BAB 18

Romance Completed 13381

“ Betul ke Farah hanya kawan Khairi? Rasanya, Farah tahu tak kenapa Khairi berperangai macam tu? “

Gelengan kepala Farah mendorong Puan Raniey meneruskan kata-kata. Si gadis diam dan menumpukan perhatian kepada wanita yang merangkap ibu kepada Khairi.

“ Cuba Farah fikir betul-betul. Kenapa Khairi sanggup berperangai kebudak-budakan dan bawa lari beg Farah? Dan kenapa Khairi perlu larikan beg Farah? Mama dah lama hidup. Asam garam hidup mama dah alami. Mama tahu taktik orang lelaki yang tak reti nak memikat. Dan mama tahu apa yang Khairi rasa. Perasaan yang tak mahu lepaskan sesuatu.

Kalau Farah nak tahu, Khairi buat macam tu bersebab. Dia tak nak Farah tinggalkan rumah ni. Dia nak Farah sentiasa berada dekat dengan dirinya. Kalau Khairi serahkan beg Farah awal-awal, dah tak ada sebab untuk dia berjumpa dengan Farah, kan? Orang lelaki, Farah. Ego dia orang tinggi mengalahkan bangunan KLCC. Khairi salah seorang lelaki yang tak tahu nak luahkan perasaannya. Dia lebih selesa pendamkan. Sebab tu bila kehilangan arwah Zeera dan Farah Dayyan, Khairi memencilkan diri di biliknya. Dia lebih banyak diam dan bermuram. “

Perihal arwah Zeera dan Farah Dayyan amat sensitif kepadanya. Dia mula berasa hiba dan sebak. Sampai dia mati, dia takkan pernah melupakan peristiwa hitam kehilangan mereka. Farah membiarkan Puan Raniey mengusap-usap belakang telapak tangannya. Wanita itu juga mendekatinya.

“ Khairi memerlukan seseorang untuk setia berada di sisinya kala suka dan duka. Dia tak kuat, Farah. Mama takut Khairi tak mampu menghadapi hidupnya bila mama tak ada nanti. Walaupun baru semalam mama kenal Farah tapi mama yakin Farah ada sejarah dalam hidup Khairi. Dan mama dapat rasakan Farah dan Khairi saling menyayangi. Farah, mama ada permintaan. Mama nak meminang Farah untuk Khairi. Farah setuju? “

Didongakkan wajahnya menghadap wajah keruh Puan Raniey. Lidahnya terkelu untuk menjawab pertanyaan wanita berusia itu. Hatinya bergolak dengan perasaan yang sukar ditafsirkan. Serta-merta bisikan daripada arwah Zeera yang didengarinya semalam terngiang-ngiang. Dia menggigil ketakutan.

“ Terima lamaran Khairi, Farah. Dia cinta kau. Cinta pertama dan selamanya.. “

Tanpa berfikir panjang, Farah menganggukkan sedikit kepalanya menerima pinangan Puan Raniey yang mewakili bagi pihak Khairi. Mengenangkan bisikan misteri itu hatinya gentar dan terus menerima Khairi. Puan Raniey di sisi sudahpun tersenyum sambil menitiskan air mata gembira. Dirinya? Menangis hiba kerana tidak menyangka dia membuat keputusan sebegitu. Dia merasakan dia telah mengkhianati arwah Zeera dengan bersetuju akan permintaan Puan Raniey itu. Tidak tertahan dengan sebak yang melanda di hati, Farah memeluk tubuh ibu Khairi dengan erat. Dia teresak-esak di bahu wanita itu.

Kedua-dua belah tangannya dikibas-kibaskan seusai siap membasuh semua pinggan mangkuk di sinki. Segera tisu ditarik dan mengeringkan tangannya yang basah. Lebihan lauk-pauk yang dipesan melalui katering untuk menjamu tetamu-tetamu tadi disimpannya di dalam bekas sebelum diletakkan ke dalam peti ais. Dia berlalu ke ruang tamu.

Televisyen yang terbuka dan menyiarkan rancangan realiti orang Barat tidak menarik perhatiannya. Farah melilau mencari kelibat penonton yang membuka siaran itu. Namun, dia tidak nampak sesiapa yang sedang duduk di sofa dan menonton saat ini. Suis lampu dan kipas juga dibiarkan terbuka, tidak bertutup walaupun tidak digunakan.

Mana semua manusia ni? Aku seorang aja ke dekat dapur tadi? Tak perasan semua orang dah keluar rumah? Tapi, takkanlah mama dan Khairi boleh tinggalkan aku seorang-seorang kut? Ah, biarlah! Baik aku sambung kerja di dalam bilik. Ada faedahnya juga!

Sebaik dia mahu melangkah naik ke tingkat atas, Farah terdengar desas-desus orang sedang berborak di luar rumah. Terdengar tawa manja mama dengan keletah Khairi. Dia melihat kemesraan si ibu dan anak yang sedang berbual-bual di pangkin. Siap main bertepuk tampar lagi!

Tidak sempat dia mahu beredar, namanya sudah disahut oleh mama. Langkahnya terhenti. Dia menoleh ke arah mereka berdua. Dengan hati yang tidak rela, dia berjalan juga menghampiri mama dan Khairi. Terus dia melabuhkan punggung bersebelahan dengan Khairi, suaminya yang ‘tercinta’. Sentap hatinya saat matanya bersatu dengan Khairi yang memang popular dengan renungan mautnya.

Tiba-tiba, dia berdebar-debar dan menjadi tidak keruan. Akad nikah yang dilafazkan oleh Khairi pagi tadi di sebuah masjid yang indah rekaannya, telah mengikat dia dan lelaki itu dalam suatu hubungan sah iaitu sebagai suami isteri. Hanya dengan sekali lafaz, dia dan Khairi memiliki satu perhubungan yang halal dan suci di sisi agama. Dia kini milik Khairi.

“ Ala, ala.. Kasihan, Farah! Penat, eh? Mama dah cakap, biarkan aja pinggan mangkuk yang tak terbasuh tu. Esok pagi, kita boleh kemas sama-sama. Ni tak, nak buat juga. Mama minta maaf sangat tak dapat bantu. Kaki mama berdenyut-denyut. “

“ Tak apa, ma. Kerja sikit aja tu. Farah boleh buat sendiri. Mama rehat aja. Nanti sakit, lagi susah. Kalau mama nak apa-apa, minta aja daripada Farah. Biar Farah buatkan. “

Dia tersentak sedikit saat tangan Puan Raniey menyentuh lembut tangannya. Wanita itu gemar benar menggenggam tangannya sejak akhir-akhir ini. Seperti memahami perasaan dan hati seorang ibu, Farah membalas genggaman Puan Raniey.

Belaian dan layanan mesra Puan Raniey kepadanya dan Khairi memang tidak berbelah-bagi. Wanita yang berusia dalam lingkungan 50an itu selalu memanjakan anaknya dan menantu barunya.

Kadang-kadang, berdehem-dehem Khairi melihatkan ibunya memanjakan Farah. Namun, Farah amat memahami isi hati wanita itu. Puan Raniey hanya mempunyai seorang anak lelaki dan seorang menantu. Hanya mereka berdua ahli keluarganya. Dengan siapa lagi dia ingin bermanja, bermesra kalau bukan dengan mereka? Nak kahwin lagi? Memang tak masuk dalam senarai la!

“ Mama, tak payah nak manjakan sangat budak ni! Geli kut.. “ ujar Khairi sambil membuat mimik muka orang yang sedang kegelian. Hancur! Muka yang hensem terus jadi muka macam orang tak cukup akal.

“ Tak payah nak geli sangat. Dah besar-besar panjang pun suruh mama teman tidur.. “

Puan Raniey bertindak membocorkan rahsia besar yang dia simpan daripada pengetahuan orang lain. Khairi mendengus kasar dengan letusan tawa Farah dan ibunya. Dia duduk sambil memeluk kedua-dua lututnya. Menjauhi sedikit jaraknya daripada Farah. Malu kut!

“ Farah, mama nak berterima kasih dengan Farah. Terima kasih sangat-sangat! Sebab sanggup terima Khairi seadanya.

Walaupun Khairi ni agak baran, tapi hati dia baik. Mama percaya dan mama selalu doakan kebahagiaan kamu berdua. Dalam perkahwinan ni, tak sah kalau kita tak gaduh. Tapi, jangan biarkan salah faham tu berlarutan. Salah seorang kena mengalah. Jangan terlalu harapkan kesempurnaan daripada diri pasangan kalau diri kita tak sempurna.

Khairi pun. Belajar hormat dan berlembut dengan Farah. Apa yang dah berlaku, kita serahkan aja kepada Allah SWT. Selalu doakan untuk arwah di sana. Insyaallah, berkat kepercayaan dan rasa hormat antara sesama pasangan, kebahagiaan hidup milik kita. Khairi dan Farah kena sama-sama kuat untuk menempuh cabaran di alam rumah tangga. Jangan mudah melatah, tau. “

Wajah Puan Raniey kelihatan sungguh gembira dengan senyuman yang meleret di bibirnya. Dengan perlahan-lahan, tangan sasa Khairi dicapai dan diletakkan di atas tangan Farah. Dia tersenyum lagi. Bahagia hatinya dengan ikatan perkahwinan antara anak lelakinya dan si gadis manis dan baik budi pekertinya ini. Bagaikan impian dan hidupnya lengkap dengan kehadiran orang baru dalam hidup Khairi, dia tidak lagi berasa bimbang meninggalkan anaknya itu keseorangan kerana adanya Farah di sisi.

Farah sudah tidak keruan. Jantungnya berdegup-degup dan seperti mahu melompat keluar daripada jasadnya. Haba panas daripada sentuhan tangan sasa dan kasar milik suaminya membuatkan dirinya gelisah. Begitu juga dengan Khairi yang kekok dengan situasi yang dihadapinya kini. Dia bersentuhan dengan Farah. Walaupun bukan untuk pertama kalinya dia bersentuhan dengan gadis itu tetapi sentuhan pada malam ini mempunyai kelainan. Sentuhan setelah dia dan Farah selamat diijabkabulkan. Sah menjadi suami isteri.

“ Dah, dah… Khairi. Tak payah nak renung bini sampai macam tu sekali. Mama faham mesti Khairi dan Farah dah penat, kan? Dah, kamu berdua pergi tidur. Rehatkan diri. Esok ada tetamu lagi yang nak datang. Nak tengok menantu mama ni. “

Dia hanya mampu tersenyum hambar. Tadi pun agak kekok dia melayani kaum kerabat Khairi, inikan pula kaum kerabat jauh suaminya esok. Apalah agaknya yang akan terjadi kan? Mati lamunan Farah apabila tangannya ditarik perlahan oleh Khairi. Mengajaknya bangkit. Hanya Tuhan aja yang tahu betapa panas dan bahang wajahnya kala ini. Dia teramatlah berasa malu. Pertama kalinya dia berasa malu dengan Khairi! Kalau tak, asyik bergaduh dan bercakaran mengalahkan anjing dan kucing. Tom dan Jerry pun kalah tau!

Matanya sempat melirik Puan Raniey yang semakin jauh daripada jaraknya bersama-sama Khairi. Dia pula hanya mampu membuntuti Khairi memandangkan tangannya masih dalam genggaman lelaki itu. Masih tidak dilepaskan. Anak-anak tangga kami panjat perlahan-lahan. Lelaki itu membisu sambil terus menariknya untuk melangkah menuju ke bilik kami.

Ya Allah, bilik kita orang? Bersama-sama? Tak nak! Takutlah. Apa aku nak buat ni, eh? Ish betul ke malam ni? Tak kut. Khairi mana nak. Dia pun sama macam aku. Tak kut. Tak kut. Tolong.. tolonglah..

“ Kau sewel ke apa? Tergeleng-geleng, bercakap seorang-seorang. Ish, gila oo perempuan ni. “ ujar Khairi seraya melepaskan genggaman tangannya. Lelaki itu terus meluru ke arah katil empuk yang telah dihias indah dengan perhiasan antik sempena hari bermakna bagi mempelai. Namun, tidak baginya!

“ Oh, aku cakap seorang-seorang ke tadi? Bukan aku cakap dalam hati ke? “ Tingkah Farah yang berbisik dengan dirinya sendiri mengundang tawa Khairi. Lelaki itu ketawa sepuas-puasnya sambil memegang perut. Berguling-guling di atas katil, manakala Farah masih berdiri kaku di pintu bilik yang sudah tertutup rapat.

“ Memang sah! “

“ Sah apa? “

“ Sah kau sewel! Kau ni memang gila dari dulu lagi. Tak elok-elok penyakit kau ni kan? “

Tawanya terletus kembali. Menggeleng-gelengkan kepala tanda dia tidak memahami akan perangai Farah. Tak habis-habis dengan biulnya! Khairi mengalihkan sedikit tubuhnya ke tepi katil dan memberi ruang kepada Farah. Tangannya melambai-lambai mengajak Farah duduk di sebelahnya.

“ Kau nak apa, Khairi? Aku penatlah. Nak tidur. Kalau layan kau, sampai esok pagi aku tak dapat tidur. “

“ Woi, mangkuk! Aku nak ajak kau tidurlah ni! Kau ingat aku nak buat apa? “

“ Ish, tak apalah! Aku boleh tidur dekat sofa. “

Bengang kerana pelawaannya ditolak oleh Farah, Khairi bertindak untuk menarik lengan isterinya sehingga wanita itu terduduk di birai katil. Apabila Farah ingin bangkit, lengan wanita itu ditariknya lagi. Dia turut bergerak dan duduk di birai katil bersebelahan dengan Farah.

“ Kau dan aku akan tidur di atas katil ni. Aku janji yang aku takkan buat benda-benda tak senonoh. Aku akan hormati kau sebagai kawan aku. Terima kasih kerana sudi menjadi bini aku. Ni aja yang aku mampu buat untuk memenuhi hajat mama. Dan aku.. aku.. minta maaf. Aku sayangkan arwah Zeera. Aku tak boleh lupa saat arwah kena tolak melalui rakaman CCTV yang aku tengok. Kau sepatutnya.. kau sempat selamatkan dia tapi.. “

“ Aku minta maaf, Khairi. Maafkan aku. Aku bersalah. Aku bersalah sebab tak dapat selamatkan arwah. Aku minta maaf.. “

Sunyi. Sepi. Suasana bilik menjadi kelam apabila Khairi menutup suis lampu. Melalui cahaya yang mencuri-curi memasuki keadaan bilik yang gelap, Farah melihat samar-samar suaminya membaringkan tubuh dan membelakanginya. Terus tiada kata-kata terluah daripada lelaki itu. Senyap.

Dia? Dia masih duduk di birai katil dengan linangan air mata. Dia tahu bahawa Khairi tidak akan memaafkan kesalahannya. Dia tahu lelaki itu tidak lagi menyukainya sebagaimana semasa mereka di zaman sekolah dahulu. Perasaan sudah mati sekian lamanya selepas dia menolak lamaran lelaki itu.

Merasakan esakannya yang semakin kuat dan mungkin akan mengganggu tidur suaminya, Farah bergerak perlahan dan duduk memeluk lutut di atas lantai berbatukan marmar. Lantas mulutnya ditutup dengan hujung pergelangan bajunya supaya tangisannya tidak begitu ketara. Dia menangis mengenangkan kesalahannya kepada Khairi sehingga tidak sedar dia terlelap dan lena di situ.

Ruang bilik yang luas dan bercat dengan warna kelabu pekat yang kini dihuninya bersama-sama Khairi kelihatan terang.

Berlainan dengan keadaan bilik semalam yang kelam dan suram ketika waktu malam. Cahaya matahari yang menerobos masuk melalui celahan tirai jendela sedikit sebanyak membantu penglihatannya. Dia melihat sekeliling bilik yang sunyi sepi.

Tiada sebarang bunyi yang boleh menganggu jikalau dia benar-benar berhajat untuk menyambung beradu. Kadang-kala, tubuhnya juga menggigil kesejukan kerana disapa dengan hembusan angin pagi. Terus matanya tertala pada pintu beranda yang terbuka sedikit sekali gus mengizinkan udara segar dan berembun mencuri masuk ke dalam bilik.

Saat Farah berkalih dan ingin meneruskan lenanya memandangkan dia sedang ‘bendera merah’ yang tidak memerlukan dirinya bangkit mengerjakan solat Subuh, dia tersentak dengan keadaan dirinya. Tubuhnya dikalihkan lagi. Benar! Tempat dia sedang baring kini terlalu empuk jika dibandingkan dengan keadaan keras lantai yang menjadi tempat dia terlena semalam. Spontan dia bangkit daripada pembaringan dan melilau sekeliling. Dia berada di atas katil. Lebih mengejutkan, dia berada di atas katil Khairi!

“ Hoi, perempuan! Cukup-cukuplah tidur tu. Tahulah dia tengah period. Tapi tak payahlah mengada buat air liur basi pula. “

Bingit bebelan Khairi yang tiba-tiba tersembul di muka pintu. Farah bingkas bangun dan turun dari katil milik lelaki itu. Masam mencuka wajah Khairi sebelum dia menghempas pintu bilik dan mendekatinya.

“ Dah puas tidur, tuan puteri? “ Perli Khairi dengan mimik muka yang menggelikan hati sesiapa yang melihatnya. Termasuklah Farah sendiri. Terletus tawa halus gadis yang baru dinikahinya itu.

“ Oh, sorry! Aku memang tak sedar. Lena sangat sebab dapat tidur atas katil ni. “ Tersenyum girang, Farah menampakkan sebaris deretan giginya yang putih bersih. Dia kembali ketawa berdekah-dekah apabila Khairi dilihatnya menggeleng-gelengkan kepala sambil berlalu meninggalkannya tanpa memarahinya. Lelaki itu jelas mengalah dengan kerenahnya. Surrender lah tu!

Tirai labuh yang menutupi pintu gelongsor di ruang beranda di tariknya dan diikat kemas. Seluruh bilik diterangi dengan simbahan cahaya matahari pagi yang terik memancar seusai itu. Alat kawalan pendingin hawa dicapai dan punat tutup ditekan. Farah bernyanyi-nyanyi dengan hati yang lapang sambil tangannya ligat mengemas bilik tidurnya bersama-sama Khairi. Sedang dia asyik menyusun barangan Khairi di atas sebuah meja, pintu bilik dikuak dari luar. Terjengul wajah Puan Raniey dengan senyuman lebar.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience