. Ramai orang tengok kut! “

“ Haha. Tahu pun malu! Aku ingatkan muka kau memang dah lut dengan bab malu-malu ni. Apa cerita dengan nurse yang kau tackle semalam? Jadi?”

“ Hah, nurse? Oh, Azizah tu! Hurmm, tak dapat. Orang lain dah cop dulu. Kau pun satu, saja nak kenakan aku dengan tunang orang, kan? Kejam gila! “

“ Lah, tunang orang ke? Mana aku tahu! Wey, serius kut aku tak tipu. Aku tak tahu pun Ziza tu dah berpunya. By the way, dah, dahlah tu dengan perangai buaya kau. Kalau macam nilah, sampai ke tua kau membujang! Tahu? “

“ Hello, Puan Zeera! Cakap tu elok-elok sikit. Kau tu tengah pregnant. Tak baik mengutuk orang. Ish,ish. Teruk! Kau yang kahwin muda, nak salahkan orang. Kita baru 24 tahun, okay! Tak tua mana pun. “

“ Eleh, apa-apa ajalah! Malas nak layan kau. Aku chow dululah. Ada appointment dengan pesakit kejap lagi. Thanks for this, ya! “

Baru beberapa tapak Zeera melangkah, suara Emir menyinggah di halwa pendengarannya. Lelaki itu menjerit namanya supaya berhenti. Dia pantas menoleh ke arah Emir yang masih sedang duduk di meja kantin di hospital tempat dia bekerja sekarang.

“ Doktor, dah berapa bulan doktor mengandung? “ Emir melontarkan soalan sambil mengenakan kaca mata hitamnya. Menunjukkan dia juga ingin bersiap-siap untuk beredar dari situ.

Spontan tangan Zeera mengusap perutnya yang semakin hari semakin membesar. Dia tersenyum manis. Tercuit hatinya dengan perangai Emir yang banyak kerenah. Haish, macam-macam lah budak seorang ni tau! Patutlah tak ada yang sangkut-sangkut. Ramai perempuan angkat bendera putih awal-awal lagi sebab perangai dia. Kalau kahwin nanti pun, bini dia kenalah banyak-banyak bersabar sebab kena layan angin loyar buruk dia yang tak menentu.

“ Nak masuk 4 bulan! “

“ Oh, okay okay. Lagi satu, nanti kau sponsor baju pengantin untuk aku eh? “

“ Iyalah, pak cik! Cari calon dulu. Hah, ada soalan lagi? “ Zeera hanya mampu tersenyum lebar dan berlalu apabila Emir menggeleng-gelengkan kepala. Terus langkah dipercepatkan ke destinasi yang dituju.

Emir masih duduk di situ. Dia termenung jauh setelah kelibat Zeera sudah menghilang dari pandangan. Rasa bersalah menebak di jiwanya. Dia berasa bersalah sangat kepada Farah kerana memberikan nombor telefon baru yang digunakan oleh gadis itu. Janjinya bersama-sama Farah untuk merahsiakan kewujudannya daripada Khairi mahupun Zeera telah dimungkirinya. Dia benar-benar terpaksa melakukannya. Ini yang mampu dia lakukan untuk mengembalikan diri Farah yang lama.

Farah kini tidak lagi seorang gadis yang lincah dan sentiasa tersenyum. Gadis itu kelihatan lebih suka menyendiri dan semakin sukar didekati. Dulunya dekahan ketawa Farah selalu kedengaran apabila dia bersama-sama gadis itu tetapi tidak lagi kini. Farah menjadi seorang perahsia dan amat memendam segala yang dia rasa. Wajahnya suram dan bibirnya sering terkatup rapat. Enggan berbicara dengan sesiapa. Hanya apabila didesak, baru gadis itu membuka mulut dengan keterpaksaan yang jelas terpancar di wajahnya.

Harapan Emir agar pertemuan kembali antara Farah dan Zeera setelah tempoh dua tahun berlalu mampu mengembalikan sinar kebahagiaan dalam kehidupan Farah semula. Dia sentiasa berdoa supaya ada secebis peluang untuk Farah meneruskan kehidupannya dengan rasa bahagia yang berbunga-bunga di hati. Kepercayaannya bahawa Farah selayaknya hidup bahagia, saling mencintai dan dicintai tetap utuh. Dia begitu yakin bahawa Allah SWT itu telah mengatur jalan hidup Farah sebaik-baiknya. Pasti setiap yang berlaku ada hikmah disebaliknya. Penderitaan sahabatnya yang bernama Farah itu pasti berakhir tidak lama lagi.

Keluhan berat dilepaskan. Bagai bebanan batu yang berat menghempap dirinya, Emir masih risau akan keadaan dan hidup rakan-rakannya terutama sekali, Farah. Dia risau jikalau apa yang diharapkan daripada sebuah pertemuan semula sahabat yang telah lama tidak bersua yang dirancangnya tidak membuahkan hasil. Dia masih ingat waktu ketika dia dimaklumkan oleh Pak Aswad dan Mak Maira, kedua orang tua Farah bahawa anak sulungnya itu selalu meracau-racau semasa tidur. Kadang-kala, anak perempuan mereka menangis tersedu-sedan walaupun sedang tidur pada malam dinihari. Selama masa dua tahun selepas peristiwa dia berjumpa dengan Farah di masjid, Mak Maira memberitahunya bahawa sejak itulah gadis itu berubah sedikit demi sedikit.

Dengan air mata yang meleleh di pipi cengkung milik si ibu tua, Mak Maira meluahkan kesedihannya melihat keadaan Farah yang semakin parah kerana tidak mampu hidup dengan tenang. Dia selalu sukar melelapkan matanya apabila kedengaran esakan Farah dari bilik tidur anak perempuannya yang terletak tidak juah dengan bilik tidurnya dan suami. Tangis Farah yang mendayu membuatkan dirinya dan suami bergegas masuk ke bilik tidur anak perempuan mereka. Setelah dibisikkan ayat-ayat suci al-Quran dan selawat ke atas junjungan Rasulullah SAW ke telinega Farah, barulah gadis itu dapat tidur dengan lena. Tidak berkutik lagi.

Emir berjalan menuju ke tempat di mana dia memarkirkan keretanya. Langkah diatur sambil dia memandang terpesona dengan pemandangan saat sang mentari terbenam di ufuk barat. Langit yang kebiru-biruan bercampur warna jingga pekat si matahari. Dia tersenyum lucu. Tidak menyangka begitu cepat masa berlalu sedangkan dia bertemu dengan Zeera pada waktu petang, namun kini hari sudah merangkak ke senja. Sejurus itu, enjin kereta Perdana berwarna hitam gelap miliknya dihidupkan. Keretanya terus meluncur laju meninggalkan kawasan hospital menuju ke kediamannya.

Pintu kamar utama yang menjadi tempat beradunya bersama-sama suami dikuak perlahan. Di atas katil kelihatan beberapa helai pakaian kotor milik Khairi. Bunyi air pancut yang kuat dari bilik air cukup menunjukkan kepada Zeera bahawa si suami sedang mandi. Dia duduk di birai katil dan terdiam kaku untuk seketika. Beberapa saat berlalu, tangannya perlahan-lahan mengambil sebuah album kecil yang disorokkannya di bawah katil bersaiz King yang dibelinya dengan Khairi di awal perkahwinan.

Album kecil tersebut yang merupakan barang kepunyaan Khairi diseludupnya tanpa kebenaran lelaki itu. Zeera menjumpainya secara tidak sengaja ketika sedang mengemaskan bilik tidur mereka. Setelah melihat isi kandungan album mini itu, dia pantas mengambilnya dan menyimpan di tempat persembunyian yang selamat. Sampai saat ini, suaminya tidak menyedari kehilangan barang tersebut. Syukurlah.

Setelah pasti yang Khairi akan lama lagi berada di dalam bilik air, Zeera menyelak helaian isi kandungan album. Daripada helaian pertama lagi, jantungnya pun sudah berdetak laju melihat wajah Farah yang sedang tersenyum bahagia.

Helaian yang seterusnya diselak lagi. Terpampang foto Farah yang sedang tidur di atas meja di dalam kelas mereka dahulu pada zaman sekolah. Muka surat terus diselak dan diselak. Semuanya foto Farah. Wajah Farah menghiasi setiap foto dengan senyuman yang sentiasa memekar di bibir mungil si gadis. Dia mula mencemburi wajah mulus itu yang kelihatan sungguh bahagia. Sehinggalah ke muka surat yang terakhir, hatinya sakit melihat foto suaminya yang sedang asyik memandang ke arah Farah yang ketika itu sedang tekun menelaah buku pelajaran.

Dan saat pandangannya jatuh pada beberapa baris ayat yang bertulis tangan di kulit belakang album, dadanya terasa sesak yang menyukarkannya bernafas. Bibirnya diketap kuat untuk mengelakkan tangisnya kedengaran. Zeera menggenggam kuat hujung bajunya setelah mengenal pasti tulisan yang terukir di kulit album tersebut. Dia amat pasti tulisan tangan itu milik Khairi.

Senyumannya membuatkanku angau sepanjang waktu. Wajahnya, perilakunya dan suaranya yang gemersik bisa mendebarkan hati ini. Berhadapan dengan dirinya cukup membuatkanku bahagia. Aku menyedari yang aku sudah jatuh cinta. Aku terlalu mengasihinya. Selamanya aku mencintaimu, Farah.

KHAIRI AQYLL

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience