BAB 14

Romance Completed 13381

Dia memandang seraut wajah Khairi yang tidak menunjukkan sebarang tanda bahawa lelaki itu dilanda rasa bersalah mahupun bimbang. Reaksi lelaki itu terlalu tenang baginya. Bukankah Khairi membencinya? Kerana dia pernah dituduh lelaki itu membunuh arwah Zeera? Tidakkah lelaki itu terluka dengan peristiwa silam saat lamarannya ditolak mentah-mentah? Mengingatkan kenangan pahit itu, jiwanya merana. Bermula dengan detik hitam itu jugalah hubungan persahabatannya bersama-sama Khairi berakhir. Hubungannya dengan arwah Zeera dan Emir turut menjadi renggang. Betapa bodohnya dia kerana pernah menggadaikan sebuah ikatan persahabatan yang suci ekoran ingin merawat luka di hati.

Aku terlalu pentingkan diri sendiri! Aku hanya memikirkan perasaan sendiri tanpa menyedari perasaan orang lain yang telah aku lukai. Hati sahabatku sendiri, Zeera. Pasti wanita itu sedih dengan kehilangan dirinya selama dua tahun. Dan pastinya wanita itu tidak pernah jemu mencarinya dan menjejak kehilangannya. Tetapi, apa yang dia balas atas pengorbanan wanita itu? Tiada apa-apa, malah dia tidak mampu menyelamatkan nyawa wanita itu pada hari insiden. Kenapalah aku teruk sangat? Kenapa aku yang hidup? Ingin saja dia serahkan dan bertukar nyawa dengan Zeera. Namun, ketentuan telah tertulis.

Dia hanyalah hamba Allah SWT yang lemah dan tidak mampu melawan ketentuan-Nya itu. Dia harus kuat menerima kenyataan dan reda dengan qada’ dan qadar. Benar kata-kata Encik Danieyll Lee dahulu, bahawa dia tidak sepatutnya berterusan murung dan bersedih, malah dia seharusnya mendoakan kesejahteraan roh arwah Zeera dan anak dalam kandungannya.

“ Aku tak boleh maafkan kau.. “

Tersentak lamunan Farah. Lesap terus wajah arwah Zeera yang terlayar di ingatannya sebentar tadi. Dia menoleh ke arah Khairi yang masih duduk di sebuah sofa mini yang terletak di suatu sudut di bilik hotel itu. Kata-kata lelaki itu membuatkan hatinya berkocak hebat. Sungguh lelaki itu tidak dapat melupakan peristiwa yang telah meragut nyawa arwah Zeera. Cintanya lelaki itu kepada isterinya. Air mata yang bergenang di tubir mata terus mengalir tanpa disekat. Memang mungkin dia cengeng! Tapi hatinya benar-benar perit. Hanya dengan air mata dia mampu menunjukkan betapa sedihnya dia.

Khairi bangun dan menuju ke pintu utama bilik hotel yang dia dan lelaki itu berada kini. Pintu tersebut dibuka seluas-luasnya. Dia dapat melihat dengan jelas lelaki itu juga mengangkat sebuah meja tidur yang bersaiz kecil dan meletakkannya di hadapan pintu bilik sebagai penyendal. Barulah dia menyedari tujuan lelaki itu yang mahu pintu itu sentiasa terbuka.

“ Tak rasa pelik ke kau buka pintu tapi aircond terpasang? Membazir tahu tak? “

“ Kau boleh diam tak? Kau sendiri cakap kita tak boleh berdua di dalam bilik ni, so aku bukalah pintu. Biar semua orang boleh tengok apa yang kita buat. Itu yang kau nak kan? “

“ Kalau susah sangat, kau lepaskan aku. Biar aku pergi dari sini. Aku pun tak tahan dengan kau. Habis cerita! “ balas Farah dengan rasa sebal yang menggunung. Baru sahaja dia bangkit dan ingin berlalu, tanggannya digenggam erat oleh Khairi.

“ Duduk! “ arah Khairi tegas. Cepat-cepat Farah menarik tangannya sebelum menghenyakkan kembali punggungnya di birai katil. Dia menyilangkan tangannya.

“ Aku tak sukalah kau pegang tangan aku sesuka hati! Bukan muhrim. Berdosa! Kan kita dah belajar dengan ustazah dulu? Itu pun tak faham. “

“ Wey, aku pun tak inginlah saja-saja sentuh kau! Lagipun, kau beritahu aku, lelaki mana yang pernah sentuh kau selain aku? Aku seorang aja, kan? “

Farah terdiam. Seingatnya kata-kata Khairi ada benarnya. Hanya lelaki itu yang pernah menyentuhnya. Dahinya berkerut tidak faham. So, what? Even hanya dia aja lelaki yang pernah sentuh aku, tetap berdosa sebab lelaki tu bukan ada apa-apa ikatan sah dengannya. Hukum tidak menghalalkan cara!

“ Kau ni memang .. “ kata-kata Farah terhenti serentak dengan bunyi derapan kaki seseorang. Dia dan Khairi lantas melihat tetamu yang tidak diundang itu. Masing-masing terdiam, terhenti perang mulut sebentar tadi. Farah menjadi kalut serta-merta manakala Khairi di sisi hanya mengeluh perlahan. Rasa malu mula menebak di hati Farah tatkala Azman menghadiahkan sebuah senyuman kepadanya. Senyuman yang tersirat makna yang mendalam.

“ Ehem.. ehem. Pantang betul aku tinggalkan kau kejap, Khairi. Ada aja yang tersangkut. Bagus betul idea kau sendal pintu bilik hotel dengan laci kecil tu. Tak pernah dibuat orang. Mesti penginap hotel yang lalu-lalang depan bilik aku ni kata kau gila. Dahlah aircond terpasang. Mana nak sejuk bilik kalau macam ni. Membazir pula tu. “ Selamba Azman melangkah masuk ke dalam bilik hotelnya. Seperti tiada apa-apa yang berlaku lagaknya. Mustahil dia tidak merasakan suasana yang pelik sedang berlaku. Dia tahu benar! Dia juga kenal benar dengan fiil Khairi. Nasib badanlah dapat member yang alergi dengan perempuan ni!

“ Kau yang bayar bilik ni. Aku tak rugi apa-apa. “

“ Apa-apa ajalah, Khairi oii! Hah, cik! Thanks susah-payah hantarkan baju-baju pengantin ni ya.. “ ramah Azman sambil mengalihkan perhatiannya kepada Farah yang berwajah cemberut. Sedari tadi gadis itu kelihatan gelisah dan resah. Dia dapat melihat wajah gadis itu yang muram dengan kedua-dua belah matanya yang sembam semacam.

“ Err, encik. Sama-sama. Baju-baju saya dah hantar, jadi saya balik dulu kalau tak ada apa-apa lagi. Boleh? “ Farah mencapai beg sandang yang tercampak di lantai atas tindakan drastik Khairi tadi. Sebuah hadiah hambar diberikan. Dia berdoa agar lelaki yang dikenalpasti sebagai pelanggannya yang sebenar itu tidak membuat perangai. Tidak meroyan seperti Khairi.

“ Oh, sure! Dah lama ke dekat sini? Sepatutnya you dah boleh balik lepas hantar baju-baju ni. Yang you layan kerenah mamat ni kenapa? “ Terletus tawa Azman. Geli hati dengan kata-katanya sendiri. keizinan diberikan kepada gadis yang merangkap sebagai pekerja butik yang susah-payah menghantar baju-baju pengantin pesanannya.

Dia hanya mampu tersenyum dengan tingkah pelik gadis tersebut yang terus mengorak langkah seribu tanpa berpaling lagi. Bagai takutkan sesuatu. Saat matanya singgah ke arah wajah Khairi, baru kini dia menyedari perkara apa yang menakutkan pekerja butik tadi dengan hanya melihat riak wajah rakannya. Hanya gelengan kepala yang menyusuli langkah Khairi yang turut ingin beredar dari situ.

“ Khairi, mari duduk sini sayang. Dah lama anak mama ni tak balik rumah mama, ya. Asyik tidur dekat rumah lama aja.

Senyap tak dengar khabar berita pun. “ Senyuman mekar di bibir Puan Raniey tatkala Khairi mendekatinya dan menyalaminya.

Rindunya dia kepada anak lelakinya itu semakin hari semakin menggunung. Tidak tertahan rasanya rindu yang bertamu ini.

Puas juga dia menelefon Khairi tetapi tidak pernah anaknya itu menjawab panggilannya walau sekali.

Memahami dengan keadaan Khairi yang masih bersedih dengan pemergian arwah Zeera, Puan Raniey hanya memendam rasa. Dia tidak mahu anaknya bersusah hati dengan kerenahnya. Kadang-kala, sekeping hati seorang ibu yang dimiliki mendesak dirinya juga untuk mengintai keadaan anaknya daripada jauh. Kereta Myvi dipandunya menuju ke rumah Khairi dan arwah Zeera. Lega sedikit rasanya apabila dia dapat melihat dengan matanya sendiri bahawa anaknya menjalani rutin harian seperti kebiasaan.

“ Ma sihat? Sorry, ma. Khairi bukan tak nak balik, tapi kerja berlambak dekat studio. Banyak kerja pending. Iyalah, Khairi kan banyak ambil cuti time arwah Zeera.. “

“ Khairi, yang pergi tetap pergi. Anak mama tak boleh jadi macam ni tau. Jangan selalu bersedih. Tak baik. Kita yang masih hidup ni kena teruskan kehidupan. Daripada kita bersedih, ada baiknya kalau kita iringkan doa kesejahteraan untuk roh arwah Zeera. Semoga roh arwah dicucuri-Nya. Betul tak? “ tanya Puan Raniey sambil mengusap lembut kepala Khairi.

Kepalanya ditundukkan menekur ke lantai. Tidak berkutik. Hanya mendiamkan diri. Kata-kata ibunya benar-benar menyentuh hatinya. Segala yang diperkata terlalu benar. Dia sepatutnya menerima kenyataan bahawa kehilangan arwah Zeera dan anaknya adalah realiti. Khairi berterusan melayan menungannya. Dia hanya tersedar apabila bahunya disentuh Puan Raniey.

“ Ya, ma. Khairi tahu semua tu. Tapi, Khairi perlukan masa untuk tenangkan diri. Khairi dah kehilangan orang-orang yang Khairi sayang. Isteri dan anak Khairi, ma. Khairi terlalu sayangkan mereka berdua. Tak sangka begitu cepat mereka tinggalkan Khairi. Khairi.. Khairi.. “ Ada getaran di suara Khairi setiap kali perihal arwah Zeera dan anaknya diperkatakan. Hiba, sedih dan kecewa. Semua rasa bersatu dan amat menyesakkan dada. Dia tiada punya tempat mengadu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience