BAB 23

Romance Completed 13381

Pintu utama rumah diketuk sekali sebelum dikuak perlahan dari luar. Tidak berkunci. Barangkali Puan Raniey sengaja tidak menguncinya kerana dia lewat pulang. Tidaklah dia terkial-kial mencari kunci pintu yang dia sendiri lupa tempat dia menyimpannya. Kaki diayun perlahan menuju ke bilik Puan Raniey yang terletak bersebelahan dapur. Pernah dia mempelawa ibu mentuanya untuk tidur di bilik tetamu tetapi wanita itu berkeras tidur di bilik kecil itu kerana sukar mendaki tangga ke tingkat atas.

Saat pintu bilik terkuak, terlihat wajah tua Puan Raniey yang lena dalam beradu. Berhati-hati dia mendekati Puan Raniey sambil tangannya cekap menyelimutkan tubuh wanita itu hingga ke paras dada. Dahi Puan Raniey dicium kejap sebelum dia mula melangkah keluar. Anak-anak tangga didaki ke tingkat atas menuju ke biliknya. Biliknya bersama-sama Khairi .. dulu. Tas tangan dicampakkan ke atas katil lantas tuala yang tersidai ditarik dan dia menghilangkan diri ke dalam bilik air bagi membersihkan diri.

Farah duduk berhadapan dengan meja solek. Dia menelek seketika wajahnya yang tampak pucat sejak akhir-akhir ini. Bukan kerana dia sakit tetapi mungkin sebab pembawakan bayi. Lantas tangannya mengusap lembut perutnya yang membonyot. Pejam celik, pejam celik, terasa masa cepat berlalu. Kini kandungannya sudah berusia lima bulan. Dia tersenyum sendiri. Teramat indah hidupnya setelah dikurniakan Ilahi satu-satunya waris Khairi. Dia berasa begitu bahagia dengan kehadiran zuriat dan benih yang bercambah di dalam rahimnya ini. Hanya Allah yang mengetahui perasaannya tatkala disampaikan berita yang tidak disangka-sangka ini oleh doktor dahulu. Sehingga Emir pun terlopong dengan khabar tersebut. Benarlah Tuhan itu Maha Adil dan Maha Mengetahui.

Tiba-tiba Farah dikejutkan dengan deringan telefon bimbitnya yang memainkan lagu berjudul Di Pintu Syurga nyanyian Dayang Nurfaizah menandakan ada mesej yang masuk. Dia mencapai telefon bimbitnya dan tanpa berlengah lagi terus membaca mesej yang diterima. Senyumannya terukir melihatkan nama penghantar mesej yang tertera di skrin telefon bimbit. Emir.

From : Emir

To : Farah

Assalamualaikum, mak boyot! Dah sampai rumah? Mama Raniey dah tidur ke?

Farah mengekeh ketawa dengan mesej yang dibacanya sambil jari-jemarinya pantas menekan pad kekunci telefon bimbit membalas mesej tersebut.

From : Farah

To : Emir

Waalaikumusalam, bapak The Hulk! Aku dah lama gak sampai rumah. Oh, mama dah lena tidur pun. Hah, apa cer text aku tengah malam ni? Tak ada kerjalah tu!

From : Emir

To : Farah

Eh, sorry sikit ah! Berlambak kerja yang perlu aku hadap daripada aku text kau ni. Aku risaukan kau.

From : Farah

To : Emir

Eh, eleh! Kerja konon. Aku tengok kau heret perempuan ke sana ke sini aja. Tak ada kerja pun! Pasal aku, kau jangan risau. Aku okay ajalah.

From : Emir

To : Farah

Eii, sampai hati kau cakap macam tu dengan aku. Mana ada aku heret perempuan, dia orang tu yang terhegeh-hegeh kat aku. Aku pun ambillah peluang. Takkan nak tolak rezeki kut ..

From : Farah

To : Emir

Ish, kau ni! Tak baik tau permainkan perasaan orang. Nanti Allah balas cash aja kat kita.

From : Emir

To : Farah

Iyalah, iyalah .. Aku tak buat lagi kerja tak senonoh tu. Aku nak jadi lelaki gentleman! Haha.

From : Farah

To : Emir

Okay, okay.. Baguslah kalau macam tu. Insyaallah, ada jodoh kau tu nanti. Wait and see.

From : Emir

To : Farah

Amin. Thanks. By the way, kau kena kuat tau. At least for the sake of your ‘little’ Khairi.

From : Farah

To : Emir

Insyaallah. Lagipun, aku bukan seorang. Aku ada baby, mama dan kau. Cukup untuk aku teruskan hidup. Okaylah, bapak The Hulk! Aku dah mengantuk ni. Nak tidur.

From : Emir

To : Farah

Alright, mak boyot! Haha. Tidur puas-puas eh.

Selesai saling berbalas ucap selamat malam, perbualan mereka melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) pun tamat. Farah masih tersenyum. Hatinya bahagia kerana dikelilingi orang-orang yang amat menyayanginya. Salah seorangnya ialah Emir. Lelaki yang menjadi kenalannya dan arwah Khairi sejak zaman sekolah itu sentiasa berada di sisinya. Emir menjadi pelindungnya setelah pemergian sang suami yang dicintai. Sentiasa ada untuk dirinya kala suka dan duka. Jasa dan kasih Emir tidak akan dia sia-siakan.

Telefon bimbit diletakkan di atas laci kecil bersebelahan kepala katil. Lampu tidur dimalapkan. Farah merenung kosong ke siling sambil fikirannya menerawang mengimbau kembali memori indah yang pernah dilaluinya bersama-sama Khairi. Dia memejamkan matanya rapat-rapat. Air mata mengalir di pelupuk matanya sehingga dia terlena.

Kakinya pantas menuruni anak-anak tangga ke tingkat bawah. Kepala dijengahkan sedikit melihat suasana ruang tamu yang sepi tanpa peti televisyen dihidupkan. Langkahnya mula menuju ke dapur tatkala bunyi kuali dan sudip berlaga kedengaran bingit seperti seseorang sedang memasak. Tersenyum dia dengan kelibat Puan Raniey yang leka memasak nasi goreng di atas dapur tanpa menyedari kehadirannya. Farah terus memeluk ibu mertuanya dari arah belakang wanita berusia separuh abad itu. Suasana gamat seketika dengan aksi Puan Raniey yang beriya-iya melatah. Terkejut barangkali.

“ Astaghfirullahalazim, budak seorang ni! Bertuah punya anak. Ada ke terkejutkan mama macam tu! Kalau dibuatnya mama tengah potong sayur ke, tak ke naya namanya? Berguraunya mengalahkan orang sihat. Dahlah dia tu tengah bawa baby.. “

bebel Puan Raniey berselang-seli dengan dekahan ketawa Farah. Kepalanya digeleng-gelengkan tidak memahami dengan kerenah Farah tetapi dia tetap tersenyum dengan senyuman yang terukir di wajah menantunya itu. Jarang benar Farah tersenyum dan bergelak sakan begitu sejak pemergian Khairi. Dalam diam, kesyukuran dipanjatkan kehadrat Ilahi. Sempat juga dia mendoakan kesejahteraan menantunya dan anak yang dikandungi, bakal cucunya.

“ Sorry, mama! Farah bukan buat apa-apa pun. Peluk aja, mama terus melatah! Lawaklah gaya mama tadi. “ Farah menyambung tawanya.

“ Hah, ketawalah! Ketawa lagi. Nanti ada juga orang tu yang tak dapat makan nasi goreng special yang mama buat ni. Yummy, sedapnya.. “

Berkepul-kepul asap nasi goreng yang baru dimasak. Sengaja Puan Raniey mencium bau harum masakannya di hadapan Farah. Dia juga mengenakan menantu kesayangannya dengan mengacah-acahkan pinggan yang berisi nasi goreng setiap kali Farah ingin mencapainya. Tergelak sakan dia melihat muka Farah yang masam mencuka.

“ Mama, Farah nak makan! “

Gelak tawa mengisi rasa kekosongan setiap penghuni di banglo itu. Sejak pemergian Khairi, Puan Raniey menjadi tempat untuk Farah mengadu nasib. Kepedihan dan keperitan yang ditanggung kerana merindui arwah suami tercinta dipendam dalam-dalam di hati. Cukuplah rasa sakit yang dialami Puan Raniey kerana kehilangan anak tunggalnya. Tidak tegar Farah membebani ibu mertuanya lagi.

Dia meniti hari demi hari dengan hati yang cekal berbekalkan rasa cintanya kepada arwah Khairi yang tidak akan pernah berubah. Nyawa yang dikandunginya inilah satu-satunya waris tinggalan Khairi untuknya. Anak yang semakin membesar di rahimnya ini jugalah yang akan menjadi peneman setia dan pengubat lara untuk dirinya.

Farah mengakui memang dia mengalami kesukaran tanpa kehadiran sang suami di sisi. Keadaannya yang tidak mengizinkannya untuk bergerak bebas menjadi cabaran untuk Farah menghadapinya seorang diri. Perutnya yang memboyot ketika usia kandungannya yang sudah mencecah lapan bulan membuatkannya selalu menangis kerana selalu berasa sakit dan mengalami alah. Hampir setiap malam Farah kekejangan akibat pembawakan bayi. Dia berasa sungguh sunyi kerana Khairi tiada bersama-sama menemaninya. Kadang-kala, sakit yang ditanggung dipendamkan sahaja kerana tidak mahu menyusahkan Puan Raniey. Dia tidak sanggup melihat ibu mertuanya bersusah-payah memandangkan orang tuanya itu juga berada dalam keadaan yang kurang sihat.

Setiap kali dia merindui arwah Khairi, hanya tikar sejadah yang menjadi sasaran. Dia akan memohon ketenangan daripada-Nya dan memanjatkan doa agar roh Khairi dirahmati senantiasa. Ayat-ayat suci al-Quran yang membasahi bibirnya usai mendirikan sembahyang selalu mengurniakan ketenangan yang didamba. Rindunya kepada Khairi juga akan terubat. Farah reda kini. Dia pasrah atas segala-galanya. Cinta arwah Khairi disemat kemas dan akan mekar dihatinya dengan kehadiran zuriat mereka kelak, Muhammad Khairin Bin Muhammad Khairi.

Ke hadapan isteriku yang tercinta,

Maafkan abang, sayang. Abang tak mampu memberikan kebahagiaan untuk sayang. Tetapi, percayalah bahawa abang akan sentiasa menyayangi sayang dan mencintai sayang hingga hujung nyawa abang. Sejak pertemuan kita di bangku sekolah, rasa suka abang kepada sayang mula bertukar menjadi rasa cinta yang mendalam tanpa abang sedari.

Abang terlalu banyak melukakan hati sayang. Abang mengaku bahawa abang bertindak menyakitkan sayang kerana abang tahu yang abang tak layak memiliki sayang. Setiap kali air mata sayang mengalir, setiap kali itulah hati abang sakit, jiwa abang terseksa. Hanya Tuhan yang tahu betapa abang berasa bahagia tatkala abang selamat melafaz akad yang mengikat kita menjadi suami isteri yang sah.

Sayang terlalu sempurna untuk abang, jadi abang harap yang sayang dapat terima abang seadanya. Walau apa pun yang bakal berlaku pada masa hadapan, abang akan selalu menyintai sayang sepenuh jiwa abang. Dan jikalau kita dikurniakan cahaya mata kelak, abang nak sayang cintakan anak kita sebagaimana sayang cintakan abang.

Walau kita terpisah beribu batu, abang yakin takdir akan menemukan kita. Walau kita berpisah atas ketentuan-Nya, abang sentiasa berdoa agar cinta kita akan sentiasa mekar dan kita bakal berjumpa di sana. Dengan nama Allah, abang cintakan sayang.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience